Datuk Lee Chong Wei menggembirakan ribuan penyokong dengan muncul wakil tunggal Malaysia melangkah ke separuh akhir, namun separuh daripada tarikan Terbuka Malaysia hilang kerana dia tidak akan menentang Lin Dan yang menarik diri.
Chong Wei, sebaliknya hanya akan bertemu pemain muda China, Chen Long pada separuh akhir hari ini selepas pertemuan yang diimpikan oleh seluruh peminat tidak menjadi kenyataan ekoran tindakan Lin Dan menarik diri dengan alasan kecederaan otot perut.
Juara Olimpik itu dikatakan mengalami kecederaan tersebut ketika latihan pagi semalam, bagaimanapun ia agak menghairankan kerana pemain China tidak kelihatan pada sesi latihan yang dijadual di Stadium Putra pukul 9 pagi.
Ketiadaan musuh tradisi mencerahkan peluang Chong Wei untuk merakam kejuaraan ketujuh Terbuka Malaysia dan semalam dia tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16.
Biarpun sedikit dikejutkan dengan ketinggalan 8-11 pada set pembukaan, namun Chong Wei dengan bantuan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek tidak menghadapi masalah untuk bangkit sebelum memenangi pertarungan dalam masa 40 minit.
"Saya tahu semua orang menunggu pertemuan saya dan Lin Dan, ia memang agak mengecewakan mereka apabila tidak dapat menyaksikan perlawanan itu tetapi untuk saya, tiada apa yang boleh dilakukan jika dia mahu menarik diri.
"Saya setuju dengan pandangan Taufik Hidayat (Indonesia), BWF (Persekutuan Badminton Dunia) kena mengambil serius perkara ini kerana ia bukan kali pertama Lin Dan menarik diri daripada kejohanan secara tiba-tiba apabila terpaksa berdepan rakan senegara sendiri.
"Saya tidak kata ia adalah perancangan atau plot China, saya tidak pasti tetapi perkara seperti ini kalau dibiarkan tidak bagus untuk sukan badminton. Semua peminat akan marah,'' kata pemain No. 1 dunia itu ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Bagaimanapun tegas Chong Wei, sekali pun berjaya mengelak pertemuan dengan musuh tradisi yang telah mengalahkannya dalam dua perlawanan terakhir mereka - Piala Thomas dan Sukan Asia 2010, dia masih tidak melihat laluan di separuh akhir mudah kerana Chen Long juga adalah pemain yang sukar dijinakkan.
Tambahan lagi katanya, pemain muda China itu, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka China, Oktober lalu mempunyai kelebihan fizikal kerana mendapat rehat sehari ekoran kemenangan percuma yang dihadiahkan oleh Lin Dan.
Chong Wei, 29, dan Chen Long, 22, mempunyai rekod pertemuan seimbang. Dia mengalahkan pemain muda itu pada pertemuan terakhir mereka di Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Jun tahun lalu tetapi kalah ketika kali pertama bertemu di Terbuka India, Mac 2009.
Melengkapkan kuota separuh akhir perseorangan lelaki adalah dua pemain Indonesia, juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat yang bakal berentap dengan Simon Santoso.
Taufik mudah mengetepikan naib juara All England, Kenichi Tago 21-15, 21-15, manakala Simon menundukkan rakan senegara, Alamsyah Yunus 21-19, 21-9.




No comments:
Post a Comment