Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Tuesday, December 7, 2010

Salam diberi penghormatan

Pemanah paralimpik nombor satu dunia, Mohd. Salam Sidik diberikan penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan rasmi Sukan Para Asia di Guangzhou yang akan berlangsung dari 12 ke 19 Disember ini.

Pada majlis penyerahan Jalur Gemilang yang diadakan di Hotel Residence, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Salam yang berusia 27 tahun menerima bendera daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut disandarkan harapan untuk memenangi pingat emas, Salam mengakui dia berasa amat terkejut dengan pemilihannya selaku pembawa bendera di temasya Sukan Para Asia.

''Terus-terang saya tidak menyangka diberikan penghormatan setinggi sebegini selepas sembilan tahun berkecimpung di dalam dunia memanah dan saya akan anggap ia mampu memberikan semangat tambahan untuk saya berjuang membawa pulang pingat emas.

''Terima kasih saya ucapkan kerana memilih saya, pemilihan ini saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,'' katanya yang ditemui pada sidang media, semalam.

Pada majlis itu, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah dan Chef De Mission, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) turut hadir.

Kontinjen Paralimpik Malaysia mensasarkan untuk menang lapan pingat emas dengan badminton, boling dan olahraga diharapkan mampu membawa pulang dua daripadanya sementara satu daripada acara memanah dan renang.

Pada kali ini, Malaysia bakal menghantar seramai 108 atlet paralimpik dan 68 pegawai serta jurulatih yang akan bertanding dalam 15 daripada 19 acara yang ditawarkan. Sebanyak 45 buah negara telah mengesahkan penyertaan di Sukan Para Asia.

Antara acara sukan tersebut ialah badminton, boccia, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting, renang, boling, tenis berkerusi roda dan lawan pedang berkerusi roda.

Kontinjen Paralimpik Malaysia mensasarkan untuk menang lapan pingat emas dengan badminton, boling dan olahraga diharapkan mampu membawa pulang dua daripadanya sementara setiap satu daripada acara memanah dan renang.

Sementara itu, Salam bakal bertanding dalam dua kategori iaitu peringkat individu dan berpasukan dalam acara memanah recurve.

Kejohanan terakhir yang disertai oleh anak jati Sungai Tiram, Johor Bahru itu ialah di Terbuka British yang memperlihatkan dia berjaya menduduki tempat kedua individu di belakang rakan senegara, Zulkifli Mat Zin.

Bagi cabaran di Guangzhou, Salam yang merupakan olahragawan paralimpik tahun 2005, 2007 dan 2009 berkata cabaran hebat akan datang dari peserta Korea, Taiwan dan tuan rumah, China.

''Kali terakhir saya berdepan dengan seorang peserta pilihan dari Korea itu di kejohanan dunia yang dilangsungkan di Republik Czech pada bulan Mei tahun lalu dan saya menang, itu jelas memperkuatkan keyakinan saya untuk mengatasinya sekali lagi di Guangzhou.

''Diharapkan dengan iringan doa dan harapan rakyat Malaysia, saya mampu membawa pulang pingat emas dalam acara berpasukan dan individu di samping rakan-rakan di sukan lain bagi memastikan lapan pingat emas mampu dibawa pulang oleh kami,'' jelasnya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...