Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, December 4, 2010

Olahraga perlu formula lahirkan atlet bertaraf bintang

SIAPA tidak mengenali nama besar dalam sukan olahraga seperti Datuk Dr. M. Jegathesan yang cukup terkenal kerana kepantasan lariannya selain pernah menjadi pelari pecut paling pantas di rantau Asia melalui acara 100 meter lelaki di Sukan Asia 1966.

Tidak kurang hebat juga Rabuan Pit, jaguh olahraga negara dalam acara 100m lelaki yang pernah menghadiahkan pingat emas pada Sukan Asia 1982 di Delhi menewaskan jaguh pecut dari negara Korea Selatan dan Thailand.

Namun itu semua cuma tinggal sejarah dan setelah hampir dua dekad berlalu selepas Rabuan Pit, masih belum lagi menjelma kelibat pengganti kepada mereka berdua yang mampu menghadiahkan emas buat negara dalam temasya sukan besar seperti Sukan Asia dan Komanwel.

Hanya kekecewaan yang terus menghantui peminat sukan olahraga tempatan setiap kali menantikan berita berhubung pencapaian atlet olahraga ketika mewakili negara dalam dua temasya itu.

Dalam tahun ini sahaja skuad olahraga gagal untuk menjelmakan sebarang pingat di Sukan Komanwel New Delhi 2010 mahupun dalam Sukan Asia Guangzhou XVI yang berakhir bulan lalu.

Nama seperti Roslinda Samsu dalam acara lompat bergalah, Noraseela Khalid, 400m berhalangan wanita dan Lee Hup Wei lompat tinggi, adalah antara nama yang sentiasa menjadi harapan tinggi pihak Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk mendapatkan pingat.

Bagaimanapun, dalam dua temasya sukan sepanjang 2010, mereka seolah tidak berdaya untuk mengulangi pencapaian terbaik yang pernah diperolehi sebelum ini malah tiada seorang pun yang berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaik.

Noraseela hanya mampu untuk mencapai kepantasan 57.22 saat untuk berada ditempat kelima di Guangzhou sekali gus tidak mampu untuk menyaingi rekod terbaiknya iaitu 56.02s.

Noraseela sebelum ini pernah menghadiahkan pingat gangsa pada Sukan Asia empat tahun lepas di Doha begitu juga Roslinda yang berjaya membawa pulang pingat perak di temasya sama dan selepas berakhirnya Temasya Guangzhou, itu menjadi pingat terakhir yang mampu dihadiahkan skuad olahraga.

Dengan usia kedua mereka yang telah dan menghampiri usia 30 tahun tentu sukar untuk mereka mengulangi pencapaian terbaik selepas ini manakala Hup Wei barangkali masih mampu untuk memperbaiki rekod peribadi terbaiknya 2.27 meter sekali gus mempunyai peluang untuk menjadi harapan negara selepas ini kerana usia yang baru menjangkau 23 tahun.

Tindakan drastik perlu dilakukan oleh KOAM selepas atlet mereka gagal bersinar sepanjang tahun ini, pengganti kepada jaguh-jaguh olahraga negara perlu dicari bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dilakar oleh M. Jegathesan dan Rabuan Pit.

Cuma hanya kelihatan kini ada sinar baru yang berjaya di diketengahkan oleh badan olahraga itu apabila meletakkan gandingan pelari muda wanita melalui acara kuartet 4x100 meter yang dibarisi Siti Zubaidah Adabi, Nurjannah Hafiszah, Nurulsarah Abd. Khadir dan Yee Yi Ling.

Kuartet negara itu benar-benar menunjukkan semangat muda yang masih segar apabila berjaya mencatatkan rekod baru kebangsaan 45.33 saat pada Grand Prix (GP) Poland, Julai lalu sekali gus memadam rekod lama yang dicipta oleh kuartet yang dibarisi Anita Ali, G Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar yang melakukan catatan 45.37s pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Malah, di Guangzhou kuartet muda negara itu berjaya mara ke peringkat akhir untuk berada di tempat keenam dengan catatan 45.54s dan mungkin pada empat tahun akan datang pada Sukan Asia Incheon mereka mampu untuk menghadiahkan pingat kepada negara.

Bagaimana pula dengan acara lain yang melibatkan atlet lelaki dan apakah KOAM hanya mahu mengharap kepada kuartet wanita itu sahaja.

Barangkali ada kewajaran untuk KOAM mengambil iktibar daripada cadangan seorang pemimpin kesatuan sukan yang enggan namanya didedahkan yang pernah disiarkan Utusan Malaysia, Rabu lalu meminta agar badan olahraga itu memperkasakan tugas jawatankuasa pembangunan di peringkat negeri selain mewujudkan jawatan pengarah teknikal di peringkat pusat.

Dua bidang tugas itu amat penting kepada KOAM dalam membantu untuk mencari bakat-bakat muda yang berpotensi untuk di ketengahkan ke peringkat antarabangsa selain dapat meningkatkan pembangunan olahraga di negara ini.

Sampai bila olahraga hanya mahu menjadi wira di Sukan SEA tetapi layu apabila menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...