Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, December 4, 2010

Skuasy, Fitz-Gerald sekat hajat Malaysia

Sarah Fitz-Gerald yang kembali ke gelanggang selepas hampir sedekad bersara menjadi pemusnah Malaysia apabila mengetuai kemenangan 2-1 Australia pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Palmerston North, New Zealand semalam.

Fitz-Gerald, yang menyambut ulang tahun ke-42 pada 1 Disember lalu dan mengumumkan persaraannya daripada kejohanan kompetitif pada 2002, masih terlalu sukar digugat apabila menyumbang mata sulung Australia dengan menundukkan Sharon Wee 11-5, 13-11, 11-7.

Juara dunia lima kali itu hanya memerlukan 25 minit untuk mengetepikan cabaran Sharon, pemain yang 10 tahun lebih muda daripadanya untuk meletakkan Australia di landasan terbaik untuk mencari kejuaraan berpasukan dunia buat kali kesembilan.

Meskipun jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David, satu-satunya pemain yang berkongsi rekod memenangi gelaran dunia sebanyak lima kali bersama Fitz-Gerald berjaya menghidupkan peluang Malaysia dengan menyamakan kedudukan 1-1, namun keajaiban yang diharapkan daripada Delia Arnold dalam saingan penentuan tidak berlaku.

Selepas mempamer persembahan hebat ketika menundukkan pemain Mesir, Engy Kheirallah pada suku akhir kelmarin, Delia terpaksa akur dengan pengalaman dan kehebatan Kasey Brown apabila tunduk 6-11, 3-11, 10-12.

Terdahulu, Nicol seperti diduga tidak menghampakan skuad negara apabila menyumbang mata tunggal Malaysia dengan mengalahkan seteru utama, Rachael Grinham 11-8, 11-5, 11-5 dalam saingan perseorangan kedua.

Kekalahan ini memusnahkan hajat Malaysia untuk melakar sejarah layak ke final buat kali pertama, namun kita masih berada di landasan untuk mengulangi pencapaian terbaik - menghuni tangga ketiga (di Kaherah, Mesir 2008 dan Edmonton, Kanada 2006) apabila bertemu New Zealand hari ini.

New Zealand, yang menundukkan Malaysia 2-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan turut tercicir daripada meraih tiket ke perlawanan akhir selepas tewas 1-2 kepada pilihan pertama, England dalam satu lagi saingan separuh akhir, semalam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...