Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Sunday, December 12, 2010

KOAM jumpa Noraseela, Roslinda

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) mahu bersemuka dengan dua jaguh olahraga wanita negara, Noraseela Khalid dan Roslinda Samsu bagi membincangkan prestasi mereka yang kian merosot.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pertemuan dengan atlet 400 meter berpagar dan lompat bergalah itu juga bertujuan membincangkan perancangan masa depan mereka, yang semakin dimamah usia.

Katanya, perjumpaan itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi secara profesional.

‘‘Saya akan berjumpa mereka mungkin sebelum Krismas. Perjumpaan itu diharap dapat membincangkan dengan lebih mendalam berhubung masa depan mereka.

‘‘Sungguhpun usia mereka semakin meningkat, mereka telah banyak berjasa kepada negara, mereka mungkin masih berkemampuan untuk terus aktif,’’ katanya selepas Program Larian Serentak 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini semalam.

Dalam pada itu, Shahidan mempertahankan prestasi atlet olahraga negara pada Sukan Asia Guangzhou berada pada tahap baik.

Katanya, ini kerana atlet sandaran seperti Noraseela, Roslinda, Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan kuartet 4x100m wanita, berjaya layak ke peringkat akhir.

‘‘Mereka cuma tidak bernasib baik kerana tidak dapat untuk menghadiahkan pingat.

‘‘KOAM akan nilai prestasi mereka pada melalui Sukan SEA tahun depan,’’ katanya.

Mengenai Sukan SEA 2011 di Indonesia, Shahidan berkata, lebih banyak atlet pelapis olahraga akan didedahkan kepada kejohanan antarabangsa itu.

‘‘Saya harap atlet kumpulan pelapis kita ini mampu untuk memberi kejutan pada Sukan SEA akan datang kerana ini adalah matlamat kami,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...