Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Thursday, January 20, 2011

Pengalaman jadi bekalan Chong Wei


Ketua jurulatih skuad badminton negara, Rashid Sidek yakin pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mampu mengharungi Kejohanan Terbuka Malaysia tanpa masalah, meskipun tanpa jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Katanya, walaupun beraksi tanpa jurulatihnya, namun Chong Wei masih mampu memanfaatkan pengalamannya yang pernah memperoleh enam kali kejuaraan dalam Terbuka Malaysia.

Chong Wei juga tetap boleh berhubung dengan jurulatihnya itu melalui telefon untuk mendapatkan nasihat sebelum beraksi pada hari ini.

‘‘Misbun seorang yang terbuka dan saya yakin Chong Wei akan menghubunginya untuk mendapatkan sedikit nasihat kerana mereka berdua amat rapat.

‘‘Chong Wei juga mempunyai pengalaman luas beraksi dalam beberapa kejohanan besar dunia ini tentunya akan menjadi bekalan utama pemain itu esok (hari ini),” kata Rashid kepada pemberita pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Tambahnya, pada perlawanan hari ini, Chong Wei perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk menghadapi semua perlawanan dengan tenang, sekiranya mahu mara ke peringkat akhir.

‘‘Biarlah dia lalui satu demi satu perlawanan yang berlangsung kerana itu adalah cara terbaik untuk mara ke peringkat akhir.

‘‘Kita tak boleh anggap mudah pada pihak lawan yang bakal dihadapinya dan saya juga akan cuba untuk membantunya pada perlawanan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rashid juga percaya prestasi Chong Wei berada pada tahap yang terbaik untuk menghadapi kejohanan ini.

‘‘Dia (Chong Wei) telah buktikan keupayaannya pada kejohanan sebelum ini di Taiwan, itu juga akan menjadi tanda aras buatnya melakukan yang lebih baik di Stadium Putra ini.

‘‘Saya harap dia dapat bermain dengan cemerlang untuk terus mengekalkan gelaran yang pernah diperolehi biarpun siapa yang dia jumpa,” jelasnya.

Pada perlawanan hari ini, Chong Wei bakal berhadapan pemain muda Tommy Sugiarto dari Indonesia, yang sebelum ini menewaskan pemain pelapis kebangsaan Chong Wei Feng 21-16 24-22 dalam saingan kelayakan semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...