Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 3, 2010

Bantah ambil perunding Thai

Bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Dermi Habib membantah keras saranan mengambil perunding kejurulatihan daripada musuh tradisi, Thailand kerana ia cuma membazirkan wang rakyat dan dikhuatiri sukar diterima jurulatih dan pemain negara.

Katanya, pendapatan lumayan perunding itu lebih wajar digunakan untuk membiayai pembentukan sebuah panel jurulatih tempatan terbaik yang mampu memikirkan teknik dan taktik permainan yang menghasilkan kejayaan di peringkat antarabangsa.

Bekas pengurus pasukan negara yang menjuarai Sukan SEAP Singapura 1973 dan Bangkok 1975 ini, berkata: "Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk mengambil orang Thailand sama ada bagi melatih atau menasihat jurulatih kita kecuali cuma membazirkan wang kita.

"Kebanyakan mereka pun sukar bertutur dalam bahasa Inggeris apatah lagi Melayu, lalu bagaimana mahu mengajar kita kerana bagi saya, sekadar dengan menunjukkan pergerakan kaki dan tangan, tidak akan memadai dan sukar difahami atau diamalkan.

"Lebih baik gaji perunding Thailand itu disalurkan untuk menghimpun jurulatih terbaik kita dalam sebuah panel atau jawatankuasa yang memikirkan cara dan pandangan terbaik bagi kemajuan dan kejayaan skuad kebangsaan."

Dermi menyandang jawatan PSM itu dari 1971 hingga 1982.

Dermi mengulas saranan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail untuk mendapatkan khidmat perunding Thailand bagi membantu jurulatih negara mendapatkan teknik dan taktik baru dan tertentu dalam latihan dan corak permainan ekoran kegagalan skuad negara meraih pingat emas Sukan Asia XVI Guangzhou, baru-baru ini.

"Seingat saya ketika mengikuti perlawanan skuad negara dan mentadbir PSM, tidak pernah pula ada mana-mana pegawai persatuan negara itu yang datang memohon mengambil mana-mana jurulatih kita walaupun kita memang handal dan selalu menang emas Sukan SEAP.

"Jika ada pun setiap kali kita berlatih atau mengadakan pertandingan tempatan, maka Thailand akan menghantar seseorang sebagai pemerhati atau pengintip yang membuat rakaman atau catatan mengenai gerak-geri pemain dan selok-belok permainan kita, itu sahaja," katanya.

Dermi yang pernah menyandang jawatan kanan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), bagaimanapun mengingatkan panel jurulatih tempatan baru itu, sentiasa bersatu dengan berkongsi segala idea dan pandangan mereka demi kejayaan skuad negara

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...