Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, January 6, 2011

Misbun enggan jumpa Nadzmi


Sehingga semalam, usaha untuk menjernihkan kemelut yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, masih menemui jalan buntu.

Pada ketika Misbun enggan ditemui pegawai BAM, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat, Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh pula menolak untuk berdepan pihak media dengan alasan bimbang keadaan akan menjadi bertambah kusut.

Akhirnya, hanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil untuk cuba menjernihkan kekusutan, namun ia tetap tidak memadai bagi meleraikan keadaan, kerana Ahmad Shabery bukan orang yang terlibat secara langsung dalam kemelut yang berlaku.

Sejak kembali dari London kelmarin, Nadzmi berusaha untuk mengatur pertemuan dengan Misbun, bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai tindakan mengejut jurulatih itu meletakkan jawatan, yang berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Malangnya, Misbun memberitahu beliau tidak dapat bertemu dalam masa terdekat dan mungkin memerlukan beberapa hari lagi sebelum bersedia bersemuka dengan BAM. Namun, pada masa yang sama, beliau sudi menerima pelawaan makan malam bersama Ahmad Shabery yang diadakan secara tertutup, malam tadi.

Malah, Nadzmi dan pegawai-pegawai kanan BAM yang lain turut memilih untuk memenuhi undangan makan tengah hari bersama Ahmad Shabery semalam, selepas usaha untuk duduk berunding dengan Misbun menemui kegagalan.

Bagaimanapun, harapan media untuk mendapatkan penjelasan daripada Nadzmi mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku hampa, apabila Presiden BAM itu tidak mahu memasuki sidang akhbar dan meninggalkan Ahmad Shabery bersendirian cuba menjelaskan keadaan.

"Datuk Nadzmi tidak mahu memburukkan keadaan kerana bimbang jika beliau mengeluarkan sebarang kenyataan ia akan disalah tafsir. Hari ini, beliau kecewa apabila membaca laporan sebuah akhbar yang mengeluarkan beberapa perkataan yang sebenarnya tidak pernah disebut, ini tidak membantu, tetapi hanya mengeruhkan lagi situasi.

"Mengenai kedudukan saya sebagai orang tengah, saya tidak pernah berniat mencampuri urusan BAM. Saya memanggil mereka (BAM dan Misbun) hanya kerana ingin mendapat penjelasan sebenar, sebagai wakil kerajaan yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada sukan badminton, saya rasa kami berhak untuk tahu apa yang berlaku. Sama ada saya akan bantu, ia bergantung sama ada mereka mahu saya membantu.

"Saya juga ingin menegaskan, saya bertindak sebagai orang tengah bukan kerana BAM dan Misbun tidak boleh bersemuka. Saya panggil mereka kerana prihatin terhadap masalah yang melanda. Jika ada keperluan, kita akan buat Misbun dan BAM berjumpa, pada saya yang penting keikhlasan,'' kata Ahmad Shabery pada sidang akhbar di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Ahmad Shabery bagaimanapun enggan memberitahu butiran terperinci mengenai hasil pertemuan dengan Nadzmi serta pegawai BAM yang lain, malah merahsiakan lokasi pertemuan dengan Misbun sambil menegaskan ia adalah tertutup.

Sementara itu Pengurus Besar BAM, Kenny Goh ketika dihubungi berkata, badan badminton kebangsaan itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah penyelesaian ditemui, sambil menegaskan bahawa pertemuan dengan Misbun akan berlaku cuma bukan dalam masa terdekat.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi kerana bimbang keadaan akan menjadi bertambah buruk. Sebarang kenyataan hanya akan diberikan oleh Presiden BAM dan saya percaya beliau akan berbuat demikian apa tiba masanya.

"Mengenai usaha untuk bertemu dengan Datuk Misbun, sudah tentu kami akan bersemuka cuma bukan dalam masa terdekat. Saya harap tolong jangan buat sebarang spekulasi yang tidak betul kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,'' katanya.

Selain Nadzmi dan Kenny, turut hadir dalam pertemuan hampir sejam bersama Menteri Belia dan Sukan semalam adalah Setiausaha BAM, Ng Chin Chai dan Pengarah Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...