Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Wednesday, December 22, 2010

Lin Dan mampu dikalahkan - Chong Wei


Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yakin beliau mampu menewaskan pemain utama China, Lin Dan dalam kejohanan utama dunia akan datang.

Katanya, walaupun beliau sering tewas di tangan Lin Dan dalam beberapa kejohanan utama dunia seperti Sukan Olimpik, Asia dan Grand Prix Badminton Dunia, beliau yakin mampu untuk mengalahkannya.

''Sebenarnya tidak ada kelebihan tertentu pada Lin Dan, cuma kalah atau menang banyak bergantung persiapan saya sendiri semasa berhadapan dengan pemain yang kini menduduki ranking No. 6 dunia," kata Chong Wei.

Beliau ditemui pada Kejohanan Badminton Terbuka Raub 2010 di Kompleks Rakan Muda Raub dekat sini, kelmarin.

Kejohanan Badminton Terbuka Raub 2010 itu bagi merebut piala Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. merupakan langkah mencungkil bakat baru sukan tersebut.

Selain Chong Wei, turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Hafiz Hashim,Tan Boon Heong, Koo Kien Keat, Zakri Lattif, Fairuz Ridzuan dan Taufik Hidayat.

Menurut beliau, kekalahannya di tangan Lin Dan dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Guangzhou, baru-baru ini tidak sedikit pun menjejaskan persiapan untuk menghadapai beberapa siri kejohanan dunia.

''Hanya tiga kejohanan utama dunia yang masih saya belum genggam lagi. Saya harap sebelum bersara selepas Sukan Olimpik saya dapat menjuarai Sukan Olimpik, Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia," katanya.

Beliau membayangkan kemungkinan akan bersara daripada dunia badminton selepas beraksi di Sukan Olimpik 2012 di London.

Pengarah Urusan Australian Gold Mining Sdn Bhd, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeow berkata, Kejohanan Badminton Terbuka Raub akan dijadikan acara tahunan.

''Walaupun kejohanan ini baru bermula tahun ini, kita akan meneruskannya bagi mencungkil bakat pemain luar bandar dan kampung yang boleh diketengahkan.

''Sebab itu kami menjemput pemain No. 1 dunia seperti Chong Wei, Taufik Hidayat, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat dan lain-lain bertujuan untuk memberikan motivasi kepada bakat-bakat muda yang terdapat di daerah Raub," kata Tai Yeow

Penutupan kejohanan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin dengan disaksikan lebih 2,000 peminat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...