Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, December 4, 2010

Mazlan saran forum khas

Perunding dari Thailand hanya wajar ditugaskan membimbing kumpulan pemain muda sambil kurikulum kejurulatihan sepak takraw Malaysia perlu dirombak manakala satu forum terbuka mencari formula dan strategi baru permainan, mungkin mampu mengembalikan kecemerlangan skuad negara.

Tiga saranan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad ini dikemukakan semalam bagi mencari titik noktah penguasaan berterusan negara Gajah Putih itu sebagaimana ketika Sukan Asia XVI Guangzhou 2010, baru-baru ini.

"Malah di sinilah peranan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kepakaran sains sukannya, perlu dimainkan dengan membantu pasukan kita mencungkil idea dan membuat penemuan baru permainan supaya kita tidak lagi jauh ditinggalkan Thailand," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menyokong saranan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail untuk mendapatkan khidmat perunding Thailand, Mazlan menegaskan, sudah sampai masanya kita beralih ke jiran utara itu setelah kemajuan pasukan di bawah jurulatih tempatan didapati masih begitu terbatas.

"Bagi saya, kita patut tumpukan tugas perunding itu kepada pemain belia yang lebih mudah dibentuk dan bukannya pemain senior sekarang. Berikan satu tempoh tertentu, contohnya mungkin dalam empat tahun dan kita cuba tengok hasilnya," katanya.

Beliau yang antara pegawai kanan MSN yang meluluskan pengambilan Chakri Ketdet dari Thailand sebagai jurulatih skuad pelapis Malaysia pada 2001 hingga 2003, berkata: "Sudah ramai jurulatih tempatan yang dicuba PSM dan disokong MSN tetapi tidak banyak kejayaan yang dicapai pasukan kita.

"Kita kena buang keegoan bahawa kitalah pencipta sepak takraw dan tidak boleh sesekali mengambil musuh atau negara pengikut sebagai guru kita. Kita tengok cara Thailand memajukan sukan ini dengan memperkenalkan servis kuda yang hanya bertahun-tahun kemudian, baru dapat kita kuasai.''

Bagaimanapun, Mazlan mengakui keengganan Chakri menerima beberapa saranan MSN kerana mahu kekal dengan sistem latihannya dan meninggalkan skuad pelapis lebih awal, perlu menjadi iktibar oleh pengurusan MSN sekarang dan PSM apabila mencari perunding Thailand.

"Ketika itu berlaku sedikit salah faham dan Chakri memilih untuk berhenti dan pulang ke tanah airnya kerana dia mahu terus melatih dengan caranya. Mungkin jika dia terus bertugas di sini dengan lebih lama, hasilnya pasti dapat dilihat selepas itu," ujarnya.

Selain itu, kata Mazlan, Malaysia sebenarnya memiliki ramai 'cendekiawan' sepak takraw malah menganggap, alangkah bagus jika segala buah fikiran dan pengalaman serta ilmu mereka dikongsi dan ditampilkan dalam sebuah forum khas yang diadakan secara terbuka.

"Jangan kita tolak mentah-mentah saranan mereka itu kerana tentu tidak logik kalau di antara banyak pihak yang datang ke forum ini, tiada langsung beberapa idea atau formula baru yang boleh digunakan untuk mengatasi Thailand dan mengembalikan kecemerlangan pasukan kita.

"Umpamanya sistem permainan pelibas kembar. Jika patut kita menggunakannya semula dengan sedikit pembaharuan, mengapa tidak? Malah mengapa perlu kita terus bermain tiga sentuhan sedangkan kita mungkin ada idea lain untuk mematikannya dengan dua kali sahaja," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...