Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Wednesday, December 1, 2010

Sabre ikrar sekat Indonesia

Jika dinilai setiap bahagian di dalam skuad bola sepak negara yang akan memulakan aksi bola sepak Piala Suzuki AFF hari ini, posisi pertahanan mungkin mencetuskan sedikit kebimbangan kerana ramai tonggak utama mengalami kecederaan.

Ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak, Norhafiz Zamani Misbah, Azmi Muslim dan Mohd. Nasriq Baharom yang sebelum ini dijangka menjadi tulang belakang negara di bahagian pertahanan terlepas peluang ke Jakarta gara-gara kecederaan.

Tanpa khidmat empat pemain itu, tanggungjawab mengawal kubu negara kini dilihat terarah kepada anak jati Parit Buntar, Perak iaitu Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka akan menjadi pilihan utama K. Rajagobal untuk beraksi di posisi pertahanan tengah.

Berdasarkan kekuatan fizikal yang ada pada pemain bertubuh sasa itu, dia dilihat antara muka berpengalaman di dalam skuad kebangsaan dan merupakan salah seorang tonggak utama ketika Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009.

''Mungkin jika dilihat senarai pemain yang ada, saya dan Asraruddin Putra Omar antara orang lama yang tinggal selepas ketiadaan Aidil serta Nasriq.

''Namun, itu tidak memberikan tekanan kepada saya jika diturunkan kerana yakin dengan pengalaman sedia ada, saya mampu berjuang sebaik mungkin kepada negara.

''Malah, tahap kecergasan saya juga semakin meningkat kerana kecederaan di bahagian tisu perut telah sembuh sepenuhnya sebulan yang lepas, '' kata Sabre.

Selain Sabre, Khairul Helmi Johari, Mohd. Razman Roslan, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Mohd Faizal Muhammad mencukupkan senarai pemain di posisi pertahanan.

Ditanya mengenai kemampuan Malaysia untuk menang pada pertemuan hari ini, Sabre yang juga merupakan tonggak Kedah menyifatkan peluang adalah 50-50 dan bagi merealisasikan harapan tersebut, dia dan rakan-rakan di pertahanan perlu merantai pergerakan awang import dari Uruguay, Cristian Gonzales dan penyerang veteran, Bambang Pamungkas.

''Saya dan rakan sepasukan ada melihat rakaman video aksi membabitkan Gonzales dan kami mendapat sedikit panduan bagaimana untuk mengekang dia nanti daripada bermaharajalela di hadapan pintu gol.

''Jika kami berjaya menutup ruang kepada barisan serangan Indonesia, peluang Malaysia meraih tiga mata amat cerah tambahan saya anggap perlawanan pertama ini umpama hidup mati skuad negara kita untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF,'' jelas Sabre

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...