TAHNIAH diucapkan kepada kontinjen negara kerana menepati sasaran sembilan pingat emas Sukan Asia Guangzhou, 2010. Pada saya setinggi-tinggi tahniah sepatutnya diberikan kepada dua atlet veteran karate, iaitu Koo Jin Keat dan R. Puvaneswaran kerana memenangi dua pingat emas untuk negara.
Kontinjen kita kali ini mengandungi 346 atlet serta 105 pegawai dan jurulatih yang merupakan kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan Asia. Daripada jumlah ini, terdapat kurang sedikit dari 140 orang atlet bertanding di atas kategori B, manakala 200 daripadanya adalah dari kategori A. Kita telah menyertai dalam 29 sukan daripada 42 yang dipertandingkan di mana 23 darinya berada dalam Program Cabaran 2010.
Kita dimaklumkan bahawa sasaran sembilan pingat emas datangnya daripada tiga sukan utama iaitu skuasy, tenpin boling dan berbasikal (trek) yang ditambah dengan sukan pelayaran serta wusyu. Di Guangzhou atlet dari sukan skuasy(3), tenpin boling (2), wushu (1), berbasikal trek(1) menyumbangkan tujuh pingat emas dan sukan yang tidak menjadi sasaran iaitu karate menghadiahkan kita dengan 2 pingat emas.
Di Doha empat tahun lalu kontinjen kita mendapat 42 pingat yang terdiri dari lapan pingat emas, 17 perak dan 17 gangsa menduduki tangga ke 11. Di Guangzhou kontinjen kita memenangi sejumlah 41 pingat yang terdiri dari sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa menduduki tangga ke-10.
Apa yang menarik kali ini ialah pencapaian hoki negara yang buat pertama kali layak ke pertandingan akhir, tetapi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sahaja. Pasukan hoki sewajarnya menunjukkan prestasi yang lebih baik, kerana perbelanjaan untuk mereka adalah besar kerana pada hemat saya, pasukan hoki ini tidak pernah lekang daripada bantuan MSN sejak daripada Program Jaya 98 lagi.
Sebelum ini prestasi pasukan ini tidaklah boleh dibanggakan sangat dan kali terakhir kita menang pingat gangsa Sukan Asia pada tahun 2002 di Busan.
Kita gagal layak ke Sukan Olimpik 2004 Athens dan 2008 Beijing. Apa yang perlu dibuktikan oleh pasukan ini ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 London dengan memenangi Pusingan Kelayakan yang akan diadakan kelak. Kejayaan di Pusingan Kelayakan ini akan menobatkan pasukan hoki sebagai pasukan yang telah berjaya meningkatkan prestasinya.
Pasukan bola sepak kita juga patut diberi pujian kerana layak ke pusingan kedua walaupun gagal untuk meneruskan cabaran kerana kekurangan pemain akibat kecederaan dan digantung daripada bermain.
Atlet acara terjun patut juga diberi pujian oleh kerana hampir kesemuanya berjaya memenangi pingat walaupun setakat pingat perak dan gangsa sahaja. Pelaburan untuk sukan ini amat besar dan ianya menunjukkan satu pulangan yang berbaloi. Walaupun kita menang pingat perak, kita tidak boleh mengatakan bahawa penerjun kita berada di tahap dunia kerana markah yang dipungut dibandingkan dengan pencapaian penerjun dari China cukup besar bezanya. Kita perlu memperbaiki lagi teknik penerjunan kalau hendak bersaing dengan atlet dari China dan negara-negara lain di dunia di kancah Sukan Olimpik.
Azizulhasni akhirnya menang pingat emas dalam acara keirin bersama-sama dengan Josiah Ng yang mendapat pingat perak. Peranan Azizul dalam acara trek sangat penting oleh kerana ketiadaannya pasukan pecut kita gagal memenangi apa-apa pingat. Beliau sebenarnya jaguh acara keirin dan inilah patut menjadi tumpuannya di Sukan Olimpik 2012 nanti.
Pemain beregu badminton, Koo Kien Keat- Tan Beng Heong gagal mempertahankan pingat emasnya di Doha. Mereka hampir memenanginya tetapi boleh jadi hilang fokus, terpaksalah menyerahkan pingat tersebut kepada pasangan dari Indonesia, yang berkemungkinan besar akan menghantui mereka sehingga ke Sukan Olimpik 2012 nanti.
Pasukan skuasy negara menang tiga pingat emas daripada empat yang dipertandingkan. Di Guangzhou acara sukan skuasy ditambah menjadi empat lebih banyak dari di Doha. Kita patut bersyukur kerana pasukan skuasy wanita berjaya melengkapkan pingat emas yang kesembilan kepada negara. Barang diingat bahawa kita mungkin tidak bernasib baik empat tahun dari sekarang sama ada di Incheon, Korea Selatan atau di Glasgow, Scotland untuk menanti pingat emas pasukan skuasy atau pasukan boling padang untuk melengkapkan sasaran 13 pingat emas di Sukan Komanwel dan 10 emas di Sukan Asia, kerana ketika itu atlet-atlet berkenaan sudah bersara atau telah lepas pada zaman kecemerlangan masing-masing. Inilah yang patut kita takutkan daripada berlaku dan perlu mengambil tindakan yang tepat untuk mengelakkannya dari berlaku.
Daripada 346 atlet yang bertanding, hanya lebih kurang 77 atlet termasuk acara pasukan sahaja berjaya memenangi pingat. Selebihnya mungkin berjaya memperbaiki prestasi masing-masing atau membaharui rekod kebangsaan, tetapi kebanyakannya adalah sebagai anggota kontinjen sahaja. Adakah atlet kategori B masih relevan lagi?
Seperkara yang perlu dilihat bahawa terdapat atlet-atlet veteran yang masih kekal dan ada yang masih mampu memenangi pingat seperti yang ditunjukkan oleh atlet karate. Roslinda Samsu dan Norasheela Khalid (olahraga), Nicol Ann David, Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar (skuasy), Alex Liew dan Shalin Zulkifli (tenpin boling), Josiah Ng (berbasikal), Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee dan Yeo Ken Nee (terjun), Qabil Ambak (ekuestrian) adalah nama-nama yang boleh dikatakan veteran yang masih mewakili negara. Banyak interprestasi yang boleh dibuat dari senario ini




No comments:
Post a Comment