Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, July 16, 2011

Ayuh! Sokong Harimau Malaya

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengharapkan 'pemain ke-12' mampu membantunya pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Perdana England (EPL), Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Rajagobal, pada masa yang sangat genting ini penyokong-penyokong harus memainkan peranan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.

"Saya tidak faham mengapa dalam keadaan seperti ini sebahagian daripada mereka tidak memberi sokongan kepada skuad kebangsaan, mereka harus bertindak bijak tidak boleh membandingkan antara Malaysia dan pasukan EPL," katanya ketika ditemui media selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Jelas beliau, sokongan padu penyokong tempatan setidak-tidaknya mampu untuk memberikan kesan positif kepada pemain Malaysia, malah ada di antara orang luar yang memuji aksi skuad kebangsaan.

"Kita lihat komen yang diberikan oleh pemain Arsenal, Bacary Sagna sebelum ini apabila dia memuji skuad kebangsaan yang sukar untuk dibolosi pada separuh masa pertama. Cuma sepakan penalti yang sedikit mengubah rentak permainan negara.

"Saya harap semua penyokong tempatan faham walau macam mana sekali pun Malaysia tetap negara mereka, saya tidak cakap semua penyokong seperti itu hanya sebahagian daripada mereka sahaja," katanya.

Rajagobal merayu bahawa hanya untuk satu hari ini sahaja penyokong setia Liverpool di Malaysia perlu memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dan memakai jersi kedua kebangsaan berwarna biru.

Dalam perkembangan sama, Rajagobal berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan Safee Sali yang semakin pulih dari kecederaannya dan harap pemain itu sembuh 100 peratus menjelang pertemuan dengan Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan kedua 23 dan 28 Julai ini.

"Saya gembira dengan perkembangannya, bagaimanapun ia masih menjadi tanda tanya sama ada dia akan diturunkan esok (hari ini), kerana semua orang sedar masalah Malaysia sekarang ini adalah di bahagian serangan.

"Kita kena cuba sekarang ini membina kekuatan di bahagian tersebut melalui pemain tengah, saya harap semua faham dengan keadaan ini," katanya yang besar kemungkinan akan menggandingkan Abd. Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani di bahagian serangan menentang Liverpool hari ini.

Tunggu 'amukan' Kunanlan

Selepas mendapat pujian dalam perlawanan menentang Arsenal, Rabu lalu pemain sayap kiri Malaysia, S. Kunanlan berharap dapat mengekalkan aksi konsisten menjelang perlawanan dengan Liverpool hari ini.

Kunanlan yang bermain bersama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Malaysia sudah bersedia untuk mempertingkatkan permainannya bertemu Reds di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya akui memang Liverpool mempunyai kelebihan fizikal dan sukar untuk pemain Malaysia mendapat ruang yang mudah bertemu mereka tetapi saya berharap dapat boleh mempertingkatkan permainan," katanya selepas menamatkan sesi latihan, semalam.

Jelasnya, pemain Liverpool serta pemain Liga Perdana England (EPL) adalah bertaraf dunia jadi dia tidak hairan jika media lebih memberi tumpuan kepada mereka.

"Saya harap ia tidak akan mengganggu persembahan saya, sebaik sahaja turun di atas padang saya dapat beraksi dengan baik dan mengekalkan konsisten seperti mana bertemu Arsenal sebelum ini.

"Saya harap semua pemain dapat memainkan peranan masing-masing, saya akui saya tidak gementar untuk berdepan mereka dan harap dapat banyak belajar," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Cole mahu ledak gol buat peminat


Bagi membalas sokongan yang diberikan oleh peminat Liverpool di Malaysia, pemain tengah Reds, Joe Cole berazam meledak gol sebagai hadiah istimewa untuk mereka pada perlawanan persahabatan Siri Jelajah Asia 2011 menentang Harimau Malaya hari ini.

Malah, Cole sendiri akan beraksi sebaik mungkin untuk menjadikan perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lebih menarik.

Tambah pemain berusia 29 tahun itu, sambutan yang diberikan oleh peminat tempatan terhadap kelab Liverpool sungguh mengujakan sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak kelmarin.

''Terima kasih pada sokongan yang sungguh hebat daripada peminat di sini dan kami akan cuba mendapatkan gol pada perlawanan esok (hari ini).

''Saya juga akan cuba untuk menjaringkan gol sebagai hadiah kepada penyokong setia Liverpool atas sambutan baik diberikan,'' katanya ketika majlis perasmian pembukaan cawangan baru Courts di Setapak, sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Cole sempat bermesra dengan hampir 500 peminat Reds hadir untuk mendapatkan tandatangan pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu.

Carroll sanjung kesetiaan peminat

Penyerang tinggi lampai Liverpool, Andy Carroll tersentuh apabila ribuan peminat Reds sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat aksinya dan rakan sepasukan di atas padang.

Carroll atau nama penuhnya, Andrew Thomas Carroll berkata, fenomena ini sesuatu yang bagus apabila melihat peminat-peminat setia berkorban masa demi pasukan kesayangan mereka.

"Saya amat teruja apabila tiba di Malaysia. Sambutan peminat di sini amat hebat sekali. Semuanya sudah tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan antara Liverpool dan Malaysia esok (hari ini)," katanya pada sesi bertemu peminat di Menara Standard Chartered di sini, semalam.

Liverpool buat julung kalinya mengadakan siri jelajah perlawanan pra musim untuk persediaan saingan EPL musim 2011/12 di Malaysia, malah peminat-peminat setia dari negara serantau turut hadir bagi memberikan sokongan padu.

Perlawanan Liverpool menentang Malaysia akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini pukul 5.45 petang dan dijangka lebih 65,000 peminat akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu juga sudah bersedia untuk memperagakan aksinya selepas menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan bersama Liverpool sejak berpindah dari Newcastle United pada 31 Januari lalu.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Raul Meireles berkata, dia begitu seronok selepas buat pertama kali tiba di Malaysia, malah bersedia untuk datang semula ke sini jika diberi peluang.

Meireles yang berasal dari Portugal bermain di posisi tengah dan sudah 47 kali mewakili negaranya di peringkat antarabangsa dengan menjaringkan lapan gol termasuk menentang Korea Utara di peringkat kumpulan Piala Dunia 2010.

Bagi Christian Poulsen, perlawanan pra musim ini adalah satu persediaan terbaik buat Reds menjelang saingan musim baru EPL, malah pemain dapat meningkatkan prestasi dan menganggap ini sebagai satu latihan serius.

Selain Carroll, Meireles serta Poulsen, turut hadir pada sesi tersebut ialah Jamie Carragher, John Flanagan serta Sotirios Kyrgiakos yang turut meluangkan masa untuk memberi tandatangan kepada peminat dan sesi bergambar.

Pavilion gamat seperti Anfield

Suasana di pusat membeli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang tidak ubah seperti di Anfield apabila lebih 3,000 peminat setia Reds berkumpul menyaksikan pemain kesayangan mereka di depan mata.

Selain menyanyikan lagu tema, You'll Never Walk Alone peminat yang sudah berkumpul sejak pukul 12 tengah hari, turut bersorak Liverpool! Liverpool! ketika menunggu kehadiran pemain kesayangan mereka Jamie Carragher, Raul Meireles, Cristian Poulsen, John Flanagan, Andy Carroll dan Sotirios Kyrgiakos.

Kesemua pemain tersebut tiba pada pukul 3.30 petang bersama penolong pengurus, Steve Clarke pada majlis pelancaran kad debit institusi perbankan, Standard Chartered di sini, semalam.

Menurut Clarke, dia berharap kesemua pemain cergas selepas menempuh perjalanan yang memenatkan apabila terus bertolak ke Malaysia sebaik tamat perlawanan di China mengalahkan kelab Guandong Sunray Cave 4-3 Rabu lalu.

"Saya harap semua pemain kembali pada tahap sebenar menjelang perlawanan menentang Malaysia esok (hari ini)," katanya dalam majlis tersebut.

Clarke mengambil alih tugas pengurus Liverpool, Kenny Dalglish apabila legenda Reds itu terpaksa pulang semula ke England untuk menyelesaikan urusan pembelian pemain baru mereka Stewart Downing dari Aston Villa.

Saturday, April 23, 2011

Wan Jamak pilihan skuad Kedah

Persoalan siapakah ketua jurulatih Kedah akhirnya terjawab apabila Wan Jamak Wan Hassan dipilih untuk membimbing skuad Kenari.

Bekas jurulatih Negeri Sembilan itu akan diperkenalkan dalam dalam satu majlis di Stadium Darul Aman, hari ini pukul 5 petang iaitu kurang empat jam sebelum sepak mula Kedah menentang Harimau Muda A dalam Liga Super.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, pada majlis itu Wan Jamak yang menggantikan Ahmad Yusof akan diberikan jersi skuad Kenari sebagai tanda menjadi sebahagian daripada anggota skuad Hijau Kuning.

"Wak Jamak juga dijadual menandatangani kontrak bersama Kedah pada majlis itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, Wan Jamak dijadual memulakan tugas barunya di Kedah sebagai ketua jurulatih minggu depan setelah proses pendaftarannya sebagai jawatankuasa dalam pasukan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selesai Isnin ini.

"KFA sudah membatalkan pendaftaran Ahmad selaku jurulatih Kedah, semalam dan pendaftaran Wan Jamak akan dibuat Isnin ini," katanya.

Dalam pada itu, Wan Jamak yang sudah berada di bandar raya ini enggan mengulas lanjut perkara itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada pengurusan KFA.

"Biar KFA yang umum, itu lebih elok," katanya.

Jawatan ketua jurulatih skuad Kedah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini ekoran keputusan KFA untuk tidak meneruskan khidmat Ahmad.

Pada perlawanan Kedah menentang Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, Wan Jamak dilihat turut berada di bangku penonton sekali gus menguatkan kesahihan bahawa beliau bakal menjadi pilihan KFA.

Kedah pada 7 Mac lalu merehatkan Ahmad selepas pasukan bimbingannya mengalami prestasi hambar dengan tugasannya diambil alih oleh penolong jurulatih, Radhi Mat Din.

Ahmad yang membimbing Kedah musim lalu membantu skuad Hijau Kuning muncul Naib Juara Piala FA dan berada di tangga kelima Liga Super.

Bagaimanapun, awal musim ini menerusi enam perlawanan Kedah hanya menang satu perlawanan ke atas Felda United 1-0 manakala seri tiga perlawanan tanpa jaringan menentang T. Team dan Perak serta 1-1 dengan Kelantan dan tewas dua kali kepada Sabah 1-0 dan Selangor 2-0.

Radhi yang mengambilalih pasukan menunjukkan prestasi membanggakan apabila menang enam daripada tujuh perlawanan sekali gus meletakkan Kedah di tangga keempat dengan 24 mata.

Kedah menang ke atas Terengganu 2-1, masing-masing menang tipis satu jaringan dengan Kuala Lumpur, Perlis, Pahang dan Harimau Muda selain menundukkan Negeri Sembilan 2-0 dan kalah kepada Johor FC 1-2.

Friday, April 22, 2011

Harimau Muda rehat, skuad SSBJ ambil alih?


Bagi mengelakkan para pemain terlalu penat sebelum perlawanan kelayakan Olimpik menentang Lebanon pada 19 Jun ini, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee sudah memberikan bayangan akan merehatkan kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir Liga Super pada Mei ini.

Bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan, dia berkemungkinan besar akan menggunakan khidmat pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam mengharungi kelima-lima perlawanan tersebut.

''Saingan Liga Super bukannya tidak mustahak bagi kita tetapi kita kena realistik apa tujuan pembentukan skuad Harimau Muda A ini, yang mana satu kita hendak mahukan?

''Pemain-pemain saya semakin kepenatan dan jika mereka meneruskan saingan liga sehingga perlawanan terakhir pada bulan Mei nanti, saya bimbang mereka terus 'pancit' dan tidak dapat memberikan yang terbaik semasa menentang Lebanon nanti.

''Saya harus berikan semua pemain saya rehat yang cukup dalam lima perlawanan terakhir sebelum perlawanan kelayakan Olimpik dan sedang berfikir mahu menurunkan pemain dari SSBJ," katanya sejurus tamat perlawanan Harimau Muda A dan Kedah di Stadium Shah Alam.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia perlawanan itu membabitkan T-Team (12 Mei), Sabah (15 Mei), Terengganu (19 Mei), Kelantan (22 Mei) dan Selangor (25 Mei)

Mengulas kekalahan kepada Kedah, Kim Swee mendedahkan pemainnya dihukum hanya atas satu kesilapan pada babak akhir perlawanan sedangkan mereka mengawal permainan sepenuhnya di separuh masa kedua.

''Memang saya akui sangat kecewa kerana kami kalah kerana satu kesalahan yang dilakukan pemain tetapi dalam masa sama saya tidak boleh marah mereka kerana masing-masing masih muda, kerana takut moral mereka boleh jatuh.

''Amer yang melakukan kesilapan itu baru berusia 19 tahun dan saya tidak boleh menghukum terus atas kesalahannya memandangkan saya kini tiada pilihan lain di bahagian pertahanan memandangkan Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad masih cedera.

''Namun, apa yang saya bimbangkan, mereka masih mengulangi kesilapan demi kesilapan dalam perlawanan, sepatutnya apabila semakin banyak perlawanan yang diharungi, pemain semakin matang namun ia tidak berlaku, saya bimbang ini akan berulang semasa di peringkat antarabangsa nanti, " jelasnya.

Dalam perlawanan itu, Harimau Muda A tunduk 1-0 kepada Kedah hasil kesilapan Mohd. Amer Saidin yang tertanduk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-79.

Pandangan bercampur baur

Walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka kembali membenarkan Awang import mewarnai liga bola sepak tempatan musim hadapan, bukan semua persatuan bola sepak terlalu teruja dengan berita tersebut.

Antara yang tidak berminat ialah Persatuan Bola Sepak Negeri Kuala Lumpur (KLFA) yang tidak bercadang mahu mengambil pemain import bagi menguatkan skuad warga kota, sebaliknya lebih selesa dengan penggunaan pemain muda tempatan.

Mengikut Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga merupakan Timbalan Presiden KLFA, Kuala Lumpur tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu walaupun kemungkinan besar kebanyakan pasukan akan mempertaruhkan sentuhan pemain import di dalam pasukan masing-masing.

''Bukan kami tidak mahu menggunakan pemain import tetapi peruntukkan kewangan yang sedia ada itu KLFA mahu salurkan kepada pembangunan pemain muda.

''Kuala Lumpur mempunyai ramai pemain muda tambahan kami mempunyai liga negeri terbesar di Malaysia dengan tiga divisyen dan penyertaan sebanyak 67 pasukan.

''Jadi, saya fikir tidak mengapa buat Kuala Lumpur tanpa pemain import kerana kami mampu bergantung kepada sejumlah besar pemain yang ada," kata Astaman yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Namun, hasrat FAM untuk mengembalikan semula sistem penggunaan pemain import disambut baik oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menyifatkan cadangan itu mampu menaikkan kualiti Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan.

Bendahari FAS, Datuk S. Sivasundram berkata, kehadiran pemain luar bakal menjadikan Liga M lebih kompetitif.

"Apabila tahap permainan berjaya ditingkatkan, maka secara tidak langsung kualiti pemain-pemain tempatan akan turut meningkat dan kelebihan itu bakal memberi faedah kepada pasukan kebangsaan juga," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi gambaran yang FAM mungkin akan memperkenalkan semula penggunaan khidmat pemain import dalam Liga M pada musim depan.

Kali terakhir FAM membenarkan pasukan negeri mahu pun kelab membawa masuk pemain import ialah pada musim 2008 dan pada tahun berikutnya khidmat pemain luar tidak lagi dibenarkan.

Namun begitu, menurut Sivasundram, jika cadangan itu menjadi realiti kelak, pasukan negeri atau pun kelab yang berhasrat mendapatkan khidmat pemain import perlu bersikap lebih selektif.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar berkata, dia tidak terlalu gusar dengan kehadiran pemain import pada musim hadapan, sebaliknya beranggapan ia mampu meningkatkan prestasi pemain tempatan.

Buat Baddrol, dia menerima baik jika hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menjadi kenyataan kerana dianggap tepat pada masanya bagi memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia.

''Apa yang saya perhatikan, dalam masa dua tahun ini, kebanyakan pasukan mempamerkan aksi tidak konsisten. Jika adanya pemain luar pada musim hadapan, saya fikir ia memberikan manfaat kepada pemain tempatan mempelajari teknik dan skil baru sekali gus mempertingkatkan tahap permainan masing-masing," katanya yang merupakan pemain pasukan Kedah.

Biarpun begitu, penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak pula melihat dengan sekembalinya awang import boleh memberikan sedikit kesan buruk kepada pemain-pemain muda.

''Saya kasihankan nasib pemain-pemain muda yang saya sifatkan mungkin agak sukar sedikit bersaing selepas ini jika ada pemain import dan peluang untuk mereka beraksi agak terbatas,'' katanya.

Pertembungan sengit pemain terbaik dunia menanti di Alor Setar


Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di sini bulan depan bakal menyaksikan cabaran paling sengit dalam sejarah penganjurannya apabila ramai nama besar dalam sukan itu mengesahkan penyertaan masing-masing.

Sekurang-kurangnya lima pemain yang berada pada kedudukan 10 terbaik dunia bagi semua kategori akan mempersembahkan kehebatan mereka pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM370,000 itu.

Jaguh perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei turut mengesahkan penyertaan bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya di Johor Bahru tahun lalu.

Bintang handalan Indonesia, Taufik Hidayat dan jaguh dari China seperti Chen Jin serta pemain meningkat naik dari Vietnam, Tien Minh Nguyen merupakan antara pencabar juara All England itu bagi mengekalkan kejuaraan yang disandang beliau.

Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula berdepan peluang terbaik untuk merampas semula kejuaraan kejohanan itu yang dimenangi mereka pada 2009 daripada pasangan Indonesia, Hendra Setiawan-Markis Kido yang turut mengesahkan penyertaan.

Bagi acara perseorangan wanita, antara pemain yang berada pada kedudukan 10 terbaik yang bakal turun beraksi ialah Saina Nehwa dari India, Wan Xin (China) dan Bae Youn Joo (Korea) manakala kategori beregu wanita menampilkan pasangan handalan Jepun, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna dan Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa serta beregu Thailand, D. Aroonkesorn-K.Voravichitchaikul.

Tuan rumah pula mempertahuhkan pasangan veteran, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui serta empat lagi wakil bagi acara tersebut.

Kategori beregu campuran menampilkan penyertaan pasangan ternama dari Thailand, Sudket Parapakamol-Saralee Thoungthongkam; Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul sementara Malaysia menghantar empat wakil termasuk gandingan P. Chan-Liu Ying Goh yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Kedah (KBA), Goh Yen Yen memberitahu, secara keseluruhan seramai 306 pemain dari 22 negara menyertai kejohanan itu yang bermula dari 3 hingga 8 Mei ini di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

"Kejohanan ini merupakan pertandingan sulung yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik London 2012," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Orang ramai yang ingin menyaksikan jaguh-jaguh dunia itu beraksi boleh menempah tiket di pejabat KBA di Jalan Suka Menanti di sini atau mendapatkannya pada hari kejohahan di pintu masuk stadium.

Harga tiket dijual berbeza-beza mengikut hari pertandingan iaitu RM5 pada 4-5 Mei, RM10 (6 Mei), RM15 (7 Mei) dan RM20 pada hari terakhir kejohanan manakala masuk percuma pada hari pembukaan 3 Mei ini.

Hafiz masih kekal dalam skuad kebangsaan

Teka-teki mengenai status pelumba trek negara, Mohamad Hafiz Suffian terjawab selepas dia mengakui bahawa tidak digugurkan daripada pasukan walaupun tidak lagi menjalani latihan di Melbourne.

Menurutnya, perkara itu telah diberitahu oleh ketua jurulatih negara, John Beasley kepadanya bahawa pemindahan latihan dari Melbourne ke Malaysia tidak bermakna khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh skuad trek negara.

"Beasley memberitahu kepada saya dia mempunyai percaturan baru iaitu beraksi bagi acara jarak jauh bagi trek dan dalam masa yang sama berlumba untuk lebuh raya ini kerana peluang bagi acara pecut berpasukan dan individu semakin tipis," katanya.

Jelasnya, dia hanya mengikut apa yang diarahkan oleh Beasley dan keadaan cuaca yang sejuk di Melbourne pula sedikit-sebanyak menghalangnya untuk berlatih di jalan raya.

"Beasley turut memberitahu saya bahawa saya akan dipantau oleh jurulatih lebuh raya, Graham Seers dan akan berkayuh untuk acara lebuh raya, manakala scrath bagi acara trek menjelang Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 dan Sukan SEA Jakarta 2011.

"Saya juga menafikan dakwaan bahawa saya akan bersara, selagi saya tidak mencapai misi saya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, saya tidak akan berhenti berkayuh," kata pelumba kelahiran Selangor ini.

Perlumbaan MCMC dapat sambutan menggalakkan

Perlumbaan sehari bertaraf antarabangsa - Kejohanan Lumba Basikal Piala Ketua Menteri Melaka 2011 (MCMC 2011) yang diadakan Ahad ini menerima sambutan hebat apabila dua pasukan benua dan lima pasukan kebangsaan - Iran, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei telah mengesahkan penyertaan.

MCMC 2011 dirangka untuk menjadi sehebat perlumbaan klasik sehari yang gah dan dinanti-nantikan ramai pelumba di seantero Eropah seperti Paris-Roubaix serta Milan-San Remo dan justeru Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah mendaftar atas kategori 1.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab mengesahkan betapa Iran akan diwakili majoriti pelumba pasukan benua Iran, Suren Cycling Team yang cemerlang pada Le Tour de Filipinas 2011 (LTdF 2011) dan pernah menyertai Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).

Sementara Le Tua Cycling Team (LeTua) dan Terengganu Cyling Team (TSG) yang kian meningkat di pentas persaingan antarabangsa pasti membariskan nama besar termasuk Anuar Manan serta Mohd. Harrif Salleh.

Karathu tidak mahu pemain dibuai mimpi

Biarpun masih segar dengan kejayaan membenam Perlis 5-1 Selasa lalu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengingatkan pemainnya supaya tidak terus dibuai 'mimpi indah' ketika melayan kunjungan Singa Utara dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.

Beliau menganggap pertemuan malam ini tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya mahu Red Warriors berwaspada dengan kekuatan pemain muda yang dimiliki oleh Singa Utara.

"Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Namun, harus diingat kita jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya fikir gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam pertemuan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, ini merupakan peluang terbaik Kelantan untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri setelah menang besar di Kangar tempoh hari dan mahu pemain meneruskan rentak cemerlang.

"Pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain Kelantan. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik," ujar Karathu.

Beliau juga mahu pemain-pemain tampil lebih 'bernafsu' terutama ketika berada di hadapan pintu gol Perlis kerana jumlah jaringan gol boleh mempengaruhi kedudukan sesebuah pasukan untuk bergelar juara.

Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara, Karathu berkata, beliau sekali lagi bersedia menurunkan barisan yang sama ketika diturunkan dalam aksi di Kangar.

Angkat berat perlu berubah - Matin


Bekas jaguh angkat berat negara, Matin Guntali berpendapat corak pembangunan sukan itu di negara ini tidak akan mampu melahirkan jaguh dunia.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel Victoria 1994 itu mencadangkan agar Malaysia menerapkan pembangunan akar umbi seperti di China iaitu mengenal pasti bakat seseorang atlet angkat berat itu sejak usia kanak-kanak lagi.

"Di China, kanak-kanak dikenalpasti bakat mereka di sekolah sebelum kemudiannya diberi latihan rapi dan pendedahan secukupnya. Dan yang paling penting, ibu-bapa merelakan anak mereka terlibat dalam sukan secara serius. Hasilnya, ramai jaguh angkat berat berjaya dilahirkan," katanya yang juga jurulatih skuad pelapis kebangsaan ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Matin menambah, pembangunan sukan angkat berat harus dimulakan di peringkat negeri secara menyeluruh.

"Tiada gunanya apabila tiba sesuatu kejohanan, baru mahu diadakan pemilihan dan selepas itu menghimpunkan mereka untuk menjalani latihan berpusat dalam tempoh sebulan dua.

"Saya lihat trend ini berlaku di kalangan persatuan negeri. Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat, cuma kurang dari segi teknikal," ujarnya.

Wan Jamak calon terdekat bimbing skuad Kedah?


Teka-teki siapakah jurulatih baru Kedah bagi menggantikan Ahmad Yusof bakal terjawab esok sebelum pertemuan dengan Harimau Muda A di Stadium Darul Aman.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, pengumuman itu akan diadakan sebelum perlawanan kedua-dua pasukan.

''KFA akan menghebahkan siapakah jurulatih baru skuad Liga Super Kedah sebelum sepak mula perlawanan pada Sabtu ini bagi mengharungi pusingan kedua liga.

''Keputusan memilih jurulatih baru ini dicapai selepas mengambil proses yang lama memandangkan pihak persatuan mahu berhati-hati mencari calon yang bersesuaian, " katanya selepas perlawanan antara Kedah dan Harimau Muda di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Jelas Hamdan lagi, sebelum hari Sabtu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Sukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan pergi ke Wisma FAM bagi membatalkan pendaftaran Ahmad Yusof selaku jurulatih Kedah.

''Segala urusan itu akan selesai sebelum Sabtu ini, selewat-lewatnya pada Jumaat ini. Kami akan menggantikan nama Ahmad Yusof dengan jurulatih baru," katanya.

Kedah telah mengambil keputusan merehatkan Ahmad Yusof pada 7 Mac lalu selepas pasukan bimbingannya mempamerkan prestasi hambar dan tugasannya diambilalih oleh pembantu, Radhi Mat Din.

Berdasarkan pengamatan, jawatan kerusi panas di Kedah itu kini dilihat hanya terarah kepada satu calon iaitu bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan.

Menguatkan lagi kesahihan itu, Wan Jamak telah berada di bangku penonton Stadium Shah Alam menyaksikan perlawanan Kedah dan Harimau Muda A pada Selasa lalu sambil ditemani beberapa pegawai KFA sehingga tamat perlawanan.

Saturday, March 19, 2011

Nicol, Azlan cemas ke separuh akhir


Datuk Nicol David dan Mohd. Azlan Iskandar mencemaskan peminat tempatan, apabila dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Kuala Lumpur di Berjaya Times Square di sini, semalam.

Turun memburu kejuaraan ketujuh, jaguh No. 1 dunia, Nicol diheret dalam pertarungan empat set sebelum mengetepikan cabaran pemain tinggi lampai Australia yang juga pilihan keenam, Kasey Brown 11-5, 11-4, 6-11, 11-5 sekali gus melebarkan rekod pertemuan 5-0.

Kemenangan tersebut bakal menemukan Nicol dengan pilihan ketiga dari England, Alison Waters yang lebih awal mara selepas berhempas pulas menumpaskan jaguh Australia, Rachael Grinham 12-10, 12-10, 8-11, 5-11, 13-11. Nicol, 26, memiliki rekod yang mengkagumkan ke atas Waters, menang kesemua 16 pertemuan mereka sebelum ini.

Terdahulu, Azlan ketinggalan 1-6 kepada Aamir Atlas Khan dalam set pembukaan, sebelum mempamerkan kebangkitan hebat untuk menundukkan jaguh muda Pakistan itu 14-12, 11-6, 11-2, sekali gus menempah pertemuan getir dengan pilihan kedua, Mohamed El Shorbagy dari Mesir. El Shorbagy adalah pemain yang mengecewakan jaguh muda negara, Nafiizwan Adnan 11-9, 12-10, 11-7 dalam satu lagi suku akhir.

Azlan, yang mencari kejuaraan ketiga selepas menang pada 2003 dan 2006 kalah dalam dua pertemuan terakhirnya kepada Shorbagy.

Namun, pemain No. 10 dunia itu percaya, dia berada di prestasi terbaik dan bersedia untuk mengubah skrip apabila berdepan jaguh Mesir itu.

"Saya tidak berminat memikirkan tentang pertemuan terdahulu, saya akan memberi yang terbaik untuk mencari kemenangan. Kejayaan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama, selain muncul juara Bluenose Classic (di Kanada, bulan lalu) benar-benar menaikkan motivasi saya.

"Saya tidak kata saya sekarang berada pada kemuncak prestasi, namun saya akui berada dalam tempoh yang amat menggembirakan sepanjang karier saya ketika ini. Selepas 12 tahun terlibat dalam skuasy, saya rasa sudah masanya saya menikmati detik ini sepuas-puasnya dan mencari keputusan terbaik dalam hidup saya," kata Azlan sejurus tamat perlawanan.

Thursday, February 17, 2011

Safee sangkal dakwaan media Indonesia menuduhnya berbohong

Saffee Sali (lapan dari kanan) merakam foto kenangan bersama Syed Munshe Afdzaruddin serta pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia

Biar apa sekalipun pandangan negatif atau dakwaan tidak masuk akal sesetengah pihak terhadapnya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali menegaskan, dia tidak pernah berbohong mengenai pemilihan kelab bola sepak luar yang disertainya.

Bahkan, keputusan untuk bergabung dengan Kelab Pelita Jaya di Indonesia dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga majikannya sebelum ini.

Kata Safee, penyertaannya dalam Kelab Pelita Jaya bukan dibuat berdasarkan keputusan peribadi semata-mata. Sebaliknya, pemain berusia 27 tahun itu berkata, segala rundingan dengan ketiga-tiga kelab bola sepak Indonesia yang mengemukakan tawaran rasmi dibuat oleh FAS.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan memilih Persib Bandung. Saya sekadar bercakap yang saya berminat dengan Persib Bandung.

"Saya pernah ke Bandung melihat Selangor menentang Persib Bandung. Bahkan, Persib Bandung juga pernah berkunjung ke Selangor semasa menjayakan kejohanan Piala Menteri Besar Selangor," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Pemain kelahiran Selangor itu menegaskan, dakwaan kononnya dia menipu Kelab Persib Bandung dengan memilih kelab Pelita Jaya tidak benar sama sekali.

Kata Mohd. Safee, ketika dia membuat kenyataan berminat menyertai Persib Bandung, FAS belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab bola sepak untuk perpindahannya.

Buat sekian kalinya juga, Safee mengulangi pendirian berhijrah ke kelab bola sepak luar negera didorong oleh keinginannya untuk menimba pengalaman bermain di rantau orang.

Selain itu, jelasnya, peluang beraksi dengan kelab luar merupakan tawaran yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mana-mana pemain bola sepak profesional.

"Usia saya sudah mencapai 27 tahun dan inilah masanya untuk saya mengembangkan kerjaya saya di peringkat yang lebih besar. Keinginan ini sudah ada dalam fikiran saya sejak tahun 2007 lagi," jelas Safee yang ditemani pengurusnya, Zakaria Rahim serta kaum keluarganya.

Menangkis dakwaan pengurus Persib Bandung yang Safee menipu, Zakaria berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan mungkin kerana berlaku salah faham.

Zakaria juga tidak menolak andaian kenyataan pengurus Persib Bandung disensasikan pihak media.

"Bila saya baca balik cerita itu, sebenarnya dia sendiri pun tidak cakap Safee menipu. Dia cuma menyatakan ada berunding dengan FAS dan tidak pula pernah mengeluarkan kenyataan yang dia ada berunding dengan Safee," jelas Zakaria.

Menurut Zakaria, sungguhpun banyak kelab bola sepak menyatakan hasrat untuk memiliki Safee, namun, hanya tiga kelab dari Inodnesia yang menghantar tawaran rasmi iaitu Balik Papan, Persib Bandung dan Pelita Jaya.

"Dalam rundingan antara FAS dan ketiga-tiga kelab itu, saya tak tahu apa yang menyebabkan FAS tertarik dengan Pelita Jaya, itu hak FAS, kita tak boleh komen," ujarnya lagi.

Sebagai menghormati kesepakatan yang dicapai antara FAS dengan Pelita Jaya, Safee juga enggan mendedahkan yuran perpindahannya.

Katanya, dalam proses perundingan biasanya sesebuah kelab bola sepak akan membuat pertimbangan berdasarkan berapa banyak ganti rugi yang boleh dibayar sebuah kelab lain terhadap kontrak pemainnya dan pada masa sama mengambil kira apa yang boleh disediakan kelab baru itu kepada pemain berkenaan.

Sementara itu, Safee sudah bersedia untuk memikul tugas baru di Kelab Pelita Jaya dari aspek mental sebagai memenuhi cita-citanya bergelar pemain bola sepak profesional.

Menyedari bakal berhadapan dengan budaya baru di negara orang, Safee mengakui, dia harus bekerja keras kerana di Indonesia cara permainannya berbeza dari Liga Malaysia.

Safee bakal beraksi buat pertama kali pada 7 Mac ini menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa di Karawang, Jawa Barat.

Wan Jamak berhadapan 'bencana' jika Rusa kalah lagi

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran akan mengantung khidmat jurulatih Liga Super Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan seandainya pasukan itu tewas lagi pada perlawanan akan datang.

Beliau yang kecewa dengan kekalahan pasukan itu kepada Felda United 0-1, malam kelmarin - kali kedua berturut-turut selepas tewas kepada Perak 0-2, Sabtu lalu - berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan begitu saja dan tindakan perlu diambil sebelum situasi menjadi bertambah buruk.

"Buang masa saya (hadir menonton perlawanan Negeri Sembilan menentang Felda United), jika kali ketiga kalah, saya akan gantung jurulatih," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas prestasi pasukan Negeri Sembilan yang kalah dalam dua perlawanan berturut-turut selepas mencatat prestasi memberangsangkan pada permulaan musim.

Pasukan itu sebelum ini tumpas kepada Perak 0-2, Sabtu lalu selepas menang dengan T-Team 3-1 pada 1 Februari lalu dan Harimau Muda 1-0 pada 29 Januari lalu.

Pada perlawanan kelmarin, kealpaan membawa padah buat pasukan Negeri Sembilan apabila kecundang di tangan Felda United dengan kekalahan tipis 0-1 di gelanggang sendiri dalam perlawanan saingan Liga Super 2011.

Lebih mengaibkan, Felda United yang bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, berjaya membawa pulang tiga mata penuh, meskipun terpaksa bermain dengan 10 orang sejak babak kedua perlawanan bermula.

Kehilangan bek kiri Felda United, Mohd. Badrul Azam yang diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-43 itu sedikit pun tidak mematahkan semangat anak-anak buah E. Elavarasan untuk meneruskan perjuangan.

Sebaliknya mereka terus mengasak kubu tuan rumah sehingga berjaya memperoleh gol tunggal melalui hasil rembatan pertahanan Felda United, Abd Ghani Abd Rahman pada minit ke-87.

Mohamad berkata, beliau juga akan mendapatkan laporan daripada panel penilai bebas yang ditubuhkan bagi menilai prestasi pasukan pada setiap perlawanan sebelum memutuskan tindakan lanjut.

Katanya, pasukan itu bersama pengurusannya juga akan dipanggil bagi melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dan mengambil tindakan susulan.

"Kita perlu bersikap profesional dalam dunia bola sepak profesional yang mana tindakan segera perlu diambil apabila prestasi yang diharapkan tidak tercapai," katanya.

Sementara itu, Wan Jamak berkata, kelalaian barisan pemainnya merupakan punca utama Felda United berjaya mencuri tiga mata di Paroi.

"Saya tidak nafikan bahawa pemain kami hilang fokus sehingga membolehkan pihak lawan mendapatkan gol tunggal mereka pada saat akhir perlawanan.

"Tetapi apa yang saya lihat, bahagian tengah pasukan kami tidak berfungsi secara efektif malam ini (kelmarin) sehingga gagal menghantar bola kepada penyerang untuk menghasilkan peluang mahupun jaringan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut persembahan hambar anak buahnya, Wan Jamak memberitahu, dia akan pastikan anak buahnya itu lebih fokus pada perlawanan akan datang untuk mencari mata penuh dalam usaha memperbaiki kedudukan di tangga liga.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain saya, namun kelemahan ini perlu diperbaiki segera," ujarnya.

Aksi Harimau perlu diperkemas

Masih banyak lagi yang harus diperkemas oleh skuad bimbingan Ong Kim Swee menjelang pertemuan kelayakan Olimpik 2012 menentang skuad Olimpik Pakistan pada Rabu depan, selepas Harimau Muda A hanya mampu memperoleh keputusan seri 1-1 menentang Perlis dalam saingan Liga Super kelmarin.

Meskipun, Kim Swee tidak meletakkan sebarang harapan tinggi pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya, kelmarin namun aksi yang dipamerkan oleh pemainnya sedikit hambar selain cuai ketika diasak oleh Perlis pada babak kedua perlawanan.

Jaringan awal diperoleh Perlis melalui pemain, Mohd. Faiz Subri pada minit ke-74 sebelum Gary Steven Robbat menyamakan kedudukan pada minit ke-89 untuk mengelakkan Harimau Muda tewas kepada skuad Singa Utara.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A hanya meletakkan A. Thamil Arasu selaku penyerang solo dengan dibantu oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal di bahagian sayap.

Sementara itu, di bahagian pertahanan Harimau Muda A, dua tonggak skuad kebangsaan, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas berjaya membentuk gandingan mantap bagi menghalang Perlis mendapatkan lebih banyak gol.

Malah, aksi mereka wajar diberikan pujian kerana banyak membantu pasukan dalam usaha mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan.

Walaupun begitu, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buah Kim Swee untuk pertemuan, Rabu depan terutama di bahagian tengah yang dilihat agak kurang menjadi pada perlawanan tersebut.

Pada aksi Rabu depan, skuad Harimau Muda negara tidak boleh memandang rendah skuad Olimpik Pakistan tambahan pasukan itu hanya tewas 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand.

Pakistan dilihat mempunyai corak permainan tersusun dan berdisiplin yang menjadi kunci utama kekuatan pasukan itu.

Menurut Kim Swee, segala keupayaan pasukan akan digunakan sepenuhnya pada pertemuan pertama kelayakan Olimpik tersebut minggu depan selain mengharap prestasi pemain mampu berada di tahap terbaik.

''Memang kita akui Pakistan banyak mempunyai kelebihan seperti kepantasan dan taktikal tersendiri.

''Namun, saya tetap percaya kami mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digunakan sepenuhnya pada perlawanan, Rabu depan dan pada masa itu sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada perlawanan menentang Perlis ini,'' kata Kim Swee.

Kim Swee diramal hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan serta mendapat tambahan lima pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

Sementara itu, Pakistan dilaporkan bakal menamakan beberapa pemain yang berpangkalan di kelab Eropah seperti penjaga golnya, Naiman Khan (Sepanyol) dan Yousuf Butt (Sweden), apabila bertandang 23 Februari ini.

Wednesday, February 9, 2011

Jangan leka dibuai mimpi - Rajagobal

''Lupakan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 sebaliknya turun dalam perlawanan menentang Hong Kong dengan fokus mahu menang."

Itu amanat yang diberikan oleh jurulatih negara, K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sambil menjadikan Sepanyol sebagai contoh terbaik, Rajagobal berkata, selepas pasukan itu menjuarai Piala Dunia, mereka tewas dua kali secara berturut-turut dalam perlawanan persahabatan.

''Minda ini yang harus diubah oleh para pemain, jangan terlalu berasa selesa kerana ia boleh terjadi kepada mana-mana pasukan di dunia seperti mana juga, Sepanyol.

''Berikan tumpuan kepada perlawanan berdepan Hong Kong esok (malam ini), jangan fikir lagi pasal kejayaan kita di Piala Suzuki AFF. Esok adalah satu perlawanan yang berbeza, saya kalau boleh mahu kita menang dalam perlawanan ini, " katanya dalam sidang media di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan jurulatih sementara Hong Kong, Wai-Chung Tsang.

Perlawanan berdepan Hong Kong merupakan ujian pertama buat Rajagobal selepas membawa Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama pada Disember lalu.

Namun, Hong Kong bukanlah nama yang asing kepada Rajagobal kerana pada tahun 2004 , Malaysia tewas 1-3 kepada pasukan dari Asia Timur itu dan Rajagobal merupakan jurulatih sementara skuad kebangsaan pada waktu itu.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, perlawanan hari ini merupakan kesempatan terbaik buat pemainnya yang baru pulih daripada kecederaan untuk merebut kembali tempat dalam pasukan kebangsaan.

''Beberapa pemain seperti Ahmad Fakri Saarani, Farizal Marlias dan Mohd. Aidil Zafuan yang tidak beraksi semasa Piala Suzuki AFF kerana kecederaan berpeluang menunjukkan sesuatu, selain itu saya juga mahu lihat sejauh mana perkembangan pemain seperti Shahrizal Mohd. Saad, "katanya.

Dia juga mengesahkan lima pemain tidak dapat diturunkan pada perlawanan hari ini iaitu Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Azmi Muslim, Izzaq Faris Ramlan dan Amar Rohidan akibat kecederaan.

PKBM jawab keluhan Harrif


Pemilihan pelumba skuad lebuh raya negara pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang bermula hari ini di sini telah dibuat lebih awal iaitu sebelum Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 bermula di Pulau Langkawi pada 23 Januari lalu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, tindakan tidak menyenarai pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh ke Korat adalah keputusan bersama di antara pengurusan dan panel pemilihan pelumba, yang turut dianggotai ketua jurulatih John Beasley dan jurulatih kebangsaan, Graham Seers.

Menurutnya, pada awalnya memang wujud juga cadangan untuk tidak menyenarai nama pemenang tempat kedua kategori jersi biru atau raja pecut LTdL , Anuar Manan rentetan prestasi kurang mantap pada Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober tahun lalu dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, sebulan kemudian.

Namun, Seers berkeras mahu menyenaraikan Anuar kerana bimbang Malaysia tidak mempunyai jaguh pecut berkualiti dalam perlumbaan terakhir seperti apa yang berlaku pada LTdL 2011.

“Pada LTdL lalu, walaupun Anuar tewas kepada Andrea Guardini tetapi terbukti dia adalah pelumba terbaik Asia setiap kali perlumbaan berakhir berada dalam kelompok besar.

“Untuk itu Seers membuat keputusan tepat biarpun LTdL belum bermula ketika PKBM menghantar senarai nama pelumba ACC 2011,” katanya.

Isnin lalu, pelumba TSG, Mohd Harrif Salleh yang menaiki podium pada perlumbaan peringkat pertama LTdL 2011 di Pulau Langkawi, meluah perasaan terkilan kerana tidak disenarai dalam skuad lebuh raya kebangsaan ke ACC 2011 di Korat, Nakhon Ratchasima.

Mohd. Harrif yang juga bekas juara Asia dalam acara scratch pada ACC 2007 di Bangkok menyifatkan PKBM bertindak tidak adil kerana pemilihan perlu dikira berdasarkan prestasi semasa.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACC), bagaimanapun memandang serius keluhan Mohd. Harrif kerana ia membuktikan pelumba TSG tersebut mempunyai semangat kental untuk menyarung jersi kebangsaan ke kejohanan besar seperti ACC 2011.

“Saya anggap ini adalah satu insiden terasing dan tidak berniat untuk pandang rendah kejayaan para pelumba TSG pada LTdL.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pelumba dan pengurusan TSG kerana telah mengharumkan nama Malaysia pada LTdL.

“Saya harap kejayaan seperti itu dapat diteruskan pada LTdL akan datang dan semua kejohanan besar yang akan disertai TSG seperti Tour de Taiwan, Tour of Japan dan Tour of Korea,” katanya.

Pada ACC 2011, PKBM menyenaraikan enam pelumba, termasuk dua tonggak Drapac Professional Cycling Team iaitu Mohd. Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Anuar, Suhardi Hassan, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Ahmad Fakrullah Alias.

Tentang persoalan pelumba TSG dianaktirikan, Abu Samah menjelaskan, PKBM telah memberikan laluan yang sangat mudah pada peringkat awal penubuhan kelab benua dari Terengganu tersebut sekali gus menolak dakwaan persatuan bersikap lepas tangan.

“Tidak wujud sama sekali dakwaan PKBM mengamalkan sikap pilih kasih. Kami sayangkan semua pelumba Malaysia termasuk TSG dan Le Tua Cycling Team. Kali ini kami juga senaraikan Ng Yong Li,” katanya

Sunday, February 6, 2011

ACC: Malaysia sasar dua terbaik

Kedudukan dua tempat teratas menjadi sasaran skuad basikal negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Thailand pada 9 hingga 19 Februari ini dalam usaha untuk mengumpul mata sebanyak mungkin sebagai pembuka laluan ke Sukan Olimpik London, tahun depan.

Naib Persiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, pungutan mata amat penting buat pelumba di Korat, selain sasaran 16 pingat yang diletakkan pada kejohanan kali ini.

“Pungutan mata menjadi sasaran utama kami untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

“Begitupun ACC bukan satu-satunya tumpuan pelumba negara, malah mereka bakal mengharungi beberapa kejohanan dunia sepanjang tahun ini dan 2012,” kata Naim kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Naim lagi, pada tahun lalu di Dubai, pelumba negara berjaya meraih 10 pingat keseluruhannya, dua daripadanya diperoleh melalui pelumba elit.

Jelasnya, pelumba elit akan berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Korat, hari ini, manakala, pelumba remaja dijangka berlepas 8 Februari dan atlet lebuh raya hanya akan pergi pada 12 Februari ini.

“Kami berharap penyertaan di Korat akan memberi hasil terbaik terutamanya kepada pelumba remaja yang diberi peluang beraksi di sana,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, prestasi yang dipamerkan oleh pelumba-pelumba muda amat memberangsangkan.

“Mereka berada di tahap terbaik setelah menerima pendedahan sewajarnya di peringkat negeri terutamanya pada kejohanan seperti Sukan Malaysia,” tambahnya.

Selain ACC, pelumba negara juga akan beraksi di kejohanan Piala Dunia Klasik, Manchester (15-21 Februari), Kejohanan Trek Dunia di Poland (Mac), Piala Dunia Klasik di Perth, Australia (November) dan Piala Dunia Klasik di Cali, Colombia (Disember).

Bagi kejohanan tahun depan pula, pelumba Malaysia bakal menyertai Piala Dunia Klasik di Beijing, China (Januari), Kejohanan Berbasikal Asia di Kuala Lumpur (7-17 Februari), Piala Dunia Klasik di London (Februari) dan Kejohanan Trek Dunia di Melbourne, Australia (Mac).

Menurut Naim, Kejohanan Trek Dunia di Melbourne merupakan kejuaraan terakhir sebelum atlet negara bersiap untuk ke sukan Olimpik, di mana pemilihan akan dilakukan pada 8 April tahun depan.

Sementara itu Ketua Jurulatih skuad basikal Malaysia, John Beasley berkata, beliau mensasarkan sebanyak empat hingga lima pingat mampu diraih anak-anak buahnya di ACC.

Mengulas mengenai skuad lebuh raya, beliau menjelaskan, pasukan tersebut akan dipantau oleh jurulatih yang baru dilantik iaitu Graham Seers.

“Seers akan memantau pembangunan pelumba lebuh raya dan banyak yang perlu kami lakukan bagi membentuk pasukan yang mantap pada satu hari nanti,” katanya.

Tambahnya, untuk sasaran di ACC, cabaran sudah tentu hadir dari Kazakhstan dan Iran yang sememangnya cukup unggul dalam acara lebuh raya.

Isu Mibsun selesai minggu depan

Walau apa pun penamat kepada krisis di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek, ia akan berakhir minggu depan.

Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berkata, krisis tersebut akan diselesaikan segera kerana badan badminton kebangsaan itu bakal mengharungi jadual yang padat bermula dari pertengahan Februari ini hingga bulan depan.

Pada 18-21 Februari ini, BAM sibuk dengan penganjuran Grand Prix Kebangsaan Akhir di Kuala Terengganu, sebelum tumpuan kemudian beralih kepada Terbuka Jerman (1-6 Mac), All England (8-13 Mac) dan Terbuka Switzerland dari 15-20 Mac.

"Pertemuan Presiden BAM (Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh) dan Misbun minggu lalu sebenarnya telah mencapai satu keputusan, namun Presiden mahu Misbun bertemu saya dan Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) bagi membincangkan butiran terperinci apa yang dimahukan.

"Ia sepatutnya boleh selesai lebih awal tetapi memandangkan Kenny sedang sibuk dengan perayaan Tahun Baru Cina, jadi saya jangkakan rundingan dapat dijalankan sebaik Kenny kembali berkerja Isnin depan.

"Saya tidak fikir penyelesaian akan lewat dicapai kerana pada dasarnya kedua-dua pihak tahu apa yang dimahukan, ia cuma hendak diperhalusi dan kemudian dimuktamadkan. Bagaimanapun saya percaya krisis ini akan berakhir dengan positif,'' ujar James.

Program persiapan Sukan Olimpik London 2012 yang sudahpun dimulakan oleh Misbun dan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei dilihat sebagai sebab utama yang akan mengikat jurulatih itu untuk kekal di BAM.

Dengan Chong Wei, 29, merupakan prospek terbaik negara untuk memenangi pingat emas pada temasya berkenaan, Misbun pasti tidak mahu mensia-siakan segala persiapan yang sudah berjalan, sebaliknya hanya membuat keputusan yang berteraskan kepentingan negara.

Biarpun tidak gembira dengan beberapa individu dalam badan badminton kebangsaan itu, namun jurulatih berkenaan sudah memberi jaminan kepada Nadzmi bahawa beliau tidak akan menyentuh struktur kejurulatihan atau Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) mereka.

"Saya yakin kami akan mencapai satu penyelesaian terbaik jika program Road to London menjadi agenda utama perbincangan itu nanti, lagipun Misbun sudah memberitahu Presiden bahawa beliau tidak akan kacau CTC, jadi tiada sebab mengapa perkara ini tidak boleh berakhir dengan baik.

"Saya percaya, semua orang mahu penamat yang positif, baik Misbun, BAM mahupun Chong Wei. Perkara ini tidak harus berlarutan lebih lama dan berakhir dengan sesuatu yang mengecewakan,'' ujar James lagi.

Misbun, 51, menggemparkan peminat sukan tanah air apabila menghantar surat perletakan jawatan pada 31 Disember lalu selepas tidak gembira dengan sikap segelintir individu dalam BAM yang dianggap tidak menghormatinya, selain memperlekehkannya.

Perubahan dalam struktur kejurulatihan kebangsaan juga tidak menggembirakan jurulatih itu apabila anaknya, Misbun Ramdan Misbun tidak lagi dibenarkan berlatih di bawah bimbingannya, sebaliknya terpaksa menyertai kelompok pemain pelapis kendalian Hendrawan.

Friday, February 4, 2011

Wan Jamak tak mahu dabik dada

Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hasan berkata, beliau belum mahu mendabik dada walaupun skuad bimbingannya kini berada di tempat teratas Liga Super setelah memenangi dua perlawanan yang dilalui setakat ini.

Katanya, perlawanan Liga Super baru bermula dan adalah sukar untuk menilai kemampuan setiap pasukan.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan prestasi Negeri Sembilan setakat ini. Dua kemenangan ini memberi dorongan kepada setiap pemain mempamerkan persembahan terbaik mereka untuk mengharungi perlawanan seterusnya. Saya berharap setiap pemain akan memberi fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui,” katanya selepas perlawanan Negeri Sembilan dengan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Mengulas kemenangan 3-1 Negeri Sembilan ke atas T-Team, beliau berkata, ia satu keputusan yang memberangsangkan setelah mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Harimau Muda A Sabtu lepas.

“Pemain saya agak berhati-hati pada separuh masa pertama, namun mereka bangkit pada separuh masa kedua untuk mencapai kemenangan selesa,” katanya.

Pada musim ini, selain mengekalkan beberapa pemain berpengalaman musim lepas seperti Shukor Adan, Idris Karim, Shahurain Abu Samah, Aidil Zafuan Abd Radzak, Zaquan Adha Abd Razak dan S. Kunalan, Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan tujuh pemain baru iaitu Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus, Farizal Marlias, Ahmad Fikri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan G. Mahathevan.

Sementara itu, jurulatih T-Team Yunus Alif berkata, rentak permainan yang kurang kemas dan hilang konsentrasi pemainnya pada babak kedua dimanfaatkan oleh pasukan lawan.

“Walaupun agak kecewa, namun perlawanan Liga Super masih awal dan saya berharap persembahan pemain saya akan meningkat pada perlawanan akan datang.

Saya juga berharap dapat baiki segala kelemahan yang dikenal pasti,” katanya.

Wednesday, February 2, 2011

NS semakin mencengkam

Negeri Sembilan menepati status sebagai pasukan pilihan apabila merakamkan kemenangan kedua di Stadium Paroi dengan menjinakkan T-Team 3-1, semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad Hoben Jang Hoben itu di tangga teratas selepas dua perlawanan mengutip enam mata.

Pemain veteran, Idris Karim meletakkan skuad pelawat di hadapan apabila menanduk masuk gol pertama berpunca sepakan sudut pada minit ke-27, namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan menerusi Rosdi Talib.

Namun, Negeri Sembilan tidak rela kehilangan tiga mata dan ia terbukti menerusi gol kedua melalui penyerangnya, Firdaus Azizul yang menanduk masuk, sekali lagi berdasarkan situasi sepakan sudut.

Idris melenyapkan sisa kebangkitan T-Team apabila rembatan dari luar kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-67 bagi mengekalkan rekod hebat Negeri Sembilan pada permulaan musim Liga Super.

Sementara itu, penyandang juara Liga Super, Selangor kembali mendapatkan keyakinan apabila meraih kemenangan pertama dengan menundukkan Perlis 2-0 di Stadium Utama, Kangar.

Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali bijak memperdayakan pertahanan Perlis sebelum melepaskan rembatan yang membuahkan hasil bagi gol pertama Selangor pada minit ke-62.

Kelalaian pertahanan Perlis sekali membawa padah apabila pemain kecil molek Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan menggunakan peluang terhidang untuk menghukum skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-76 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kelantan pula sekadar terikat 1-1 dengan jiran terdekat, Terengganu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

Walaupun mendahului menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhrul Mohd. Radzi, Kelantan pada minit ke-35 kempunan memungut tiga mata apabila hantaran Joseph Kalang Tie menemui kepala Mohd.Marzuki Yusof yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69 bagi mengikat keputusan 1-1.

Perak harus berterima kasih hasil jaringan tunggal bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli yang sebelum itu menggelecek dua pertahanan lawan pada minit ke-92 memberikan kemenangan berharga mengatasi Johor FC 1-0 di Stadium Perak di Ipoh.

Di Stadium Darul Aman, Kedah juga tidak ketinggalan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baru, Felda United menerusi jaringan penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 dengan penjaga gol pelawat, Mohd. Hamsani Ahmad mendapat kad merah pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong muncul wira skuad warga kota, Kuala Lumpur apabila rembatannya dari bahagian tepi di sebelah kanan pada minit ke-54 gagal ditepis kemas oleh penjaga gol, Azizon Abdul Kadir sebelum bola bergolek masuk bagi memberikan kemenangan 1-0 kepada Kuala Lumpur ke atas Sabah.

Juara LTdL 2011 milik Monsalve

Pelumba Androni Gi- ocattoli, Jonnatha Molsalve meneruskan tradisi pakar bukit selepas menjuarai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 seterusnya meraih jersi kuning sebaik tamat perlumbaan peringkat terakhir semalam.

Monsalve, 22, dari Venezuela muncul juara edisi ke-16, dan kejayaan menakluk Genting Highlands di peringkat kelima memberi kelebihan buat pelumba tersebut mengulangi pencapaian rakan senagara Jose Rujano Guillen tahun lalu.

Biarpun hanya berpeluang menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya peringkat kelapan di Jasin, namun ia sudah memadai bagi Monsalve mempertahankan jersi tersebut sehingga peringkat terakhir di Dataran Merdeka semalam.

Menurut Monsalve, dia cukup gembira dan berbangga kerana namanya kini berada dalam senarai juara LTdL. Ini merupakan kejayaan sulungnya dalam kejohanan sebegini dan ia cukup mengujakan.

"Saya mahu menjadikan kemenangan pada LTdL sebagai pemangkin buat saya untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan-kejohanan yang akan saya sertai pada masa akan datang," kata Monsalve di sidang media selepas tamat perlumbaan semalam.

Selepas tamat 10 peringkat perlumbaan, Monsalve merekodkan catatan masa keseluruhan 30 jam 08 minit 57 saat diikuti pelumba Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor (3'09:02s) dan pelumba seorang lagi pelumba Androni Giocattoli, Emanuele Sella (30'09:21s).

Monsalve yang turut meraih gelaran Raja Bukit (jersi merah) berkata, pada awalnya dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk dijulang sebagai juara baru pada kejohanan berstatus 2HC itu.

"Saya mula melakukan persiapan bagi menghadapi LTdL sejak Disember tahun lalu. Ketika itu, saya tidak mahu meletakkan sasaran kerana saya sedar ramai pelumba-pelumba ternama turut bersaing pada kejohanan ini.

"Tetapi tumpuan dan fokus saya mula berubah sejak saya memenangi perlumbaan di Genting Hinghlands. Sejak itu, saya sudah meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan kali ini," ujarnya.

Monsalve berkata, selepas hanya ketinggalan dua saat di belakang Libardo pada peringkat kelima di Genting Highlands, dia mula mengekalkan rentak kayuhannya sehingga berjaya merampas jersi kuning di tangan pelumba itu di Jasin.

Tuesday, February 1, 2011

Lin Dan menang kerana tuah

Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu melupakan kekalahan kepada musuh tradisi Lin Dan pada Terbuka Korea yang berakhir, kelmarin dengan menghala tumpuan kepada All England pula yang bermula 8 hingga 13 Mac ini.

Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tumpas kepada bintang sensasi China yang juga juara Olimpik dalam perlawanan menarik yang diheret sehingga ke set penentuan 19-21, 21-14, 16-21 dalam masa 1 jam 15 minit.

Chong Wei yang kelihatan agak sugul ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika ditemui pemberita berkata, beliau telah memberikan tentangan yang terbaik pada pertemuan tersebut, namun nasib tidak menyebelahinya.

"Saya telah berusaha memberikan tentangan kepada Lin Dan tetapi, nampaknya nasib lebih berpihak kepada dia. Tuah tidak menyebelahi saya," katanya di sini, semalam.

Chong Wei turut mengakui, kesilapan yang dilakukan pada hujung perlawanan antara punca kepada kekalahannya kepada Lin Dan.

Jelasnya, lawan sehebat Lin Dan memerlukan pemain kekal fokus kepada permainan dan dengan hanya kesilapan kecil ia akan mengundang padah.

"Kesilapan yang saya lakukan telah dimanfaat sepenuhnya oleh Lin Dan untuk mendapatkan mata demi mata bagi mengatasi saya," ujarnya.

Untuk mengatasi kelemahannya itu, Chong Wei berkata, dia akan berbincang dengan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek bagi memperbaiki permainannya sebagai persiapan menghadapi All England.

Beliau buat masa ini mahu mendapatkan rehat secukupnya sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina, sebelum kembali ke gelanggang latihan.

Ketika ditanya berhubung pertemuan antara jurulatihnya, Misbun dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh, Rabu lalu, Chong Wei berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perjumpaan tersebut.

"Tetapi saya amat berharap, perjumpaan itu akan berakhir dengan keputusan positif kerana saya memerlukan Misbun bagi membimbing saya untuk persiapan 2012 (Sukan Olimpik)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj mengesahkan bahawa Misbun ada menghubungi Pengurus Besar BAM, Kenny Goh melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dia akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pegawai kanan BAM itu dalam masa terdekat ini.

"Misbun ada SMS Kenny yang dia akan bertemu dengan kami berdua untuk membincangkan mengenai program Road To London 2012 dan juga berhubung kedudukannya sebagai jurulatih," katanya.

Sarawak Menang Besar

Sarawak melaungkan amaran kepada pencabar mereka dalam saingan Liga Perdana apabila membelasah Pulau Pinang 4-0 dalam aksi pertama di Stadium Batu Kawan, semalam.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Mohamad Zaki Shaikh Ahmad terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 menerusi sepakan padu pemain veteran, Wong Sai Kong yang menerima hantaran lintang cantik Mohamad Syaiful Sabtu dari sebelah kiri.

Empat minit kemudian, Bobby Gonzales memanfaatkan bola muntah di depan gawang Pulau Pinang selepas penjaga gol tuan rumah, Megat Amir Faisal Ibarahim menepis percubaan Zamri Morshidi, sebelum bekas penyerang Sabah itu menolak bola masuk ke dalam gawang Pulau Pinang.

Kedudukan kekal 2-0 pada separuh masa pertama sebelum penjaring terbanyak Sarawak musim lalu, Zamri menambah gol ketiga hasil sepakan penalti apabila pertahanan Pulau Pinang, R. Parameswaren dipersalahkan ekoran mengasari Sai Kong.

Mazwandi Zakaria melengkapkan hari malang buat anak-anak buah Richard Scully dengan jaringan keempat menerusi sepakan percuma yang dilakukan oleh Mazwandi Zakaria pada minit ke-90.

Di Stadium JCorp, Johor yang beraksi di hadapan 500 penyokong gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri, apabila seri 1-1 dengan Pos Malaysia dalam perlawanan yang dikuasai sebahagian besar oleh pasukan pelawat.

Sepakan kencang G.Puvaneswaran di dalam kotak penalti meletakkan Pos Malaysia mendahului pada minit ke-35, sebelum disamakan oleh Jasazrin Jamaluddin di minit ke-52.

Bekas penyerang Negeri Sembilan, Norizam Salaman terlepas peluang memberikan kemenangan kepada Johor, apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33.

USM FC pula cemerlang dengan menewaskan Polis 1-0 hasil jaringan tunggal Mohd.Afzan Zainal Abidin pada minit ke-10 melalui gerakan yang diaturkan oleh Mohd.Failee Mohamad Ghazli di Stadium Olahraga USM.

PKNS juga menang tipis 1-0 ke atas pendatang baru, Sime Darby di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), selepas Irme Mat menghadiahkan gol berharga pada minit ke-75.

ATM mudah menewaskan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) 3-0 di Stadium Selayang.

Anuar kibar bendera putih?

Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 masih berbaki satu peringkat lagi hari ini, namun pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Anuar Manan seperti sudah mengalah dalam usahanya untuk mempertahankan jersi biru (Raja Bukit) yang dimenanginya tahun lepas.

Jika dilihat dari segi peluang Anuar, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu boleh melupakan hasrat untuk memenangi jersi biru apabila dia menamatkan perlumbaan peringkat kesembilan dari bandar Melaka ke Nilai sejauh 127 kilometer di tempat ke-32 semalam.

Menurut Anuar, peluang mempertahankan jersi biru dilihat semakin sukar selepas dia gagal menambah kutipan mata dan muncul juara peringkat pada perlumbaan semalam.

“Perlumbaan hari ini sangat laju dan saya terpaksa bekerja keras untuk mengejar pelumba di depan selepas beberapa kali mereka membuat pemecahan dari kelompok besar. Situasi ini menyebabkan saya keletihan,” katanya kepada media selepas tamat perlumbaan, semalam.

Jelas Anuar, dia tidak menghadapi masalah dengan perubahan laluan yang dilakukan pada saat-saat akhir semalam tetapi keadaan cuaca dan permukaan jalan yang tidak rata memberi sedikit kesukaran.

Anuar menduduki tempat ketiga dalam perebutan jersi biru selepas ketinggalan 23 mata di belakang penyandangnya, Andrea Guardini dari Fernese Vini-Neri Sottoli dan empat mata di belakang pelumba Tabriz Petrochemical Team(TPT), Boris Shiplevsky.

Namun, Anuar masih berpeluang untuk merampas semula jersi biru itu di tambah dengan sedikit nasib untuk memintas Guardini dan Shiplevsky sekiranya dia berjaya mengutip mata maksimum pada tiga zon pecutan dan menjadi pemenang peringkat pada perlumbaan terakhir LTdL 2011 dari UiTM Shah Alam ke Kuala Lumpur (104.6km) hari ini.

Pada masa yang sama, dia juga berharap kedua-dua pencabarnya itu tidak mengutip sebarang mata pada zon pecutan pertama di Paya Jaras (42.6km) dan dua zon pecutan terakhir di Kuala Lumpur (78.8km dan 91.8km).

“Esok saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik kerana ini adalah peluang terakhir saya untuk menjadi pemenang peringkat.

“Meskipun peluang saya untuk memenangi jersi biru semakin sukar, saya tidak akan berputus asa. Saya akan bekerja keras. Ia bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi bagi membantu pasukan berada di kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Monday, January 31, 2011

Chong Wei jumpa Lin Dan final Terbuka Korea

Final impian di antara jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dan musuh ketatnya dari China Lin Dan pada Terbuka Korea hari ini, menjadi kenyataan apabila kedua-dua jagoan itu mengalahkan lawan masing-masing pada separuh akhir semalam.

Chong Wei mudah melepasi halangan pemain China, Du Pengyu dengan straight set 21-10, 21-10 dalam masa 34 minit.

Sebaliknya Lin Dan dipaksa beraksi dalam perlawanan selama satu jam 15 minit oleh pemain Indonesia, Simon Santoso sebelum menang perlawanan tiga set 23-21, 20-22, 21-15.

Perlawanan akhir hari ini pastinya menjadi peluang terbaik Chong Wei untuk menebus kehampaan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan aksi mereka pada Terbuka Malaysia baru-baru ini, setelah pemain China itu menarik diri pada separuh akhir dengan alasan kecederaan.

Sementara itu, seperti diduga, beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terpaksa akur dengan kehebatan beregu Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae apabila kalah 20-22, 21-9, 21-10 pada separuh akhir.

Kekalahan semalam adalah yang kesembilan daripada 10 perlawanan kepada Jae Sung-Yong Dae, yang berpeluang untuk mempertahankan ke juaraan di depan penonton sendiri.

Cuma pencapaian ke separuh akhir pada kejohanan tersebut, mencatatkan peningkatan setelah dimalukan akibat disingkirkan pada pusingan pertama Terbuka Ma laysia dan tersungkur di peringkat kumpulan Siri Super Masters Akhir, awal bulan ini.

Terbuka Korea, kejohanan paling lumayan dalam sejarah badminton dengan menawarkan hadiah keselu ruhan AS$1.2 juta (RM3.84 juta).

Trofi buat Sathia


Kelantan mencipta satu lagi sejarah bola sepak tempatan apabila menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan mengejutkan penyandang juara, Selangor 2-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan bersejarah itu pastinya menjadi hadiah istimewa buat bekas jurulatih B.Sathianathan yang digantung, selain penghijrahan lima tonggak utama mereka yang menjulang Piala Malaysia musim lalu.

Segala kemelut tersebut tidak memberi impak besar untuk Kelantan yang mempamerkan aksi penuh bertenaga.

Jaringan penalti menerusi ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan gol menerusi sepakan percuma Mohd.Badhri Mohd.Radzi sudah cukup buat Red Warrios mengecewakan Selangor yang berhasrat memburu kejuaraan hatrik Piala Sultan Ahmad Shah.

Sepakan penalti Kelantan berpunca daripada tindakan bek kanan Selangor, Mohd. Razman Roslan yang menjatuhkan Mohd. Nurul Azwan Roya di dalam kawasan sendiri pada minit kelapan.

Norshahrul mudah menewaskan Mohd Iqbal Suhaimi apabila melepaskan sepakan kencang ke arah kiri, ketika penjaga gol Selangor itu memilih merebahkan badan ke sebelah kanan.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd.Badhri Radzi menutup sisa kebangkitan tuan rumah pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma, apabila melakukan rembatan lencong yang cantik dari arah sebelah kanan pintu gol Selangor yang gagal dijangkau Iqbal.

Bertambah manis buat Kelantan, anugerah Pemain Terbaik Perlawanan diraih oleh penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata taruhan terbaru Kelantan meletakkan K.Soley atau nama Islamnya, Solihin Kanasian, Mohd.Nurul Azwan Roya dan Danial Fadzley menggantikan ketiadaan Indra Putra Mahayuddin serta Mohd.Nor Farhan Muhammad cukup menjadi dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan yang dihadiri kira-kira 40,000 penyokong itu, Kelantan dilihat cukup menyerlah pada separuh masa pertama melalui penguasaan di bahagian tengah yang cukup kemas oleh Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Mohd. Shakir Shaari.

Red Giants turut berpeluang mendapatkan jaringan menerusi percubaan terbaik Safee Sali pada minit ke-31, namun tandukannya terkena tiang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Ketangkasan Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan ternyata sukar dijinakkan oleh barisan serangan Selangor, yang bagaikan tidak bermaya di segenap penjuru malah kelibat Safee serta Safiq Rahim tenggelam sepanjang permainan.

Perlawanan terganggu seketika apabila pengadil, Mohd.Yusof Mat Karim memberhentikan perlawanan kira-kira 10 minit, ekoran insiden pembalingan objek berhampiran kawasan padang oleh penyokong Kelantan.

Selepas Kelantan memperoleh gol kedua, jurulatih Selangor,K. Devan memasukkan penyerang muda, S.Sritharan dan jentera Selangor dilihat sedikit hidup, tetapi ia sudah terlambat buat Red Giants melakukan kebangkitan ketika Khairul Fahmi tangkas menghampakan setiap percubaan anak-anak buah Devan.

Anuar tempat ke-24, terlepas jersi pecut


Terlepas jersi biru bagi saingan Raja Pecut tidak bermakna segala-galanya sudah berakhir buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, sebaliknya dia bertekad untuk merampas semula gelaran yang kembali menjadi milik pelumba Farnese Vini, Andrea Guardini semalam.

Saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Banting ke Tampin semalam, menyaksikan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu terpaksa menerima hakikat kehebatan Guardini, yang memenangi perlumbaan tersebut.

Untuk itu, Anuar bertekad untuk melakukan kayuhan 'kamikaze' pada saingan peringkat kelapan LTdL 2011 dari Kuala Pilah ke Jasin hari ini, bagi mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lalu.

Pada perlumbaan sejauh 149.5km semalam, Anuar sekali lagi gagal merealisasikan impian untuk menjuarai satu peringkat perlumbaan, apabila menduduki tempat ke-24.

Lebih malang, dia gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong.

"Hari ini saya rasa sangat penat. Berlumba pada laluan landai dan beralun sepanjang laluan menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga terutamanya apabila cuba mengejar kelompok pelumba yang membuat pemecahan," katanya.

Katanya, dia kecewa apabila gagal menambah kutipan mata, sekali gus gagal mempertahankan jersi biru.

"Namun masih ada tiga peringkat perlumbaan dan jurang mata juga tidak besar. Jadi, saya rasa peluang masih ada.

"Strategi pada perlumbaan esok, saya akan berkayuh bermati-matian dan mengharapkan kerjasama yang baik daripada rakan-rakan sepasukan dalam usaha memenangi peringkat serta merampas semula Jersi Biru daripada Guardini," katanya.

Anuar berkata, dia dan rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati untuk menghadapiperlumbaan hari ini kerana peringkat kelapan dari laluan dari Kuala Pilah ke Jasin lebih mencabar.

Selain perlu berdepan laluan landai yang beralun, peringkat perlumbaan itu juga adalah yang paling jauh iaitu sejauh 156.7 km.

Friday, January 28, 2011

'Saya sedia jumpa Misbun'

Datuk James Selvaraj (gambar) berkata, beliau bersedia mendengar luahan Datuk Misbun Sidek dan memberi pandangan kepadanya sebelum jurulatih perseorangan itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

Ujar James, beliau tidak kisah sama ada Misbun mahu meletakkan dirinya sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM atau orang yang rapat dengan keluarga Sidek, kerana yang penting beliau dapat membantunya menyelesaikan krisis dengan badan induk badminton kebangsaan itu.

Menurut James, Misbun, menerusi adiknya, Jalani Sidek ada menyuarakan hasrat untuk bertemu dengannya bagi berkongsi pandangan sebelum jurulatih itu mengadakan pertemuan dengan Nadzmi dalam mencari penyelesaian mengenai isu perletakan jawatannya.

Katanya, hasrat tersebut disuarakan pada hari terakhir Terbuka Malaysia, Ahad lalu dan beliau telah memaklumkan kesediaannya untuk bertemu Misbun jika pertemuan tersebut dapat melegakan rasa yang terbuku di hati jurulatih itu.

Bagaimanapun, sehingga semalam, pertemuan yang dirancang belum dapat diadakan biarpun pada awalnya mereka berjanji untuk berjumpa kelmarin.

Kata James, beliau tidak pasti yang bermain di fikiran Misbun ketika ini, namun beliau hanya mahu jurulatih itu tahu bahawa beliau sedia menjadi 'telinga' pada bila-bila masa yang diperlukan.

"Jika Misbun merasakan beliau memerlukan seseorang untuk berkongsi dan bercerita mengenai masalah yang dialaminya di BAM sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden, maka saya bersedia menjadi orang itu dan mendengar apa yang ingin diluahkan. Hanya hanya mahu isu ini selesai dan semua pihak gembira,'' ujar James.

Menurut James, keakrabannya dengan keluarga Sidek mendorong beliau untuk turut berkongsi masalah yang dihadapi Misbun dan secara kebetulan, beliau mempunyai jawatan di BAM, maka ia mungkin boleh membantu.

Chong Wei ketuai kemaraan negara ke suku akhir Korea

Selepas bermula dengan kurang meyakinkan kelmarin, Datuk Lee Chong Wei kembali menampilkan gaya permainan sebenarnya apabila mudah menjinakkan pemain utama tuan rumah, Park Sung Hwan 21-14, 21-9 untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Seoul, semalam.

Bagaimanapun, berbeza dengan pemain No. 1 dunia itu, beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara tetapi selepas dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan hampir sejam ketika menyingkirkan pasangan China, Hong Wei-Shen Ye 25-23, 11-21, 21-19.

Kemenangan tersebut membantu beregu No. 3 dunia itu membalas dendam ke Hong Wei-Shen Ye yang memalukan mereka pada pusingan pembukaan Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, minggu lalu.

Kien Keat-Boon Heong kini bakal berdepan rakan senegara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, yang cemerlang menyingkirkan pasangan Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 21-18, 21-12 dalam satu lagi saingan pusingan kedua.

Ini merupakan kejayaan kedua buat Fairuzizuan-Soon Hock melayakkan diri ke suku akhir kejohanan Siri Super sejak digandingkan enam bulan lalu. Kali pertama pasangan ini berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik adalah Terbuka Perancis 2010.

Sementara itu, bagi Chong Wei, kemenangan dalam masa 36 minit ke atas Sung Hwan semalam membuktikan dia masih berada dalam keadaan fizikal terbaik untuk memburu kejuaraan hatrik 2011 selepas menjuarai Siri Super Masters Akhir dan Terbuka Malaysia.

Peluang Chong Wei untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan bernilai AS$1.2 juta (RM3.84 juta) itu semakin cerah kerana tidak perlu berdepan juara dunia dan pilihan kelima, Chen Jin di suku akhir hari ini selepas jaguh China itu kalah mengejut kepada pemain pelapis senegara, Wang Zhengming 11-21, 14-21.

Chong Wei memenangi kedua-dua pertemuan terakhirnya ke atas pemain berusia 21 tahun, Zhengming - pada Terbuka Hong Kong 2010 dan Grand Prix Emas Macau 2009.

Sementara itu, tumpuan utama perseorangan lelaki hari ini terarah kepada pertemuan dua musuh ketat, juara Olimpik 2008 Lin Dan dan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Jika Taufik dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan pemain pusingan kelayakan Hong Kong, Wong Wing Ki 19-21, 21-18, 21-17, Lin Dan mudah menjinakkan Marc Zwiebler dari Jerman, 21-9, 21-12.

Dalam perseorangan wanita, cabaran Malaysia berakhir selepas Wong Mew Choo gagal menyekat keunggulan pilihan utama Wang Xin apabila tumpas 16-21, 9-21.

'Kita perlu lebih penekanan'

Skrip lama masih lagi menghantui pelumba skuad kebangsaan di Le Tour de Langkawi (LTdL), selepas tidak ada pelumba yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik ketika mendaki Genting Highlands, pada peringkat kelima LTdL 2011.

Perkara ini diakui oleh pengurus pasukan Amrun Misnoh, bahawa aspek pendakian perlu diberi penekanan yang khusus kerana ia akan melibatkan kedudukan pelumba bagi individu terbaik keseluruhan dan juga pasukan keseluruhan.

Menurut Amrun, sejak 16 edisi LTdL, pelumba yang mewakili pasukan Malaysia masih dibayangi kehebatan pelumba luar negara, terutama sekali dari Amerika Selatan dan Itali.

Tambah beliau lagi, ini bermakna pelumba pendaki yang sedia ada perlu dipertajamkan lagi kemampuan mereka selepas ini.

Peringkat kelima semalam menyaksikan pelumba Malaysia, Amir Mustafa Rusli menduduki tempat ke-55, diikuti Mohamad Rauf Nur Misbah ke-69, Loh Sea Keong (72), Mohd. Nur Rizuan Zainal (74), Suhardi Hassan (81) dan Ahmad Fakrullah Alias (85) daripada 123 pelumba.

"Pendakian adalah amat mustahak, terutama sekali di pendakian berstatus Hors, selepas ini kami akan memberi penumpuan untuk memantapkan kebolehan empat pelumba pendaki, Amir Rauf, Rizuan dan Sea Keong," katanya, semalam,

Jelasnya, jika barisan skuad negara mempunyai pendaki yang baik, tidak mustahil Malaysia mampu memberi saingan kepada pelumba luar.

"Apa yang saya nampak pendedahan berlumba di luar negara adalah amat penting untuk memberi mereka pendedahan dan memperbaiki teknik kayuhan, mereka tidak boleh hanya beraksi di dalam negara sahaja.

"Saya lihat pada edisi kali ini Amir dan Rauf menunjukkan peningkatan, begitu juga dengan Sea Keong, kalau digilap lagi bakat mereka tidak mustahil pelumba ini mampu memberi saingan di perlumbaan LTdL pada masa akan datang," ujarnya.

Wednesday, January 26, 2011

Hukuman tak kena masa – Sathia

B. Sathianthan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak kena pada masanya, ketika Kelantan sibuk mengatur persiapan untuk Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah menentang Selangor, lima hari lagi.

Kecewa dengan keputusan tersebut, Sathianathan akan menggunakan saluran yang ada untuk mengemukakan rayuan sekali lagi, bagi memastikan beliau mendapatkan kembali haknya.

"Mengenai penggantungan, sudah pasti saya tidak berpuas hati. Saya akan kemukakan rayuan lagi sekali dengan cara yang betul dan mengikut apa yang tertakluk dalam perlembagaan.

"Bukan rayuan tetapi menggunakan saluran tertentu. Daripada apa yang saya rasa, masanya (hukuman) tidak kena, saya rasa dukacita. Harapan saya penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Kelantan dan saya pasti Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin akan buat yang terbaik untuk perlawanan ini (perlawanan menentang Selangor).

"Rayuan ini akan dibuat dalam masa yang terdekat, tetapi saya perlu berbincang dengan kawan-kawan yang pandai undang-undang.

“Kena baca dahulu apa yang boleh diambil, macam saya seorang profesional mesti ada hak, hak untuk buat merayu sekali lagi, ikut saluran yang tertentu," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada pemain bola sepak di atas kejayaan memenangi Piala Malaysia 2010.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Ketika ditanya adakah beliau melihat FAM sebagai sebuah persatuan yang tidak boleh dikritik, Sathianathan berkata: "Kalau saya jawab kena lagi, tidak boleh cakap yang benar, baik tak payah jawab’’.

Katanya, sekiranya diberi peluang sekali, beliau tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan menyampaikan sebarang pendapat kepada FAM melalui saluran yang ditetapkan.

'Saya datang hanya tolong Chong Wei'

Ramai yang menyifatkan kemunculan mengejut Datuk Misbun Sidek pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil minggu lalu, memberi petanda beliau akan menarik semula peletakan jawatannya dan kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, 'sifu' kepada jaguh badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu menjelaskan, kehadirannya tidak membawa sebarang makna tersirat, melainkan niat hanya untuk membantu Chong Wei dalam kejohanan tersebut.

"Saya datang kerana sebelum itu Chong Wei hubungi saya, dia tanya kalau saya boleh datang ke pertandingan untuk tolong dia.

"Sudah pasti kalau Chong Wei minta saya datang, maka saya datanglah...dia kawan saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Ukay Perdana, Ulu Kelang di sini, kelmarin.

Dalam pertembuan tersebut, Misbun terus mengambil sikap berdiam diri dalam isu peletakan jawatannya yang tidak berkesudahan sejak 3 Januari lalu.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya.

Misbun dijangka bertemu Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Salleh minggu ini, setelah menolak jemputan terdahulu iaitu Sabtu lalu, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung.

Pada 12 Januari lalu, Jawatankuasa Eksekutif badan induk badminton kebangsaan itu, yang bermesyuarat meminta Misbun mempertimbangkan semula peletakan jawatannya.

Apa yang jelas, Misbun masih 'sayangkan' anak emasnya, Chong Wei, sebagaimana juara tujuh kali Terbuka Malaysia itu juga menunjukkan betapa beliau tidak boleh, tanpa kelibat 'sifu' di sisinya.

Bukan pada Terbuka Malaysia saja, ketika menjuarai peringkat akhir Siri Super BWF di Taiwan, dua minggu lalu, Chong Wei mengakui dia juga menghubungi Misbun bagi membincangkan strategi pra-perlawanan dan membuat analisis selepas itu.

Tanpa Misbun di pangkuannya pada Terbuka Korea yang berlangsung minggu ini, adalah diyakini Chong Wei akan menggunakan cara yang sama seperti ketika di Taiwan.

Kedua-dua ikon badminton negara itu begitu sebati dengan keperibadian masing-masing, memang sukar untuk memisahkan mereka.

Ini petunjuk kuat bahawa, Chong Wei akan mengikut jejak Misbun jua, tidak kira apa keputusan pada akhirnya.

Monday, January 24, 2011

Kejuaraan untuk Misbun

Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam.

Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit.

"Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik.

"Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18.

Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.

Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu.

Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini.

Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun.

Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan.

Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

"Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi.

"Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei.

Guardini tawan Langkawi

Perlumbaan profesional pertama membawa tuah kepada Andrea Guardini dari Farnese Vini-Neri apabila memenangi perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 di Pulau Langkawi sekali gus menyarung jersi kuning semalam.

Guardini, 20, menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat walaupun perlumbaan diakhiri dengan kelompok besar dengan catatan dua jam tiga minit 28 saat, mengenepikan pencabar dari pasukan kebangsaan Korea Selatan, Park Sung Baek, manakala tempat ketiga milik Mohd. Harrif Salleh, Terengganu Cycling Team (TSG).

Bagaimanapun, keputusan keseluruhan (General Classification) menyaksikan Anuar Manan berada di tempat ketiga di belakang Guardini dan Sung Baek, selepas pelumba TSG itu mempunyai kelebihan dari segi pungutan mata pecut berbanding Harrif.

Anuar menjadi pelumba pertama melintasi zon pecutan pertama di Teluk Yu (20.4 kilometer) dan kedua di Padang Mat Sirat (49.5 km), namun dia gagal mengulanginya pada zon pecutan ketiga di Pantai Cenang (61.2 km), seterusnya membolehkan Guardini memenangi jersi biru (Raja Pecut)

Harrif berkongsi 15 mata untuk gelaran Raja Pecut bersama Guardini selepas mengutip dua mata di zon pecutan kedua, dibantu dengan mata yang diperolehinya sebagai pelumba ketiga melepasi garisan penamat.

Gelaran Raja Bukit (jersi merah) diraih Koen De Kort dari Skil Shimano Cycling Team dengan mengumpul enam mata, selepas menduduki tempat kedua di zon pendakian pertama, Pantai Kok (47 meter) dan tempat pertama di zon pendakian ketiga, Bukit Malut (46m).

De Kort mengumpul enam mata, meninggalkan Mehdi Sohrabi (Tabriz Petrochemical Team) dan Andreai Krasilnikau (Chipotle Development Team) dengan kedua-duanya meraih empat mata.

Menurut, Guardini ini adalah perlumbaan pertamanya di peringkat profesional dan dia tidak percaya dapat memenangi peringkat pertama LTdL 2011 dan berasa sangat gembira dengan keputusan tersebut.

"Saya akan cuba mengulangi pencapaian seperti ini pada perlumbaan selepas ini, terutama sekali di peringkat kedua dan ketiga, kerana peringkat keempat dan kelima agak sukar untuk saya berikutan terpaksa menempuh dua zon pendakian berprofil tinggi," katanya.

Sementara itu, Harrif berasa gembira kerana dapat menduduki tempat ketiga selepas dibantu rakan-sepasukan, Anuar dan dalam masa yang sama melakukan perkara yang sama terhadap Anuar ketika di zon pecutan.

"Saya akui bahagian akhir perlumbaan saya berasa sedikit penat, tetapi saya berasa macam tidak percaya dapat menduduki tempat ketiga ketika mengakhir perlumbaan dalam kelompok besar," kata pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu.

Hari ini perlumbaan peringkat kedua bakal menyaksikan kayuhan sejauh 145.5 kilometer yang bermula dari Kangar dan tamat di Butterworth, dijangka akan memakan masa selama tiga jam namun laluannya amat landai.

Sunday, January 23, 2011

Chong Wei impi angka 7

Datuk Lee Chong Wei masih sempat menari di gelanggang ketika tinggal satu mata untuk menumpaskan pemain muda China, Chen Long sebelum melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Tanpa musuh tradisi, Lin Dan dan dengan kemunculan semula jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, pemain No. 1 dunia itu tampak amat tenang sepanjang kejohanan ini, malah cukup berkeyakinan untuk membawa pulang kejuaraan ketujuh.

Chong Wei memenangi semua lima perlawanan awalnya menerusi keputusan straight set.

Malah, semalam, juara edisi 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 serta 2010 itu hanya mengambil masa 39 minit untuk menjinakkan pemain muda China itu 21-9, 21-9, kemenangan yang bakal menemukan beliau dengan satu lagi seteru utama, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Kontras dengan Chong Wei yang dilihat mendominasi gelanggang sepenuhnya, malah beberapa kali melakukan gerakan yang mengejutkan lawan, Taufik sebaliknya dipaksa bekerja keras ketika mengetepikan rakan senegara, Simon Santoso 21-15, 21-19 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

“Saya sendiri tidak sangka akan menang semudah ini. Seperti yang saya katakan semalam (kelmarin) saya tidak mahu memikirkan tentang lawan dan lebih berminat memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan itu yang membolehkan saya lebih relaks dan mudah menguasai perlawanan hari ini.

“Hari ini saya lihat semua serangan Chen Long tidak menjadi. Pada awal permainan saya hanya mahu melihat rentak permainannya selepas dapat membaca, saya tidak langsung membenarkan dia mendapat semula rentak.

“Dia adalah pemain remaja, bahayanya pemain remaja sepertinya adalah apabila mendapat ruang dia tidak akan mensia-siakannya, jadi saya memastikan Chen Long langsung tidak diberi ruang dan peluang untuk memulakan serangan, ia benar-benar berhasil,” ujar Chong Wei.

Ditanya apakah dia sudah mula terbayang kejuaraan ketujuh, Chong Wei mengakui, amat mengharapkan kemenangan untuk menggembirakan penyokong tuan rumah tetapi dia perlu berhati-hati dengan Taufik, yang dianggap lebih sukar dan licik hari ini.

Ujar juara All England itu lagi, berbeza dengan Chen Long, Taufik, juara Olimpik 2004 dan juara dunia 2005 lebih berpengalaman dan lebih banyak beraksi menentangnya.

Malah, dia kalah kepada jaguh No. 2 dunia itu pada suku akhir Kejohanan Dunia, tahun lalu.

“Taufik berbeza dengan Chen Long, dia lebih berpengalaman, malah saya lihat keadaan fizikalnya sepanjang kejohanan ini sangat baik. Tetapi sama seperti Chen Long, saya tidak berminat untuk memikirkan tentang permainan lawan, sebaliknya hanya mahu fokus kepada diri sendiri,” ujar Chong Wei lagi, yang memegang rekod 10-6 daripada 16 pertemuan ke atas jaguh Indonesia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...