Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 31, 2010

Sambutan terhebat wira negara


Lebih 2,000 peminat bola sepak negara dari segenap lapisan, hadir dan rela berasak-asak untuk memberikan 'sambutan wira' yang luar biasa sekembalinya skuad bimbingan K. Rajagobal dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Sebahagian besarnya tetap menunggu dengan penuh sabar di Balai Ketibaan KLIA sejak pukul 12 tengah hari lagi, walaupun waktu ketibaan penerbangan MH0710 yang dinaiki skuad negara tiba lewat lebih sejam daripada yang dijadualkan pada mulanya, 2.10 petang.

Ramai yang enggan melepaskan peluang untuk menyaksikan serta merakamkan gambar dari dekat, detik bersejarah ketibaan skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu yang hanya keluar ke Balai Ketibaan kira-kira pukul 4.15 petang.

Malah kebanyakannya hadir dengan memakai jersi Harimau Malaya, sama ada yang berwarna kuning hitam mahupun biru merah selain membawa Jalur Gemilang dan tidak ketinggalan segelintir yang membawa replika trofi Piala Suzuki AFF, selain menyanyikan pelbagai lagu termasuk 'Barisan Kita'.

Ada juga yang sempat menghulurkan salam dan menyentuh badan pemain dan pegawai pasukan, manakala yang tidak dapat berbuat begitu kerana terpaksa berasak-asak, sekadar melaungkan ucapan tahniah dan terima kasih, khususnya kepada Rajagobal dan Penjaring Terbanyak kejohanan, Safee Sali.

Turut mengiringi ketibaan skuad negara seramai 20 pemain di samping jurulatih Rajagobal, penolongnya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas serta pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Beberapa pemain yang sempat menayangkan dan menjulang Piala Suzuki AFF di KLIA juga disambut dan diberikan ucapan tahniah oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim yang bagaimanapun tiba dengan penerbangan berasingan.

Namun kehadiran luar biasa penyokong Harimau Malaya memaksa pihak keselamatan KLIA dan polis bergegas mengadakan kawalan untuk menghalang mereka yang cuba menyerbu skuad negara yang terus diiringi ke sebuah pentas khas bagi sesi bergambar, sebelum berlepas ke Wisma FAM, Kelana Jaya dengan menaiki bas.

Biarpun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, ramai wakil media massa khususnya jurugambar dan jurukamera TV terpaksa ditolak, bagi memberikan laluan sehingga sesi temu bual atau sidang akhbar yang dirancang dengan pasukan dan orang kenamaan di Balai Ketibaan, terpaksa dibatalkan.

Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996 (dengan nama asal, Piala Tiger) setelah menang agregat 4-2 ke atas Indonesia biarpun tewas 2-1 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin.

Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu, Harimau Malaya merebahkan Sang Garuda 3-0 hasil dua jaringan Safee dan Ashari Samsudin, malah mengukuhkan kedudukan pendahuluan itu di Jakarta, semalam dengan gol tunggal pada minit ke-55.

Anak buah Rajagobal turut membawa pulang ganjaran kejuaraan, AS$100,000 (kira-kira RM300,000) biarpun sepatutnya salah seorang pemain negara, menambahnya secara peribadi jika bukan Firman Utama dari Indonesia yang gagal menyudahkan sepakan penalti, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan.

(VIDEO) Highlight Malaysia Bergelar Juara Piala AFF Suzuki



Video highlight Malaysia menjadi juara Piala Suzuki AFF Cup. Tahniah kepada Safee kerana menjadi Top Scorer Tournament.


google: Video malaysia juara piala suzuki, highlight perlawanan akhir piala suzuki, video perlawanan akhir piala suzuki, video youtube perlawanan akhir piala suzuki

Wednesday, December 29, 2010

Malaysia akhir kemarau 14 tahun - Piala Suzuki AFF


Malaysia berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 mengalahkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Walaupun tewas 2-1 di gelanggang lawan, kemenangan Malaysia itu diperoleh selepas berjaya mengatasi Skuad Garuda dengan agregat 4-2.

Pada perlawanan malam ini, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54 saingan separuh masa pertama, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil sumbangan Mohammad Nasuha (m-72) dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad (m-88).

Paling menarik malam ini, sepakan penalti Firman Utina berjaya dihentikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Syabas dan Tahniah buat pasukan Malaysia. Semoga prestasi pasukan Malaysia terus melonjak pada masa hadapan.



google: Malaysia juara piala suzuki aff, malaysia menang piala suzuki, malaysia kalahkan indonesia, malaysia akhiri kemarau 14 tahun, malaysia menang argegat 4-2

Ayuh Harimau Malaya!


Ujian pertama sudah lulus.Kini, lupakan seketika kemenangan lalu. Buat para pemain negara, mereka tidak perlu hanyut dibuai kejayaan manis menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu kerana laluan berduri yang akan menguji ketahanan mental dan fizikal akan menanti di bumi Jakarta, hari ini.

Memang laluan yang akan dihadapi oleh pemain negara kita cukup perit pada malam ini. Bukan kerana tekanan berhadapan 80,000 penyokong merah putih, malahan sikap provokasi yang dipamerkan oleh media dan rakyat Indonesia di sini jelas sanggup melakukan apa sahaja asalkan konsentrasi dan fokus pemain terjejas.

Sejak hari pertama tewas, isu penggunaan laser terus menjadi bahan ungkitan terutamanya pihak media, malahan ketika hari terakhir persiapan antara kedua-dua pasukan.

Isu remeh ini terus dipanaskan sehingga tahap mendidih seolah-olah Malaysia mendapatkan kemenangan di Kuala Lumpur dengan cara tidak bermaruah.

Biarkan kem Indonesia terus memilih pendekatan sebegitu kerana sebenarnya mereka jelas amat mencemburui skuad Harimau Malaya yang kini berpeluang menjulang trofi AFF buat kali pertama.

Atas kertas, keyakinan Malaysia cukup tinggi walaupun kita akan kehilangan khidmat Mahalli Jasuli dan Mohd. Amirulhadi Zainal. Namun kekuatan keseluruhan skuad ini tidak sedikit pun akan terjejas.

Ashari Samsudin dan Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka menjadi taruhan mampu menggalas kekosongan yang ditinggalkan dan Malaysia tidak perlu berasa tertekan berbanding Indonesia.

Jurulatih skuad negara, K. Rajagobal mungkin akan memilih bermain secara bertahan sepanjang 90 minit di Gelora Bung Karno di samping cuba melancarkan serangan balas jika berpeluang.

Skuad negara tidak perlu bermain cantik dan apa paling penting adalah efisien daripada segi keputusan.

Keputusan di Hanoi, kita telah membuktikannya.

Apa yang penting, para pejuang negara wajib tidak melepaskan gol awal pada Indonesia di 15 minit pertama permainan. Sekiranya kita meraih gol awal, Malaysia boleh dikatakan hampir pasti akan pulang ke Kuala Lumpur selaku juara Piala AFF.

Di pihak Indonesia, walaupun keyakinan di kalangan peminatnya masih tinggi dan optimis bahawa skuad kesayangan mereka itu akan muncul juara dan Malaysia bakal diganyang di kandang tuan rumah, ketiadaan Oktovianus Maniani mungkin menjejaskan rentak mereka.

Semua pemain Indonesia jelas berada dalam tekanan berbanding kem Malaysia kerana harapan yang diletakkan oleh para peminatnya begitu tinggi dan ekstrem. Situasi itu perlu diambil oleh pemain negara kerana kemungkinan kesilapan bakal dilakukan oleh pemain Indonesia.

Buat Safiq Rahim dan rakan-rakan, ayuh ulangi persembahan menakjubkan di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini dan benamkan ego Indonesia. Malaysia Boleh!

Raja minta media Indonesia henti provokasi

Jurulatih bola sepak pasukan kebangsaan, K. Rajagobal berharap media Indonesia menghentikan provokasi yang melampau sehingga boleh menjejaskan keharmonian semangat kesukanan antara dua negara.

Beliau menegaskan, tidak ada pihak yang memperoleh manfaat menerusi provokasi yang dicetuskan.

Dalam gelanggang sukan, kata beliau, sudah menjadi lumrah ada pihak yang akan menang dan tewas.

Bahkan pertemuan pasukan Malaysia dan Indonesia di gelanggang bola sepak selama ini sering diberi perhatian dan cukup signifikan dalam erti hubungan akrab dua negara.

Merujuk kritikan pedas media Indonesia kepada pasukan Harimau Malaya ketika tewas 1-5 kepada Garuda pada peringkat kumpulan di Jakarta 1 Disember lalu, Rajagobal berkata, beliau bersabar dan tenang menerima keputusan itu.

"Pasukan Malaysia pernah tewas 5-1 kepada pasukan Indonesia dan kami menerimanya dengan cukup tenang biarpun kami dikritik teruk oleh media di sini (Indonesia).

"Apabila Indonesia tewas 3-0 baru-baru ini kenapa pula ia menjadi isu kepada anda (media) di sini? Saya mahu anda menjawab soalan saya," tegas Rajagobal ketika ditanya wartawan Indonesia, semalam mengenai isu pancaran laser yang kononnya menjadi punca kekalahan pasukan negara jiran itu pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Jurulatih yang cukup tenang biarpun sering diasak dengan soalan pedas berkata, beliau mengamalkan profesionalisme yang sangat tinggi dalam membimbing anak-anak buahnya.

Justeru, Rajagobal mengharapkan penyokong dan media Indonesia mengamalkan prinsip yang sama.

Berkali-kali jurulatih berusia 54 tahun itu menjelaskan, baik Malaysia mahupun Indonesia masing-masing mahu merebut piala kemenangan.

"Seperti jurulatih Indonesia yang yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya, saya juga optimis dengan kemampuan pemain-pemain bimbingan saya.

"Sehingga ke hari ini mereka mempamerkan skill permainan yang cukup baik. Saya juga berkali-kali mengingatkan pemain-pemain saya agar sentiasa fokus pada permainan dan jangan diganggu oleh faktor-faktor luaran yang negatif khususnya menjelang hari perlawanan nanti," kata beliau lagi.

Pada masa sama, Rajagobal tidak menidakkan kemampuan pasukan lawan yang disifatkannya cukup cemerlang ketika beraksi di padang Bukit Jalil.

Kata Rajagobal, pasukan Malaysia sentiasa diingatkan agar tidak memandang rendah kemampuan anak-anak buah jurulatih Alfred Reidl itu

Pemain Indonesia jangan beri alasan remeh bila kalah - Irfan


Penyerang pasukan bola sepak nasional Indonesia, Irfan Bachdim meminta rakan-rakan pasukannya agar tidak memberi alasan-alasan remeh setelah tewas kepada Malaysia.

Bagi Irfan, 22, apa yang penting pada saat ini ialah pasukan Garuda itu harus bangkit serta menyelesaikan misi mereka untuk menebus kekalahan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Kuala Lumpur minggu lalu.

"Tidak boleh lagi tidur selepas kekalahan ini. Kami pasti melakukannya di Jakarta. Kami harus mampu melakukannya lebih baik lagi berbanding perlawanan yang lalu," kata Irfan dalam akaun Twitter rasminya, semalam.

Pemain tampan itu juga sangat menghargai semangat kesukanan pasukannya yang begitu kental berhadapan dengan kritikan daripa peminat sukan negara yang diwakilinya.

"Seorang pemenang tidak pernah menyerah," katanya lagi.

Pasukan bola sepak Indonesia harus menang dengan jaringan empat gol jika ingin mengembalikan kegemilangan pasukan itu dan sekali gus menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 musim ini.

Seorang lagi penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas juga sependat dengan Irfan bahawa semangat team pasukan Garuda harus dikembalikan untuk meraih kemenangan.

Biarpun tewas kepada Malaysia pada final pertama, Bambang yakin dapat menebus kekecewaan itu malam esok di Stadium Utama Bung Karno di sini.

"Bukankah masih ada 90 minit lagi di Jakarta kawan-kawan. Tetap semangat... Indonesia masih mampu," luah pemain paling kanan pasukan Indonesia menerusi akaun Twitter.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad lalu, Bambang diturunkan pada minit ke-80 menggantikan Christian Gonzales.

Pada masa sama, jurulatih skuad Garuda, Alfred Riedl mengakui, dia amat mengagumi kesetiaan penyokong pasukan bola bimbingannya itu.

"Saya sangat kagum dengan penyokong tempatan. Sokongan mereka sangat luar biasa. Mereka sering datang ke hotel tempat kami menginap. Mereka juga menyambut kami di lapangan terbang semasa tiba dari Malaysia.

"Saat ini, walaupun kami kalah, mereka tetap datang memberi sokongan pada kami," katanya kepada wartawan selepas sesi latihan bersama anak-anak buahnya di sini.

Riedl juga optimis, pasukan Indonesia dapat menebus kekecewaan mereka di gelanggang sendiri esok.

(VIDEO) Highlight Kemenangan Malaysia 3-0 Ke Atas Indonesia Final Piala AFF Suzuki Cup

Sunday, December 26, 2010

Keputusan Terkini Piala Suzuki: Malaysia lawan Indonesia

Malaysia sedang mendahului Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Safee Sali menyumbang dua gol setakat ini manakala satu lagi hasil jaringan Anshari Shamsuddin.

Akhirnya Malaysia Menang 3-0.. Jumpa nanti di Indonesia pula.. Malaysia Boleh!! boleh juara...


Google: keputusan terkini Piala Suzuki AFF, pemenang Piala Suzuki AFF, keputusan live Piala Suzuki AFF, jaringan Piala Suzuki AFF, malaysia lawan indonesia dalam Piala Suzuki AFF, keputusan final Piala Suzuki AFF

Thursday, December 23, 2010

Penyokong 'bertempur' awal

PENJAGA gol Felda United, Hamsani Ahmad menangkap bola walaupun diasak pemain Malaysia, Aizzaq Faris Ramlan (tengah) pada perlawanan persahabatan di Wisman FAM, Kelana Jaya semalam, yang berkesudahan Malaysia menang 2-0.

Perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hanya akan berlangsung pada Ahad ini, namun penyokong fanatik kedua pasukan terlebih dahulu 'bertempur' menerusi laman sosila YouTube.

Walaupun peminat kedua-dua pasukan dilihat lebih cenderung menggunakan perkataan kesat, masih ada yang memberi komen secara berhemah, bagi menyatakan sokongan kepada pasukan negara masing- masing.

'Pertempuran' itu merupakan bahang awal kehangantan pertembungan akhir yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat kedua-dua negara, walaupun ada perkara yang ditulis boleh dipertikaikan.

Menurut seorang penyokong Indonesia yang menggunakan nama samaran ilenization dalam YouTube, Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir selepas menundukkan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kerana dibantu oleh peminat tempatan, yang menghalakan sinaran laser ke arah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Peminat Malaysia pula membalas kemaraan Indonesia ke final, hanya dibantu oleh pemain import Cristian Gonzales, yang diberi taraf warganegara.

"Apa nak bangga, guna pemain import. Lebih bangga dengan kemaraan Malaysia ke final kerana menggunakan 100 peratus pemain tempatan. Hidup Malaysia!,"katanya.

Bagaimanapun, ada juga kalangan peminat yang mengawal emosi dengan menyeru penyokong menghentikan kata-kata kesat, sebaliknya memberi sokongan atas dasarkan semangat kesukanan.

Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas menyingkirkan juara bertahan, Vietnam dengan agregat 2-0, manakala Indonesia menewaskan Filipina dengan keputusan sama.

Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perlawanan timbal balik untuk menentukan pasukan manakah yang menjulang Piala Suzuki AFF akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember ini.

1,300 polis, 250 FRU kawal venue babak akhir

Sebanyak 1,300 anggota polis dan 250 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai langkah keselamatan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Indonesia, Ahad ini.

Langkah menempatkan anggota keselamatan itu dicapai oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mesyuarat Jawatankuasa Tempatan (LOC) di Wisma FAM, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, langkah keselamatan amat penting kerana berdasarkan pertemuan terakhir membabitkan dua pasukan tersebut, tercetus insiden melibatkan penyokong kedua-dua negara.

''Dalam mesyuarat berkenaan, wakil PDRM, Cif Inspektor Husin Ali berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

''Mereka juga memberi jaminan sebanyak 1,300 anggota keselamatan dan 250 FRU akan ditempatkan di dalam dan luar stadium.

''Jumlah itu mungkin bertambah berdasarkan keperluan yang dilihat oleh PDRM pada hari perlawanan itu nanti, '' katanya.

Selain PDRM, wakil daripada syarikat keselamatan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Syarikat RapidKL turut hadir pada mesyuarat LOC.

Azzuddin menambah, pintu pagar Stadium Nasional akan dibuka seawal pukul 3 petang hari perlawanan.

''Penyokong Malaysia dan Indonesia dinasihat datang lebih awal, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

''Kalau boleh gunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan, kerana pada hari berkenaan, kawasan letak kenderaan A, terdapat program lain turut dijalankan.

''Penyokong Indonesia boleh masuk melalui pintu pagar Biru dan Ungu, sementara penyokong tempatan boleh memasuki mana-mana pintu selain dua pintu tersebut, '' katanya.

Mengenai peruntukkan tiket bagi penyokong Malaysia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Azzuddin berkata, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menyediakan sejumlah 15,000 tiket, jumlah yang sama diberikan kepada penyokong mereka di sini.

''Kami ada menerima permintaan daripada pelajar dan warganegara kita yang berada di Jakarta sementara Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) juga telah mengemukakan permohonan, namun FAM sedang menyelaraskan jumlah sebenar,'' katanya.

Tiket penyokong Indonesia mula dijual hari ini

Tiket untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF pada Ahad ini untuk menyokong Indonesia, akan mula dijual di bangunan Kedutaan Besar Republik itu di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini mulai pukul 9 pagi.

Duta Besar Republik Indonesia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, sebanyak 15,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Indonesia, akan dijual di pondok pengawal di luar pejabat kedutaan tersebut, pada harga RM30 dan RM50.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Indonesia yang berada di Kuala Lumpur supaya membeli tiket yang terhad, bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

"Kami dari pejabat kedutaan begitu berbangga dengan kemaraan pasukan Indonesia ke perlawanan akhir kejohanan ini, tambahan pula ia diadakan di sini (Kuala Lumpur), jadi kami bersedia memberi apa sahaja bantuan yang dirasakan perlu," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Jelasnya, penyokong Indonesia yang mempunyai masalah dan ingin membuat sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat kedutaan.

"Saya jangkakan esok (hari ini) mungkin akan berlaku kesesakan dan menimbulkan suasana kelam-kabut tetapi pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad keadaan dijangka tidak terlalu sesak kerana sebarang urusan mengenai pasport dan sebagainya tidak diadakan kerana cuti.

"Saya juga mendapat maklumat bahawa enam Menteri Indonesia akan turun menyaksikan perlawanan di sini. Jadi saya juga harus bersedia untuk memastikan semuanya mendapat layan sebaik mungkin," katanya.

Kata Da'i, kerjasama antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melancarkan lagi perlawanan tersebut, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kami mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari seluruh peminat bola sepak Indonesia, biarlah perlawanan ini berlangsung dengan semangat yang tinggi dan aman.

"Saya juga ingin menasihatkan penyokong Indonesia yang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad ini supaya tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang termasuk membawa senjata tajam," katanya.

Da'i berkata, pertembungan dua negara berjiran itu akan menjadi pertembungan menarik, kerana kedua-duanya mahu mencatat kejuaraan pertama Piala Suzuki AFF.

"Pelajar Indonesia yang belajar di sini juga dijangka akan datang menggunakan bas universiti masing-masing.

"Kita juga menjangkakan peminat dari Indonesia juga akan datang ke Malaysia bagi menyaksikan perlawanan ini," katanya

Wednesday, December 22, 2010

70,000 untuk penyokong kita

Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, sebagai persediaan untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia, Ahad ini

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket untuk penyokong Malaysia pada harga RM30 dan RM50 untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Harga yang diumumkan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak RM10, apabila RM50 dikhaskan untuk tempat duduk berbumbung, sementara tempat duduk tidak berbumbung pula ditetapkan RM30.

Berbanding pada perlawanan separuh akhir membabitkan Malaysia dan Vietnam lalu, harga tersebut merupakan kenaikan sebanyak R10, namun harga tiket bagi kanak-kanak kekal RM5.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, penyokong tempatan boleh mula mendapatkan tiket yang akan dijual esok di pintu pagar berwarna kuning Stadium Nasional, bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang sehingga hari perlawanan.

''Tiket ini hanya dijual kepada penyokong Malaysia sahaja dan mereka perlu menunjukkan kad pengenalan masing-masing ketika membeli tiket.

''Sebanyak 70,000 tiket kerusi tidak berbumbung dan 2,500 tempat duduk berbumbung diperuntukkan kepada penyokong Malaysia.

''Sementara bagi penyokong Indonesia, berdasarkan persetujuan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), 15,000 tiket bagi kerusi tidak berbumbung dan 500 tempat duduk berbumbung akan diagihkan kepada penyokong mereka di sini.

''Kami belum memberi keputusan di mana tiket untuk penyokong Indonesia akan dijual, kerana mengikut cadangan asal, FAM mahu tiket dijual di Kedutaan Indonesia, namun ia bergantung perbincangan Setiausaha PSSI, Jeneral Nugraha Besoes yang akan melakukan kunjungan hormat ke sana esok (hari ini), '' katanya.

Jika kedutaan tidak bersetuju mekanisme cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, Azzuddin berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain.

''FAM akan serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan antara cadangan awal ialah menjual tiket di pintu pagar biru dan mereka harus menunjukkan pasport Indonesia ketika membeli tiket.

''Mungkin esok (hari ini) saya akan beritahu secara rasmi cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, '' jelasnya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.

Sebelum itu, beliau dan Sivasundram menerima kunjungan hormat perwakilan PSSI ke Wisma FAM, bagi membincangkan pengagihan tiket dan taklimat mengenai langkah keselamatan menjelang perlawanan akhir pertama, Ahad ini.

Azzuddin memberitahu, FAM akan mempertingkatkan kawalan keselamatan pada hari perlawanan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

''Berasaskan pengalaman pada enam tahun lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu, pemisahan penyokong antara kedua-dua pasukan harus dilakukan.

''Satu mesyuarat khas membincangkan soal keselamatan akan dilakukan pada hari esok di Wisma FAM, '' katanya.

Skuad Indonesia akan tiba ke Malaysia Jumaat ini dan akan menjalani latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN).

Ikat sayap Indonesia - Rajagobal

Kelibat dua pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Malaysia.

Itu janji jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

''Berdasarkan analisis, Saya melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika diberikan ruang untuk bergerak bebas.

''Saya ada perancangan khusus untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami.

''Saya harap para pemain boleh mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua.

''Selain mereka, saya lihat ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.

Skuad negara kembali menjalani latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus pulang dari Hanoi, Ahad lalu.

Namun dua pemain, Khyril Muhymeen dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani latihan, kerana cedera lutut.

Rajagobal berkata, dua pemain tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu.

''Khyril ada masalah di lutut kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius. Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya.

Selain itu, Rajagobal berharap tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua.

''Mereka bertiga masing-masing sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam.

''Saya harap mereka berhati-hati semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada perlawanan seterusnya, '' katanya.

Skuad bimbingan Rajagobal akan berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam ini.

Lin Dan mampu dikalahkan - Chong Wei


Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yakin beliau mampu menewaskan pemain utama China, Lin Dan dalam kejohanan utama dunia akan datang.

Katanya, walaupun beliau sering tewas di tangan Lin Dan dalam beberapa kejohanan utama dunia seperti Sukan Olimpik, Asia dan Grand Prix Badminton Dunia, beliau yakin mampu untuk mengalahkannya.

''Sebenarnya tidak ada kelebihan tertentu pada Lin Dan, cuma kalah atau menang banyak bergantung persiapan saya sendiri semasa berhadapan dengan pemain yang kini menduduki ranking No. 6 dunia," kata Chong Wei.

Beliau ditemui pada Kejohanan Badminton Terbuka Raub 2010 di Kompleks Rakan Muda Raub dekat sini, kelmarin.

Kejohanan Badminton Terbuka Raub 2010 itu bagi merebut piala Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. merupakan langkah mencungkil bakat baru sukan tersebut.

Selain Chong Wei, turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Hafiz Hashim,Tan Boon Heong, Koo Kien Keat, Zakri Lattif, Fairuz Ridzuan dan Taufik Hidayat.

Menurut beliau, kekalahannya di tangan Lin Dan dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Guangzhou, baru-baru ini tidak sedikit pun menjejaskan persiapan untuk menghadapai beberapa siri kejohanan dunia.

''Hanya tiga kejohanan utama dunia yang masih saya belum genggam lagi. Saya harap sebelum bersara selepas Sukan Olimpik saya dapat menjuarai Sukan Olimpik, Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia," katanya.

Beliau membayangkan kemungkinan akan bersara daripada dunia badminton selepas beraksi di Sukan Olimpik 2012 di London.

Pengarah Urusan Australian Gold Mining Sdn Bhd, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeow berkata, Kejohanan Badminton Terbuka Raub akan dijadikan acara tahunan.

''Walaupun kejohanan ini baru bermula tahun ini, kita akan meneruskannya bagi mencungkil bakat pemain luar bandar dan kampung yang boleh diketengahkan.

''Sebab itu kami menjemput pemain No. 1 dunia seperti Chong Wei, Taufik Hidayat, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat dan lain-lain bertujuan untuk memberikan motivasi kepada bakat-bakat muda yang terdapat di daerah Raub," kata Tai Yeow

Penutupan kejohanan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin dengan disaksikan lebih 2,000 peminat.

Siaran langsung final Piala Suzuki AFF

Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini Ahad ini.

RTM akan menyiarkan siaran langsung perlawanan itu sama ada menerusi saluran TV1 atau TV2 yang terletak di bawah stesen tersebut.

Menurut Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, siaran langsung itu diadakan berdasarkan permintaan ramai peminat bola sepak tanah air biarpun ia turut disiarkan melalui sebuah stesen TV berbayar.

"Ya, perlawanan akhir itu akan disiarkan secara langsung di RTM. Kita tahu ia mendapat perhatian umum dan bukan perlawanan biasa," katanya pada sidang akhbar di Istana Budaya (IB), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkara itu di majlis mengumumkan Program IB 2011 yang mana ramai peminat bola sepak kecewa apabila RTM lewat menyiarkan 30 minit perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Vietnam Sabtu lalu.

Semalam Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafli meminta RTM menyiarkan siaran langsung penuh perlawanan akhir itu kelak.

Tuesday, December 21, 2010

Misi tebus kecewa - Tengku Abdullah


Kekalahan 1-5 Malaysia kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di Jakarta, 1 Disember lalu tidak boleh dijadikan ukuran apabila kedua-dua pasukan berentap sekali lagi pada final Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung pada 26 dan 29 Disember ini.

Timbalan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui, pasukan negara akan turun sebagai underdog, namun pada masa yang sama beliau yakin kekuatan mental yang dimiliki pemain kita mampu memberi kelebihan.

Katanya, anak-anak buah K. Rajagobal menunjukkan semangat dan mental yang tinggi ketika mengetepikan penyandang juara, Vietnam.

Pada separuh akhir kedua, Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 di Hanoi, sekali gus layak ke final dengan agregat 2-0 untuk berdepan Indonesia yang menumpaskan Filipina 1-0, Ahad lalu.

Berdasarkan prestasi skuad negara ketika menentang Vietnam, beliau mendapati Malaysia bermain dengan terlalu bertahan dan keadaan ini mampu mengundang padah jika pemain pertahanan membuat kesilapan semasa menentang Indonesia nanti.

"Bahagian pertahanan dan depan perlu seimbang kerana kita memerlukan jaringan awal dan mencipta sebanyak mungkin gol yang boleh ketika bertemu Indonesia. Kalau boleh lebih banyak daripada lima gol yang kitabolos (pada perlawanan pembukaan).

"Kekalahan 1-5 kepada Indonesia sepatutnya menjadi pengajaran untuk pemain beraksi dengan lebih baik. Saya pasti jurulatih lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Tengku Abdullah ketika ditemui pemberita di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas menjalani pembedahan kecil di bahagian hidungnya semalam.

Meskipun dirawat di hospital, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap mengikut perkembangan pasukan negara, malah menyaksikan perlawanan menentang Vietnam secara langsung dari katilnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pemain dapat menggunakan peluang beraksi di halaman sendiri dengan sebaik-baiknya.

"Saya bangga dengan pemain kerana boleh menahan tekanan daripada penyokong Vietnam baru-baru ini dan mereka seharusnya mengekalkan kekuatan mental yang sama apabila berhadapan dengan penyokong Indonesia di Jakarta nanti (29 Disember)," katanya lagi.

Selain kecergasan fizikal, Tengku Abdullah berkata, pemain juga perlu memiliki kekuatan mental untuk berjaya.

Selain itu, beliau turut memuji taktikal bijak yang dimiliki rata-rata barisan muda negara dan berharap ia akan memberi kelebihan kepada anak-anak buah Rajagobal untuk menangani Indonesia

Pelumba tempatan meriahkan LTdL 2011

Jika semua berjalan lancar, Malaysia bakal melakar sejarah apabila dua pasukan benua tempatan akan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, perlumbaan prestij berstatus 2.HC (hor classe) dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh menjelaskan, dengan penubuhan pasukan benua yang terbaru, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) bermakna sekurang-kurangnya 12 pelumba tempatan akan berkayuh pada edisi ke-16 perlumbaan yang bermula di Langkawi.

"Peraturan terbaru menetapkan setiap pasukan benua harus menamakan tiga pelumba tempatan. Jadi ini bermakna TPCT dan Le Tua Cycling Team akan membariskan enam pelumba tempatan, manakala pasukan kebangsaan Malaysia turut lakukan perkara serupa.

"Selaku penganjur Le Tour de Langkawi 2011, kami sangat berbangga kerana berjaya memperbanyakkan lagi jumlah pelumba tempatan berkayuh di kejohanan besar. Setakat ini saya boleh sahkan bahawa kami sedang timbang permohonan TPCT dan Le Tua Cycling Team.

"Ia bagus untuk sukan lebuh raya Malaysia. Ini bermakna PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) mempunyai 12 pelumba yang boleh dipilih berkayuh pada perlumbaan besar tahun depan seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat dan Sukan SEA di Indonesia," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed menyeru syarikat korporat di negara ini melakukan tanggungjawab korporat dengan menyalur penajaan bagi memastikan sukan berbasikal terus berkembang.

Setakat ini, hanya Resort World Genting menaja RM1 juta untuk mencapai status penaja utama dan syarikat korporat berkenaan sudah berbuat demikian sejak 15 tahun lalu.

Yayasan Sime Darby (YSD) pula menjadi penaja pasukan trek

RTM diminta siar perlawanan akhir Piala Suzuki

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diminta supaya menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang akan menyaksikan Malaysia menentang Indonesia, hujung minggu ini.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafli dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, meskipun terdapat stesen televisyen berbayar yang menyiarkan aksi itu, ramai peminat sukan bola sepak tanah air masih mengharapkan penyiaran penuh oleh RTM.

Kata beliau, kementerian perlu mencari jalan terbaik bagi memastikan rakyat tidak berasa kecewa seperti mana yang dialami mereka ketika gagal menyaksikan aksi penuh skuad negara pada peringkat separuh akhir Sabtu lalu.

"Rakyat negara ini seharusnya berasa bangga dan berkongsi kegembiraan dengan skuad bola sepak negara yang hari ini telah membuktikan peningkatan prestasi mereka," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Mohd. Razlan, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menonton lintas langsung di skrin besar di Bukit Bintang beberapa hari lalu juga membuktikan sokongan beliau terhadap sukan tanah air.

"Oleh itu, kita juga mahukan pihak tertentu di kementerian juga dapat merasai kehangatan dan semangat rakyat negara ini untuk menyokong skuad kebangsaan," katanya.

Pada aksi separuh akhir lalu, siaran langsung hanya bermula kira-kira 30 minit selepas permainan berlangsung dan ia menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan peminat.

"Oleh itu, kita amat berterima kasih kepada RTM jika boleh menyiarkan keseluruhan perlawanan akhir nanti," tegas beliau lagi

Lin Dan kembali hantui Chong Wei


Selepas tiga tahun menyepikan diri daripada Terbuka Malaysia, superstar badminton dunia, Lin Dan bakal menghangatkan kembali kejohanan Siri Super itu apabila mengetuai barisan terbaik China, dari 18-23 Januari ini, umum Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Kemunculan Lin Dan, yang kali terakhir beraksi di Terbuka Malaysia pada 2007, akan kembali menghantui jaguh No. 1 dunia, Lee Chong Wei yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

Biarpun kebal di laman sendiri, namun Chong Wei kalah kepada juara Olimpik dan dunia itu pada pertemuan terakhir mereka di final Sukan Asia Guangzhou, bulan lalu.

Selain Lin Dan, China juga bakal membariskan dua bintang utamanya, juara dunia, Chen Jin dan pemain muda paling meningkat, Chen Long, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka China.Bagaimanapun juara beregu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun terlepas daripada skuad ke Kuala Lumpur.

Lin Dan bersedia menamatkan 'badi' Terbuka Malaysia - kejohanan yang tidak pernah dimenangi, sebaliknya menjadi kebanggaan Chong Wei, yang telah merangkul enam gelaran - 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Penampilan terakhir Lin Dan, pemain No. 6 dunia di Malaysia, tiga tahun lalu berakhir dengan dia tersingkir seawal pusingan kedua kepada jaguh Korea, Park Sung Hwan 14-21, 17-21.

Turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan lumayan bernilai AS$400,000 (RM1.25 juta) ini ialah juara Olimpik 2004 yang juga juara Terbuka Malaysia 2000, Taufik Hidayat dari Indonesia, selain naib juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Boonsak Ponsana dari Thailand dan Sony Dwi Kuncoro.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki turut dipikul Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann, manakala pemain pelapis yang lain gagal berada dalam senarai kelayakan kecuali jika ada pemain utama menarik diri di saat akhir.

Dalam saingan beregu lelaki, juara Olimpik dan Sukan Asia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia bakal menjadi halangan terbesar pasangan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk mempertahankan kejuaraan.

Korea tidak akan menurunkan beregu utamanya, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung tetapi membariskan Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dan Kwon Yi Goo-Cho Gun Woo, manakala China menampilkan Guo Zhendong-Chai Biao, Qiu Zihan-Liu Xiaolong dan Hong Wei-Shen Ye.

Malaysia sendiri turut menyandarkan harapan kepada Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, Tan Bin Shen-Gan Teik Chai dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, manakala Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How, Hong Chieng Hun-Chow Pak Chuu, Vountus Indra Mawan-Mohd. Lufti Zaim Abdul Khalid dan Teo Ee Yi-Nelson Heng beraksi dari pusingan kelayakan.

Penyandang juara dan pemain No. 1 dunia, Wang Xin dari China akan mengetuai saingan perseorangan wanita. Turut beraksi bintang India, Saina Nehwal, Wang Shixian, Wang Yihan dan Jiang Yanjiao. Cabaran Malaysia diketuai Wong Mew Choo, manakala Lydia Cheah beraksi dari pusingan kelayakan

Monday, December 20, 2010

Malaysia jumpa Indonesia


Igauan kekalahan 1-5 pada peringkat kumpulan kembali menjelma, apabila anak-anak buah K. Rajagobal sekali lagi akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 selepas pasukan Merah Putih itu menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir semalam.

Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama dan kedua untuk menempah pertemuan dengan Malaysia, yang lebih awal melayakkan diri dengan mengetepikan penyandang juara, Vietnam juga menerusi agregat 2-0 pada satu lagu separuh akhir.

Biarpun pasukannya menang pada perlawanan pertama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui resah dengan kelibat pemain muda negara.

"Peluang 50-50, perlawanan akhir adalah sukar dan kami akan ke Malaysia lebih awal pada 24 Disember ini untuk persiapan,'' kata Riedl.

Bagi kapten Malaysia, Safiq Rahim, melangkah ke final tidak memadai kerana dia dan rakan-rakan mahu mencari sejarah lebih hebat dengan menjulang trofi buat kali pertama.

Katanya, sejak awal saingan lagi dia yakin Malaysia mampu pergi jauh melihat kepada prestasi memberangsangkan, terutama ketika meraih pingat emas Sukan SEA di Laos tahun lalu dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou bula lepas.

Jelas pemain tengah Selangor itu lagi, keyakinan itulah yang banyak membantu menaikkan semangatnya untuk menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dan mencipta sejarah menjuarai kejohanan ini buat kali pertama.

"Sebelum ini kita hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, bagaimanapun hasil kerja keras rakan-rakan, kami semakin hampir untuk melakar satu lagi sejarah," katanya.

Safiq, 23, berkata, dia dan rakan-rakan tidak mahu menoleh ke belakang, selepas berjaya ke final, sebaliknya mereka lebih bernafsu untuk menang.

"Situasi kami sekarang ini seperti ini, alang-alang sudah ke akhir biarlah sampai julang piala, apa yang harus kami lakukan ialah mengekalkan prestasi menjelang dua perlawanan akhir yang akan diadakan pada 26 dan 29 Disember ini,'' katanya.

Menurutnya, walaupun pernah muncul juara Sukan SEA tetapi ia tidak sama dengan Piala Suzuki AFF.

"Selepas kekalahan kepada Indonesia dulu kami duduk berbincang dan masing-masing menanam azam untuk menebus kembali kesilapan tersebut dengan menewaskan Indonesia di saingan akhir.

"Masing-masing berdendam dengan pasukan Indonesia, memang kami berkeinginan untuk jumpa mereka di final, dendam ini harus ditebus di atas padang dan perlu dibalas pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.

Keputusan seri 0-0 di Hanoi membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir mara sehingga peringkat tersebut pada 1996 yang menyaksikan skuad kebangsaan tumpas 0-1

Saturday, December 18, 2010

Malaysia mara ke final Piala Suzuki AFF


Malaysia akhirnya melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun selepas terikat 0-0 dengan Vietnam pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi untuk layak dengan agregat 2-0.

MALAYSIA BOLEH!!! Jumpa di Final...

Friday, December 17, 2010

Indonesia 1 - 0 Filipina - Piala Suzuki AFF


Keputusan perlawanan separuh akhir pusingan pertama antara Indonesia dan Filipina berkesudahan Indonesia berjaya mengalahkan Filipina dengan 1-0.

Mungkinkan pasukan Malaysia akan bertemu dengan Indonesia pada peringkat akhir?? sama-sama kita nantikan perlawanan seterusnya. Malaysia Boleh!!

Safee puas kurangkan beban

Bagaikan beban yang berkurangan, itulah yang diungkapkan penyerang kebangsaan, Safee Sali selepas menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF kelmarin.

Penyerang kelahiran Kajang itu mengakui, penantian dua tahun tidak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa bagaikan satu bebanan besar buatnya selepas kali terakhir menyumbang gol buat pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 di Phuket.

"Saya rasa amat puas. Kali ini saya dapat menjaringkan dua gol sekali gus, ia adalah atas usaha keras semua pemain tetapi perjuangan saya masih belum selesai. Perlawanan separuh akhir kedua adalah tugas penting yang perlu dibereskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi semalam.

Jelasnya lagi, selama dua tahun beraksi untuk pasukan Malaysia tanpa menjaringkan sebarang gol, fikirannya sentiasa terganggu dan sedikit sebanyak ia melemahkan semangatnya.

Namun, dia tidak mudah menyerah kalah sehinggalah berjaya membuktikan ketajamannya masih ada di depan hampir 50,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Sekarang ini saya rasa sedikit lega dan ia menambahkan keyakinan saya. Harap saya dapat berterusan membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan akhir, sekali gus merangkul gelaran sulung kejohanan ini.

"Saya akui pada perlawanan semalam (kelmarin) saya sentiasa berusaha dan tidak berputus asa walaupun gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama, begitu juga pada peringkat kumpulan di Indonesia sebelum ini," katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia akan cuba tampil pada perlawanan separuh akhir kedua dengan lebih berhati-hati berikutan menerima kad kuning kelmarin, tambahan pula aksi di Hanoi dijangka lebih agresif.

"Saya tidak pernah beraksi di sana, menurut apa yang dikhabarkan oleh jurulatih dan pegawai pasukan, keadaan cuaca agak sejuk. Saya rasa ia bukan satu masalah besar buat saya dan pemain-pemain lain.

"Kami mungkin akan memakai baju lengan panjang dan saya menjangkakan persediaan untuk perlawanan itu bakal berjalan lancar. Kami perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol untuk memiliki kelebihan gol di tempat lawan," katanya.

Safee menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Vietnam iaitu pada minit ke-65 dan 83. Kali terakhir dia menjaringkan gol di peringkat antarabangsa ialah ketika bertemu Laos di peringkat kumpulan pada 2008

Jangan terlalu ghairah - Tengku Abdullah

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak mahu skuad bola sepak kebangsaan terlalu ghairah meraikan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam, sebaliknya fokus kepada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi esok jika berhasrat untuk melangkah ke final Piala Suzuki AFF.

Menurut Tengku Abdullah, apa yang perlu dilakukan oleh skuad negara adalah mengukuhkan corak permainan yang masih punya banyak kelemahan.

"Kita memerlukan gol awal di Vietnam kerana faktor jaringan tempat lawan boleh memberi kelebihan. Saya harap pemain tidak berasa tertekan, riak dan ghairah kerana kita perlu memberi tumpuan beberapa hari ini jika mahu ke peringkat akhir," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Exit Conference Khidmat Rundingan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini semalam.

Kelmarin, dua jaringan Mohd. Safee Sali membantu Malaysia menumpaskan penyandang juara, Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Dari segi kelemahan saya lihat skuad negara mempunyai masalah dalam mengambil sepakan percuma, jadi mereka kena memperbaikinya apabila beraksi di tempat lawan,'' katanya.

Tambah Tengku Abdullah lagi, skuad negara juga sepatutnya tidak membazirkan setiap peluang yang diperoleh.

"Jika kita membazirkan kesempatan yang ada kita tidak akan menang. Jika 10 peluang yang kita cuba, mungkin satu atau dua gol akan berjaya dijaringkan. Itu harapan saya dan itu terpulang kepada pemain. Kita harap mereka dapat bermain dengan baik dan semangat yang tinggi," katanya lagi.

Mengenai perlawanan kelmarin, Tengku Abdullah percaya Malaysia sebenarnya boleh menang lebih besar, namun keputusan 2-0 juga masih mampu mencerahkan peluang kita untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Karate sekadar raih 3 gangsa


Sasaran awal untuk merangkul satu emas dan satu perak menerusi acara kata pada Sukan Sukan Universiti Asean (AUG) tidak kesampaian apabila karate sekadar menghadiahkan tiga gangsa di Gimnasium Universiti Utara Chiang Mai, semalam.

Kesemua pingat disumbangkan Kam Kah Sam dan Jesyntha Chong dalam saingan lelaki serta wanita individu, selain kata berpasukan yang dibarisi Kah Sam, Khor Kah Thong serta Wong Keng Yinn.

Kah Sam menang 3-0 ke atas Yingyong Chongtaveetham dari Thailand, manakala Jesyntha menewaskan peserta Brunei, Nurulyana Tonggal juga dengan keputusan 3-0 dalam perebutan gangsa. Dalam saingan berpasukan, skuad lelaki mengalahkan Laos 3-0.

"Ia tidak seperti yang kami jangkakan. Walaupun persembahan kami begitu baik pada pusingan pertama, ia masih tidak cukup bagus untuk menghasilkan emas," kata Kah Kam, yang gagal mempertahankan perak yang dimenanginya dalam acara individu pada AUG 2008 di Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun saingan antara Malaysia dan Vietnam agak sengit, namun Vietnam yang menghantar pemain senior menunjukkan persembahan yang lebih baik.

Sementara itu, skuad bola sepak negara tewas 0-1 kepada Myanmar dalam peringkat kumpulan di padang Kolej Royal Prince. Gol tunggal Myanmar dijaringkan oleh Chit Moe Oo pada minit ke-30.

Lebih mengaibkan apabila penjaga gol Mohd. Khairul Azwan terpaksa keluar padang pada hujung separuh masa pertama kerana dilayangkan kad merah. Malaysia perlu menang menentang Laos hari ini untuk mara ke separuh akhir.

Badminton dan sepak takraw negara, masing-masing cemerlang pada perlawanan peringkat kumpulan.

Pemain badminton wanita menundukkan Thailand 3-2 dalam acara berpasukan, manakala regu sepak takraw menewaskan Indonesia dan Laos 2-0. - Bernama

Thursday, December 16, 2010

Rajagobal puas aksi pemain


Kemenangan 2-0 ke atas Vietnam pada separuh akhir pertama memberi keceriaan buat jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, terutama melihat pemainnya memberi komitmen tinggi dan bekerja keras sepanjang perlawanan.

Menurutnya, biarpun rata-rata pemain masih lagi muda tetapi mereka sentiasa fokus pada setiap perlawanan dan mempunyai fikiran optimistik.

“Saya mengakui Vietnam pasukan yang bagus dalam penguasaan bola tetapi pemain saya, terutama pertahanan harus diberi pujian,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, pemain sentiasa menurut segala arahan yang diberi iaitu bermain secara agresif, semuanya belum selesai kerana perlawanan separuh akhir kedua menanti mereka di Vietnam Sabtu ini, tambahan pula pasukan itu hebat di tempat lawan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berpuas hati dengan semangat yang ditampilkan Malaysia dan keputusan tersebut amat ditagih bagi membawa bekalan ke Vietnam nanti.

“Saya berpuas hati dengan dua gol walaupun kita berpeluang untuk menjadikan keputusan perlawanan ini 3-0. Harap mereka dapat menjaringkan gol awal di sana (Vietnam) kerana pasukan lawan pasti akan bermain bermati-matian,” katanya.

Bagi jurulatih Vietnam, Henrique Calisto, perlawanan semalam berlangsung menarik dan Malaysia mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua dengan baik.

“Kami bermain dengan baik tetapi kesilapan yang mudah membolehkan lawan berjaya menjaringkan dua gol, kami tidak mampu menguasai di bahagian tengah, bagaimanapun perjuangan masih belum berakhir.

“Ia seperti kami baru sahaja tewas perlawanan separuh masa pertama, masih ada baki perlawanan separuh masa kedua, kami masih boleh mara ke saingan akhir tetapi ia bukannya mudah selepas ketinggalan 2-0,” katanya

Malaysia tokok dua emas

Kontinjen paralimpik negara sudah mencapai separuh daripada lapan pingat emas yang disasarkan hanya pada hari ketiga Sukan Para Asia berlangsung apabila menokok dua lagi emas menerusi olahraga dan renang, semalam.

Mohd. Hisham Khaironi menghadiahkan emas sulung olahraga dengan memenangi perlumbaan 200 meter lelaki kategori T12, manakala Fraidden Dawan meneruskan kecemerlangan skuad renang dengan merangkul emas 400m gaya bebas lelaki kategori S10.

Hisham, 31, mengetepikan cabaran sengit pelari Jepun, Shirota Shinichi untuk memenangi perlumbaan menerusi kepantasan 23.75s, 0.05s meninggalkan Sinichi. Gangsa milik Suhib Mraisi dari Jordan 24.08s.

Olahraga turut cemerlang dengan menambah gangsa menerusi atlet wanita, Norsyazwani Abdullah dalam 100m kategori T38.

Norsyazwani menamatkan larian dengan catatan 15.46s, ketinggalan di belakang dua pelari tuan rumah, Xiong Dezhi dan Liu Xiumei.

Sementara itu, renang yang hanya mensasarkan sebutir emas sebelum berlepas ke Guangzhou sudah merangkul tiga emas setakat ini, malah semalam mereka turut menambah dua lagi perak dan satu gangsa.

Fraidden bukan saja menghadiahkan emas keempat kontinjen Malaysia semalam, malah melakukannya dengan bergaya apabila memecah rekod Asia dalam perlumbaan 400m kategori S10.

Selepas memenangi gangsa 100m kuak kupu-kupu, Isnin lalu, dia akhirnya meraih emas menerusi kepantasan 4 minit, 50.35s, memadam rekod lama 5:06.80s. Tambah menggembirakan, Malaysia mendominasi kedudukan 1-2 apabila Razak Tambi meraih perak dengan catatan 5:10.18s.

Kolam renang terus menjadi lubuk pingat negara apabila turut meraih perak menerusi Jamery Siga dalam 200m gaya bebas lelaki kategori S3-S5 dengan catatan masa 3:13.31s.

Pungutan pingat Malaysia semalam dilengkapkan dengan kejayaan Razak mengutip gangsa 50m gaya bebas menerusi masa 28.30s.

Sementara itu atlet powerlifting senior negara, P. Mariappan membuktikan usia bukan penghalang apabila meraih gangsa dalam acara lelaki 75kg di Gymnasium Bandar Sukan Asia.

Mariappan, 52, mengangkat beban 177kg. Pingat emas acara itu dimenangi Majid Farzin dari Iran dengan angkatan 230kg dan perak milik atlet tuan rumah, Hu Peng (200kg)

Sharon gantung raket

Pemain skuasy veteran negara, Sharon Wee semalam mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa kerana faktor kecederaan yang berpanjangan.

Sharon, 33, dalam satu kenyataan semalam berkata, dia mengambil keputusan itu kerana kecederaan lututnya yang masih tidak sembuh selepas sekian lama.

"Terima kasih untuk perjalanan yang menakjubkan, yang telah menjadikan saya seorang yang sehebat ini dan sukar sekali untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada arena yang telah bersama saya sejak 20 tahun yang lalu.

"Sukan ini juga membangkitkan semangat saya selepas kemalangan buruk yang hampir meragut nyawa saya, namun kesakitan di kedua-dua lutut saya sejak beberapa tahun lalu telah memberi kesan kepada permainan saya," katanya.

Tambah pemain kelahiran Melaka itu lagi, walaupun tidak berada dalam fizikal terbaik, namun dia enggan beraksi dalam sebarang kejohanan tanpa semangat untuk bersaing.

"Jelas sekali bermain untuk suka-suka adalah tidak sesuai dalam persekitaran perlawanan skuasy profesional.

"Lagipun, saya sedia bersara kerana saya tahu pemain muda telah bersedia untuk membawa kejayaan kepada arena skuasy Malaysia," jelasnya.

Bercakap tentang kerjayanya selepas bergelumang dalam arena skuasy sejak berusia 12 tahun, Sharon memberitahu, dia masih akan berada dalam sukan itu meskipun mengumumkan persaraan.

"Sukan terutama sekali skuasy telah menjadi sebahagian hidup saya dan akan kekal selepas saya bersara.

"Saya mungkin bersara sebagai pemain profesional tetapi itu adalah permulaan kepada karier baru saya.

"Saya gembira dan juga bimbang apabila keluar dari zon selesa, namun saya percaya kehidupan saya pasti bertambah baik dengan pengalaman menerusi skuasy,'' katanya lagi, yang memberi bayangan mungkin beralih kepada bidang kejurulatihan.

Sharon, yang mengakhiri karier dengan membawa Malaysia menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di New Zealand, awal bulan ini turut memberi penghargaan kepada semua yang telah menyokongnya selama ini.

"Terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan kerana sokongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan ini.

"Tidak dilupa Majlis Sukan Negara, (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA), media, penaja, jurulatih, rakan pasukan serta para peminat," ujarnya

Wednesday, December 15, 2010

Piala Suzuki AFF: Malaysia kalahkan Vietnam 2-0


Penyerang, Mohd. Safee Mohd. Sali muncul wira selepas menjaringkan kedua-dua gol ketika skuad negara menundukkan Vietnam 2-0 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Gol-gol tersebut dijaringkan pada babak kedua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang anak buah K. Rajagobal untuk melangkah ke peringakt akhir kejohanan tersebut.

Malaysia dan Vietnam akan bertemu lagi pada separuh akhir kedua yang akan dilangsungkan di Hanoi, Sabtu ini.

Benam Vietnam tidak mustahil

Menumpaskan penyandang juara, Vietnam bukan misi mustahil, apatah lagi Malaysia akan beraksi dengan sokongan padu ribuan penyokong setia pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Suzuki Piala AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Selepas kempunan untuk menjuarai kejuaraan paling berprestij dalam saingan bola sepak Asia Tenggara itu sejak penganjurannya 14 tahun lalu, ini mungkin masa terbaik buat K. Rajagobal dan pemainnya membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi antara kuasa besar bola sepak rantau ini.

Jika dilihat nada Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, impian itu tidak mustahil boleh direalisasikan tetapi dia mahu pemainnya menyuntik rasa yakin dengan kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menewaskan Vietnam.

‘‘Mereka perlu mengubah mentaliti dan menanamkan keyakinan dalam diri masing-masing sebelum bertemu Vietnam.

‘‘Sepatutnya kita tidak perlu berasa tertekan. Pemain perlu sedar bahawa mereka tidak akan kehilangan apa-apa dalam perlawanan ini kerana tekanan sebenarnya banyak memihak kepada lawan yang merupakan pasukan pilihan dan juara bertahan, ’’ katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus Piala Suzuki AFF, semalam.

Oleh itu, dia berharap semua pemain mampu mempamerkan watak konsisten seperti mana yang ditunjukkan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan bagi membendung langkahan pantas Vietnam.

‘‘Selepas melalui saat yang sukar di Sukan Asia dengan kecederaan ramai pemain utama, kebanyakan pemain muda yang memikul tanggungjawab membuktikan bahawa mereka boleh bermain baik sehingga mampu melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF.

“Saya mahu mereka teruskan rentak yang sama pada perlawanan esok (hari ini), memang ia satu pengalaman baru buat pemain tetapi mereka tidak perlu takut, tidak perlu gentar, apa yang saya mahu mereka berikan terbaik ketika bermain di atas padang.

‘‘Malah, saya harap pertemuan dengan Vietnam akan menjadi aksi menarik untuk ditonton dan paling penting kita mampu melakar sesuatu untuk diingati oleh peminat sukan bola sepak pada 2010, ’’ katanya lagi.

Walaupun begitu, Rajagobal tetap merendah diri sambil menyifatkan Vietnam memiliki kelebihan di segenap aspek, terutamanya bahagian serangan.

‘‘Mereka cukup pantas dalam melakukan serang balas dan tidak cepat berputus asa, itu merupakan kekuatan Vietnam, ’’ katanya.

Buat pemain pertahanan, Rajagobal memberi pesanan agar jangan lagi mengulangi kesilapan yang sama ketika tumbang 5-1 di tangan Indonesia.

‘‘Perkara ini yang saya paling bimbang kerana pertemuan separuh akhir sudah tentu akan berlangsung dengan penuh sengit.

‘‘Masa kalah kepada Indonesia, persembahan pemain sebenarnya baik cuma kesilapan individu di bahagian pertahanan menyebabkan kita tewas dengan jaringan besar. Namun, saya tengok mereka cepat belajar daripada kekalahan itu dan memperbaiki permainan dalam dua baki saingan,’’ ujar Rajagobal.

22,000 habis dijual

Demam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di kalangan peminat setia bola sepak tempatan kian terasa apabila 22,000 ribu tiket berjaya dijual pada hari kedua, semalam.

Jualan tiket hari kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil menampakkan kesungguhan ketara di kalangan penyokong berbanding hari pertama apabila ramai antara mereka sanggup datang walaupun dalam waktu bekerja.

Berdasarkan pemerhatian, ramai antara peminat menghantar wakil untuk mendapatkan tiket kepada rakan-rakan yang lain.

Salah seorang peminat, Azlan Daud, 22, yang bekerja di Universiti Putra Malaysia (UPM) membeli tujuh tiket sebagai mewakili rakan-rakan sepejabat yang tidak dapat hadir kerana kerja.

''Saya dan rakan-rakan amat bersemangat mahu memberikan sokongan padu kepada Malaysia kerana yakin dengan kemampuan skuad kali ini untuk menumbangkan Vietnam.

''Ramalan saya, kita mampu menang 2-0 dengan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan S. Kunanlan akan menjadi penjaring Malaysia, '' katanya.

Bagi Ahmad Shamizan Mat Nor, 22, yang merupakan pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tidak sanggup melepaskan peluang untuk menonton persembahan negara di depan mata a sendiri.

''Datang ke stadium berbanding menonton di kaca televisyen adalah sesuatu yang berbeza, kami boleh memberin sokongan secara terusi,'' katanya yang membeli tiket untuk lapan rakan yang lain.

Eksekutif bank, Mohd. Lokman Hakim Johar, 27, berasa terpanggil untuk hadir ke stadium selepas gembira dengan peningkatan skuad Harimau Malaya.

Peminat yang belum mendapatkan tiket boleh mendapatkannya di Stadium Nasional sehingga perlawanan dimulakan. Tiket berbumbung berharga RM40, tidak berbumbung adalah RM20 dan RM 5 untuk kanak-kanak

Tujuh muka baru kuatkan NS


Tujuh muka baru bakal menguatkan cabaran Negeri Sembilan pada musim 2011, dengan misi utama memburu sekurang-kurangnya tiga kejuaraan - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran besar itu bukan sesuatu yang mustahil, apatah lagi kehadiran beberapa muka baru bakal menguatkan semua posisi dalam pasukan.

Katanya, kemasukan tujuh pemain baru ini akan menampung masalah kekurangan pemain berkemampuan, terutama apabila berlaku masalah kecederaan dalam kesebelasan utama.

Tujuh muka baru yang bakal menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan adalah bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar, selain tiga bekas pemain Perlis - penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin serta penjaga gol, Farizal Marlias.

Turut memperkuatkan cabaran skuad Rusa adalah dua bekas tonggak pertahanan KL Plus, Irwan Fadzli dan Norhafiz Zamani Misbah serta pemain tengah PKNS Selangor, G. Mahathevan.

Mohamad berkata, antara pemain berpengalaman yang dikekalkan termasuk Shukor Adan, Idris Karim dan pemain kebangsaan S. Kunalan serta gandingan kembar yang juga pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha.

Katanya, Shukor dan Hairuddin, masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong ketua pasukan, manakala Datuk Abdul Halim Abdul Latif dan Wan Jamak Wan Hassan dikekalkan sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih.

Pada majlis itu, syarikat pengeluar pakaian sukan Lotto diumumkan sebagai penaja kelengkapan pakaian sukan untuk Negeri Sembilan musim depan dengan kos penajaan berjumlah RM250,000.

''Ia (kemasukan tujuh pemain baru) adalah selari dengan hasrat PBNS untuk mengatasi masalah kekurangan pemain berkualiti yang boleh diketengahkan dalam kesebelasan utama apabila terdapat tonggak utama mengalami kecederaan.

"Tahun lalu, kita cuma ada 11 pemain yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab beraksi dalam kesebelasan utama. Pada ketika itu, pasukan berhadapan dengan masalah untuk menggantikan pemain lebih-lebih lagi jika berlaku kecederaan kepada salah seorang pemain utama," katanya.

Sementara itu, Norhafiz ketika ditemui berkata, dia amat gembira kembali ke pangkuan Negeri Sembilan, sambil melihat pasukan itu berpotensi memburu lebih banyak kejuaraan musim depan.

"Saya gembira dapat menyertai semula pasukan ini kerana saya telah dilatih sejak kecil di negeri ini, karier saya pun bermula dari akademi bola sepak negeri ini. Pada saya Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi," ujarnya.

Dalam pada itu, Hairuddin berkata, dia amat berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk meneruskan kariernya di Negeri Sembilan. "Saya berjanji kepada Menteri Besar musim lalu yang saya akan bermain semula untuk Negeri Sembilan dan saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan ini," katanya

Tuesday, December 14, 2010

Khairul Fahmi tagih sokongan pertahanan

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menagih sokongan dan bantuan penuh daripada rakan-rakan di benteng pertahanan untuk menangani asakan Vietnam yang dijangka menyerang dari semua sudut apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Tegas Khairul Fahmi, kapten Vietnam, Nguyen Minh Phuong pemain yang perlu diberi tumpuan kerana amat berbahaya dan bijak mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan, selain berupaya menaikan semangat pemain.

Malah, Khairul Fahmi juga yakin serangan akan datang bertali arus di bahagian kiri, kanan dan tengah. Justeru, pemain Kelantan itu menagih bantuan daripada pertahanan untuk mengekang asakan lawan.

Katanya, pergerakan penyerang pasukan Vietnam amat laju, malah dia sendiri bersedia untuk menghadapi serangan yang mahu menguji kemampuannya itu.

''Saya tahu mereka mempunyai kelebihan daripada aspek kelajuan pemain tetapi itu bukan penghalang buat saya dan rakan-rakan untuk gentar.

''Kami yakin dengan kemampuan kami dan saya juga amat yakin dengan pemain pertahanan kita yang amat berani,'' katanya pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.

Esok Malaysia bakal berhadapan skuad senior Vietnam yang turun selaki penyandang juara.

Khairul Fahmi berkata, selain serang Vietnam, keupayaan pemain tengah mereka juga perlu diberi perhatian serius

Hoki dapat suntikan RM9 juta

Usaha untuk mengembalikan kegemilangan hoki negara mendapat suntikan semangat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan RM9 juta bagi membiayai projek pembangunan pemain pelapis atau Projek Hoki 1MAS bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Projek yang berteraskan pembangunan di peringkat akar umbi itu diharap mampu mengembalikan Malaysia sebagai kuasa hoki dunia seperti yang pernah dikecapi skuad negara sekitar 1970an.

Menurut Najib, beliau berharap peruntukan itu, yang diagihkan RM3 juta setahun dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam mencari seramai mungkin -bakat baru yang berpotensi diketengahkan.

Katanya lagi, komitmen kerajaan itu sejajar dengan hasrat semua pihak terutama peminat hoki tempatanuntuk melihat hoki negara kembali menjadi pasukan yang digeruni di dunia.

Kejayaan skuad hoki kebangsaan melayakkan diri ke perlawanan akhir Sukan Asia buat kali pertama bulan lalu boleh menjadi titik kebangkitan Malaysia.

"Apa yang penting semua pihak bersungguh-sungguh menjayakan program ini dan memberi keutamaan kepada pembangunan projek.

"Saya beri jaminan jika Projek 1Mas membuahkan hasil kerajaan sedia mengkaji semula jumlah peruntukan selepas tempoh tiga tahun tamat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Projek Hoki 1Mas di Stadium Hoki Tun Razak Jalan Duta, semalam.

Turut hadir Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) , Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) , Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.

Najib berharap kegemilangan mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia 1975 mampu diulangi.

"Pada masa itu saya baru pulang dari luar negara dan kebetulan Presiden PHM ketika itu ialah ayahanda saya sendiri, Tun Abdul Razak. Saya lihat kejayaan Malaysia menduduki tangga keempat berjaya menceriakan rakyat kita termasuk ayahanda," katanya lagi.

Ledak sebanyak mungkin gol

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru pemain negara mencari sebanyak mungkin gol apabila menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF esok untuk membawa bekalan selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan nanti.

Menurut Tengku Abdullah, kemenangan selesa amat penting bagi memastikan skuad kebangsaan tidak berhadapan laluan getir apabilaberaksi di Hanoi pada 18 Disember ini untuk perlawanan timbal balik.

''Kalau boleh cuba dapatkan jurang gol yang besar. Bermain di Hanoi amat sukar kerana skuad negara terpaksa berhadapan penyokong fanatik Vietnam yang menganggap stadium mereka sebagai tempat keramat,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Projek Hoki 1Mas yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Hoki Tun Razak di sini, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, pasukan negara dibarisi pemain muda dan mereka berupaya memberikan saingan sengit kepada Vietnam, walaupun, negara itu membawa status sebagai juara bertahan.

Malah, beliau yakin sekiranya pemain dapat mengekalkan rentak permainan yang baik, tidak mustahil mereka mampu melakar kejutan ke atas pasukan lawan.

''Saya juga amat berharap penyokong dapat hadir beramai-ramai memberi sokongan penuh kepada skuad kebangsaan sewaktu mereka menentang Vietnam Rabu ini (esok),'' ujarnya.

Sementara itu jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menyifatkan perkhabaran daripada rakan sejawatnya, Henrique Calisto yang mendakwa pasukannya bakal kehilangan empat tonggak utama sebagai satu serangan psikologi pihak lawan.

Rajagobal berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan sama sekali keupayaan lawan, malah Malaysia sendiri katanya kehilangan 12 tonggak utama yang tidak dapat beraksi pada kejohanan tersebut.

Sebagai jurulatih, beliau tetap berwaspada daripada terlalu ghairah dengan berita itu.

''Saya tahu mereka mempunyai perancangan tersendiri dan kurang empat tonggak tidak akan memberi kesan yang besar kepada pasukan itu.

''Kita juga telah sedia maklum bahawa pasukan mereka terdiri daripada skuad senior yang berpengalaman, selain pernah menjuarai kejohanan ini, dua tahun lalu.

''Kita akan sentiasa berusaha untuk melakukan persembahan terbaik, meskipun skuad kebangsaan kebanyakannya terdiri daripada pemain muda bawah 23 tahun,'' katanya ketika ditemui sewaktu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kelmarin, Calisto memberitahu empat pemainnya tidak dapat diturunkan setelah tiga daripadanya mengalami kecederaan, manakala, seorang lagi digantung perlawanan kerana menerima kad merah

Peminat serbu Wisma FAM

Bayangan Stadium Nasional, Bukit Jalil esok bakal dibanjiri peminat setia bola sepak tempatan mula terbayang apabila hampir 3,000 tiket dijual pada hari pertama, semalam.

Peminat menyerbu Wisma FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) di Kelana Jaya kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan tiket separuh akhir Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Vietnam, esok.

Bagaimanapun ribuan tiket masih boleh diperoleh apabila kaunter jualan mula dibuka di Stadium Nasional hari ini.

Bagi peminat bola sepak tempatan, ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada skuad kebangsaan yang semakin menunjukkan peningkatan bermula dengan memenangi pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.

Malah masih belum terlambat buat penyokong setia untuk mendapatkan tiket kerana kaunter di Stadium Nasional mula dibuka seawal jam 10 pagi sehingga 7 petang hari ini. Luangkan masa anda sebentar untuk mendapatkan tiket-tiket berharga RM20 sehingga RM40 dan RM5 untuk kanak- kanak.

Tiket berbumbung berharga RM40 antara yang paling mendapat sambutan hangat di kalangan penyokong semalam. Rata-rata peminat tempatan yang ditemui tidak sabar untuk menantikan aksi pemain kesayangan mereka berentap untuk mendapatkan kemenangan di tempat sendiri.

Penyokong setia, Hafiz Abd. Wahad, 27, berkata, dia dan rakan-rakan yang lain akan menjanjikan sokongan sepenuh semangat kepada skuad kebangsaan walaupun sedar pasukan Malaysia bakal berdepan juara bertahan.

''Beraksi di tempat sendiri bakal memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan kerana penyokong setia akan sentiasa menemani mereka sepanjang perlawanan.

''Saya juga yakin Malaysia mampu memberikan persembahan menarik. dan kejutan pada perlawanan itu nanti,'' kata Hafiz.

Bagi, Mizuan Minhat, 22, kejayaan pasukan kebangsaan mara ke separuh akhir adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

''Sudah tentu saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama ini kerana ini adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia,'' kata Mizuan.

Sementara itu, rakan Mizuan, Razif Ramli, 22, berpendapat, prestasi skuad kebangsaan kini berada pada tahap yang baik dan yakin pada perlawanan esok skuad negara mampu mengulangi sejarah menewaskan Vietnam di Temasya menyerbu Wisma FAM (PerSukan SEA Laos, tahun lalu.

''Kita harus berbangga dengan keupayaan skuad kebangsaan mara ke peringkat separuh akhir, ia bukan sesuatu yang mudah.

"Mari bersama memberikan sokongan kerana mereka memerlukan sokongan kita,'' katanya

Renang raih 2 emas sulung

Skuad renang paralimpik beraksi cemerlang dengan menyumbang dua pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Para Asia semalam menerusi Yusup Dewa dan Zul Amirul Sidi.

Yusup menjadi penyumbang emas sulung kontinjen negara selepas memenangi perlumbaan 100m gaya bebas lelaki kategori S6 dengan catatan masa 1 minit, 19.62s.

Perak menjadi milik perenang Korea Utara, Byeongeon Min dengan masa 1:23.61s, manakala gangsa milik Hosseinabadi Ali Nikko dari Iran (1.23.92s).

"Kejayaan hari ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk memperbaiki persembahan dari semasa ke semasa," kata Yusup.

Meskipun gembira menyumbang emas, namun dia tetap kecewa kerana gagal memperbaki rekod peribadi 1:15s yang dicipta pada Kejohanan Renang Dunia di Belanda, tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah yang juga penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hadir turut hadir menyaksikan acara renang semalam dan diberi penghormatan menyampaikan pingat kepada pemenang.

Sementara itu, sebutir lagi emas negara disumbang Zul Amirul Sidi Abdullah menerusi acara 50m kuak lentang lelaki kategori S5 dengan catatan 42.58s. Pingat perak acara tersebut dimenangi Byeongeon Min dengan catatan 43.67s, manakala perenang negara, Jamery Siga meraih gangsa (45.18s).

Menurut Zul Amirul, dia tidak terkejut dengan kejayaan ini kerana acara 50m kuak lentang adalah acara kegemarannya.

"Cuma ketika hendak memulakan aksi tadi, saya agak risau apabila hampir terjatuh dari petak permulaan, namun saya bersyukur kerana juri tidak membatalkan penyertaan," katanya, yang tidak meletakkan sasaran untuk acara lain.

Satu lagi pingat gangsa negara diraih oleh Fraidden Dawan dalam acara 100m gaya kupu-kupu kategori S10 dengan catatan masa 1.08.42s.

Kontinjen paralimpik negara berlepas ke Guangzhou bersama sasaran mencari lapan pingat emas. Temasya akan ditutup pada 19 Disember ini

Pelumba LTdL 2011 berlatih di Tasik Qinhai

Peningkatan mendadak yang dipamerkan pasukan kejar mengejar China dan Hong Kong pada Sukan Asia bulan lalu meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menghantar pelumba negara berlatih di kawasan altitud tinggi di Tasik Qinghai dalam usaha mengukuhkan pasukan menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab mengakui, terkejut dengan keupayaan China dan Hong Kong membentuk pasukan yang bagus, selain mampu melahirkan pemecut berkualiti dalam masa yang singkat ketika bertanding di Guangzhou.

China mengalahkan Jepun dalam pecut berpasukan akhir untuk memenangi pingat emas, manakala Hong Kong tidak memenangi pingat tetapi memberi cabaran sengit.

"Saya secara peribadi telah bertanya kepada Persatuan Berbasikal China dan Persatuan Berbasikal Hong Kong tentang rahsia kejayaan mereka, dan jawapan yang diberi adalah hantar pelumba anda (Malaysia) berlatih di Tasik Qinghai kalau mahu berjaya seperti kami," kata Abdu Samah dalam satu kenyataan semalam.

Abu Samah menjelaskan, Tasik Qinghai atau Kukunor dalam bahasa Mongolia yang membawa makna Tasik Biru adalah tasik terbesar di China dan terletak kira-kira 100 kilometer di barat ibu kota Wilayah Xining.

"Apa yang menarik tentang Tasik Qinghai ialah ia berada 3,205 meter di atas paras laut. Keadaan altitud tinggi ini akan menyebabkan pelumba cepat keletihan sehingga terpaksa menggunakan kadar tenaga yang banyak.

"Bagaimanapun, mereka tidak akan cepat letih apabila kembali ke kawasan rendah. Saya difahamkan ia ada kaitan dengan jantung dan penggunaan oksigen. Justeru, buat permulaan persatuan mungkin hantar empat pelumba berlatih beberapa minggu sebelum bermulanya Le Tour de Langkawi 2011.

"Tetapi, kami akan mengkaji perkara ini dengan teliti agar ia tidak bercanggah dengan cadangan jurulatih baru, Graham Seers yang mahukan pelumba berlatih di Colorado, Amerika Syarikat kerana keadaan muka bumi di sana bergunung ganang.

"Saya fikir Jawatankuasa Lebuh Raya PKBM yang diketuai Amrun Misnoh mampu memikir dan mencetuskan sesuatu kerana kekurangan pendaki kuat dikenalpasti punca kelemahan pasukan kebangsaan Malaysia," katanya.

Antara pelumba yang dijangka mencuri perhatian panel pemilihan ialah Muhammad Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakrullah Alias dan Suhardi Hassan.

Sebelum ini, Seers yang bakal bertugas pada 1 Januari ini mencadangkan pelumba negara dihantar berlatih beberapa bulan di Colorado bermula April tahun depan iaitu selepas Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat, Thailand.

Bagaimanapun cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh yang mahukan PKBM segera membentuk pendaki berkaliber untuk berkayuh pada edisi ke-16 perlumbaan tahun ini menyebabkan persatuan kembali menyemak cadangan ke Colorado.

"Cadangan ke Tasik Qinghai umpama pelan B kepada pelan A (Colorado). Kalau kita ke Qinghai ia bukan bermakna pelan ke Colorado terbatal. Kita sekadar memperbanyakkan pilihan untuk meningkatkan kualiti pendakian pelumba negara," katanya

Sunday, December 12, 2010

Tidak pertaruh memori emas

Jangan terlalu bergantung harap kepada sentuhan emas seperti mana Malaysia mengalahkan Vietnam pada perlawanan akhir Sukan SEA Laos tahun lalu, apabila kedua-dua pasukan berentap lagi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF Rabu ini.

Ini kerana pasukan yang bakal ditentang oleh skuad K. Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan skuad yang kecundang 0-1 kepada Malaysia di Laos, setahun lalu.

Sebaliknya, hanya dua pemain daripada skuad Sukan SEA mereka yang disenaraikan pada Piala Suzuki AFF 2010, iaitu Bui Tan Truong, yang bertindak selaku penjaga gol simpanan dan pemain tengah, Pham Thanh Luong.

Tan Truong berumur 24 tahun dan beraksi cemerlang pada perlawanan terakhir ketika menang 1-0 ke atas Singapura, sementara Thanh Luong, yang beraksi di kelab Ha Noi ACB, baru berusia 22 tahun.

Rajagobal mengakui skuad Vietnam akan mereka hadapi Rabu ini, adalah pasukan yang sama sekali berbeza, sebaliknya adalah skuad yang hampir sama ketika menjuarai Piala Suzuki dua tahun lalu.

‘‘Vietnam hanya menyenaraikan dua sahaja pemain muda yang beraksi di Laos tahun lalu, selebihnya adalah pemain sama ketika mereka muncul juara Piala Suzuki 2008.

‘‘Antara pemain yang mampu menghadirkan ancaman adalah ketua pasukan mereka yang memakai jersi No. 12 (Nguyen Minh Phuong) dan pemain berjersi No. 22 (Phan Van Tai Em), kedua-duanya beraksi di bahagian tengah.

‘‘Selain itu, penyerang mereka, Nguyen Anh Duc akan diberikan perhatian khusus oleh pertahanan,’’ katanya yang ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Tambah Rajagobal, Vietnam adalah sebuah pasukan yang berbahaya ketika melakukan serangan, kerana akan meletakkan ramai pemain untuk naik ke kubu lawan dalam usaha memburu gol.

‘‘Kami akan melakukan sesuatu dengan beberapa taktikal yang mampu memerangkap mereka, di samping berharap boleh pemain memanfaatkan peluang yang terhidang.

‘‘Apa paling penting, saya mahu pemain jangan gentar kepada Vietnam, fokus kepada perlawanan dan lakukan yang terbaik, ’’ katanya.

Sesi latihan yang kembali bersambung semalam membuatkan Rajagobal menarik nafas lega, apabila semua pemain termasuk Safee Sali, yang sebelum ini dikhabarkan mengalami kecederaan betis sudah boleh turun berlatih.

‘‘Safee buat pertama kali boleh turun hari ini (semalam), sementara Mohd. Fadhli Shas dan Asraruddin Putra Omar, sudah kembali sihat selepas mengalami demam menjelang perlawanan terakhir berdepan Laos, ’’ ujarnya

Kelantan juara

Pemain veteran, Khairan Ezuan Rosli muncul wira Kelantan pada penentuan sepakan penalti bagi memberikan kemenangan 4-3 ke atas Kedah pada perlawanan akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, semalam.

Kejayaan itu mengulangi sejarah pada tahun 2008 apabila Kelantan menjadi juara selepas membenam Pulau Pinang 4-0.

Manakala Kedah terus kempunan buat dua tahun berturut-turut, apabila kalah 0-2 kepada Perlis pada final tahun lalu.

Pada sepakan penalti terakhir, kedudukan terikat 3-3 selepas kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan satu sepakan namun penjaga gol Kelantan, Mohd. Shahrizan Ismail berjaya menampan tendangan Wan Mohd. Asyraf.

Khairun, yang diletakkan sebagai penyepak terakhir Kelantan, mudah menyempurnakan sepakan bagi memastikan kejayaan Kelantan sebagai juara edisi ke-30.

Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan gol sepanjang 120 minit permainan yang memaksa pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.

Kecekapan penjaga gol Kedah, Mohamad Al-Hafiz Al-Hamzah turut menafikan hajat Kelantan untuk mencipta sebarang jaringan walaupun banyak mengasak melalui gerakan pemain lincah, Che Hisammudin Hassan.

Kedah yang dibarisi beberapa pemain Liga Super Kedah seperti Shafizan Hashim dan Fauzi Shaari, hanya melancarkan beberapa serangan balas, namun gagal memberikan sebarang ancaman serius kepada kubu Kelantan.

Kemenangan itu membolehkan Kelantan membawa pulang hadiah RM30,000.

Pemain Kelantan, Rosairil Asrol Mat Nor dinobatkan Pemain Terbaik perlawanan

Chong Wei hampiri kejuaraan kelapan

Selepas membuka tirai 2010 dengan merangkul kejuaraan pertama yang ditawarkan pada tahun baru - Terbuka Korea, Januari lalu, jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berpeluang untuk menutup tirai dengan memenangi gelaran Siri Super terakhir yang dipertandingkan selepas melangkah ke final Terbuka Hong Kong, semalam.

Malah, Chong Wei juga bakal menamatkan tahun 2010 dengan mengekalkan kedudukan No. 1 dunia, selain memburu kejuaraan antarabangsa kelapannya musim ini.

Bagaimanapun, laluan juara All England itu untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu tidak mudah dengan seteru lama iaitu juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia menanti pada perlawanan akhir di Stadium Queen Elizabeth, hari ini.

Semalam, Chong Wei yang turut menjuarai Terbuka Malaysia, Jepun, Macau, Indonesia, Grand Prix Malaysia serta pingat emas Sukan Komanwel tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain utama Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-14, 21-17 hanya dalam 36 minit.

Taufik, 29, pilihan ketiga kejohanan sebaliknya dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan pemain pelapis paling meningkat China, Chen Long 15-21, 21-11, 21-19 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 1 jam, 9 minit dalam satu lagi separuh akhir.

Rekod pertemuan kedua-dua pemain berpihak kepada Chong Wei, yang menang 9-6 (dalam kejohanan individu) ke atas pemain Indonesia itu, begitupun Taufik berjaya memenangi pertemuan mereka pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.

Selepas hasrat peminat untuk menyaksikan perlawanan ulangan di antara Chong Wei dan Lin Dan pada saingan akhir tidak kesampaian, berikutan tindakan Lin Dan menarik diri di suku akhir kelmarin, pertemuan Chong Wei-Taufik tetap dianggap klasik dan menjanjikan pertarungan menarik.

Terbuka Hong Kong yang menawarkan hadiah AS$250,000 (RM785,000) mampu menjadi penawar terbaik buat Chong Wei, selepas gagal merangkul gelaran dunia buat kali pertama, selain dikecewakan oleh Lin Dan dalam perebutan emas Sukan Asia, bulan lalu.

Sementara itu, juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia yang masih segar dengan kejayaan merampas pingat emas Sukan Asia daripada pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, mara ke final beregu lelaki selepas menumpaskan Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan 21-19, 23-21.

Pertarungan akhir perseorangan wanita pula bakal menyaksikan pertembungan menarik di antara pemain No. 5 dunia, Wang Shixian dari China dengan ratu badminton India, Saina Nehwal. Shixian mara selepas mengejutkan naib juara dunia dan rakan senegara, Wang Xin 21-13, 21-14, manakala Saina mengetepikan pemain utama Jerman, Juliane Schenk 21-19, 17-21, 21-12.

Kejuaraan beregu wanita pula menemukan pilihan pertama, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin dari Taiwan dan beregu China, Wang Xiaoli-Yu Fang. Xiaoli-Yu Fang mara selepas mengejutkan pilihan kelima yang juga rakan senegara, Pan Pan-Tian Qing 21-9, 21-8. Wen Hsing-Yu Chin pula menumpaskan Valeria Sorokina-Nina Vislova 18-21, 21-12, 21-13

KOAM jumpa Noraseela, Roslinda

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) mahu bersemuka dengan dua jaguh olahraga wanita negara, Noraseela Khalid dan Roslinda Samsu bagi membincangkan prestasi mereka yang kian merosot.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pertemuan dengan atlet 400 meter berpagar dan lompat bergalah itu juga bertujuan membincangkan perancangan masa depan mereka, yang semakin dimamah usia.

Katanya, perjumpaan itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi secara profesional.

‘‘Saya akan berjumpa mereka mungkin sebelum Krismas. Perjumpaan itu diharap dapat membincangkan dengan lebih mendalam berhubung masa depan mereka.

‘‘Sungguhpun usia mereka semakin meningkat, mereka telah banyak berjasa kepada negara, mereka mungkin masih berkemampuan untuk terus aktif,’’ katanya selepas Program Larian Serentak 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini semalam.

Dalam pada itu, Shahidan mempertahankan prestasi atlet olahraga negara pada Sukan Asia Guangzhou berada pada tahap baik.

Katanya, ini kerana atlet sandaran seperti Noraseela, Roslinda, Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan kuartet 4x100m wanita, berjaya layak ke peringkat akhir.

‘‘Mereka cuma tidak bernasib baik kerana tidak dapat untuk menghadiahkan pingat.

‘‘KOAM akan nilai prestasi mereka pada melalui Sukan SEA tahun depan,’’ katanya.

Mengenai Sukan SEA 2011 di Indonesia, Shahidan berkata, lebih banyak atlet pelapis olahraga akan didedahkan kepada kejohanan antarabangsa itu.

‘‘Saya harap atlet kumpulan pelapis kita ini mampu untuk memberi kejutan pada Sukan SEA akan datang kerana ini adalah matlamat kami,’’ jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...