Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, December 11, 2010

Beregu utama kalah mengejut

Misi beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk menutup tirai 2010 dengan merampas kedudukan No. 1 dunia dan menjuarai kejohanan terakhir Siri Super, Terbuka Hong Kong berkecai selepas tumbang mengejut kepada pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano pada pusingan kedua, semalam.

Selepas membuka tirai 2010 dengan cemerlang, menjuarai Terbuka Malaysia Januari lalu, pasangan No. 2 dunia itu menamatkan kempen dengan kegagalan, dengan gagal memenangi sebarang kejuaraan lain, selain daripada kemenangan di Kuala Lumpur itu.

Semalam, anak-anak buah Rexy Mainaky itu gagal memenuhi reputasi sebagai pilihan pertama, apabila tunduk 21-12, 18-21, 19-21, iaitu kekalahan pertama mereka kepada Ahsan-Bona dalam tiga pertemuan.

Kekalahan ini menyusul tidak sampai seminggu selepas dikejutkan beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong pada suku akhir Terbuka China, malah ia menambahkan kekecewaan pasangan negara itu, selepas gagal mempertahankan pingat emas Sukan Asia di Guangzhou, bulan lalu.

Lebih mengecewakan, kekalahan Kien Keat-Boon Heong disusuli dengan kegagalan dua lagi beregu lelaki negara, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How dan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah untuk meneruskan kemaraan di Hong Kong.

Namun, kekecewaan sedikit terubat dengan kejayaan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengelak daripada kejutan dengan mengetepikan pemain pelapis China, Wang Zhengming 21-17, 21-11 untuk melangkah ke suku akhir.

Turut meneruskan cabaran pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM785,000) itu adalah beregu wanita, Chin Eei Hui-Goh Liu Ying, yang menyingkirkan Chang Hsin Yun-Cheng Shao Chieh 21-16, 19-21, 21-15.

Chong Wei, 28, yang memburu kejuaraan kelapan musim ini, berdepan juara dunia, Chen Jin di suku akhir hari ini. Pertemuan terakhir kedua-dua jaguh dunia itu berpihak kepada Chong Wei, yang menang di separuh akhir Sukan Asia.

Kemenangan Eei Hui-Liu Ying, yang merupakan pasangan bidan terjun, ekoran kecederaan yang dialami Wong Pei Tty bakal menemukan mereka dengan pilihan ketiga, Valeria Sorokina-Nina Vislova dari Rusia.

Sebelum itu, Zakry-Thien How gagal memberikan cabaran kepada juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China pada pusingan kedua beregu lelaki, apabila tunduk 16-21, 15-21. Pasangan remaja Peng Soon-Khim Wah turut tunduk 15-21, 15-21 kepada satu lagi pasangan negara itu, Chai Biao-Guo Zhendong

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...