Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, November 27, 2010

Melaka mampu kutip 26 emas

MELAKA - Kerajaan negeri yakin atlet Melaka mampu merealisasikan sasaran kutipan 26 pingat emas pada Kejohanan Sukan Paralimpiad XV Malaysia yang akan menutup tirai malam ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, keyakinan itu disandarkan menerusi pencapaian dan komitmen cemerlang yang ditunjukkan oleh atlet Melaka setakat ini.

''Daripada 571 emas yang ditawarkan, kita yakin atlet Melaka mampu mencapai sasaran sebanyak itu memandangkan mereka begitu berazam dan bersungguh-sungguh.

''Ini sedikit sebanyak menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga mampu mencapai prestasi cemerlang dalam bidang sukan meskipun cacat anggota," katanya selepas menyerahkan Insentif Kemenangan Atlet Melaka sempena kejohanan itu di sini, semalam.

Pada majlis itu, tujuh agensi kerajaan termasuk swasta menyampaikan sumbangan berjumlah RM71,000 sempena temasya berkenaan dengan Pejabat Pembangunan Negeri menyumbang RM20,000, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM10,000), Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (RM10,000).

Turut menyumbang Tenaga Nasional Berhad (RM10,000), EMATA Sdn Bhd (RM10,000), Menara Taming Sari (RM5,000), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM4,000) dan Selia Senggara Selatan Sdn Bhd (RM2,000).

Sempena temasya Sukan Paralimpiad tahun ini, seramai 1,926 atlet dan pegawai dari 16 buah negeri menyertai pertandingan itu yang menyediakan 16 acara.

Mohd. Ali berkata, setakat ini, beliau bangga dengan tahap prestasi atlet negeri ini yang berjaya meraih 17 pingat emas sekali gus membolehkan Melaka menduduki tangga kelima daripada 16 negeri yang bertanding.

Katanya, antara sukan yang turut menyumbang pingat ialah badminton, olahraga, catur, ping pong, renang dan tenpin boling.

''Bagi memastikan sasaran ini berjaya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM50,000 sebagai insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat iaitu RM500 bagi emas, RM300 (perak) dan RM200 bagi gangsa.

''Pemberian Insentif ini adalah bertujuan untuk memberi semangat dan sokongan kepada semua atlet negeri supaya bersungguh-sungguh dalam sukan yang diceburinya.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan agar semua atlet Melaka yang bertanding pada temasya sukan itu supaya fokus dengan misi mereka dan memenuhi matlamat Melaka untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

''Bagaimanapun, saya berpuas hati dan bangga dengan pencapaian mereka pada tahun ini yang dilihat lebih baik berbanding pada tahun lalu," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...