Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 17, 2010

Karate sekadar raih 3 gangsa


Sasaran awal untuk merangkul satu emas dan satu perak menerusi acara kata pada Sukan Sukan Universiti Asean (AUG) tidak kesampaian apabila karate sekadar menghadiahkan tiga gangsa di Gimnasium Universiti Utara Chiang Mai, semalam.

Kesemua pingat disumbangkan Kam Kah Sam dan Jesyntha Chong dalam saingan lelaki serta wanita individu, selain kata berpasukan yang dibarisi Kah Sam, Khor Kah Thong serta Wong Keng Yinn.

Kah Sam menang 3-0 ke atas Yingyong Chongtaveetham dari Thailand, manakala Jesyntha menewaskan peserta Brunei, Nurulyana Tonggal juga dengan keputusan 3-0 dalam perebutan gangsa. Dalam saingan berpasukan, skuad lelaki mengalahkan Laos 3-0.

"Ia tidak seperti yang kami jangkakan. Walaupun persembahan kami begitu baik pada pusingan pertama, ia masih tidak cukup bagus untuk menghasilkan emas," kata Kah Kam, yang gagal mempertahankan perak yang dimenanginya dalam acara individu pada AUG 2008 di Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun saingan antara Malaysia dan Vietnam agak sengit, namun Vietnam yang menghantar pemain senior menunjukkan persembahan yang lebih baik.

Sementara itu, skuad bola sepak negara tewas 0-1 kepada Myanmar dalam peringkat kumpulan di padang Kolej Royal Prince. Gol tunggal Myanmar dijaringkan oleh Chit Moe Oo pada minit ke-30.

Lebih mengaibkan apabila penjaga gol Mohd. Khairul Azwan terpaksa keluar padang pada hujung separuh masa pertama kerana dilayangkan kad merah. Malaysia perlu menang menentang Laos hari ini untuk mara ke separuh akhir.

Badminton dan sepak takraw negara, masing-masing cemerlang pada perlawanan peringkat kumpulan.

Pemain badminton wanita menundukkan Thailand 3-2 dalam acara berpasukan, manakala regu sepak takraw menewaskan Indonesia dan Laos 2-0. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...