Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Wednesday, December 1, 2010

KOAM perlukan perubahan drastik

Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) digesa melakukan sesuatu untuk meningkatkan sukan olahraga negara agar setanding dengan negara Asia.

Seorang pemimpin kesatuan sukan yang enggan namanya didedahkan berkata, luahan kecewa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek harus dijadikan iktibar kepada KOAM, selepas atlet olahraga negara gagal menyumbang pingat pada Sukan Asia Guangzhou yang baru berakhir.

Menurutnya, skuad olahraga kebangsaan juga tidak berdaya menghadiahkan sebarang pingat dalam Sukan Komanwel di New Delhi, dua bulan lalu.

Katanya, ia membuktikan bahawa prestasi yang diharapkan oleh peminat olahraga tempatan masih belum berada di landasan yang sewajarnya.

''Kelibat pengganti kepada jaguh olahraga yang pernah menyumbang pingat kepada negara seperti ratu pecut berpagar, Noraseela Khalid, ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu masih belum kelihatan.

''Dalam soal ini, beberapa perkara perlu dinilai oleh KOAM sendiri bagi memastikan pembaharuan yang dilakukan dapat memberi impak positif kepada badan olahraga itu, selain dapat membantu meningkatkan pembangunan sukan negara.

''Terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh KOAM sendiri antaranya dengan mengerakkan program yang lebih bersepadu melalui jawatankuasa pembangunan KOAM di peringkat negeri,'' katanya ketika ditemui, semalam..

Menurutnya, penganjuran program olahraga di peringkat negeri oleh KOAM sendiri mungkin mampu untuk melahirkan bakat-bakat baru yang lebih berdaya saing seandainya perancangan yang dilaksanakan sentiasa berterusan melalui pengawasan pihak pengurusan KOAM di peringkat pusat.

Katanya, jika ini dapat dilaksanakan oleh KOAM secara drastik sudah tentu tidak wujud masalah untuk mencari bakal pengganti kepada jaguh-jaguh kebangsaan yang sedia ada kini.

''Dalam pada itu, satu jawatan pengarah teknikal juga perlu diwujudkan di peringkat badan induk KOAM bagi memastikan masalah ketandusan atlet tidak lagi menghantui kesatuan tersebut.

''Antara peranan utama yang perlu dilakukan oleh seorang pengarah teknikal ialah dengan membantu pihak pengurusan tertinggi kesatuan dalam meningkatkan keupayaan untuk mengetengahkan bakat muda selain mampu untuk mencadangkan idea realistik untuk diguna pakai oleh pihak pengurusan KOAM.

''Dalam isu ini, semua ahli di peringkat akar umbi KOAM harus bersama-sama menyumbang pandangan kepada pembangunan sukan olahraga daripada menuding jari sesama sendiri atau kepada pihak lain,'' katanya.

Kali terakhir Malaysia mempamer aksi cemerlang pada Sukan Asia adalah melalui atlet pecut 100m lelaki Rabuan Pit pada tahun 1982 dan selepas itu tiada lagi kilauan emas menyinari skuad olahraga negara di temasya sedemikian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...