Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, December 23, 2010

1,300 polis, 250 FRU kawal venue babak akhir

Sebanyak 1,300 anggota polis dan 250 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai langkah keselamatan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Indonesia, Ahad ini.

Langkah menempatkan anggota keselamatan itu dicapai oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mesyuarat Jawatankuasa Tempatan (LOC) di Wisma FAM, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, langkah keselamatan amat penting kerana berdasarkan pertemuan terakhir membabitkan dua pasukan tersebut, tercetus insiden melibatkan penyokong kedua-dua negara.

''Dalam mesyuarat berkenaan, wakil PDRM, Cif Inspektor Husin Ali berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

''Mereka juga memberi jaminan sebanyak 1,300 anggota keselamatan dan 250 FRU akan ditempatkan di dalam dan luar stadium.

''Jumlah itu mungkin bertambah berdasarkan keperluan yang dilihat oleh PDRM pada hari perlawanan itu nanti, '' katanya.

Selain PDRM, wakil daripada syarikat keselamatan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Syarikat RapidKL turut hadir pada mesyuarat LOC.

Azzuddin menambah, pintu pagar Stadium Nasional akan dibuka seawal pukul 3 petang hari perlawanan.

''Penyokong Malaysia dan Indonesia dinasihat datang lebih awal, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

''Kalau boleh gunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan, kerana pada hari berkenaan, kawasan letak kenderaan A, terdapat program lain turut dijalankan.

''Penyokong Indonesia boleh masuk melalui pintu pagar Biru dan Ungu, sementara penyokong tempatan boleh memasuki mana-mana pintu selain dua pintu tersebut, '' katanya.

Mengenai peruntukkan tiket bagi penyokong Malaysia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Azzuddin berkata, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menyediakan sejumlah 15,000 tiket, jumlah yang sama diberikan kepada penyokong mereka di sini.

''Kami ada menerima permintaan daripada pelajar dan warganegara kita yang berada di Jakarta sementara Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) juga telah mengemukakan permohonan, namun FAM sedang menyelaraskan jumlah sebenar,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...