Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Tuesday, November 30, 2010

Jangan layan provokasi

Jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain supaya tidak melayan provokasi penyokong fanatik pasukan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, esok.

Sebaliknya, Rajagobal menggesa pemain agar memberi fokus kepada permainan, dalam usaha memburu kemenangan pertama sebelum bertemu juara tiga kali, Thailand dan Laos pada dua perlawanan berikutnya.

‘‘Jika pemain gagal mengawal tekanan yang akan diberikan oleh penyokong pasukan tuan rumah, saya bimbang mereka boleh hilang tumpuan, seterusnya melakukan kesilapan mudah yang mungkin memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

‘‘Sebenarnya itulah yang dimahukan oleh penyokong lawan. Oleh itu, saya harap para pemain menampilkan aksi seratus peratus dalam 90 minit aksi, jangan ambil kisah dengan ejekan atau provokasi penyokong lawan, ’’ kata Rajagobal yang ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Jakarta, semalam.

Sokongan padu para penyokong Indonesia boleh menjadi senjata tambahan buat skuad Garuda itu untuk memburu kemenangan ke atas Malaysia.

Ini ditambah hubungan kedua negara yang sedikit tegang beberapa bulan lalu, mungkin mendorong penonton tuan rumah lebih beremosi dalam perlawanan itu nanti.

Lantaran itu, pemain Malaysia harus memperkuatkan ketahanan mental menghadapi kerenah penyokong Indonesia, jika berhasrat mengutip tiga mata dalam pertemuan sulung Kumpulan A, dan seterusnya membuka langkah ke separuh akhir.

Bercerita mengenai peluang skuad negara, Rajagobal lebih selesa jika mereka dilabelkan dengan status underdog sambil menyifatkan kelebihan banyak berpihak kepada tuan rumah.

‘‘Dalam mana-mana kejohanan, sudah tentu pasukan tuan rumah mendapat sedikit kelebihan.

“Namun, itu tidak menggusarkan saya kerana yakin dengan kemampuan semua pemain, selagi mereka bermain mengikut arahan yang diberikan, ’’ katanya.

Nada Rajagobal begitu yakin, walaupun skuad yang terbang ke Jakarta semalam, sedikit tempang tanpa beberapa pemain utama.

Antaranya Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha, Baddrol Bakhtiar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nasriq Baharom dan Azmi Muslim.

Ia ditambah dengan faktor kehadiran saat akhir ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah mampu menambah sengatan di bahagian serangan

‘‘Saya terfikir mahu mengambil Amri selepas melihatkan aksinya ketika perlawanan persahabatan berdepan Selangor pada Jumaat lepas. Dia adalah seorang pemain yang saya amat perlukan di dalam pasukan ini, kerana mampu bertindak sebagai perancang dan membuka serangan.

‘‘Skuad ini sudah ramai pemain muda seperti Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar. Oleh itu, kehadiran Amri amat diperlukan bagi mengimbangi skuad ini. Harus diingat, semua negara pada kejohanan ini kebanyakannya menampilkan pemain senior. Jadi amat penting kita membawa masuk pemain seperti Amri.

‘‘Sasaran ke separuh akhir tidak mustahil jika kita berjaya menampilkan aksi yang baik ketika bertemu Indonesia dan Thailand,’’ katanya

Berguru dengan Thailand - Tok Mat

Memikirkan jurang sepak takraw Malaysia perlu dirapatkan segera dengan Thailand ekoran kegagalan Sukan Asia Guangzhou, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail secara drastik menyarankan pengambilan seorang juruperunding dari negara Gajah Putih itu.

Katanya kepada Utusan Malaysia, pengambilan itu bertujuan mendapatkan serba sedikit teknik dan taktik Thailand, yang boleh dipelajari skuad negara tanpa sesekali mengetepikan khidmat ketua jurulatih yang akan kekal disandang oleh anak tempatan seperti sekarang.

"Sekalipun prestasi pasukan dalam Sukan Asia malah semangat juang yang terbukti meningkat dan tinggi, saya akui masih ada kekurangan pemain kita seperti pergerakan, kawalan gelanggang, servis yang kurang konsisten, teknik libasan dan hadangan pemain kita. Ini yang tidak cukup untuk memenangi emas Sukan Asia.

"(Juruperunding Thailand) bukan bererti saya tidak yakin dengan jurulatih kita malah kontrak ketua jurulatih elit, Iskandar Arshad diteruskan hingga Mei tahun depan. Saya harap Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dan Majlis Tertinggi PSM merestui pengambilan ini, malah disokong oleh MSN (Majlis Sukan Negara) selain TAT (Persatuan Takraw Thailand).

Pengambilan jurulatih negara Gajah Putih bukan asing bagi MSN, yang pernah mendapatkan khidmat Chakri Ketdet bagi melatih skuad Pelapis Malaysia dari 2001 hingga 2003 dan antara pemain negara didikannya ialah Azlan Mubin, Azman Nasruddin, Noor Azman Hamid, Syazwan Husin dan Zulkarnain Arif.

Terengganu juga memiliki jurulatih dari Thailand, Vitthaya Boontha yang pernah melatih Laos menewaskan Malaysia dan meraih perak Sukan SEA 2009, selain membantu negeri Pantai Timur itu menjuarai acara berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka, Jun lalu.

Ahmad berkata, beliau akan berjumpa Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, yang juga Ketua Kontinjen Sukan Asia Guangzhou dalam seminggu dua lagi, bagi membincangkan pengambilan pakar dari Thailand itu walaupun menyedari mungkin mendapat tentangan keras banyak pihak.

Mengenai janji untuk berundur sebagai Presiden PSM ekoran kegagalan anak buah Iskandar meraih sebarang emas daripada berpasukan mahupun antara regu Sukan Asia, katanya: "Saya perlukan sedikit masa lagi dan akan cuba menimbangkan sama ada ia perlu atau tidak dirujuk kepada Exco atau Majlis PSM,"

Perak giat buru dua pemain bertaraf bintang

Perak sedang memburu dua pemain ternama untuk disenaraikan dalam skuad bola sepak Liga Super negeri itu musim depan.

Dalam buruan awal, Perak berjaya memikat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustapa menyarung jersi skuad Seladang.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagaimanapun enggan menyebut pemain yang kini menjadi buruan skuad itu.

Katanya, pemain yang akan dipilih itu sedang dikenal pasti sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir Disember ini.

"Dengan penyertaan Akmal Rizal yang mempunyai pengalaman sebagai bekas pemain kebangsaan, dia mampu memberikan dorongan dalam mengalas cabaran skuad Seladang bagi menghadapi musim 2011," katanya.

Beliau merasmikan Pelancaran Kad Semusim, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan jersi baru Perak jenama Specs bernilai RM300,000 dan memperkenalkan para pemain Perak untuk musim 2011 di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini, semalam.

MoU itu antara kerajaan negeri diwakili Zainol Fadzi dengan PT Panatrade Carawa (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arif P. Wirawan).

Kata Zainol Fadzi, pihak pengurusan sedang mengatur perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain yang dimaksudkan.

"Kita akan mengambil kira kemampuan kedudukan kewangan PAFA bagi mendapatkan pemain berkenaan," katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya yakin dengan kemampuan barisan pemain Perak yang diketengahkan kali ini.

"Kita percaya skuad Seladang mampu menjadi antara pasukan kelima terbaik dalam Liga Super,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zainol Fadzi berkata, kad bermusim yang diperkenalkan adalah ditawarkan kepada 1,000 orang pada harga RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung.

Katanya, sebanyak 200 tempat duduk berbumbung pula ditawarkan dengan kad berharga RM150.

Menurut beliau, peminat bola sepak yang membeli tiket bermusim, boleh menyaksikan semua 25 permainan yang berlangsung di Stadium Perak.

''Kad-kad tersebut boleh diperoleh di pejabat PAFA,'' katanya.

Sementara itu, Akmal Rizal, 29, berkata, dia sudah bersiap sedia untuk menggalas cabaran Perak musim ini.

"Saya akan bekerja keras untuk mengembalikan kegemilangan Perak dalam Liga Super 2011.

"Saya melihat barisan pemain muda yang digandingkan dalam skuad Seladang kali ini mampu untuk menghadapi cabaran itu," katanya.

Akmal Rizal merupakan pemain berpengalaman yang pernah mewakili pasukan kebangsaan sejak berusia 18 tahun, dengan kejayaan terbaru membantu Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu

Kejuaraan CP130 milik siapa?

Debaran pasti dirasakan tiga pelumba teratas Kategori CP130 yang mahu mencipta sejarah memahat nama selaku juara pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010 di Padang Kota Lama, hujung minggu ini.

Pelumba-pelumba tersebut adalah Norizman Ismail (SCK Honda Racing) yang menerajui carta keseluruhan dengan 146 mata. Ini diikuti Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) dengan 145 mata. Sementara itu rookie, Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) menduduki tangga ketiga dengan 144 mata.

Berbanding perlumbaan final 2009, saingan Pusingan 10 musim ini jauh lebih menarik, memandangkan ketiga-tiga pelumba dipisahkan hanya dengan dua mata. Tahun lalu, juara expert, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) mara ke pusingan final di litar yang sama dengan kelebihan 14 mata.

Dengan itu, Norizman, Fazli dan Hafizh perlu memenangi perlumbaan hujung minggu ini jika mahu dinobatkan Juara CP130.

Dengan misi berbeza, Norizman mahu menamatkan dominasi Yamaha dalam siri Kejuaraan Cub Prix ini dan muncul sebagai pelumba pertama memenangi mahkota kelas perdana di atas jentera Honda.

Sebelum ini, pelumba berusia 25 tahun itu sudahpun memahat nam dalam sejarah Cub Prix, apabila muncul pelumba termuda yang memenangi gelaran expert pada tahun 2005 ketika berusia 20 tahun.

Sementara itu, Fazli menyimpan hasrat untuk melebarkan kemenangan ketiganya, selepas muncul juara pada 2007 dan 2008.

Jika dia memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini, Fazli semakin menghampiri rekod pelumba legenda, M.Meganathan, yang memenangi kejuaraan sebanyak empat kali iaitu pada 1994, 1995, 1999 dan 2000.

Hafizh, 16, pula berharap mampu memecah rekod Norizman, selaku juara termuda dan muncul pelumba novis pertama memenangi kelas perdana ini.

Mohd. Zamri Baba (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) yang menduduki tempat keempat di dalam carta keseluruhan CP130 juga berpeluang untuk bergelar juara di Pulau Pinang nanti

Monday, November 29, 2010

Amri tersenarai, Indra gugur

Tanpa diduga, ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah berada dalam senarai akhir 22 pemain yang akan ke Jakarta hari ini, bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, yang akan bermula Rabu.

Keputusan mengejut penyenaraian Amri itu diiringi pengguguran pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, yang sebelum ini disebut-sebut akan terpilih selain tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar ekoran kecederaan yang masih belum pulih.

Bagi posisi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mempamer prestasi mantap pada Sukan Asia di Guangzhou, terus menjadi pilihan jurulatih, K. Rajagobal dan satu lagi slot diisi Sharbinee Allawee, yang mengenepikan Farizal Marlias.

Menurut Rajagobal, pemilihan Amri berdasarkan faktor pengalaman dan keperluan skuad kebangsaan yang amat kritikal di bahagian serangan.

''Amri diserapkan kerana dengan pengalamannya yang luas dia mampu membimbing pemain muda di bahagian tengah dan serangan.

''Saya memikirkan bahagian serangan adalah posisi paling penting pada masa sekarang dan atas faktor saya terpaksa memilih Amri berbanding Indra yang lebih bertindak sebagai pemain sayap.

''Saya juga tidak dapat memasukkan Indra kerana dia baru sahaja menjalani latihan dengan skuad kebangsaan hari ini. Jadi saya bimbang dengan tahap kecergasannya sama ada dia benar-benar bersedia atau tidak beraksi di sana, '' katanya yang dihubungi, semalam.

Selain itu, Rajagobal turut menyandarkan harapan kepada beberapa pemain muda yang beraksi cemerlang pada Sukan Asia seperti Muslim Ahmad, Faizal Abu Bakar, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd. Fadhli Shas.

Safiq Rahim dan Amri dijangka memegang peranan utama bahagian tengah, sementara Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha mengemudi jentera serangan.

Skuad kebangsaan akan membuka cabaran Piala Suzuki AFF Rabu ini, bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno

Kita mungkin hilang banyak emas di Incheon

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong khuatir dengan kemungkinan dua sukan penyumbang lima pingat emas Malaysia pada Sukan Asia Guangzhou, skuasy dan boling tidak dipertandingkan dalam temasya itu di Incheon, empat tahun lagi.

"Di Incheon tugas kita mempertahankan sembilan emas yang dicapai di Guangzhou, lebih berat (bukan sahaja bagi sukan yang gagal menang emas), kerana ada desus-desas Incheon hanya mempertandingkan 28 jenis sukan, dengan tujuh sukan bukan Olimpik. Mungkin boling dan skuasy, jadi kita mungkin kehilangan lima emas.

"Walaupun keutamaan kita kepada sukan bertaraf Olimpik, kita tidak boleh abaikan sukan lain yang menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa.

"Malah bagi sukan bertaraf Olimpik sahaja di antara 18 perak Malaysia di Guangzhou, kita begitu hampir memenangi emas atau tewas tipis seperti dalam badminton, pelayaran dan ekuestrian," katanya.

Zolkples, ketua kontinjen negara ke Guangzhou yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam menambah: "Program Road To London 2012, bagi sukan berpotensi pingat akan diteruskan tetapi dengan beberapa kajian semula manakala sukan lain, kita akan sasarkan bagi jangka panjang iaitu 2016 dan 2020 dan seterusnya.

"Kita kini perlu jadi selektif, tidak boleh tumpu kesemua 28 jenis sukan Olimpik, kerana bakat sukan kita terhad, tetapi mana yang tidak menyerlah di Guangzhou, bakal menjejaskan kedudukannya dalam London 2012. Namun terjun dan menembak berpotensi untuk dibantu lagi," katanya.

Jelasnya, masih terlalu awal untuk menamakan hoki dan bola sepak ke program berkenaan, biarpun kedua-dua sukan berpasukan itu menunjukkan pencapaian membanggakan, dengan meraih pingat perak dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou dalam tempoh 32 tahun.

"Kalau kedua-duanya dipertimbangkan, mungkin ada sukan lain yang turut perlu dilihat. Bagi Program Road To London 2012, kita hanya tumpukan sukan yang berpotensi pingat Olimpik. Selepas ini kita kaji jika ada tanda bahawa skuad hoki negara mampu bersaing dengan negara bakal pemenang pingat, mungkin boleh.

"Bagi bola sepak, kalau mereka juara Piala Suzuki AFF (dengan sebahagian besar pemain skuad Sukan Asia), mungkin kita juga akan cuba tengok. Malah sejak menjuarai Sukan SEA, pasukan ini menunjukkan banyak peningkatan seperti mana di Guangzhou malah tanpa 10 pemain utama, masih boleh bersaing dengan pasukan handalan Asia," katanya.

Mengenai prestasi skuad sepak takraw di Guangzhou yang memanjangkan kemarau emas kepada dua dekad sehingga Incheon 2014, katanya: "Saya tidak salahkan sesiapa kerana saya juga bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di Guangzhou.

"Kami tetap bersama PSM, cuma kita perlu fikirkan apa yang lebih baik yang boleh dilakukan untuk pasukan negara. Kalau setakat kita buat seperti sekarang dengan latihan biasa, saya tidak fikir kita tidak boleh menandingi Thailand, mereka sudah banyak tahap ke depan.

"Selain mahu mengatasi Thailand, kita harus berhati-hati agar jangan ditewaskan pasukan seperti Jepun, Korea dan China atau Myanmar yang terbukti meningkat di Guangzhou," katanya

Selangor rangkul kejuaraan berganda

Selangor meraih kejuaraan berganda Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 apabila pasukan lelaki dan wanita mereka memenangi perlawanan akhir di Dewan Matshusita, Kompleks Sukan Negara, Shah Alam, semalam.

Pasukan lelaki Selangor terpaksa menanti sehingga penentuan sepakan penalti untuk mengenepikan Johor FC dan menang 3-2, selepas perlawanan dalam masa sebenar berakhir tanpa jaringan.

Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, Selangor gagal mencari penyudah ekoran ketangkasan penjaga gol Johor FC yang menjadi penghalang.

Akhirnya, pada penentuan sepakan penalti, Selangor jelas lebih tenang berbanding Johor FC, apabila berjaya menyempurnakan tiga daripada empat sepakan, manakala Johor FC hanya mampu menjaringkan dua daripada lima sepakan yang diberikan.

Dengan kejayaan itu, Selangor meraih RM 40,000 selaku juara, sementara Johor FC menerima RM 20,000.

Ketua pasukan Selangor, Mohd. Farid Mohd. Yusof mengakui lega kerana pasukannya muncul juara selepas menguasai perlawanan.

''Kami mengikut arahan jurulatih dan banyak peluang gol berjaya dicipta, tetapi tiada penyudah untuk mendapatkan gol. Johor FC juga bagus ketika bertahan dan melancarkan serangan balas.

''Namun, pada penentuan sepakan penalti, nasib kami lebih baik dan saya anggap ini satu kejayaan manis memandangkan kami tidak pernah meletak sebarang sasaran untuk muncul juara, '' katanya.

Dalam kategori wanita, Selangor menang 2-1 ke atas PDRM

Tabik kepada dua atlet veteran karate

TAHNIAH diucapkan kepada kontinjen negara kerana menepati sasaran sembilan pingat emas Sukan Asia Guangzhou, 2010. Pada saya setinggi-tinggi tahniah sepatutnya diberikan kepada dua atlet veteran karate, iaitu Koo Jin Keat dan R. Puvaneswaran kerana memenangi dua pingat emas untuk negara.

Kontinjen kita kali ini mengandungi 346 atlet serta 105 pegawai dan jurulatih yang merupakan kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan Asia. Daripada jumlah ini, terdapat kurang sedikit dari 140 orang atlet bertanding di atas kategori B, manakala 200 daripadanya adalah dari kategori A. Kita telah menyertai dalam 29 sukan daripada 42 yang dipertandingkan di mana 23 darinya berada dalam Program Cabaran 2010.

Kita dimaklumkan bahawa sasaran sembilan pingat emas datangnya daripada tiga sukan utama iaitu skuasy, tenpin boling dan berbasikal (trek) yang ditambah dengan sukan pelayaran serta wusyu. Di Guangzhou atlet dari sukan skuasy(3), tenpin boling (2), wushu (1), berbasikal trek(1) menyumbangkan tujuh pingat emas dan sukan yang tidak menjadi sasaran iaitu karate menghadiahkan kita dengan 2 pingat emas.

Di Doha empat tahun lalu kontinjen kita mendapat 42 pingat yang terdiri dari lapan pingat emas, 17 perak dan 17 gangsa menduduki tangga ke 11. Di Guangzhou kontinjen kita memenangi sejumlah 41 pingat yang terdiri dari sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa menduduki tangga ke-10.

Apa yang menarik kali ini ialah pencapaian hoki negara yang buat pertama kali layak ke pertandingan akhir, tetapi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sahaja. Pasukan hoki sewajarnya menunjukkan prestasi yang lebih baik, kerana perbelanjaan untuk mereka adalah besar kerana pada hemat saya, pasukan hoki ini tidak pernah lekang daripada bantuan MSN sejak daripada Program Jaya 98 lagi.

Sebelum ini prestasi pasukan ini tidaklah boleh dibanggakan sangat dan kali terakhir kita menang pingat gangsa Sukan Asia pada tahun 2002 di Busan.

Kita gagal layak ke Sukan Olimpik 2004 Athens dan 2008 Beijing. Apa yang perlu dibuktikan oleh pasukan ini ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 London dengan memenangi Pusingan Kelayakan yang akan diadakan kelak. Kejayaan di Pusingan Kelayakan ini akan menobatkan pasukan hoki sebagai pasukan yang telah berjaya meningkatkan prestasinya.

Pasukan bola sepak kita juga patut diberi pujian kerana layak ke pusingan kedua walaupun gagal untuk meneruskan cabaran kerana kekurangan pemain akibat kecederaan dan digantung daripada bermain.

Atlet acara terjun patut juga diberi pujian oleh kerana hampir kesemuanya berjaya memenangi pingat walaupun setakat pingat perak dan gangsa sahaja. Pelaburan untuk sukan ini amat besar dan ianya menunjukkan satu pulangan yang berbaloi. Walaupun kita menang pingat perak, kita tidak boleh mengatakan bahawa penerjun kita berada di tahap dunia kerana markah yang dipungut dibandingkan dengan pencapaian penerjun dari China cukup besar bezanya. Kita perlu memperbaiki lagi teknik penerjunan kalau hendak bersaing dengan atlet dari China dan negara-negara lain di dunia di kancah Sukan Olimpik.

Azizulhasni akhirnya menang pingat emas dalam acara keirin bersama-sama dengan Josiah Ng yang mendapat pingat perak. Peranan Azizul dalam acara trek sangat penting oleh kerana ketiadaannya pasukan pecut kita gagal memenangi apa-apa pingat. Beliau sebenarnya jaguh acara keirin dan inilah patut menjadi tumpuannya di Sukan Olimpik 2012 nanti.

Pemain beregu badminton, Koo Kien Keat- Tan Beng Heong gagal mempertahankan pingat emasnya di Doha. Mereka hampir memenanginya tetapi boleh jadi hilang fokus, terpaksalah menyerahkan pingat tersebut kepada pasangan dari Indonesia, yang berkemungkinan besar akan menghantui mereka sehingga ke Sukan Olimpik 2012 nanti.

Pasukan skuasy negara menang tiga pingat emas daripada empat yang dipertandingkan. Di Guangzhou acara sukan skuasy ditambah menjadi empat lebih banyak dari di Doha. Kita patut bersyukur kerana pasukan skuasy wanita berjaya melengkapkan pingat emas yang kesembilan kepada negara. Barang diingat bahawa kita mungkin tidak bernasib baik empat tahun dari sekarang sama ada di Incheon, Korea Selatan atau di Glasgow, Scotland untuk menanti pingat emas pasukan skuasy atau pasukan boling padang untuk melengkapkan sasaran 13 pingat emas di Sukan Komanwel dan 10 emas di Sukan Asia, kerana ketika itu atlet-atlet berkenaan sudah bersara atau telah lepas pada zaman kecemerlangan masing-masing. Inilah yang patut kita takutkan daripada berlaku dan perlu mengambil tindakan yang tepat untuk mengelakkannya dari berlaku.

Daripada 346 atlet yang bertanding, hanya lebih kurang 77 atlet termasuk acara pasukan sahaja berjaya memenangi pingat. Selebihnya mungkin berjaya memperbaiki prestasi masing-masing atau membaharui rekod kebangsaan, tetapi kebanyakannya adalah sebagai anggota kontinjen sahaja. Adakah atlet kategori B masih relevan lagi?

Seperkara yang perlu dilihat bahawa terdapat atlet-atlet veteran yang masih kekal dan ada yang masih mampu memenangi pingat seperti yang ditunjukkan oleh atlet karate. Roslinda Samsu dan Norasheela Khalid (olahraga), Nicol Ann David, Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar (skuasy), Alex Liew dan Shalin Zulkifli (tenpin boling), Josiah Ng (berbasikal), Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee dan Yeo Ken Nee (terjun), Qabil Ambak (ekuestrian) adalah nama-nama yang boleh dikatakan veteran yang masih mewakili negara. Banyak interprestasi yang boleh dibuat dari senario ini

Peserta Piala Monsun mula tiba

Peserta Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun mula tiba di sini untuk menyertai kejohanan tersebut yang akan bermula di Pulau Duyong, esok.

Antara peserta berkenaan adalah juara bertahan, Adam Minoprio bersama anggota pasukannya, Black Match Racing, yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 4.30 petang.

Beliau kemudian bersama rakannya ke tempat penginapan mereka di Felda Residence Kuala Terengganu, di sini.

Adam ketika ditemui berkata, beliau yakin dapat mempertahankan kejuaraannya, selain muncul juara Jelajah World Match Racing (WMRT) ISAF, yang kini didahului oleh pelayar Perancis, Mathieu Richard.

Beliau berkata, dia memiliki kelebihan di Pulau Duyong kerana mempunyai pengalaman belayar di kawasan perairan di sini sejak muncul juara Kejohanan Match Racing Asia (AMRC) pada 2006.

''Walaupun Mathieu mendahului dalam kedudukan WMRT ISAF, dia tidak pernah muncul sebagai juara Piala Monsun. Ini memberi kelebihan kepada kami berdasarkan pengalaman.

''Namun, saya tidak memandang rendah keupayaan para peserta lain kerana setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing," katanya yang mempunyai kumpulan 90 mata.

Adam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang strategi khas untuk mempertahankan kejuaraannya, namun akan menggunakan segala kemahiran yang ada.

''Kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku ketika perlumbaan, namun kemahiran dan pengalaman akan membantu kami nanti," ujarnya.

Piala Monsun merupakan destinasi kesembilan dan terakhir bagi sirkit WMRT ISAF.

Sebanyak 12 peserta termasuk seorang pelayar Malaysia, Jeremy Koo akan berentap merebut kejuaraan tersebut

Sunday, November 28, 2010

Thailand jauh tinggalkan Malaysia

Ia sudah 16 tahun berlalu sejak Malaysia memenangi pingat emas terakhirnya dalam acara sepaktakraw di Sukan Asia.

Mungkin suatu masa dulu kita pernah mendominasi sukan ini, tetapi sekarang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagaikan sudah ketandusan idea untuk menyekat keunggulan Thailand.

Pelbagai usaha dilakukan, termasuk memanggil semula orang lama seperti Normanizam Ahmad (tekong) dan Mohd. Futra Abdul Ghani (apit kanan), tonggak yang menghadirkan emas buat Malaysia di Sukan SEA Manila 2005, namun emas tetap tidak muncul.

Malah, di Guangzhou membuktikan pemain-pemain lama beraksi lebih buruk daripada pemain baru, bukan saja tidak memberi impak kepada pasukan, malah mereka tampak tidak mampu memberi cabaran kepada pemain lawan yang jauh lebih kreatif dan bertenaga.

Baik dalam acara berpasukan mahupun regu, Malaysia dikalahkan dengan mudah oleh Thailand, sekali gus memaksa pasukan negara menutup kempen tanpa berjaya memenuhi sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas.

Semangat pemain memang tidak perlu dipersoalkan, kita boleh lihat mereka telah melakukan apa saja yang terdaya untuk mencari kemenangan.

Tetapi masih ada yang tidak kena dalam sepaktakraw negara. Sebagai sebuah pasukan yang dianggap gergasi, Malaysia sebenarnya jauh ditinggalkan oleh Thailand, dan sesuatu perlu dilakukan segera oleh PSM untuk merapatkan jurang yang semakin membesar.

Malah, negara seperti China jika tidak diberi perhatian, tidak mustahil mampu mengejar Malaysia dalam masa beberapa tahun lagi. Buktinya, mereka berjaya mencuri satu mata dalam acara berpasukan menerusi regu kedua pada saingan peringkat kumpulan.

Malaysia memenangi emas regu dan berpasukan pada Sukan Asia Beijing 1990 dan memenangi emas regu di Hiroshima 1994. Namun, kemerosotan kita bermula di Bangkok 1998, apabila seringkali gagal mengatasi Thailand. Kita juga gagal di Busan 2002 dan Doha 2006

Siapkan jaguh-jaguh baru

Skuasy berjaya menepati statusnya sebagai gergasi rantau ini dengan menyambar tiga daripada empat emas yang ditawarkan pada Sukan Asia XVI.

Datuk Nicol David dan Mohd. Azlan Iskandar menepati status superstar yang dibawa ketika tiba di Guangzhou selepas memenangi kejuaraan berganda dalam perseorangan wanita dan lelaki.

Malah, barisan mantap pemain wanita yang diketuai Nicol bersama pemain paling meningkat, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Sharon Wee turut memberikan emas berpasukan buat negara.

Biarpun pulang bersama kegemilangan, namun ada sisi gelap lain yang meninggalkan kebimbangan mengenai masa depan sukan ini apabila Sukan Asia kembali di Incheon pada 2014. Pemain wanita mungkin masih mampu mendominasi untuk beberapa tahun lagi tetapi pemain lelaki tampak terlalu bergantung kepada Azlan dan Beng Hee.

Dengan Azlan sudahpun mengumumkan persaraan, manakala Ong Beng Hee mencapai usia 34 tahun ketika itu, keupayaan Malaysia untuk mempertahankan status sebagai gergasi skuasy Asia mungkin tergugat, apatah lagi Pakistan dan India sudah mula menonjolkan jaguh-jaguh baru yang rata-rata berusia awal 20an.

Justeru tidak hairanlah apabila Azlan dan Beng Hee lantang merayu agar pemain muda seperti Mohd. Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen serta Asyraf Azan diberikan lebih banyak peruntukan untuk menjelajah ke seluruh dunia dan mencari pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Malaysia harus bertindak segera kerana jika terlewat, maka, Pakistan dengan pemain berusia 20 tahun, Aamir Atlas Khan serta bintang 22 tahun mereka, Farhan Mehboob bersedia merampas takhta Asia, begitu juga India yang menonjol menerusi pemain mudanya, Saurav Ghosal

Pencapaian terbaik Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan kontinjen negara dalam merangkul sembilan pingat emas pada Temasya Sukan Asia di Ghuangzhou merupakan pencapaian terbaik setakat ini.

Menurut beliau, kejayaan itu juga merupakan satu keputusan cemerlang dan rekod terbaik yang diraih oleh kontingen Malaysia dalam sejarah sukan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, prestasi sebenar pasukan negara hanya akan diketahui sedikit masa lagi setelah kontinjen negara pulang dari China, esok dan hasil laporan diberikan oleh ketua kontinjen.

"Untuk mengetahui prestasi sebenar, kita harus menunggu kepulangan para kontinjen negara yang akan tiba di Kuala Lumpur esok selepas itu barulah boleh kita membincangkan mengenai kejuaraan yang dicapai Malaysia capai pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Daerah Kemaman di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Kuala Kemaman di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk merumus atau melakukan bedah siasat tentang kejayaan yang dicapai kontinjen negara dalam Sukan Asia di Guangzhoau yang berakhir, semalam.

Ahmad berkata, kementerian juga akan melakukan bedah siasat bagi mendapatkan laporan terperinci mengenai kekalahan beberapa acara sukan yang kita jangka mendapat pingat emas seperti boling dan hoki.

"Pada tahun ini, kami tidak menjangka dapat meraih emas dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan termasuk menembak dan akan melipatgandakan pelbagai usaha dan latihan bagi meningkatkan prestasi para atlet untuk menuju 'Road To London', katanya.

Mengenai peruntukan kewangan kementerian katanya, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap beberapa acara sukan yang telah menunjukkan prestasi terbaik dan berjaya mendapat emas untuk diberikan lebih peruntukan pada masa akan datang.

" Kita bangga kerana acara berbasikal telah menunjukkan prestasi baru dalam Sukan Asia dan kejayaan yang dirangkul Mohd. Azizulhasni Awang yang memenangi satu pingat emas telah berjaya mengharumkan nama negara dan akan dibawa ke London nanti," katanya

Saturday, November 27, 2010

Sasaran 9 emas tercapai!

GUANGZHOU - Skuasy membawa kontinjen Malaysia memahat pencapaian terbaik dalam sejarah Sukan Asia, apabila memenangi emas kesembilan di Guangzhou, sekali gus mencapai sasaran selepas menundukkan Hong Kong 2-0 pada final berpasukan wanita, semalam.

Kemenangan Datuk Nicol David dan rakan-rakan, membolehkan Malaysia mengatasi pencapaian terbaik pada Sukan Asia sebelum ini, iaitu lapan emas di Doha 2006.

Ia juga memastikan 2010 tahun paling cemerlang buat sukan tanah air, setelah sebelum ini melepasi sasaran Sukan Komanwel bulan lalu, dengan memenangi 12 pingat emas daripada 10 yang disasarkan.

Semalam, pemain remaja berusia 20 tahun, Low Wee Wern memegang kunci kejayaan Malaysia dengan mengutip mata pertama yang dianggap paling genting, sebelum jaguh No. 1 dunia, Nicol David memainkan peranan menghadiahkan mata kemenangan untuk pingat emas.

Turun tanpa pernah menang ke atas Rebecca Chiu dalam dua pertemuan terdahulu, Wee Wern mengetepikan perasaan gemuruh sebelum menang 11-4, 7-11. 11-6, 11-7.

Keresahan terbayang di kem Hong Kong sebaik gagal memenangi perlawanan pembukaan, kerana saingan perseorangan kedua melibatkan Nicol dan Annie Au, tidak pernah menjadi sasaran mereka untuk mencari mata, kerana sedar Nicol lawan yang tidak mungkin mampu ditandingi.

Nicol, 27, menepati reputasinya dengan hanya memerlukan 33 minit untuk menewaskan Annie 11-8, 11-7, 11-6, yang memberikan kemenangan bersih buat skuasy wanita negara.

Turut meraikan detik gemilang semalam adalah ketua kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN). Zolkples turut menerima ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi telefon sebaik perlawanan berakhir.

"Saya tahu perlawanan ini pasti sukar kerana ranking kami lebih kurang saja (Wee Wern 16, Rebecca 19). Sudah dua tahun saya tidak bertemu dengannya, ia menyukarkan lagi keadaan.. tambahan pula Rebecca pemain berpengalaman, saya kena melakukan pukulan yang baik untuk menang.

"Pada mulanya saya agak gementar tetapi saya berjaya mengawal keadaan dengan baik untuk menang 3-1," kata Wee Wern.

Bagi Nicol, menumpaskan Hong Kong memberi kepuasaan, kerana berjaya menebus kekalahan ke atas pasukan yang telah mengecewakan mereka pada separuh akhir Kejohanan Asia di Chennai, Mei lalu.

"Ia perasaan yang hebat apabila anda berada di atas Hong Kong. Dalam setiap pertemuan kami dengan mereka pada Kejohanan Asia ia akan membangkitkan memori tetapi Sukan Asia menghadirkan satu perasaan berbeza.

"Saya mungkin memainkan peranan mengutip mata kedua tetapi tidak dinafikan, Wee Wern telah mempamerkan satu permainan hebat dengan mengalahkan Rebecca, seorang pemain yang amat berpengalaman. Kemenangan 3-1 yang dicatatnya adalah kunci kemenangan kami," kata Nicol

Perak Sukan Asia lambang kebangkitan hoki

GUANGZHOU - Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2012 selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir hoki Sukan Asia, semalam.

Sohail Abbas meletakkan Pakistan di depan pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Rehan Butt merobek gawang Malaysia pada minit ke-38.

Tiga peluang pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-40, 44, 61 terlepas begitu sahaja, setelah gagal dimanfaatkan oleh anak buahStephen van Huizen.

Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Muhamad Amin Rahim mungkin boleh menjadi wira, jika kesemua tiga pukulan sudut penalti yang diambil mereka, tepat ke gawang.

Ketinggalan dua gol menyaksikan Malaysia menukar corak permainan lebih agresif pada babak kedua dengan mengasak kubu lawan yang lebih banyak bertahan.

Van Huzien berkata, dia kecewa kerana gagal meraih pingat emas dan yang paling penting tiket ke Olimpik London 2012.

''Pemain kita gementar pada perlawanan akhir ini dan banyak melakukan kesilapan dan melepaskan peluang.

''Namun, saya tetap berbangga dengan pencapaian mereka dan menghadiahkan pingat ini kepada seluruh peminat di tanah air. Selepas ini, para pemain akan pulang ke kelab masing-masing untuk saingan liga hoki kebangsaan. Untuk kelayakan ke Olimpik selepas ini saingan akan sengit berbanding di Sukan Asia.

''Pakistan berhak menang kerana mereka bermain lebih bagus. Kami akan melakukan post mortem untuk melihat di mana kesalahan yang berlaku pada perlawanan semalam," katanya

Pakistan rentap dominasi Malaysia

GUANGZHOU - Perjudian Malaysia untuk tetap menurunkan Ong Beng Hee yang tidak pulih sepenuhnya daripada masalah keracunan makanan, merentap peluang negara untuk menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan skuasy pada Sukan Asia XVI apabila tumpas 0-2 kepada Pakistan pada saingan akhir berpasukan lelaki, semalam.

Beng Hee mengalami keracunan makanan sejak Selasa lalu dan tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Malaysia, menentang India di peringkat Kumpulan B dan Hong Kong pada separuh akhir, kelmarin.

Bagaimanapun atas alasan taktikal, dia tetap diturunkan dengan harapan Mohd. Azlan Iskandar mampu mengheret pertarungan ke permainan ketiga, di mana Mohd. Naffizwan Adnan kemudian menjadi taruhan untuk mengutip mata kemenangan ke atas Yasir Ali Butt.

Malangnya, Azlan tumpas 12-14, 13-15, 4-11 kepada Aamir Atlas Khan, pemain yang dikalahkan dalam saingan individu untuk menyerahkan kemenangan kepada Pakistan. Terdahulu, Beng Hee seperti diduga tewas 4-11, 4-11, 7-11 kepada Farhan Mehboob dalam saingan pembukaan.

"Saya sebenarnya belum sihat sepenuhnya tetapi atas sebab taktikal pasukan tetap menurunkan saya dengan harapan Azlan akan mengikat kedudukan 1-1 dan kemudian Nafiizwan mencari mata kemenangan dalam permainan penentuan, ia merupakan satu perjudian, tetapi kami terpaksa melakukannya.

"Sayang sekali semua yang dirancang tidak menjadi, jika perlawanan berjaya diheret ke permainan penentuan, saya rasa Nafiizwan mempunyai peluang yang baik untuk menang ke atas perseorangan ketiga Pakistan. Namun, lebih malang lagi, saya kena keracunan di saat yang genting," ujar Beng Hee.

Perjudian yang dilakukan pasukan negara ada logiknya. Jika Beng Hee direhatkan, maka Nafiizwan terpaksa memikul tugas perseorangan pertama dan peluang pemain muda itu untuk menang ke atas Farhan dilihat sukar berbanding menentang Yasir.

Begitupun, strategi yang dirancang tidak menjadi apabila Azlan yang memegang 'kunci' gagal memberi kemenangan, justeru tidak hairanlah mengapa jaguh No. 1 negara itu tampak begitu kecewa sejurus menamatkan saingan.

"Hati saya amat remuk ketika ini, saya sangat.. sangat kecewa. Ia sepatutnya menjadi penamat yang sempurna buat Malaysia, dengan menyapu bersih semua pingat emas Sukan Asia.

"Apa pun, saya sangat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pemain muda seperti Nafiizwan dan Ivan (Yuen). Mereka telah membawa kami ke perlawanan akhir, ini adalah pemain masa depan dan kita memerlukan mereka jika mahu meneruskan dominasi pada peringkat Asia.

"Saya harap, mereka mendapat perhatian yang serius untuk diketengahkan dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa. Saya bukan semakin muda, begitu juga Beng Hee jadi kami memerlukan lebih ramai pemain muda untuk membawa cabaran di pentas dunia," ujar Azlan.

Azlan, 28, turut mengesahkan ini adalah penampilan terakhirnya pada Sukan Asia. Dia tidak mungkin beraksi di Incheon, empat tahun dari sekarang kerana umurnya sudah mencecah 32 tahun ketika itu.

Begitupun, Beng Hee mempunyai pandangan berbeza mengenai harapannya dalam Sukan Asia, masih berharap untuk beraksi empat tahun dari sekarang jika keadaan fizikalnya masih mengizinkan.

Kekalahan semalam mengulangi kekecewaan Malaysia yang turut ditumpaskan oleh lawan yang sama dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki pada Kejohanan Asia di Chennai, Mei lalu, juga dengan keputusan 0-2.

Walaupun kempunan untuk menyapu bersih semua empat emas yang ditawarkan, skuasy tetap pulang sebagai sukan terbaik di Guangzhou selepas muncul penyumbang emas terbesar kontinjen Malaysia.

Selain menjuarai saingan berpasukan wanita, Malaysia turut merangkul kejuaraan berganda dalam saingan individu apabila muncul juara perseorangan lelaki dan wanita menerusi Azlan dan Datuk Nicol David

Sasaran dicapai, Zolkples boleh tidur lena

GUANGZHOU - Tekanan hebat yang ditanggung oleh Datuk Zolkples Embong (gambar) berakhir semalam, selepas skuasy wanita menghadiahkan pingat emas kesembilan buat Malaysia di Guangzhou.

Ketua kontinjen negara itu mengakui, tidak tidur lena akibat beban yang dipikul amat hebat apabila angka '9' yang disasarkan oleh Malaysia di Sukan Asia XVI, masih tidak menjelma ketika temasya tinggal tiga hari untuk ditutup.

Paling mencemaskannya adalah apabila dua sukan harapan, lumba basikal dan boling gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan, selepas separuh temasya berjalan.

Perubahan saat akhir yang dilakukan tuan rumah dalam jadual lumba basikal, menyaksikan kita sekadar membawa pulang satu emas daripada tiga yang sasarkan, iaitu menerusi Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

Dalam boling pula, pemain wanita langsung tidak menyumbangkan emas pada penampilan kali ini, namun berterima kasih kepada pemain senior, Alex Liew kerana menghadirkan emas tidak diduga daripada beregu dan all-event lelaki. Boling juga mensasarkan tiga emas di sini.

Namun, dua emas daripada karate kelmarin, selain wusyu yang memulakan kutipan emas negara pada awal temasya menampung tiga emas yang kita hilang dalam lumba basikal dan boling.

Skuasy menjadi penyumbang pingat emas terbesar Malaysia setakat ini, dengan tiga emas, dua daripada acara individu (Datuk Nicol David dan Mohd. Azlan Iskandar), manakala satu daripada berpasukan wanita.

"Saya tidak boleh tidur sejak beberapa hari ini, tekanan yang ditanggung amat hebat. Saya bukan saja ketua kontinjen, malah Ketua Pengarah MSN (Majlis Sukan Negara) dan bayangkanlah kalau saya gagal mencapai sasaran, sudah tentu saya yang bakal menjadi sasaran nanti.

"Kami meletakkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang tinggi tahun ini. Kami mahu muncul yang terbaik dalam semuanya, kami telah menepati sasaran di Sukan Komanwel dan kami mengharap yang sama di Sukan Asia. Kami mahu menutup 2010 dengan kejayaan hebat.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan betapa hebat tekanan yang dirasai untuk memenuhi semua sasaran ini. Barangkali ini adalah pengalaman paling mencabar yang pernah saya alami sepanjang menjadi ketua kontinjen Malaysia, sebab itu saya sangat lega bila semua berakhir hari ini," ujar Zolkples.

Zolkples secara berseloroh juga berkata, dia kini boleh menikmati persembahan atlet Malaysia yang lain dengan lebih tenang dan tidak perlu lagi "menyembunyikan diri" daripada media.

Menurut Zolkples, beliau berterima kasih kepada semua atlet yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang temasya ini, malah menuju ke penghujung Sukan Asia Malaysia tidak menerima sebarang aduan mengenai masalah disiplin daripada atlet mereka.

Katanya lagi, komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai negara yang menjalankan tugas dengan baik dan menyokong di antara satu sama lain juga mendorong kepada kejayaan di Guangzhou

Hoki dijanji Program London 2012

PETALING JAYA - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjanjikan penyertaan skuad hoki negara ke Program Road To London 2012, sekalipun skuad Stephen van Huizen itu terlepas tiket awal ke temasya itu setelah sekadar beroleh perak Sukan Asia XVI Guangzhou, semalam.

Malah, beliau bersedia membantu Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) membida hak tuan rumah pusingan kelayakan hoki Olimpik tahun depan, bagi mencerahkan peluang mereka menebusnya setelah kecundang 2-0 kepada Pakistan dalam perlawanan akhir di padang hoki Aoti.

Skuad negara yang tidak diberikan harapan pada mulanya, mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir, malah bertahan tanpa kalah termasuk nyaris menewaskan juara bertahan Korea Selatan di peringkat kumpulan, sehinggalah terpaksa akur dengan jaringan Sohail Abbas dan Rehan Butt pada minit ke-26 dan 38.

Kata Ahmad Shabery: "Saya akan berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menyenaraikan hoki dalam program London 2012 itu dengan beberapa sukan yang telah sedia ada, kerana kejayaan pasukan sehingga ke tahap yang sebaik ini dan begitu luar biasa, wajar diteruskan.

"Kementerian sanggup menyokong dan membantu pasukan dan PHM termasuk dari segi persediaan ke Sukan Olimpik, selain membolehkan kita menjadi tuan rumah Kelayakan Hoki Olimpik tahun depan," katanya selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir itu menerusi layar gergasi di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Ahmad Shabery bagaimanapun mengakui kecewa dengan kekalahan anak buah Stephen, apatah lagi selepas kegagalan skuad skuasy lelaki negara, juga kepada Pakistan 2-0 beberapa jam sebelumnya, sekali gus terlepas peluang meraih gelaran berganda dengan skuad wanita.

"Walaupun agak kecewa, saya tetap mengambil dan melihatnya dari sudut positif. Mereka sudah berjuang dengan persembahan terbaik dan atas semangat patriotisme yang tinggi dan kita rakyat Malaysia wajar berterima kasih kepada sumbangan mereka walaupun bukan dengan pingat emas," katanya.

Ahmad Shabery turut berpuas hatinya dengan kejayaan kontinjen negara di bawah pimpinan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang mencapai sasaran awal sembilan emas

AFF beri kelonggaran

PETALING JAYA - Hasrat jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk menggantikan tiga pemain tercedera akhirnya tercapai apabila mesyuarat Perwakilan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memberi kelonggaran kepada Malaysia menyenaraikan tiga pemain baru.

Berita gembira itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir selaku wakil FAM untuk mendengar hasil keputusan yang dibentangkan oleh perwakilan AFF, semalam.

Menurutnya, Malaysia diberi masa sehingga esok untuk mendaftarkan tiga pemain tersebut sebelum pukul 5 petang.

''Perwakilan AFF hanya membenarkan tiga sahaja pemain baru untuk didaftarkan setelah meneliti rayuan yang kami kemukakan.

''Saya akan berbincang bersama K. Rajagobal terlebih dahulu mengenai senarai tiga pemain tersebut kerana mungkin dia mempunyai strategi lain di saat akhir.

''Bukan sahaja skuad kebangsaan kita yang menghadapi masalah, Thailand dan Vietnam juga turut mengemukakan rayuan yang sama,'' katanya.

Baru-baru ini, Rajagobal mendedahkan bahawa dia telah menghantar tiga nama pemain baru iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Razman Roslan dan A. Thamil Arasu bagi menggantikan pemain yang tercedera kepada jawatankuasa pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.

Antara tiga tonggak yang cedera itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nasriq Baharom.

Malaysia akan menghadapi Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno pada 1 Disember ini sebelum bertemu Thailand (4 Disember) dan Laos (7 Disember).

Selain itu, Azzuddin berkata FAM mempunyai perancangan untuk berjumpa wakil Brendan Gan, 24, yang difahamkan berminat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sekiranya diberikan peluang.

''FAM akan usahakan dalam masa terdekat menemui Brendan, namun ia perlu mendapat makluman Jawatankuasa Teknikal terlebih dahulu dan mendapat perkenan Presiden, Sultan Ahmad Shah.

''Banyak perkara perlu kami teliti terlebih dahulu seperti profil dan laporan prestasi Brendan sebelum kami mengemukakan tawaran bermain bersama skuad kebangsaan, '' katanya.

Brendan yang beraksi di posisi tengah dilahirkan di Australia namun ayahnya berasal dari Negeri Sembilan dan kini sedang beraksi bersama Sydney United dalam Liga Australia

Melaka mampu kutip 26 emas

MELAKA - Kerajaan negeri yakin atlet Melaka mampu merealisasikan sasaran kutipan 26 pingat emas pada Kejohanan Sukan Paralimpiad XV Malaysia yang akan menutup tirai malam ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, keyakinan itu disandarkan menerusi pencapaian dan komitmen cemerlang yang ditunjukkan oleh atlet Melaka setakat ini.

''Daripada 571 emas yang ditawarkan, kita yakin atlet Melaka mampu mencapai sasaran sebanyak itu memandangkan mereka begitu berazam dan bersungguh-sungguh.

''Ini sedikit sebanyak menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga mampu mencapai prestasi cemerlang dalam bidang sukan meskipun cacat anggota," katanya selepas menyerahkan Insentif Kemenangan Atlet Melaka sempena kejohanan itu di sini, semalam.

Pada majlis itu, tujuh agensi kerajaan termasuk swasta menyampaikan sumbangan berjumlah RM71,000 sempena temasya berkenaan dengan Pejabat Pembangunan Negeri menyumbang RM20,000, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM10,000), Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (RM10,000).

Turut menyumbang Tenaga Nasional Berhad (RM10,000), EMATA Sdn Bhd (RM10,000), Menara Taming Sari (RM5,000), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM4,000) dan Selia Senggara Selatan Sdn Bhd (RM2,000).

Sempena temasya Sukan Paralimpiad tahun ini, seramai 1,926 atlet dan pegawai dari 16 buah negeri menyertai pertandingan itu yang menyediakan 16 acara.

Mohd. Ali berkata, setakat ini, beliau bangga dengan tahap prestasi atlet negeri ini yang berjaya meraih 17 pingat emas sekali gus membolehkan Melaka menduduki tangga kelima daripada 16 negeri yang bertanding.

Katanya, antara sukan yang turut menyumbang pingat ialah badminton, olahraga, catur, ping pong, renang dan tenpin boling.

''Bagi memastikan sasaran ini berjaya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM50,000 sebagai insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat iaitu RM500 bagi emas, RM300 (perak) dan RM200 bagi gangsa.

''Pemberian Insentif ini adalah bertujuan untuk memberi semangat dan sokongan kepada semua atlet negeri supaya bersungguh-sungguh dalam sukan yang diceburinya.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan agar semua atlet Melaka yang bertanding pada temasya sukan itu supaya fokus dengan misi mereka dan memenuhi matlamat Melaka untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

''Bagaimanapun, saya berpuas hati dan bangga dengan pencapaian mereka pada tahun ini yang dilihat lebih baik berbanding pada tahun lalu," katanya

Kelantan mula berlatih

KOTA BHARU - Semua pemain pasukan The Red Warriors dijangka akan mula melaporkan diri esok, bagi memulakan sesi latihan pra musim sebagai persiapan pasukan itu untuk mempertahankan kejuaraannya.

Ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkata, sesi latihan tersebut bermula sehari selepas kesemua pemain berbuat demikian termasuklah tiga muka baru.

Menurutnya, tiga pemain tersebut yang akan memperkuatkan The Red Warriors ialah Nurul Azuan Roya (Johor FC). K. Soley (Perlis) dan Mohamad Abdul Aziz Ismail (KL Plus).

"Pemain yang ada sudah mencukupi, setakat hanya tiga pemain itu sahaja yang dibawa masuk seperti yang diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

"Kemasukan tiga pemain ini dilihat akan memantapkan serta memperkukuhkan lagi barisan pemain yang sedia ada dalam pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, kesemua tiga pemain tersebut mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah liga tempatan.

"Walaupun mereka bukan nama besar dalam kancah liga tempatan, namun saya yakin kehadiran tiga pemain ini akan memberikan impak buat pasukan untuk musim hadapan.

"Harus diingat untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat dan stabil memerlukan lebih dari sebelas pemain yang boleh beraksi bila diperlukan," ujarnya.

Jelasnya, barisan pemain yang ramai memberikan kelebihan buatnya untuk membuat pilihan bagi membentuk gandingan mantap dalam pasukan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu memberitahu, untuk musim hadapan beliau akan memberikan peluang kepada pemain-pemain pelapis untuk membarisi skuad utama.

"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya lihat ada tiga pemain muda yang boleh di ketengahkan untuk musim hadapan," katanya.

Sathianathan turut menegaskan untuk musim hadapan The Red Warrios bakal kehilangan dua peledak berbisanya iaitu Hairuddin Omar yang berhijrah ke Negeri Sembilan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli ke Perak.

Katanya, ketiadaan dua penyerang berbisa itu memberi cabaran kepada beliau untuk menggilap bakat baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penyerang negara itu.

"Inilah peluang terbaik buat pemain yang jarang beraksi seperti Ramzul Zahini Adnan, Nizad Ayub dan beberapa pemain lagi untuk membuktikan kemampuan bahawa mereka layak untuk membarisi kesebelasan utama.

"Seperti yang ditunjukkan oleh Khairul Fahmi, dia telah menggunakan peluang yang ditinggalkan oleh Syed Adney Syed Hussin dengan beraksi cemerlang sehingga dipilih sebagai penjaga gawang utama negara," katanya

Perebutan naib juara Wira tetap hangat

KUALA LUMPUR - Walaupun menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Azhar Abdul Jalil dan Muhd. Syawalludin Muhd Zaki mahu memberikan persembahan terbaik pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember ini.

Kedua-dua pelumba itu bersaing merebut naib juara kelas Wira di belakang Mohd. Adib Rosley, yang telah pun bergelar juara kelas tersebut pada pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) minggu lalu.

Azhar (Motul Yamaha YY Pang) kini di tangga kedua dengan 133 mata, manakala Syawal (Modenas FortyOne Racing) di tempat ketiga dengan 125 mata.

Dengan perbezaan lapan mata, kedua-dua pelumba itu bersemangat untuk saingan minggu depan.

Azhar berkata: "Perlumbaan terakhir ini begitu mencabar kerana saya terpaksa membahagikan fokus pada peperiksaan dan juga kedudukan kedua di dalam carta keseluruhan.

''Mujurlah pada perlumbaan nanti saya tidak menduduki kertas ujian SPM sehingga 15 Disember," jelas pelumba berusia 17 tahun itu.

Juara Wira 2009 itu turut menambah: "Saya kurang senang apabila memikirkan Syawal hanya lapan mata di belakang saya. Saya bertambah kecewa apabila mengenang kembali kegagalan mengutip sebarang mata pada perlumbaan di Sepang ekoran kegagalan jentera.

"Oleh itu, pada pusingan akhir ini, saya berharap untuk membentuk strategi pasukan dengan Adib. Saya pasti dengan bantuannya saya boleh menghabiskan perlumbaan di hadapan Syawal sekaligus merampas kemenangan kedua saya untuk musim ini," ujar Azhar yang muncul juara di Pulau Pinang musim lepas.

Sementara itu, Syawal menjangkakan saingan sengit di litar Padang Kota Lama.

"Walaupun lebih kecil dari litar Sepang, pusingan 10 bagi saya merupakan sebuah lagi perlumbaan yang memberikan fokus pada aspek kelajuan jentera kerana hanya terdapat empat selekoh. Saya yakin dengan pelarasan jentera sekarang, saya boleh memberikan tekanan pada Azhar. Walau bagaimanapun, saya masih perlu berhati-hati kerana Azhar mempunyai rekod baik di situ dan Adib pasti akan membantunya," jelas Syawal yang berasal dari Terengganu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...