Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, December 23, 2010

Tiket penyokong Indonesia mula dijual hari ini

Tiket untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF pada Ahad ini untuk menyokong Indonesia, akan mula dijual di bangunan Kedutaan Besar Republik itu di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini mulai pukul 9 pagi.

Duta Besar Republik Indonesia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, sebanyak 15,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Indonesia, akan dijual di pondok pengawal di luar pejabat kedutaan tersebut, pada harga RM30 dan RM50.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Indonesia yang berada di Kuala Lumpur supaya membeli tiket yang terhad, bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

"Kami dari pejabat kedutaan begitu berbangga dengan kemaraan pasukan Indonesia ke perlawanan akhir kejohanan ini, tambahan pula ia diadakan di sini (Kuala Lumpur), jadi kami bersedia memberi apa sahaja bantuan yang dirasakan perlu," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Jelasnya, penyokong Indonesia yang mempunyai masalah dan ingin membuat sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat kedutaan.

"Saya jangkakan esok (hari ini) mungkin akan berlaku kesesakan dan menimbulkan suasana kelam-kabut tetapi pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad keadaan dijangka tidak terlalu sesak kerana sebarang urusan mengenai pasport dan sebagainya tidak diadakan kerana cuti.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa enam Menteri Indonesia akan turun menyaksikan perlawanan di sini. Jadi saya juga harus bersedia untuk memastikan semuanya mendapat layan sebaik mungkin," katanya.

Kata Da'i, kerjasama antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melancarkan lagi perlawanan tersebut, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kami mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari seluruh peminat bola sepak Indonesia, biarlah perlawanan ini berlangsung dengan semangat yang tinggi dan aman.

"Saya juga ingin menasihatkan penyokong Indonesia yang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad ini supaya tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang termasuk membawa senjata tajam," katanya.

Da'i berkata, pertembungan dua negara berjiran itu akan menjadi pertembungan menarik, kerana kedua-duanya mahu mencatat kejuaraan pertama Piala Suzuki AFF.

"Pelajar Indonesia yang belajar di sini juga dijangka akan datang menggunakan bas universiti masing-masing.

"Kita juga menjangkakan peminat dari Indonesia juga akan datang ke Malaysia bagi menyaksikan perlawanan ini," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...