Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 3, 2010

Rangkaian baru pecut belum panas

Aksi sulung pasukan trek profesional Yayasan Sime Darby (YSD) di Piala Dunia UCI Klasik Melbourne bermula dengan langkah kiri selepas gagal melayakkan diri ke saingan akhir acara pecut berpasukan semalam.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas keirin, Sukan Asia Guangzhou, Mohd. Azizulhasni Awang tetap berpuas hati dengan kedudukan di tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang mengambil bahagian dengan catatan 45.170 saat.

Menurutnya, aksi yang dipamerkan bersama rangkaian baru, Edrus Yunos dan Rizal Tisin bermula sangat baik pada peringkat awal dan kedudukan serta masa yang dicatatkan sedikit pun tidak melemahkan semangatnya.

"Saya rasa kombinasi baru ini amat bagus, lagipun Rizal mungkin agak sedikit penat kerana mengambil bahagian dalam acara omnium pada sebelah pagi, saya harap selepas ini dalam kejohanan lain kami mampu untuk mencatat keputusan yang lebih baik seterusnya memecahkan rekod kebangsaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook, semalam.

Jelasnya, jika terus diberi ruang dan sedikit masa, tidak mustahil kombinasi antara dia, Rizal dan Edrus mampu pergi jauh walaupun mereka perlu menandingi kehebatan pasukan Jepun dan China yang berkuasa di rantau Asia.

Dalam acara kelayakan itu, empat pasukan yang berjaya mara ke saingan akhir ialah Scotland yang diketuai oleh pelumba hebat mereka, Chris Hoy, New Zealand, Jerman dan pasukan trek profesional Australia, Team Jayco AIS.

Sementara itu, pengurus pasukan YSD, Datuk Naim Mohamad turut berpuas hati dengan kombinasi ketiga-tiga pelumba tersebut walaupun mereka tidak mempunyai rehat yang cukup selepas beraksi di Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia.

"Catatan masa yang dilakukan mereka agak baik walaupun gagal menempah tempat ke saingan akhir, saya sedar mereka masih lagi kepenatan mengharungi dua kejohanan besar berturut-turut sedangkan ada di antara pelumba negara lain hanya beraksi di Sukan Komanwel atau Sukan Asia sahaja.

"Masih banyak acara lagi yang akan melibatkan pasukan YSD dan juga skuad kebangsaan, kita tidak perlu kecewa sebaliknya terus fokus kepada acara lain yang akan diharungi selepas ini termasuk 200 meter pecut lelaki, keirin dan ujian masa 500 meter wanita," katanya.

Selain pasukan YSD, pelumba negara yang mewakili pasukan kebangsaan pula terdiri daripada Josiah Ng, Mohamad Hafiz Suffian, Fatehah Mustapa dan Kimbeley Yap.

"Saya mensasarkan semua mereka yang mewakili pasukan YSD dan juga kebangsaan dapat menduduki tempat 10 terbaik atau mara sehingga ke suku akhir bagi acara yang akan diwakili untuk kejohanan tiga hari ini.

"Kehadiran pelumba negara dalam dua pasukan yang berbeza tidak menjadi masalah, malah ia akan membangkitkan lagi semangat bersaing antara satu sama lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...