Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Tuesday, December 14, 2010

Pelumba LTdL 2011 berlatih di Tasik Qinhai

Peningkatan mendadak yang dipamerkan pasukan kejar mengejar China dan Hong Kong pada Sukan Asia bulan lalu meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menghantar pelumba negara berlatih di kawasan altitud tinggi di Tasik Qinghai dalam usaha mengukuhkan pasukan menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab mengakui, terkejut dengan keupayaan China dan Hong Kong membentuk pasukan yang bagus, selain mampu melahirkan pemecut berkualiti dalam masa yang singkat ketika bertanding di Guangzhou.

China mengalahkan Jepun dalam pecut berpasukan akhir untuk memenangi pingat emas, manakala Hong Kong tidak memenangi pingat tetapi memberi cabaran sengit.

"Saya secara peribadi telah bertanya kepada Persatuan Berbasikal China dan Persatuan Berbasikal Hong Kong tentang rahsia kejayaan mereka, dan jawapan yang diberi adalah hantar pelumba anda (Malaysia) berlatih di Tasik Qinghai kalau mahu berjaya seperti kami," kata Abdu Samah dalam satu kenyataan semalam.

Abu Samah menjelaskan, Tasik Qinghai atau Kukunor dalam bahasa Mongolia yang membawa makna Tasik Biru adalah tasik terbesar di China dan terletak kira-kira 100 kilometer di barat ibu kota Wilayah Xining.

"Apa yang menarik tentang Tasik Qinghai ialah ia berada 3,205 meter di atas paras laut. Keadaan altitud tinggi ini akan menyebabkan pelumba cepat keletihan sehingga terpaksa menggunakan kadar tenaga yang banyak.

"Bagaimanapun, mereka tidak akan cepat letih apabila kembali ke kawasan rendah. Saya difahamkan ia ada kaitan dengan jantung dan penggunaan oksigen. Justeru, buat permulaan persatuan mungkin hantar empat pelumba berlatih beberapa minggu sebelum bermulanya Le Tour de Langkawi 2011.

"Tetapi, kami akan mengkaji perkara ini dengan teliti agar ia tidak bercanggah dengan cadangan jurulatih baru, Graham Seers yang mahukan pelumba berlatih di Colorado, Amerika Syarikat kerana keadaan muka bumi di sana bergunung ganang.

"Saya fikir Jawatankuasa Lebuh Raya PKBM yang diketuai Amrun Misnoh mampu memikir dan mencetuskan sesuatu kerana kekurangan pendaki kuat dikenalpasti punca kelemahan pasukan kebangsaan Malaysia," katanya.

Antara pelumba yang dijangka mencuri perhatian panel pemilihan ialah Muhammad Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakrullah Alias dan Suhardi Hassan.

Sebelum ini, Seers yang bakal bertugas pada 1 Januari ini mencadangkan pelumba negara dihantar berlatih beberapa bulan di Colorado bermula April tahun depan iaitu selepas Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat, Thailand.

Bagaimanapun cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh yang mahukan PKBM segera membentuk pendaki berkaliber untuk berkayuh pada edisi ke-16 perlumbaan tahun ini menyebabkan persatuan kembali menyemak cadangan ke Colorado.

"Cadangan ke Tasik Qinghai umpama pelan B kepada pelan A (Colorado). Kalau kita ke Qinghai ia bukan bermakna pelan ke Colorado terbatal. Kita sekadar memperbanyakkan pilihan untuk meningkatkan kualiti pendakian pelumba negara," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...