Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, December 2, 2010

BAM rombak sistem latihan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan merombak sistem latihan bagi memberi peluang lebih ramai pemain pelapis menyertai skuad elit dalam pelbagai kejohanan berprestij mulai tahun depan.

Timbalan Presiden BAM, Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata, BAM tidak mahu lagi bergantung kepada beberapa pemain yang kini sudah menghampiri usia persaraan.

Beliau mengakui, sudah tiba masanya untuk memberi pendedahan kepada pemain pelapis bertemu lawan yang menduduki rangking dunia mulai musim depan dan menjadikan beberapa pemain skuad elit sebagai rakan sepelatih.

"BAM perlu berani memberi peluang kepada pemain muda menyertai kejohanan lebih besar dan mereka akan berlatih bersama-sama skuad elit bagi memantapkan permainan," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jurulatih diminta memilih kejohanan tertentu sahaja bagi memberi peluang kepada skuad elit terus selesa dalam ranking dunia, sementara skuad pelapis turut mendapat pendedahan di peringkat tertinggi.

Selain Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Bong Heong yang dikira berada dalam zon selamat untuk terus berada dalam kelompok elit Road to Landon 2012, nasib pemain lain mungkin berubah.

Pemenang pingat perak acara perseorangan dan beregu dalam Sukan Asia Guangzhou,, baru-baru ini akan terus diberi peranan utama dalam skuad negara, tetapi Mohd.Hafiz Hashim lebih terarah membantu pemain muda.

Tengku Kamil mengakui tiada pemain pelapis mampu menggugat pemain kelahiran Kelantan itu setakat ini, tetapi pendedahan berterusan akan dapat membantu pemain-pemain muda meningkatkan kualiti permainan mereka.

"Rombakan sistem latihan juga penting untuk memastikan pemain-pemain elit ketidak terdedah kepada risiko kecederaan, selain bersikap selektif untuk setiap penyertaan mereka ke kejohanan luar.

"BAM sedar harapan yang diletakkan di bahu Chong Wei dan pasangan beregu, Kien Keat-Boon Heong untuk meraih emas pada Temasya London 2012 amat tinggi sebab itu kita ambil langkah berhati-hati," katanya.

Beliau bagaimanapun, yakin pendekatan yang diambil dapat mengurangkan jurang antara pemain elit dan pelapis sekaligus mampu menyediakan pemain terbaik bagi mengisi kekosongan yang ada.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan kesediaaan BAM bertemu Menteri Belia dan Sukan , Datuk Ahmad Saberi Cheek bagi membincangkan pelbagai program pembangunan badminton.

''Kita amat mengalu-alukan kesudian kementerian membantu BAM melahirkan lebih ramai pemain terbaik dunia," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...