Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 3, 2010

Kepakaran Thai berkesan - Shapian

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Mohd. Shapian Ali (gambar) mengalu-alukan pengambilan perunding dari Thailand dalam membantu kecemerlangan skuad elit negara seperti mana yang terbukti pada Terengganu, tahun ini.

Katanya, kekalahan anak buah Iskandar Arshad dalam Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini mendesak untuk menimba lebih banyak ilmu kejurulatihan daripada pakar negara Gajah Putih itu memandangkan corak permainan moden sepak takraw yang kian berubah.

"Dulu saya sendiri tidak yakin dengan kemampuan pasukan Terengganu dalam Sukma (Sukan Malaysia) di Melaka, Jun tahun lalu tetapi kemasukan Vitthaya Boontha sebagai jurulatih negeri sejak Januari, membawa perubahan permainan yang besar dan menghasilkan pingat emas berpasukan.

"Vitthaya mulanya dipinjamkan oleh Thailand kepada Laos yang merampas pingat perak kita dalam antara regu Sukan SEA 2009 dan dia cuma meminta tempoh tiga bulan kepada kami (Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu - PSTNT untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Corak latihannya banyak menekankan kekuatan kaki dan mengutamakan ketangkasan pergerakan, tidak seperti ramai jurulatih tempatan yang hanya membuat latih tubi dengan bola terhadap pemain dan permainan di gelanggang.

"Malah, bekas apit kiri negara, Zulhafizazudin Rosslan selepas digugurkan tahun lalu, mengakui perbezaan corak latihan jurulatih Thailand itu dan berjaya menemui sentuhan permainan ketika menghadapi Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (Mac lalu)," kata Presiden PSTNT ini.

Beliau mengulas hasrat Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, Isnin lalu untuk mendapatkan khidmat perunding kejurulatihan dari Thailand bagi skuad elit negara ekoran kegagalan membawa pulang pingat emas Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd. Shapian lebih suka sekiranya perunding Thailand ditugaskan membimbing dan membentuk skuad pelapis negara dengan satu program pembangunan dan sasaran jangka panjang yang tertentu ditetapkan kepadanya.

"Saya pernah mengutarakan cadangan ini kepada Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) tetapi jika untuk melepaskan Vitthaya ke skuad elit, agak sukar kerana dia tampak mahu menetap di Terengganu, malah PSTNT sudah menyambung kontraknya," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...