Sudahlah gagal mengharungi musim 2010 dengan keputusan cemerlang, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meneruskan episod malang apabila membuka tirai 2011 dengan tersungkur awal pada kejohanan badminton Siri Super Masters Akhir di Taiwan, semalam.
Bekas beregu No. 1 dunia itu, yang hanya memenangi dua kejuaraan antarabangsa sepanjang tahun lalu - Terbuka Malaysia dan Sukan Komanwel, tersingkir dari kejohanan lumayan bernilai AS$500,000 (RM1.6 juta) itu apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Semalam, mereka tunduk kepada beregu kedua China, Chai Biao-Zhang Nan 21-14, 15-21, 17-21. Kekalahan tersebut menyusul sehari selepas bekas juara All England itu tumpas buat kali keempat kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seung kelmarin.
Hari ini, Kien Keat-Boon Heong akan berdepan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China dalam perlawanan terakhir Kumpulan A. Bagaimanapun sebarang keputusan tidak akan memberi sebarang makna kerana mereka sudahpun terkeluar. Haifeng-Cai Yun sudahpun melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan pilihan pertama, Sung Hyun-Yeon Seung 21-14, 21-15.
Begitupun berbeza dengan Kien Keat-Boon Heong, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sebaliknya meneruskan langkah cemerlang dengan mengesahkan tiket separuh akhir selepas menumpaskan pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 21-13.
Chong Wei, yang memburu kejuaraan hatrik kini akan berdepan jaguh utama Denmark, Peter Hoeg Gade dalam perlawanan terakhir untuk menentukan juara Kumpulan A. Gade juga sudah melangkah ke separuh akhir selepas mengutip kemenangan kedua dengan menumpaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam, 21-16, 21-18.
Dalam saingan Kumpulan B, juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia pulang lebih awal selepas tumpas kepada pemain muda China, Chen Long. Taufik, yang tewas kepada Boonsak Ponsana dalam saingan pertama kelmarin sedang ketinggalan 15-21, 11-14 sebelum menarik diri.
Kemenangan terbaru ini menyaksikan Chen Long berjaya melangkah ke separuh akhir bersama Boonsak, yang turut mara selepas mengetepikan seorang lagi pemain muda China, Du Pengyu 13-21, 21-11, 21-19.
Saingan Kumpulan B beregu lelaki pula menyaksikan penyingkiran mengejut juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan daripada kejohanan selepas menarik diri ketika bertemu penyandang juara, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan. Ini adalah kekalahan kedua pasangan Indonesia itu dalam kejohanan ini.



No comments:
Post a Comment