Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 3, 2010

Dua beregu kita mara ke suku akhir badminton Terbuka China

Usaha beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk merampas kembali ranking No. 1 dunia berjalan dengan baik selepas melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka China di Shanghai, semalam.

Malah, cabaran Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM775,000) itu turut diteruskan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kien Keat-Boon Heong, yang jatuh ke ranking kedua dunia ekoran kegagalan memenangi sebarang kejuaraan antarabangsa selain Terbuka Malaysia, Januari lalu mudah mengetepikan pasangan muda tuan rumah, Kai Lu-Li Gen 21-12, 21-16.

Pasangan negara itu, yang membuat penampilan pertama selepas kalah pada final Sukan Asia, dua minggu lalu kini akan bertemu Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan. Sung Hyun-Yeon Seong mara selepas menewaskan beregu tuan rumah, He Hanbin-Jiaming Tao 21-19, 21-15.

Dalam beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying meneruskan kecemerlangan mereka di Shanghai selepas menundukkan pasangan Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan 21-13, 21-18, hanya sehari selepas mengejutkan satu lagi beregu pilihan negara itu, Lee Sheng Mu-Chien Yu Chin.

Pasangan muda negara itu bagaimanapun bakal berdepan beregu berpengalaman Thailand yang juga pilihan ketiga, Prapakamol Sudket-Thoungthongkam Saralee hari ini. Sudket-Saralee menumpaskan beregu senior negara, Kien Keat-Chin Eei Hui 21-19, 21-10 di pusingan kedua, semalam.

Cabaran dua beregu lelaki negara, Peng Soon-Lim Khim Wah dan Goh Wei Shem-Teo Kok Siang tersekat di pusingan kedua. Peng Soon-Khim Wah tunduk 16-21, 15-21 di tangan Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu dari Taiwan, manakala Wei Shem-Kok Siang kalah mudah 8-21, 16-21 kepada pasangan handalan Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat majlis mereka yang diadakan di Langkawi semalam meluluskan beberapa usul penting yang dibincangkan pada mesyuarat exco mereka, 28 Oktober lalu.

Antara usul yang diluluskan adalah pemain di bawah naungan BAM mesti mendapatkan kelulusan badan induk badminton kebangsan itu sebelum menandatangani kontrak peribadi bagi mengelakkan berlaku konflik dengan penaja BAM, selain itu hadiah kemenangan Terbuka Malaysia juga dinaikkan sekali ganda menjadi AS$400,000 (RM1.24 juta).

BAM juga bersetuju memperbaharui kontrak 16 jurulatih sedia ada yang dijadual berakhir pada 31 Disember ini, selain akan menyalurkan subsidi kepada setiap negeri yang menganjurkan kejohanan peringkat akar umbi. Sasaran utama adalah kumpulan pemain di bawah umur 11, 13 dan 15 tahun. Badan badminton kebangsaan itu turut melantik jurulatih dari China, Zhou Kejian untuk program Sekolah Sukan Bukit Jalil bermula dari 2011, meluluskan struktur baru elaun bulanan pemain, termasuk bonus ranking dan bonus perlawanan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...