Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Wednesday, December 8, 2010

Terbuka China: Beregu muda lakar kejutan

Selepas menumbangkan beberapa pemain pilihan pada kejohanan badminton Terbuka China minggu lalu, beregu muda Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan kecemerlangannya apabila membuka kempen Terbuka Hong Kong semalam dengan mengejutkan pasangan No. 2 dunia, Hendra Gunawan-Vita Marissa dari Indonesia di Stadium Queen Elizabeth.

Peng Soon-Liu Ying, yang memahat sejarah sebagai pasangan Malaysia pertama merangkul kejuaraan beregu campuran Asia, April lalu mengetepikan Hendra-Vita 21-14, 15-21, 21-16 dalam masa 37 minit.

Kemenangan tersebut bakal menemukan mereka dengan satu lagi pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah hari ini. Fran-Pia mara selepas mengetepikan Adrian Liu-Joycelyn Ko dari Kanada 21-7, 21-12.

Kecemerlangan pasangan No. 34 dunia itu, bagaimanapun gagal diteruskan juara Sukan Komanwel, Koo Kien Keat-Chin Eei Hui, yang tunduk 19-21, 21-16, 21-12 di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Jang Ye Na.

Begitupun, keletihan menjadi faktor utama kepada kekalahan pasangan senior itu kerana Eei Hui hanya mempunyai sejam untuk berehat selepas menamatkan pertarungan sengit tiga set dalam aksi beregu wanita.

Sejam sebelum turun bergandingan dengan Kien Keat, Eei Hui berpasangan dengan Goh Liu Ying dalam beregu wanita dan kombinasi baru ini berjaya melakar kejutan ke atas pilihan ketujuh dari Macau, Zhang Dan-Zhang Zhibo 22-24, 21-15, 21-18.

Kemenangan itu akan menemukan mereka dengan beregu Taiwan, Chang Hsin Yun-Cheng Shao Chieh, yang terdahulu mara selepas menyingkirkan pasangan adik-beradik Malaysia, Ng Hui Ern-Ng Hui Lin 21-13, 21-11. Hui Ern turut gagal menyerlah dalam beregu campuran, apabila gandingannya bersama Hoon Thien How kalah mudah 11-21, 6-21 kepada Jiaming Tao-Tian Qing dari China.

Sandaran sebenar Malaysia pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM785,000) ini adalah kepada pemain utama seperti Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang hanya akan memulakan kempen hari ini.

Chong Wei akan menentang pemain muda Denmark, Christian Lind Thomsen, manakala Kien Keat-Boon Heong berdepan pasangan negara itu, Mads Conrads-Petersen-Jonas Rasmussen. Turut turun beraksi adalah Muhammad Hafiz Hashim yang bertemu Wang Zhengming dari China, selain tiga lagi beregu lelaki - Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How, Peng Soon-Lim Khim Wah, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...