Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, December 16, 2010

Malaysia tokok dua emas

Kontinjen paralimpik negara sudah mencapai separuh daripada lapan pingat emas yang disasarkan hanya pada hari ketiga Sukan Para Asia berlangsung apabila menokok dua lagi emas menerusi olahraga dan renang, semalam.

Mohd. Hisham Khaironi menghadiahkan emas sulung olahraga dengan memenangi perlumbaan 200 meter lelaki kategori T12, manakala Fraidden Dawan meneruskan kecemerlangan skuad renang dengan merangkul emas 400m gaya bebas lelaki kategori S10.

Hisham, 31, mengetepikan cabaran sengit pelari Jepun, Shirota Shinichi untuk memenangi perlumbaan menerusi kepantasan 23.75s, 0.05s meninggalkan Sinichi. Gangsa milik Suhib Mraisi dari Jordan 24.08s.

Olahraga turut cemerlang dengan menambah gangsa menerusi atlet wanita, Norsyazwani Abdullah dalam 100m kategori T38.

Norsyazwani menamatkan larian dengan catatan 15.46s, ketinggalan di belakang dua pelari tuan rumah, Xiong Dezhi dan Liu Xiumei.

Sementara itu, renang yang hanya mensasarkan sebutir emas sebelum berlepas ke Guangzhou sudah merangkul tiga emas setakat ini, malah semalam mereka turut menambah dua lagi perak dan satu gangsa.

Fraidden bukan saja menghadiahkan emas keempat kontinjen Malaysia semalam, malah melakukannya dengan bergaya apabila memecah rekod Asia dalam perlumbaan 400m kategori S10.

Selepas memenangi gangsa 100m kuak kupu-kupu, Isnin lalu, dia akhirnya meraih emas menerusi kepantasan 4 minit, 50.35s, memadam rekod lama 5:06.80s. Tambah menggembirakan, Malaysia mendominasi kedudukan 1-2 apabila Razak Tambi meraih perak dengan catatan 5:10.18s.

Kolam renang terus menjadi lubuk pingat negara apabila turut meraih perak menerusi Jamery Siga dalam 200m gaya bebas lelaki kategori S3-S5 dengan catatan masa 3:13.31s.

Pungutan pingat Malaysia semalam dilengkapkan dengan kejayaan Razak mengutip gangsa 50m gaya bebas menerusi masa 28.30s.

Sementara itu atlet powerlifting senior negara, P. Mariappan membuktikan usia bukan penghalang apabila meraih gangsa dalam acara lelaki 75kg di Gymnasium Bandar Sukan Asia.

Mariappan, 52, mengangkat beban 177kg. Pingat emas acara itu dimenangi Majid Farzin dari Iran dengan angkatan 230kg dan perak milik atlet tuan rumah, Hu Peng (200kg)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...