Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Saturday, January 22, 2011

Rexy bimbang kemerosotan

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky menyuarakan kebimbangan terhadap keyakinan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang dikhuatiri merosot ekoran kekalahan terbaru mereka di Terbuka Malaysia, Rabu lalu.

Pasangan No. 3 dunia itu dikejutkan dengan kekalahan kepada beregu muda China, Hong Wei-Shen Ye 21-16, 18-21, 16-21 pada pusingan pertama - kegagalan yang dilihat sukar untuk diterima Kien Keat-Boon Heong.

Ini adalah kegagalan buruk kedua berturut-turut buat anak didik Rexy itu selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada kejohanan Siri Super Masters Akhir di Taiwan, dua minggu lalu.

Bagaimanapun Rexy mengakui, keadaan Kien Keat-Boon Heong ketika ini lebih teruk berbanding ketika mereka kalah di Taiwan.

"Saya khuatir jika moral mereka jatuh ekoran kekalahan terbaru ini. Ketika ini mereka nampak cukup tertekan dan sedih. Mereka masih boleh terima ketika kalah di Taiwan tetapi kali ini keadaan sama sekali berbeza.

"Pertama, mereka memasuki gelanggang sebagai penyandang juara dan kedua, beraksi di depan penyokong sendiri. Mereka kalah kepada pasangan yang tidak ternama di depan penonton sendiri dan saya bimbang kalau itu akan menyebabkan mereka cukup tertekan," akui Rexy.

Tegas Rexy, tugasnya kini lebih berat daripada yang disangka. Selain mencari formula terbaik untuk mengembalikan pasangan utama negara itu menjadi beregu digeruni, beliau turut bertanggungjawab mengembalikan keyakinan pemainnya.

Katanya lagi, mentaliti dan fokus Kien Keat-Boon Heong harus terus berada dalam keadaan yang betul, apatah lagi ketika 2011 adalah tahun penting untuk mengutip mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2012.

"Sebenarnya saya tidak mensasarkan terlalu banyak kejuaraan Siri Super kepada mereka, sasaran adalah dua gelaran utama - All England dan Kejohanan Dunia. Jika mereka gagal dalam kedua-dua kejohanan ini ia bermakna kegagalan buat saya sebagai jurulatih.

"Biarpun dalam keadaan prestasi mereka yang turun naik, saya tetap perlu meletakkan sasaran tinggi kepada Koo dan Tan agar mereka sentiasa tahu di mana sepatutnya fokus mereka. Beberapa keputusan mengejutkan seperti yang berlaku di Terbuka Malaysia boleh menganggu tetapi mereka tidak harus lari daripada landasan," ujar Rexy lagi.

Biarpun tidak gembira dengan apa yang ditunjukkan pasangannya pada Terbuka Malaysia, namun beliau tidak berhasrat mereka Kien Keat-Boon Heong daripada Terbuka Korea yang akan berlangsung minggu depan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...