GUANGZHOU - Perjudian Malaysia untuk tetap menurunkan Ong Beng Hee yang tidak pulih sepenuhnya daripada masalah keracunan makanan, merentap peluang negara untuk menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan skuasy pada Sukan Asia XVI apabila tumpas 0-2 kepada Pakistan pada saingan akhir berpasukan lelaki, semalam.
Beng Hee mengalami keracunan makanan sejak Selasa lalu dan tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Malaysia, menentang India di peringkat Kumpulan B dan Hong Kong pada separuh akhir, kelmarin.
Bagaimanapun atas alasan taktikal, dia tetap diturunkan dengan harapan Mohd. Azlan Iskandar mampu mengheret pertarungan ke permainan ketiga, di mana Mohd. Naffizwan Adnan kemudian menjadi taruhan untuk mengutip mata kemenangan ke atas Yasir Ali Butt.
Malangnya, Azlan tumpas 12-14, 13-15, 4-11 kepada Aamir Atlas Khan, pemain yang dikalahkan dalam saingan individu untuk menyerahkan kemenangan kepada Pakistan. Terdahulu, Beng Hee seperti diduga tewas 4-11, 4-11, 7-11 kepada Farhan Mehboob dalam saingan pembukaan.
"Saya sebenarnya belum sihat sepenuhnya tetapi atas sebab taktikal pasukan tetap menurunkan saya dengan harapan Azlan akan mengikat kedudukan 1-1 dan kemudian Nafiizwan mencari mata kemenangan dalam permainan penentuan, ia merupakan satu perjudian, tetapi kami terpaksa melakukannya.
"Sayang sekali semua yang dirancang tidak menjadi, jika perlawanan berjaya diheret ke permainan penentuan, saya rasa Nafiizwan mempunyai peluang yang baik untuk menang ke atas perseorangan ketiga Pakistan. Namun, lebih malang lagi, saya kena keracunan di saat yang genting," ujar Beng Hee.
Perjudian yang dilakukan pasukan negara ada logiknya. Jika Beng Hee direhatkan, maka Nafiizwan terpaksa memikul tugas perseorangan pertama dan peluang pemain muda itu untuk menang ke atas Farhan dilihat sukar berbanding menentang Yasir.
Begitupun, strategi yang dirancang tidak menjadi apabila Azlan yang memegang 'kunci' gagal memberi kemenangan, justeru tidak hairanlah mengapa jaguh No. 1 negara itu tampak begitu kecewa sejurus menamatkan saingan.
"Hati saya amat remuk ketika ini, saya sangat.. sangat kecewa. Ia sepatutnya menjadi penamat yang sempurna buat Malaysia, dengan menyapu bersih semua pingat emas Sukan Asia.
"Apa pun, saya sangat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pemain muda seperti Nafiizwan dan Ivan (Yuen). Mereka telah membawa kami ke perlawanan akhir, ini adalah pemain masa depan dan kita memerlukan mereka jika mahu meneruskan dominasi pada peringkat Asia.
"Saya harap, mereka mendapat perhatian yang serius untuk diketengahkan dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa. Saya bukan semakin muda, begitu juga Beng Hee jadi kami memerlukan lebih ramai pemain muda untuk membawa cabaran di pentas dunia," ujar Azlan.
Azlan, 28, turut mengesahkan ini adalah penampilan terakhirnya pada Sukan Asia. Dia tidak mungkin beraksi di Incheon, empat tahun dari sekarang kerana umurnya sudah mencecah 32 tahun ketika itu.
Begitupun, Beng Hee mempunyai pandangan berbeza mengenai harapannya dalam Sukan Asia, masih berharap untuk beraksi empat tahun dari sekarang jika keadaan fizikalnya masih mengizinkan.
Kekalahan semalam mengulangi kekecewaan Malaysia yang turut ditumpaskan oleh lawan yang sama dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki pada Kejohanan Asia di Chennai, Mei lalu, juga dengan keputusan 0-2.
Walaupun kempunan untuk menyapu bersih semua empat emas yang ditawarkan, skuasy tetap pulang sebagai sukan terbaik di Guangzhou selepas muncul penyumbang emas terbesar kontinjen Malaysia.
Selain menjuarai saingan berpasukan wanita, Malaysia turut merangkul kejuaraan berganda dalam saingan individu apabila muncul juara perseorangan lelaki dan wanita menerusi Azlan dan Datuk Nicol David




No comments:
Post a Comment