Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Tuesday, November 30, 2010

Perak giat buru dua pemain bertaraf bintang

Perak sedang memburu dua pemain ternama untuk disenaraikan dalam skuad bola sepak Liga Super negeri itu musim depan.

Dalam buruan awal, Perak berjaya memikat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustapa menyarung jersi skuad Seladang.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagaimanapun enggan menyebut pemain yang kini menjadi buruan skuad itu.

Katanya, pemain yang akan dipilih itu sedang dikenal pasti sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir Disember ini.

"Dengan penyertaan Akmal Rizal yang mempunyai pengalaman sebagai bekas pemain kebangsaan, dia mampu memberikan dorongan dalam mengalas cabaran skuad Seladang bagi menghadapi musim 2011," katanya.

Beliau merasmikan Pelancaran Kad Semusim, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan jersi baru Perak jenama Specs bernilai RM300,000 dan memperkenalkan para pemain Perak untuk musim 2011 di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini, semalam.

MoU itu antara kerajaan negeri diwakili Zainol Fadzi dengan PT Panatrade Carawa (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arif P. Wirawan).

Kata Zainol Fadzi, pihak pengurusan sedang mengatur perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain yang dimaksudkan.

"Kita akan mengambil kira kemampuan kedudukan kewangan PAFA bagi mendapatkan pemain berkenaan," katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya yakin dengan kemampuan barisan pemain Perak yang diketengahkan kali ini.

"Kita percaya skuad Seladang mampu menjadi antara pasukan kelima terbaik dalam Liga Super,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zainol Fadzi berkata, kad bermusim yang diperkenalkan adalah ditawarkan kepada 1,000 orang pada harga RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung.

Katanya, sebanyak 200 tempat duduk berbumbung pula ditawarkan dengan kad berharga RM150.

Menurut beliau, peminat bola sepak yang membeli tiket bermusim, boleh menyaksikan semua 25 permainan yang berlangsung di Stadium Perak.

''Kad-kad tersebut boleh diperoleh di pejabat PAFA,'' katanya.

Sementara itu, Akmal Rizal, 29, berkata, dia sudah bersiap sedia untuk menggalas cabaran Perak musim ini.

"Saya akan bekerja keras untuk mengembalikan kegemilangan Perak dalam Liga Super 2011.

"Saya melihat barisan pemain muda yang digandingkan dalam skuad Seladang kali ini mampu untuk menghadapi cabaran itu," katanya.

Akmal Rizal merupakan pemain berpengalaman yang pernah mewakili pasukan kebangsaan sejak berusia 18 tahun, dengan kejayaan terbaru membantu Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...