Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, December 16, 2010

Sharon gantung raket

Pemain skuasy veteran negara, Sharon Wee semalam mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa kerana faktor kecederaan yang berpanjangan.

Sharon, 33, dalam satu kenyataan semalam berkata, dia mengambil keputusan itu kerana kecederaan lututnya yang masih tidak sembuh selepas sekian lama.

"Terima kasih untuk perjalanan yang menakjubkan, yang telah menjadikan saya seorang yang sehebat ini dan sukar sekali untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada arena yang telah bersama saya sejak 20 tahun yang lalu.

"Sukan ini juga membangkitkan semangat saya selepas kemalangan buruk yang hampir meragut nyawa saya, namun kesakitan di kedua-dua lutut saya sejak beberapa tahun lalu telah memberi kesan kepada permainan saya," katanya.

Tambah pemain kelahiran Melaka itu lagi, walaupun tidak berada dalam fizikal terbaik, namun dia enggan beraksi dalam sebarang kejohanan tanpa semangat untuk bersaing.

"Jelas sekali bermain untuk suka-suka adalah tidak sesuai dalam persekitaran perlawanan skuasy profesional.

"Lagipun, saya sedia bersara kerana saya tahu pemain muda telah bersedia untuk membawa kejayaan kepada arena skuasy Malaysia," jelasnya.

Bercakap tentang kerjayanya selepas bergelumang dalam arena skuasy sejak berusia 12 tahun, Sharon memberitahu, dia masih akan berada dalam sukan itu meskipun mengumumkan persaraan.

"Sukan terutama sekali skuasy telah menjadi sebahagian hidup saya dan akan kekal selepas saya bersara.

"Saya mungkin bersara sebagai pemain profesional tetapi itu adalah permulaan kepada karier baru saya.

"Saya gembira dan juga bimbang apabila keluar dari zon selesa, namun saya percaya kehidupan saya pasti bertambah baik dengan pengalaman menerusi skuasy,'' katanya lagi, yang memberi bayangan mungkin beralih kepada bidang kejurulatihan.

Sharon, yang mengakhiri karier dengan membawa Malaysia menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di New Zealand, awal bulan ini turut memberi penghargaan kepada semua yang telah menyokongnya selama ini.

"Terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan kerana sokongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan ini.

"Tidak dilupa Majlis Sukan Negara, (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA), media, penaja, jurulatih, rakan pasukan serta para peminat," ujarnya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...