Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Friday, December 3, 2010

Skuasy: Malaysia kejutkan penyandang juara

Malaysia bangkit daripada ketinggalan, manakala Delia Arnold diheret dalam pertarungan 80 minit sebelum mengejutkan penyandang juara, Mesir 2-1 dalam perlawanan dramatik untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Palmerston North, New Zealand semalam.

Pasukan negara bermula cemas apabila gagal memenangi mata pembukaan yang diharapkan daripada pemain muda, Low Wee Wern, yang tewas mudah 5-11, 4-11, 4-11 kepada Raneem El Weleily dalam perlawanan 21 minit.

Juara dunia lima kali, Datuk Nicol David berjaya menghidupkan kembali peluang Malaysia dengan mengutip mata penyamaan 1-1, namun selepas dikerah berhempas pulas ketika menewaskan pemain No. 2 dunia, Omneya Abdel Kawy 11-9, 11-3, 8-11, 11-4 dalam pertarungan sengit 53 minit.

Ketika semua tumpuan dan bebanan disandarkan kepada Delia untuk menyelamatkan Malaysia, pemain ranking ke-22 dunia itu langsung tidak gemuruh, sebaliknya dia berjaya mengetepikan pemain ranking lebih baik daripadanya, Engy Kheirallah.

Dalia, 24, yang turut menjadi tonggak utama ketika membantu Malaysia merangkul pingat emas berpasukan Sukan Asia, memenangi pertarungan epik 11-9, 3-11, 11-6, 9-11, 11-8 ke atas Engy untuk mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir.

Kemenangan ini memastikan Malaysia terus di landasan untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian terbaik menduduki tangga ketiga yang dilakukan di Kaherah, Mesir pada 2008 dan Edmonton, Kanada 2006.

Bagaimanapun untuk mengulangi pencapaian itu tidak mudah kerana juara lapan kali dan pilihan kedua, Australia bakal menanti pada separuh akhir hari ini.

Malah, 'senjata sulit' Australia, Sarah Fitz-Gerald sehingga semalam berjaya memberikan bantuan besar dan menjadi penyumbang utama kepada kemaraan mereka ke separuh akhir.

Bekas juara dunia lima kali yang kini berusia 41 tahun, Fitz-Gerald menghadiahkan mata kemenangan Australia ketika menewaskan Amerika Syarikat 2-1 di suku akhir. FItz-Gerald menang mudah 11-4, 11-1, 11-2 ke atas pemain yang 24 tahun lebih muda daripadanya, Olivia Blatchford.

Terdahulu, Kasey Brown mengutip mata pertama Australia dengan menundukkan Latasha Khan 11-3, 11-5, 11-6, namun Rachael Grinham gagal menyaingi Natalie Grainger apabila kalah 11-7, 11-6, 9-11, 7-11, 10-12 untuk kedudukan terikat 1-1.

"Delia telah menunjukkan satu persembahan menakjubkan untuk mengutip mata kemenangan dan membawa kami ke separuh akhir,'' kata Nicol

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...