Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, January 8, 2011

34 atlet pelapis naik pangkat ke program elit


Sebanyak 34 atlet pelapis kebangsaan mengesahkan tempat dalam status elit dan bakal memberikan saingan sengit pada Sukan SEA Jakarta, 11 hingga 25 November ini.

Kesemua atlet tersebut dipilih daripada 11 jenis sukan dan mereka telah pun mengesahkan kemasukan ke program elit bermula pada Januari sehingga Disember tahun lepas.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pemilihan 34 atlet tersebut dinilai melalui pencapaian terbaik mereka di sepanjang tahun 2006 sehingga 2010.

''Ada antara mereka telah pun memulakan aksi pertama sebagai atlet elit pada tahun lepas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, malah mereka menunjukkan prestasi yang amat baik walaupun baru bergelar atlet elit.

''Kita dapat lihat atlet menembak seperti Nur Ayuni Farhana, yang cukup cemerlang pada Sukan Komanwel dan Siti Zubaidah Adabi dari sukan olahraga, mampu memberikan saingan hebat di Sukan Asia Guangzhou.

''Mereka ini baru sahaja dinaikkan taraf ke peringkat elit pada Januari tahun lalu dan kejayaan mereka ini adalah hasil daripada program-program yang diikuti ketika semasa di peringkat pelapis,'' kata Jefri ketika ditemui Utusan Malaysia di MSN Bukit Jalil semalam.

Dalam pada itu, Jefri berkata, terdapat beberapa atlet seperti Khairulnizam Mohd Afendy, Mohamad Hafizzudin Mazelan dan Khairunnisa Mohd Afendy dari sukan pelayaran serta atlet angkat berat, Arisha Farra Erwin berupaya menyumbang pingat di temasya sukan selepas ini.

''Ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan kerana mereka ini bakal menyerlah di arena sukan antarabangsa.

''Apa yang paling utama kini kesemua atlet tersebut harus cuba untuk meningkatkan prestasi mereka ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh negara,'' jelas Jefri.

Katanya, setakat ini pihaknya mempunyai seramai 242 atlet pelapis kebangsaan yang akan didedahkan dengan beberapa kejohanan sepanjang tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...