Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Monday, January 31, 2011

Chong Wei jumpa Lin Dan final Terbuka Korea

Final impian di antara jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dan musuh ketatnya dari China Lin Dan pada Terbuka Korea hari ini, menjadi kenyataan apabila kedua-dua jagoan itu mengalahkan lawan masing-masing pada separuh akhir semalam.

Chong Wei mudah melepasi halangan pemain China, Du Pengyu dengan straight set 21-10, 21-10 dalam masa 34 minit.

Sebaliknya Lin Dan dipaksa beraksi dalam perlawanan selama satu jam 15 minit oleh pemain Indonesia, Simon Santoso sebelum menang perlawanan tiga set 23-21, 20-22, 21-15.

Perlawanan akhir hari ini pastinya menjadi peluang terbaik Chong Wei untuk menebus kehampaan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan aksi mereka pada Terbuka Malaysia baru-baru ini, setelah pemain China itu menarik diri pada separuh akhir dengan alasan kecederaan.

Sementara itu, seperti diduga, beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terpaksa akur dengan kehebatan beregu Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae apabila kalah 20-22, 21-9, 21-10 pada separuh akhir.

Kekalahan semalam adalah yang kesembilan daripada 10 perlawanan kepada Jae Sung-Yong Dae, yang berpeluang untuk mempertahankan ke juaraan di depan penonton sendiri.

Cuma pencapaian ke separuh akhir pada kejohanan tersebut, mencatatkan peningkatan setelah dimalukan akibat disingkirkan pada pusingan pertama Terbuka Ma laysia dan tersungkur di peringkat kumpulan Siri Super Masters Akhir, awal bulan ini.

Terbuka Korea, kejohanan paling lumayan dalam sejarah badminton dengan menawarkan hadiah keselu ruhan AS$1.2 juta (RM3.84 juta).

Trofi buat Sathia


Kelantan mencipta satu lagi sejarah bola sepak tempatan apabila menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan mengejutkan penyandang juara, Selangor 2-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan bersejarah itu pastinya menjadi hadiah istimewa buat bekas jurulatih B.Sathianathan yang digantung, selain penghijrahan lima tonggak utama mereka yang menjulang Piala Malaysia musim lalu.

Segala kemelut tersebut tidak memberi impak besar untuk Kelantan yang mempamerkan aksi penuh bertenaga.

Jaringan penalti menerusi ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan gol menerusi sepakan percuma Mohd.Badhri Mohd.Radzi sudah cukup buat Red Warrios mengecewakan Selangor yang berhasrat memburu kejuaraan hatrik Piala Sultan Ahmad Shah.

Sepakan penalti Kelantan berpunca daripada tindakan bek kanan Selangor, Mohd. Razman Roslan yang menjatuhkan Mohd. Nurul Azwan Roya di dalam kawasan sendiri pada minit kelapan.

Norshahrul mudah menewaskan Mohd Iqbal Suhaimi apabila melepaskan sepakan kencang ke arah kiri, ketika penjaga gol Selangor itu memilih merebahkan badan ke sebelah kanan.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd.Badhri Radzi menutup sisa kebangkitan tuan rumah pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma, apabila melakukan rembatan lencong yang cantik dari arah sebelah kanan pintu gol Selangor yang gagal dijangkau Iqbal.

Bertambah manis buat Kelantan, anugerah Pemain Terbaik Perlawanan diraih oleh penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata taruhan terbaru Kelantan meletakkan K.Soley atau nama Islamnya, Solihin Kanasian, Mohd.Nurul Azwan Roya dan Danial Fadzley menggantikan ketiadaan Indra Putra Mahayuddin serta Mohd.Nor Farhan Muhammad cukup menjadi dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan yang dihadiri kira-kira 40,000 penyokong itu, Kelantan dilihat cukup menyerlah pada separuh masa pertama melalui penguasaan di bahagian tengah yang cukup kemas oleh Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Mohd. Shakir Shaari.

Red Giants turut berpeluang mendapatkan jaringan menerusi percubaan terbaik Safee Sali pada minit ke-31, namun tandukannya terkena tiang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Ketangkasan Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan ternyata sukar dijinakkan oleh barisan serangan Selangor, yang bagaikan tidak bermaya di segenap penjuru malah kelibat Safee serta Safiq Rahim tenggelam sepanjang permainan.

Perlawanan terganggu seketika apabila pengadil, Mohd.Yusof Mat Karim memberhentikan perlawanan kira-kira 10 minit, ekoran insiden pembalingan objek berhampiran kawasan padang oleh penyokong Kelantan.

Selepas Kelantan memperoleh gol kedua, jurulatih Selangor,K. Devan memasukkan penyerang muda, S.Sritharan dan jentera Selangor dilihat sedikit hidup, tetapi ia sudah terlambat buat Red Giants melakukan kebangkitan ketika Khairul Fahmi tangkas menghampakan setiap percubaan anak-anak buah Devan.

Anuar tempat ke-24, terlepas jersi pecut


Terlepas jersi biru bagi saingan Raja Pecut tidak bermakna segala-galanya sudah berakhir buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, sebaliknya dia bertekad untuk merampas semula gelaran yang kembali menjadi milik pelumba Farnese Vini, Andrea Guardini semalam.

Saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Banting ke Tampin semalam, menyaksikan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu terpaksa menerima hakikat kehebatan Guardini, yang memenangi perlumbaan tersebut.

Untuk itu, Anuar bertekad untuk melakukan kayuhan 'kamikaze' pada saingan peringkat kelapan LTdL 2011 dari Kuala Pilah ke Jasin hari ini, bagi mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lalu.

Pada perlumbaan sejauh 149.5km semalam, Anuar sekali lagi gagal merealisasikan impian untuk menjuarai satu peringkat perlumbaan, apabila menduduki tempat ke-24.

Lebih malang, dia gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong.

"Hari ini saya rasa sangat penat. Berlumba pada laluan landai dan beralun sepanjang laluan menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga terutamanya apabila cuba mengejar kelompok pelumba yang membuat pemecahan," katanya.

Katanya, dia kecewa apabila gagal menambah kutipan mata, sekali gus gagal mempertahankan jersi biru.

"Namun masih ada tiga peringkat perlumbaan dan jurang mata juga tidak besar. Jadi, saya rasa peluang masih ada.

"Strategi pada perlumbaan esok, saya akan berkayuh bermati-matian dan mengharapkan kerjasama yang baik daripada rakan-rakan sepasukan dalam usaha memenangi peringkat serta merampas semula Jersi Biru daripada Guardini," katanya.

Anuar berkata, dia dan rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati untuk menghadapiperlumbaan hari ini kerana peringkat kelapan dari laluan dari Kuala Pilah ke Jasin lebih mencabar.

Selain perlu berdepan laluan landai yang beralun, peringkat perlumbaan itu juga adalah yang paling jauh iaitu sejauh 156.7 km.

Friday, January 28, 2011

'Saya sedia jumpa Misbun'

Datuk James Selvaraj (gambar) berkata, beliau bersedia mendengar luahan Datuk Misbun Sidek dan memberi pandangan kepadanya sebelum jurulatih perseorangan itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

Ujar James, beliau tidak kisah sama ada Misbun mahu meletakkan dirinya sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM atau orang yang rapat dengan keluarga Sidek, kerana yang penting beliau dapat membantunya menyelesaikan krisis dengan badan induk badminton kebangsaan itu.

Menurut James, Misbun, menerusi adiknya, Jalani Sidek ada menyuarakan hasrat untuk bertemu dengannya bagi berkongsi pandangan sebelum jurulatih itu mengadakan pertemuan dengan Nadzmi dalam mencari penyelesaian mengenai isu perletakan jawatannya.

Katanya, hasrat tersebut disuarakan pada hari terakhir Terbuka Malaysia, Ahad lalu dan beliau telah memaklumkan kesediaannya untuk bertemu Misbun jika pertemuan tersebut dapat melegakan rasa yang terbuku di hati jurulatih itu.

Bagaimanapun, sehingga semalam, pertemuan yang dirancang belum dapat diadakan biarpun pada awalnya mereka berjanji untuk berjumpa kelmarin.

Kata James, beliau tidak pasti yang bermain di fikiran Misbun ketika ini, namun beliau hanya mahu jurulatih itu tahu bahawa beliau sedia menjadi 'telinga' pada bila-bila masa yang diperlukan.

"Jika Misbun merasakan beliau memerlukan seseorang untuk berkongsi dan bercerita mengenai masalah yang dialaminya di BAM sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden, maka saya bersedia menjadi orang itu dan mendengar apa yang ingin diluahkan. Hanya hanya mahu isu ini selesai dan semua pihak gembira,'' ujar James.

Menurut James, keakrabannya dengan keluarga Sidek mendorong beliau untuk turut berkongsi masalah yang dihadapi Misbun dan secara kebetulan, beliau mempunyai jawatan di BAM, maka ia mungkin boleh membantu.

Chong Wei ketuai kemaraan negara ke suku akhir Korea

Selepas bermula dengan kurang meyakinkan kelmarin, Datuk Lee Chong Wei kembali menampilkan gaya permainan sebenarnya apabila mudah menjinakkan pemain utama tuan rumah, Park Sung Hwan 21-14, 21-9 untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Seoul, semalam.

Bagaimanapun, berbeza dengan pemain No. 1 dunia itu, beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara tetapi selepas dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan hampir sejam ketika menyingkirkan pasangan China, Hong Wei-Shen Ye 25-23, 11-21, 21-19.

Kemenangan tersebut membantu beregu No. 3 dunia itu membalas dendam ke Hong Wei-Shen Ye yang memalukan mereka pada pusingan pembukaan Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, minggu lalu.

Kien Keat-Boon Heong kini bakal berdepan rakan senegara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, yang cemerlang menyingkirkan pasangan Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 21-18, 21-12 dalam satu lagi saingan pusingan kedua.

Ini merupakan kejayaan kedua buat Fairuzizuan-Soon Hock melayakkan diri ke suku akhir kejohanan Siri Super sejak digandingkan enam bulan lalu. Kali pertama pasangan ini berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik adalah Terbuka Perancis 2010.

Sementara itu, bagi Chong Wei, kemenangan dalam masa 36 minit ke atas Sung Hwan semalam membuktikan dia masih berada dalam keadaan fizikal terbaik untuk memburu kejuaraan hatrik 2011 selepas menjuarai Siri Super Masters Akhir dan Terbuka Malaysia.

Peluang Chong Wei untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan bernilai AS$1.2 juta (RM3.84 juta) itu semakin cerah kerana tidak perlu berdepan juara dunia dan pilihan kelima, Chen Jin di suku akhir hari ini selepas jaguh China itu kalah mengejut kepada pemain pelapis senegara, Wang Zhengming 11-21, 14-21.

Chong Wei memenangi kedua-dua pertemuan terakhirnya ke atas pemain berusia 21 tahun, Zhengming - pada Terbuka Hong Kong 2010 dan Grand Prix Emas Macau 2009.

Sementara itu, tumpuan utama perseorangan lelaki hari ini terarah kepada pertemuan dua musuh ketat, juara Olimpik 2008 Lin Dan dan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Jika Taufik dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan pemain pusingan kelayakan Hong Kong, Wong Wing Ki 19-21, 21-18, 21-17, Lin Dan mudah menjinakkan Marc Zwiebler dari Jerman, 21-9, 21-12.

Dalam perseorangan wanita, cabaran Malaysia berakhir selepas Wong Mew Choo gagal menyekat keunggulan pilihan utama Wang Xin apabila tumpas 16-21, 9-21.

'Kita perlu lebih penekanan'

Skrip lama masih lagi menghantui pelumba skuad kebangsaan di Le Tour de Langkawi (LTdL), selepas tidak ada pelumba yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik ketika mendaki Genting Highlands, pada peringkat kelima LTdL 2011.

Perkara ini diakui oleh pengurus pasukan Amrun Misnoh, bahawa aspek pendakian perlu diberi penekanan yang khusus kerana ia akan melibatkan kedudukan pelumba bagi individu terbaik keseluruhan dan juga pasukan keseluruhan.

Menurut Amrun, sejak 16 edisi LTdL, pelumba yang mewakili pasukan Malaysia masih dibayangi kehebatan pelumba luar negara, terutama sekali dari Amerika Selatan dan Itali.

Tambah beliau lagi, ini bermakna pelumba pendaki yang sedia ada perlu dipertajamkan lagi kemampuan mereka selepas ini.

Peringkat kelima semalam menyaksikan pelumba Malaysia, Amir Mustafa Rusli menduduki tempat ke-55, diikuti Mohamad Rauf Nur Misbah ke-69, Loh Sea Keong (72), Mohd. Nur Rizuan Zainal (74), Suhardi Hassan (81) dan Ahmad Fakrullah Alias (85) daripada 123 pelumba.

"Pendakian adalah amat mustahak, terutama sekali di pendakian berstatus Hors, selepas ini kami akan memberi penumpuan untuk memantapkan kebolehan empat pelumba pendaki, Amir Rauf, Rizuan dan Sea Keong," katanya, semalam,

Jelasnya, jika barisan skuad negara mempunyai pendaki yang baik, tidak mustahil Malaysia mampu memberi saingan kepada pelumba luar.

"Apa yang saya nampak pendedahan berlumba di luar negara adalah amat penting untuk memberi mereka pendedahan dan memperbaiki teknik kayuhan, mereka tidak boleh hanya beraksi di dalam negara sahaja.

"Saya lihat pada edisi kali ini Amir dan Rauf menunjukkan peningkatan, begitu juga dengan Sea Keong, kalau digilap lagi bakat mereka tidak mustahil pelumba ini mampu memberi saingan di perlumbaan LTdL pada masa akan datang," ujarnya.

Wednesday, January 26, 2011

Hukuman tak kena masa – Sathia

B. Sathianthan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak kena pada masanya, ketika Kelantan sibuk mengatur persiapan untuk Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah menentang Selangor, lima hari lagi.

Kecewa dengan keputusan tersebut, Sathianathan akan menggunakan saluran yang ada untuk mengemukakan rayuan sekali lagi, bagi memastikan beliau mendapatkan kembali haknya.

"Mengenai penggantungan, sudah pasti saya tidak berpuas hati. Saya akan kemukakan rayuan lagi sekali dengan cara yang betul dan mengikut apa yang tertakluk dalam perlembagaan.

"Bukan rayuan tetapi menggunakan saluran tertentu. Daripada apa yang saya rasa, masanya (hukuman) tidak kena, saya rasa dukacita. Harapan saya penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Kelantan dan saya pasti Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin akan buat yang terbaik untuk perlawanan ini (perlawanan menentang Selangor).

"Rayuan ini akan dibuat dalam masa yang terdekat, tetapi saya perlu berbincang dengan kawan-kawan yang pandai undang-undang.

“Kena baca dahulu apa yang boleh diambil, macam saya seorang profesional mesti ada hak, hak untuk buat merayu sekali lagi, ikut saluran yang tertentu," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada pemain bola sepak di atas kejayaan memenangi Piala Malaysia 2010.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Ketika ditanya adakah beliau melihat FAM sebagai sebuah persatuan yang tidak boleh dikritik, Sathianathan berkata: "Kalau saya jawab kena lagi, tidak boleh cakap yang benar, baik tak payah jawab’’.

Katanya, sekiranya diberi peluang sekali, beliau tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan menyampaikan sebarang pendapat kepada FAM melalui saluran yang ditetapkan.

'Saya datang hanya tolong Chong Wei'

Ramai yang menyifatkan kemunculan mengejut Datuk Misbun Sidek pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil minggu lalu, memberi petanda beliau akan menarik semula peletakan jawatannya dan kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, 'sifu' kepada jaguh badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu menjelaskan, kehadirannya tidak membawa sebarang makna tersirat, melainkan niat hanya untuk membantu Chong Wei dalam kejohanan tersebut.

"Saya datang kerana sebelum itu Chong Wei hubungi saya, dia tanya kalau saya boleh datang ke pertandingan untuk tolong dia.

"Sudah pasti kalau Chong Wei minta saya datang, maka saya datanglah...dia kawan saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Ukay Perdana, Ulu Kelang di sini, kelmarin.

Dalam pertembuan tersebut, Misbun terus mengambil sikap berdiam diri dalam isu peletakan jawatannya yang tidak berkesudahan sejak 3 Januari lalu.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya.

Misbun dijangka bertemu Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Salleh minggu ini, setelah menolak jemputan terdahulu iaitu Sabtu lalu, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung.

Pada 12 Januari lalu, Jawatankuasa Eksekutif badan induk badminton kebangsaan itu, yang bermesyuarat meminta Misbun mempertimbangkan semula peletakan jawatannya.

Apa yang jelas, Misbun masih 'sayangkan' anak emasnya, Chong Wei, sebagaimana juara tujuh kali Terbuka Malaysia itu juga menunjukkan betapa beliau tidak boleh, tanpa kelibat 'sifu' di sisinya.

Bukan pada Terbuka Malaysia saja, ketika menjuarai peringkat akhir Siri Super BWF di Taiwan, dua minggu lalu, Chong Wei mengakui dia juga menghubungi Misbun bagi membincangkan strategi pra-perlawanan dan membuat analisis selepas itu.

Tanpa Misbun di pangkuannya pada Terbuka Korea yang berlangsung minggu ini, adalah diyakini Chong Wei akan menggunakan cara yang sama seperti ketika di Taiwan.

Kedua-dua ikon badminton negara itu begitu sebati dengan keperibadian masing-masing, memang sukar untuk memisahkan mereka.

Ini petunjuk kuat bahawa, Chong Wei akan mengikut jejak Misbun jua, tidak kira apa keputusan pada akhirnya.

Monday, January 24, 2011

Kejuaraan untuk Misbun

Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam.

Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit.

"Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik.

"Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18.

Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.

Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu.

Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini.

Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun.

Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan.

Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

"Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi.

"Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei.

Guardini tawan Langkawi

Perlumbaan profesional pertama membawa tuah kepada Andrea Guardini dari Farnese Vini-Neri apabila memenangi perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 di Pulau Langkawi sekali gus menyarung jersi kuning semalam.

Guardini, 20, menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat walaupun perlumbaan diakhiri dengan kelompok besar dengan catatan dua jam tiga minit 28 saat, mengenepikan pencabar dari pasukan kebangsaan Korea Selatan, Park Sung Baek, manakala tempat ketiga milik Mohd. Harrif Salleh, Terengganu Cycling Team (TSG).

Bagaimanapun, keputusan keseluruhan (General Classification) menyaksikan Anuar Manan berada di tempat ketiga di belakang Guardini dan Sung Baek, selepas pelumba TSG itu mempunyai kelebihan dari segi pungutan mata pecut berbanding Harrif.

Anuar menjadi pelumba pertama melintasi zon pecutan pertama di Teluk Yu (20.4 kilometer) dan kedua di Padang Mat Sirat (49.5 km), namun dia gagal mengulanginya pada zon pecutan ketiga di Pantai Cenang (61.2 km), seterusnya membolehkan Guardini memenangi jersi biru (Raja Pecut)

Harrif berkongsi 15 mata untuk gelaran Raja Pecut bersama Guardini selepas mengutip dua mata di zon pecutan kedua, dibantu dengan mata yang diperolehinya sebagai pelumba ketiga melepasi garisan penamat.

Gelaran Raja Bukit (jersi merah) diraih Koen De Kort dari Skil Shimano Cycling Team dengan mengumpul enam mata, selepas menduduki tempat kedua di zon pendakian pertama, Pantai Kok (47 meter) dan tempat pertama di zon pendakian ketiga, Bukit Malut (46m).

De Kort mengumpul enam mata, meninggalkan Mehdi Sohrabi (Tabriz Petrochemical Team) dan Andreai Krasilnikau (Chipotle Development Team) dengan kedua-duanya meraih empat mata.

Menurut, Guardini ini adalah perlumbaan pertamanya di peringkat profesional dan dia tidak percaya dapat memenangi peringkat pertama LTdL 2011 dan berasa sangat gembira dengan keputusan tersebut.

"Saya akan cuba mengulangi pencapaian seperti ini pada perlumbaan selepas ini, terutama sekali di peringkat kedua dan ketiga, kerana peringkat keempat dan kelima agak sukar untuk saya berikutan terpaksa menempuh dua zon pendakian berprofil tinggi," katanya.

Sementara itu, Harrif berasa gembira kerana dapat menduduki tempat ketiga selepas dibantu rakan-sepasukan, Anuar dan dalam masa yang sama melakukan perkara yang sama terhadap Anuar ketika di zon pecutan.

"Saya akui bahagian akhir perlumbaan saya berasa sedikit penat, tetapi saya berasa macam tidak percaya dapat menduduki tempat ketiga ketika mengakhir perlumbaan dalam kelompok besar," kata pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu.

Hari ini perlumbaan peringkat kedua bakal menyaksikan kayuhan sejauh 145.5 kilometer yang bermula dari Kangar dan tamat di Butterworth, dijangka akan memakan masa selama tiga jam namun laluannya amat landai.

Sunday, January 23, 2011

Chong Wei impi angka 7

Datuk Lee Chong Wei masih sempat menari di gelanggang ketika tinggal satu mata untuk menumpaskan pemain muda China, Chen Long sebelum melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Tanpa musuh tradisi, Lin Dan dan dengan kemunculan semula jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, pemain No. 1 dunia itu tampak amat tenang sepanjang kejohanan ini, malah cukup berkeyakinan untuk membawa pulang kejuaraan ketujuh.

Chong Wei memenangi semua lima perlawanan awalnya menerusi keputusan straight set.

Malah, semalam, juara edisi 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 serta 2010 itu hanya mengambil masa 39 minit untuk menjinakkan pemain muda China itu 21-9, 21-9, kemenangan yang bakal menemukan beliau dengan satu lagi seteru utama, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Kontras dengan Chong Wei yang dilihat mendominasi gelanggang sepenuhnya, malah beberapa kali melakukan gerakan yang mengejutkan lawan, Taufik sebaliknya dipaksa bekerja keras ketika mengetepikan rakan senegara, Simon Santoso 21-15, 21-19 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

“Saya sendiri tidak sangka akan menang semudah ini. Seperti yang saya katakan semalam (kelmarin) saya tidak mahu memikirkan tentang lawan dan lebih berminat memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan itu yang membolehkan saya lebih relaks dan mudah menguasai perlawanan hari ini.

“Hari ini saya lihat semua serangan Chen Long tidak menjadi. Pada awal permainan saya hanya mahu melihat rentak permainannya selepas dapat membaca, saya tidak langsung membenarkan dia mendapat semula rentak.

“Dia adalah pemain remaja, bahayanya pemain remaja sepertinya adalah apabila mendapat ruang dia tidak akan mensia-siakannya, jadi saya memastikan Chen Long langsung tidak diberi ruang dan peluang untuk memulakan serangan, ia benar-benar berhasil,” ujar Chong Wei.

Ditanya apakah dia sudah mula terbayang kejuaraan ketujuh, Chong Wei mengakui, amat mengharapkan kemenangan untuk menggembirakan penyokong tuan rumah tetapi dia perlu berhati-hati dengan Taufik, yang dianggap lebih sukar dan licik hari ini.

Ujar juara All England itu lagi, berbeza dengan Chen Long, Taufik, juara Olimpik 2004 dan juara dunia 2005 lebih berpengalaman dan lebih banyak beraksi menentangnya.

Malah, dia kalah kepada jaguh No. 2 dunia itu pada suku akhir Kejohanan Dunia, tahun lalu.

“Taufik berbeza dengan Chen Long, dia lebih berpengalaman, malah saya lihat keadaan fizikalnya sepanjang kejohanan ini sangat baik. Tetapi sama seperti Chen Long, saya tidak berminat untuk memikirkan tentang permainan lawan, sebaliknya hanya mahu fokus kepada diri sendiri,” ujar Chong Wei lagi, yang memegang rekod 10-6 daripada 16 pertemuan ke atas jaguh Indonesia.

Saturday, January 22, 2011

Chong Wei terus garang ke separuh akhir

Datuk Lee Chong Wei menggembirakan ribuan penyokong dengan muncul wakil tunggal Malaysia melangkah ke separuh akhir, namun separuh daripada tarikan Terbuka Malaysia hilang kerana dia tidak akan menentang Lin Dan yang menarik diri.

Chong Wei, sebaliknya hanya akan bertemu pemain muda China, Chen Long pada separuh akhir hari ini selepas pertemuan yang diimpikan oleh seluruh peminat tidak menjadi kenyataan ekoran tindakan Lin Dan menarik diri dengan alasan kecederaan otot perut.

Juara Olimpik itu dikatakan mengalami kecederaan tersebut ketika latihan pagi semalam, bagaimanapun ia agak menghairankan kerana pemain China tidak kelihatan pada sesi latihan yang dijadual di Stadium Putra pukul 9 pagi.

Ketiadaan musuh tradisi mencerahkan peluang Chong Wei untuk merakam kejuaraan ketujuh Terbuka Malaysia dan semalam dia tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16.

Biarpun sedikit dikejutkan dengan ketinggalan 8-11 pada set pembukaan, namun Chong Wei dengan bantuan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek tidak menghadapi masalah untuk bangkit sebelum memenangi pertarungan dalam masa 40 minit.

"Saya tahu semua orang menunggu pertemuan saya dan Lin Dan, ia memang agak mengecewakan mereka apabila tidak dapat menyaksikan perlawanan itu tetapi untuk saya, tiada apa yang boleh dilakukan jika dia mahu menarik diri.

"Saya setuju dengan pandangan Taufik Hidayat (Indonesia), BWF (Persekutuan Badminton Dunia) kena mengambil serius perkara ini kerana ia bukan kali pertama Lin Dan menarik diri daripada kejohanan secara tiba-tiba apabila terpaksa berdepan rakan senegara sendiri.

"Saya tidak kata ia adalah perancangan atau plot China, saya tidak pasti tetapi perkara seperti ini kalau dibiarkan tidak bagus untuk sukan badminton. Semua peminat akan marah,'' kata pemain No. 1 dunia itu ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Bagaimanapun tegas Chong Wei, sekali pun berjaya mengelak pertemuan dengan musuh tradisi yang telah mengalahkannya dalam dua perlawanan terakhir mereka - Piala Thomas dan Sukan Asia 2010, dia masih tidak melihat laluan di separuh akhir mudah kerana Chen Long juga adalah pemain yang sukar dijinakkan.

Tambahan lagi katanya, pemain muda China itu, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka China, Oktober lalu mempunyai kelebihan fizikal kerana mendapat rehat sehari ekoran kemenangan percuma yang dihadiahkan oleh Lin Dan.

Chong Wei, 29, dan Chen Long, 22, mempunyai rekod pertemuan seimbang. Dia mengalahkan pemain muda itu pada pertemuan terakhir mereka di Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Jun tahun lalu tetapi kalah ketika kali pertama bertemu di Terbuka India, Mac 2009.

Melengkapkan kuota separuh akhir perseorangan lelaki adalah dua pemain Indonesia, juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat yang bakal berentap dengan Simon Santoso.

Taufik mudah mengetepikan naib juara All England, Kenichi Tago 21-15, 21-15, manakala Simon menundukkan rakan senegara, Alamsyah Yunus 21-19, 21-9.

Suhardi tiup keyakinan

Keyakinan yang membuak ketua pasukan Malaysia, Suhardi Hassan menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 yang akan bermula esok sedikit sebanyak menyuntik semangat buat anak buahnya.

Menurut pelumba kelahiran Perlis itu, sebagai ketua pasukan Malaysia dia berjanji akan membawa pasukan untuk mencatat keputusan yang membanggakan dan yakin barisan pelumba sedia ada mampu melakukan kejutan.

“Saya merasakan sendiri pasukan ini lain dari sebelum ini. Kesemua pelumba adalah mereka yang saya sudah mengenali sejak sekian lama kecuali Ahmad Fakrullah Alias yang merupakan muka baru dalam pasukan Malaysia,” katanya semalam.

Jelas Suhardi, masing-masing mereka memahami antara satu sama lain baik corak kayuhan mahupun kemampuan diri sendiri.

“Setiap pelumba mempunyai kelebihan seperti Muhamad Rauf Nur Misbah, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Nur Rizuan Zainal. Saya yakin dengan tunjuk ajar daripada Graham Seers kami mampu pamer kelainan.

“Bagaimanapun saya juga mempunyai sasaran peribadi untuk sekurang-kurangnya memenangi salah satu daripada 10 peringkat yang perlu dilalui, kebanyakan laluan kali ini begitu landai kecuali pada peringkat keempat dan kelima,” katanya.

Suhardi menjelaskan, tugas pendakian terletak di bahu Amir, Rauf, Rizuan dan Loh Sea Keong namun dia akan sedaya upaya membantu pasukan untuk melepasi halangan besar mendaki Cameron Highlands dan Genting Highlands walaupun tugasnya lebih kepada pelumba pecut.

“Saya juga akan memberikan tumpuan di zon pecutan, kalau boleh ingin mengumpul mata sebanyak mungkin bagi memberi cabaran kepada pelumba lain yang merebut gelaran raja pecut,” katanya.

Rexy bimbang kemerosotan

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky menyuarakan kebimbangan terhadap keyakinan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang dikhuatiri merosot ekoran kekalahan terbaru mereka di Terbuka Malaysia, Rabu lalu.

Pasangan No. 3 dunia itu dikejutkan dengan kekalahan kepada beregu muda China, Hong Wei-Shen Ye 21-16, 18-21, 16-21 pada pusingan pertama - kegagalan yang dilihat sukar untuk diterima Kien Keat-Boon Heong.

Ini adalah kegagalan buruk kedua berturut-turut buat anak didik Rexy itu selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada kejohanan Siri Super Masters Akhir di Taiwan, dua minggu lalu.

Bagaimanapun Rexy mengakui, keadaan Kien Keat-Boon Heong ketika ini lebih teruk berbanding ketika mereka kalah di Taiwan.

"Saya khuatir jika moral mereka jatuh ekoran kekalahan terbaru ini. Ketika ini mereka nampak cukup tertekan dan sedih. Mereka masih boleh terima ketika kalah di Taiwan tetapi kali ini keadaan sama sekali berbeza.

"Pertama, mereka memasuki gelanggang sebagai penyandang juara dan kedua, beraksi di depan penyokong sendiri. Mereka kalah kepada pasangan yang tidak ternama di depan penonton sendiri dan saya bimbang kalau itu akan menyebabkan mereka cukup tertekan," akui Rexy.

Tegas Rexy, tugasnya kini lebih berat daripada yang disangka. Selain mencari formula terbaik untuk mengembalikan pasangan utama negara itu menjadi beregu digeruni, beliau turut bertanggungjawab mengembalikan keyakinan pemainnya.

Katanya lagi, mentaliti dan fokus Kien Keat-Boon Heong harus terus berada dalam keadaan yang betul, apatah lagi ketika 2011 adalah tahun penting untuk mengutip mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2012.

"Sebenarnya saya tidak mensasarkan terlalu banyak kejuaraan Siri Super kepada mereka, sasaran adalah dua gelaran utama - All England dan Kejohanan Dunia. Jika mereka gagal dalam kedua-dua kejohanan ini ia bermakna kegagalan buat saya sebagai jurulatih.

"Biarpun dalam keadaan prestasi mereka yang turun naik, saya tetap perlu meletakkan sasaran tinggi kepada Koo dan Tan agar mereka sentiasa tahu di mana sepatutnya fokus mereka. Beberapa keputusan mengejutkan seperti yang berlaku di Terbuka Malaysia boleh menganggu tetapi mereka tidak harus lari daripada landasan," ujar Rexy lagi.

Biarpun tidak gembira dengan apa yang ditunjukkan pasangannya pada Terbuka Malaysia, namun beliau tidak berhasrat mereka Kien Keat-Boon Heong daripada Terbuka Korea yang akan berlangsung minggu depan.

Friday, January 21, 2011

Misbun muncul


Tiada yang mengejutkan apabila Datuk Lee Chong Wei ke suku akhir Terbuka Malaysia semalam, namun yang mencuri tumpuan adalah kemunculan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Ini merupakan kali pertama Misbun hadir menyaksikan perlawanan Chong Wei sejak meletak jawatan pada 31 Disember lalu.

Berkat kehadirannya, Chong Wei hanya memerlukan 23 minit untuk mengalahkan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-6, 21-9.

Sejurus tamat perlawanan, Chong Wei bingkas memeluk jurulatihnya, dan kelegaan jelas terpancar di wajah jaguh No. 1 dunia itu selepas bergelut dalam saingan pembukaan menentang pemain Indonesia, Tommy Sugiarto kelmarin.

Jika Chong Wei lega dengan kehadiran Misbun, peminat dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula lega kerana bintangnya itu memastikan wakil negara meneruskan kemaraan.

“Serius saya tidak tahu beliau akan hadir malam ini, ia agak memeranjatkan tetapi menggembirakan. Saya hanya nampak kelibat Misbun ketika sedang memanaskan badan.

“Walaupun saya tidak tahu sama ada beliau akan datang atau tidak, tetapi saya tetap ingat beliau ada berjanji akan datang memberi sokongan, nampaknya beliau tidak mungkir janji.

“Harap ini akan menjadi petanda positif kepada masalah yang sedang berlaku. Saya tidak tahu apakah Misbun akan kekal dalam skuad kebangsaan tetapi saya amat berharap BAM dapat menyelesaikan krisis ini dengan segera,” ujar Chong Wei.

Selepas Siri Super Masters Akhir di Taiwan, dua minggu lalu tanpa sentuhan Misbun, kemunculan semula jurulatihnya, menaikkan semangat Chong Wei untuk memburu kejuaraan ketujuh Terbuka Malaysia.

Chong Wei akan menentang Nguyen Tien Minh pada suku akhir hari ini.

Thursday, January 20, 2011

Lepaskan saya - Hafiz

Ketika isu peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima satu lagi tamparan, apabila Muhammad Hafiz Hashim mengumumkan hasrat untuk meninggalkan skuad kebangsaan dan memohon dia dilepaskan.

Kenyataan tersebut hadir selepas kekalahannya kepada pemain China, Chen Long pada pusingan pertama Terbuka Malaysia semalam. Hafiz menegaskan, tindakan untuk keluar BAM tiada kena mengena dengan isu Misbun, mahupun Datuk Lee Chong Wei, yang turut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan skuad kebangsaan.

Katanya, hasratnya itu sudah disuarakan kepada Setiausaha BAM, Ng Chin Chai hujung bulan lalu, namun sehingga hari ini BAM tidak memberi sebarang kata putus.

Ditanya punca dia mahu keluar dari BAM, Hafiz menjelaskan: "Saya perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah prestasi saya yang semakin teruk, saya tidak boleh meningkat lagi di BAM walaupun sudah lama di sana.

"Keluar dari BAM antara usaha untuk menyelamatkan karier. Sampai bila saya hanya boleh melihat permainan saya statik? Saya kena melakukan sesuatu, saya kena cuba perkara baru.

"Sama ada saya akan berjaya atau tidak di luar sana, ia bergantung kepada diri saya sendiri. Selagi saya berada dalam skuad kebangsaan dan tidak menunjukkan prestasi baik, orang akan mencemuh saya dan berkata, 'mengapa masih hendak kekalkan dia sedangkan dia tidak bagus."

Menurutnya, memandangkan dia masih mempunyai kontrak dengan BAM sehingga Sukan Olimpik 2012, dia tidak boleh meninggalkan BAM tanpa keizinan, kerana ia mengundang risiko kepada kariernya.

Dia mengakui, antara padah yang mungkin menanti adalah digantung daripada bertanding antarabangsa dan pada usia 29 tahun jika itu berlaku, ia sama seperti 'membunuh' kariernya.

Justeru, Hafiz merayu kepada BAM agar melepaskannya untuk bergerak bebas.

"Saya rasa tiada guna BAM mengekalkan saya kerana permainan saya bukan semakin bagus, saya bukan pemain muda yang berusia 21 tahun. Kalau saya pergi, pemain pelapis juga ada peluang yang lebih bagus untuk mendapat banyak kepercayaan,'' katanya.

Pengalaman jadi bekalan Chong Wei


Ketua jurulatih skuad badminton negara, Rashid Sidek yakin pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mampu mengharungi Kejohanan Terbuka Malaysia tanpa masalah, meskipun tanpa jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Katanya, walaupun beraksi tanpa jurulatihnya, namun Chong Wei masih mampu memanfaatkan pengalamannya yang pernah memperoleh enam kali kejuaraan dalam Terbuka Malaysia.

Chong Wei juga tetap boleh berhubung dengan jurulatihnya itu melalui telefon untuk mendapatkan nasihat sebelum beraksi pada hari ini.

‘‘Misbun seorang yang terbuka dan saya yakin Chong Wei akan menghubunginya untuk mendapatkan sedikit nasihat kerana mereka berdua amat rapat.

‘‘Chong Wei juga mempunyai pengalaman luas beraksi dalam beberapa kejohanan besar dunia ini tentunya akan menjadi bekalan utama pemain itu esok (hari ini),” kata Rashid kepada pemberita pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Tambahnya, pada perlawanan hari ini, Chong Wei perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk menghadapi semua perlawanan dengan tenang, sekiranya mahu mara ke peringkat akhir.

‘‘Biarlah dia lalui satu demi satu perlawanan yang berlangsung kerana itu adalah cara terbaik untuk mara ke peringkat akhir.

‘‘Kita tak boleh anggap mudah pada pihak lawan yang bakal dihadapinya dan saya juga akan cuba untuk membantunya pada perlawanan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rashid juga percaya prestasi Chong Wei berada pada tahap yang terbaik untuk menghadapi kejohanan ini.

‘‘Dia (Chong Wei) telah buktikan keupayaannya pada kejohanan sebelum ini di Taiwan, itu juga akan menjadi tanda aras buatnya melakukan yang lebih baik di Stadium Putra ini.

‘‘Saya harap dia dapat bermain dengan cemerlang untuk terus mengekalkan gelaran yang pernah diperolehi biarpun siapa yang dia jumpa,” jelasnya.

Pada perlawanan hari ini, Chong Wei bakal berhadapan pemain muda Tommy Sugiarto dari Indonesia, yang sebelum ini menewaskan pemain pelapis kebangsaan Chong Wei Feng 21-16 24-22 dalam saingan kelayakan semalam.

Tuesday, January 18, 2011

Peluang anak buah Rashid cipta impak

Penarikan diri beberapa pemain termasuk jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro membuka peluang kepada tiga pemain pelapis negara, Liew Daren, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng untuk bertanding pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Ini merupakan kesempatan terbaik buat anak-anak buah Rashid Sidek itu untuk mencipta impak dan menonjolkan diri pada kejohanan bernilai AS$$400,000 (RM1.28 juta) itu, namun mereka perlu terlebih dulu melepasi halangan pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, harapan seorang lagi pemain pelapis, Tan Chun Seang untuk turut berentap dengan jaguh-jaguh dunia tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Ketika kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menjadi fokus semua pemain, peluang beraksi dalam kejohanan Siri Super harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain pelapis negara jika mahu mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang hampir pasti mengisi slot perseorangan pertama.

Wei Feng, yang melakar kejutan besar dengan melangkah ke suku akhir ketika membuat penampilan pertama Terbuka Malaysia tahun lalu memulakan kempen dengan menentang pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto, anak kepada legenda badminton negara itu, Icuk Sugiarto.

Daren, yang beraksi menggantikan Chun Seang pula akan membuka saingan dengan menentang pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi manakala Kwong Beng pula akan bertemu Chou Tien Chen, juga dari Taiwan.

Sandaran utama Malaysia pada kejohanan pembuka tirai kalendar Siri Super 2011 itu bagaimanapun terarah kepada percubaan Chong Wei untuk memburu kejuaraan ketujuhnya, dan potensi jaguh No. 1 dunia itu bakal bertemu musuh tradisi Lin Dan dari China pada separuh akhir.

Malah, 'drama' luar gelanggang juga bakal menarik perhatian sepanjang kejohanan.

Semua mata akan mencari kelibat Datuk Misbun Sidek yang mungkin hadir memberi sokongan kepada Chong Wei pada ketika krisis peletakan jawatannya sebagai jurulatih kebangsaan masih belum selesai.

Turut menjadi tumpuan, pertemuan yang bakal diatur Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh dan Misbun ketika kejohanan sedang berlangsung.

Ia dijangka menamatkan segala konflik yang melanda kedua-dua pihak. Nadzmi yang kini berada di luar negara dijangka kembali ke tanah air esok.

"Bagi saya, tumpuan hanya kepada kejohanan. Dengan cabaran kali ini jauh lebih mencabar ekoran kehadiran skuad terkuat China, saya tidak rasa sesuai untuk memikirkan perkara lain, selain daripada persiapan menghadapi pertandingan.

"Semua orang bercakap tentang pertemuan saya dengan Lin Dan dan saya tidak boleh mengelak daripada turut memikirkan tentangnya, tetapi itu bukan satu-satunya perlawanan yang bakal saya hadapi di sini, saya kena memberikan yang terbaik sejak pusingan awal dan dalam semua perlawanan," kata Chong Wei, yang akan memulakan kempen dengan menentang pemain dari pusingan kelayakan.

Selain Chong Wei, cabaran Malaysia dalam undian utama akan turut dipikul juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain veteran, Wong Choong Hann. Hafiz akan memulakan aksi dengan bertemu jaguh China, Chen Long, manakala Choong Hann menentang Marc Zwiebler dari Jerman.

Monday, January 17, 2011

Ada tanda positif - Shabery


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi bayangan kemelut yang melanda antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek akan berakhir tidak lama lagi selepas kedua-dua pihak menunjukkan reaksi positif.

Menurut Ahmad Shabery, sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini sekali gus meletakkan kepentingan negara sebagai matlamat utama.

"Saya percaya dalam masa singkat ia boleh diselesaikan, ia bergantung sama ada semua tengok secara terbuka dan bertenang serta tidak emosi dan meletakkan kepentingan negara dan sukan melebihi segala-galanya.

"Dan saya sempat berbincang sekali lagi dengan Misbun semalam, saya tengok keterbukaan di pihak beliau dan saya rasa beliau akan keluarkan kenyataan positif selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan acara amal berbasikal 'Kayuhan Gaza', semalam.

Mengulas lanjut, tambahnya, pihak pengurusan BAM perlu bijak menangani masalah dalaman ini supaya tidak membuat komen hingga menyentuh soal maruah setiap individu

"Sebab dalam mana-mana konflik kalau berlaku, perkara paling penting untuk penyelesaian konflik itu ialah soal maruah dan air muka, kalau tak ada mekanisme untuk menjaga air muka, mungkin kita tidak dapat cara penyelesaian selama-lamanya," katanya.

Sehubungan itu, Shabery berharap agar kedua-dua pihak tidak lagi membuat sebarang kenyataan secara terbuka kerana ia dilihat akan mengeruhkan suasana.

Sunday, January 16, 2011

Safee diberi sambutan wira 3,000 penduduk Tapah


Penyerang bola sepak negara, Mohd. Safee Sali menerima sambutan wira daripada lebih 3,000 penduduk kawasan ini pada satu majlis khas di Stadium Majlis Daerah Tapah (MDT) di sini, semalam.

Orang ramai mula membanjiri lokasi majlis seawal pukul 10 pagi, walaupun Mohd. Safee, 27, tiba pukul 12 tengah hari dengan menaiki kereta antik Triumph TR4 1966 , diiringi lebih 100 buah motosikal kuasa besar dari rumah keluarganya di Jalan Temoh, di sini.

Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan Mohd. Safee, yang membantu pasukan negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, selain muncul Penjaring Terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Peminat penyerang Selangor itu juga melakukan gimik melakukan sepakan penalti pada majlis anjuran Persatuan Bola Sepak Batang Padang dan MDT itu.

Berucap pada majlis itu, Mohd. Safee yang dilahirkan di Selangor tetapi dibesarkan di sini, melahirkan rasa terharu dan terima kasih atas sambutan yang diberikan kepadanya serta keluarganya.

‘‘Majlis ini merupakan kenangan paling manis bagi saya dan keluarga yang tidak akan kami lupa sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Mohd. Safee, sambutan di padang MDT mengembalikan kenangannya semasa kanak-kanak, kerana di padang itulah dia bermain bola sepak sejak usia lima tahun hingga sekarang, setiap apabila pulang bercuti ke kampung.

‘‘Saya rasa peluh saya sudah membasahi seluruh kawasan padang ini,” katanya.

Friday, January 14, 2011

RM65,000 imbuhan setiap pemain


Kerajaan semalam menganugerahkan insentif RM65,000 kepada setiap pemain dan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, insentif itu berupa unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang hanya boleh dikeluarkan selepas tempoh 10 tahun serta imbuhan wang tunai sebanyak RM10,000 daripada kerajaan.

Mereka juga turut menerima RM5,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaja sepenuhnya pemain skuad kebangsaan yang terpilih menjalani latihan bersama kelab-kelab bola sepak ternama dari luar negara.

"Pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain," katanya.

Beliau berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bagi meraikan skuad kebangsaan itu di Seri Perdana, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan pasukan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di Kuala Lumpur meskipun kalah 1-2 di Jakarta.

Najib berkata, kejayaan menjuarai kejohanan tersebut perlu dijadikan sebagai batu loncatan untuk skuad kebangsaan memburu kejayaan lebih yang tinggi lagi pada masa depan.

"Kita mengimpikan supaya Malaysia menjadi skuad bola sepak yang terkemuka di peringkat rantau Asia dan keduanya, layak pula ke Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyatakan rasa bangga dengan semangat juang dan keazaman tinggi ditunjukkan oleh skuad kebangsaan, walaupun menghadapi tekanan hebat ketika berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno untuk pusingan kedua final kejohanan itu.

"Selain mempunyai kemahiran, tahap kecergasan yang tinggi dan taktikal, kita juga berbangga dengan daya juang dan semangat serta kekuatan mental yang ada pada para pemain.

"Cuba bayangkan tekanan yang dialami pemain apabila tiba di hotel dan kemudiannya diiringi oleh pasukan polis Indonesia ke stadium dengan menaiki kenderaan perisai yang dilengkapi submesingun," katanya.

Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai semangat sukan bola sepak yang tidak mengenal batas kaum kerana para pemain perlu patuh kepada arahan jurulatih, K. Rajagobal.

"Bila kita dapat arahan daripada jurulatih, kita tidak kira dia daripada kaum mana kerana kita kena ikut cakap dia.

"Kita perlu bersikap terbuka yang selaras dengan semangat 1Malaysia kerana ia bukan sekadar kejayaan biasa tetapi boleh mencetus rangsangan kuat kepada rakyat untuk terus berjuang bersama berdasarkan ikatan 1Malaysia," katanya.

Misbun berundur selamanya


Datuk Misbun Sidek mengeluarkan kenyataan yang paling mengejutkan semalam, beliau sedia membuka rundingan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung peletakan jawatannya, namun jika pertemuan tersebut gagal menemui penyelesaian, maka beliau akan berundur selama-lamanya daripada badminton.

Tegas Misbun, beliau tidak mempunyai perancangan untuk menjadi jurulatih sebaik melangkah keluar daripada BAM kerana ia adalah soal martabat.

Beliau mempunyai keghairahan dan visi yang tersendiri tetapi semuanya bagai sudah dihancur andai beliau meninggalkan skuad kebangsaan dan pemain-pemain yang ingin dinaikkan.

Kata-kata Misbun itu keluar hanya beberapa jam selepas BAM dalam mesyuarat exconya meminta jurulatih tersebut mempertimbangkan keputusan untuk meletak jawatan dengan alasan ia demi kepentingan negara, apatah lagi ketika Sukan Olimpik London 2012 semakin hampir.

Misbun enggan mengulas pendiriannya berhubung keputusan yang dicapai exco BAM, sebaliknya berkata, beliau sedia mendengar apa yang mahu dirundingkan oleh badan badminton itu tetapi belum terfikir apakah tindakan yang bakal diambil - sama ada mahu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan atau sebaliknya.

"Jika BAM mahu berbincang maka saya sedia mendengarnya dan saya nak tahu juga apa yang mahu mereka katakan tetapi buat masa sekarang saya enggan bercakap apa-apa mengenai keputusan saya. Saya ingin semua orang tahu, saya letak jawatan kerana negara, saya merasakan jika saya tidak dapat menyumbang, martabat saya sebagai jurulatih juga tercalar.

"Persatuan mahu saya melahirkan juara, tetapi sebagai jurulatih saya memerlukan sokongan. Saya tidak minta yang bukan-bukan tetapi apabila ada benda yang saya minta, itu bukan untuk diri saya itu untuk pemain saya, untuk (Datuk) Lee Chong Wei yang pada akhirnya akan beraksi membawa nama negara.

"Saya tidak mahu ditafsir sebagai seorang yang meminta kerana kepentingan peribadi, saya tiada kepentingan peribadi. Saya hanya mahu jadikan pemain-pemain dari peringkat bawah naik ke peringkat dunia, kami mendaki dari bawah dan ia tidak mudah,'' ujar Misbun dalam nada sebak di rumahnya, semalam.

Nyata terlalu banyak perkara yang dipendam jurulatih berusia 51 tahun itu. Sebagai jurulatih beliau kecewa kerana banyak pandangan dan ideologinya kurang difahami oleh BAM biarpun semua yang dilakukan hanya demi kepentingan negara.

Nadanya jelas bahawa beliau mahu sokongan penuh BAM jika kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Ia bukan semata-mata isu Misbun Ramdan Misbun yang perlu diperhalusi oleh BAM, malah Misbun sendiri enggan mengulas banyak tatkala ditanya mengenai anaknya itu.

Sebaliknya, beliau mahu dihormati sebagai jurulatih kerana di mana martabatnya andai semua permintaan yang dimahukan untuk kepentingan pemainnya sendiri disalah tafsir sebagai keinginan peribadi.

Ditanya apakah beliau sedia membantu anak didiknya, Chong Wei yang sebelum ini menyuarakan hasrat untuk mendapat sentuhannya pada Terbuka Malaysia, 18-23 Januari ini, Misbun menegaskan, sudah tentu beliau sedia memberi nasihat kepada Chong Wei dari belakang.

Bagaimanapun ketika ditanya, apakah beliau sedia mempertimbangkan seandainya Chong Wei meninggalkan BAM dan meminta beliau menjadi jurulatihnya, Misbun terdiam sambil berkata: "Perkara ini amat sensitif tetapi saya rasa ia tidak mungkin berlaku. Apabila saya keluar maka saya mahu keluar dan berehat terus."

Tuesday, January 11, 2011

Chong Wei ambil sikap tunggu, lihat isu Misbun


Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih belum memutuskan untuk mengikut jejak jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebaliknya memilih untuk 'tunggu dan lihat'.

Pemain No. 1 dunia itu menjelaskan, beliau akan menunggu keputusan BAM untuk menerima peletakan jawatan Misbun atau sebaliknya dan sehubungan itu, dia tidak akan membuat apa-apa keputusan untuk sementara waktu.

Justeru, dia berharap akan ada penyelesaian secepat mungkin, supaya Misbun dapat kembali ke pangkuannya untuk membuat persiapan menghadapi dua kejohanan terbuka akan datang termasuk Terbuka Malaysia, yang akan membuka tirai pada 18 Januari ini.

"Buat masa ini, saya masih tidak pasti rancangan seterusnya (keluar BAM atau tidak)... saya tidak dapat buat apa-apa, tengoklah keputusannya nanti.

"Saya harap pihak terlibat selesaikan dengan cepat, sebab ada tiga kejohanan penting akan saya sertai terutamanya Terbuka Malaysia" katanya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Chong Wei baru pulang dari Taipei selepas kejayaan merangkul hatrik Kejohanan Siri Super Masters Akhir, semalam.

Di sebalik sikap 'tunggu dan lihat' Chong Wei, hakikatnya beliau masih memerlukan sentuhan Misbun.

Ini berdasarkan beberapa kenyataan pada sidang akhbar semalam yang menunjukkan beliau 'amat memerlukan' Misbun.

Antaranya, Chong Wei menafikan desas-desus kononnya Misbun cuba membawanya keluar untuk menjadi pemain profesional, sambil menegaskan, memang menjadi niat dirinya sendiri untuk terus berlatih di bawah kendalian Misbun.

"Saya minta semua pihak jangan salah faham, tidak timbul pasal 'coach' nak bawa saya keluar, semua itu tidak benar.

"Kalau saya mahu keluar pun adalah kerana ini sememangnya rancangan saya. Saya tidak bercadang mahu tukar jurulatih kerana mahu buat persiapan untuk pertandingan penting Olimpik pada tahun depan.

"Masa terlalu suntuk jika saya tukar jurulatih baru," jelasnya.

Beliau turut ditanya sama ada khidmat Misbun masih diperlukan, sedangkan beliau berjaya membuktikan dirinya mampu menjuarai Kejohanan Siri Masters Final di Taiwan tanpa kehadiran Misbun.

"Saya memang perlukan dia, tanpa dia memang tumpuan terganggu. Misbun meletak jawatan saat akhir, namun saya tetap kena fokus dan bertanding di Master Final.

"Apa pun saya harap dia dapat balik cepat ke gelanggang sebelum Terbuka Malaysia untuk melatih saya."

Chong Wei juga memberitahu, ketika di Taipei, dia masih menagih nasihat Misbun dan berhubung menerusi telefon bagi berbincang mengenai strategi menghadapi lawan dan penilaian selepas perlawanan.

Chong Wei mengakui dia ada mengikuti perkembangan berhubung isu Misbun menerusi akhbar-akhbar tempatan semasa berada di Taiwan sambil mengharapkan segala-galanya akan selesai apabila dia pulang ke tanah air.

google: Chong Wei facebook, misbun facebook, punca Chong Wei kalah, punca misbun letak jawatan, misbun tarik diri, Chong Wei ranking no. 1

Monday, January 10, 2011

Safee pilih aksi luar negara


Penyerang kebangsaan, Safee Sali melahirkan keinginannya untuk mencuba nasib pada aksi liga luar negara di Indonesia kerana menganggap ia peluang terbaik untuk mengembangkan kerjaya bola sepaknya ke tahap yang lebih tinggi.

Menurutnya, dia sudah 70 peratus hampir pasti akan berhijrah, namun terserah kepada perkembangan perbincangan yang bakal diadakan di antara Selangor dan kelab-kelab yang berminat.

Safee bagaimanapun menegaskan keinginannya untuk berhijrah bukan kerana Liga Malaysia tidak berkualiti, cuma dia berharap dapat bermain dalam liga antarabangsa, kerana menyedari kerjaya bola sepak adalah bersifat sementara.

"Sebagai pemain profesional, kalau tak rebut peluang sebegini, rugilah. Peluang ini tidak datang selalu.

"Kalau dapat bermain di luar, baru saya boleh uji kebolehan diri yang sebenar, di samping dapat mengembangkan cara permainan dan prestasi saya," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan pemain skuad negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 anjuran Nike di sebuah kompleks beli belah terkemuka di sini semalam.

Menurut pemenang Kasut Emas Piala AFF Suzuki itu, tiga kelab Liga Super Indonesia (ISL) berminat mendapatkan khidmatnya iaitu Persib Bandung, Persib Balik Papan serta Pelita Jaya.

Tambahnya, sebuah lagi kelab Vietnam bagaimamana pun tidak meneruskan hasrat mereka.

"Saya difahamkan tiga kelab liga Indonesia masih berminat dan saya menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menguruskan segala pebincangan perpindahan," jelasnya.

Safee masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga November depan.

Kelab-kelab yang mahu mendapatkan Safee dijangka perlu menebus kontraknya untuk membolehkan perpindahannya berlaku.

Menurut Safee, seandainya perjanjian perpindah tercapai, dia tidak akan berhijrah dalam tempoh terdekat dan masih sempat bermain beberapa perlawanan untuk Selangor.

Ini kerana, katanya, Liga Indonesia dijangka akan bermula pada Mei tahun ini.

Ditanya mengenai kelab mana yang ingin disertainya, Safee memilih Persib Bandung kerana jaraknya yang dekat dengan tanah air di selain dia juga masak dengan persekitaran di wilayah tersebut.

"Saya juga mungkin membawa isteri dan anak bersama, tapi tengoklah keadaan dulu," jelasnya.

Kecemerlangan Safee yang meledak lima gol ketika Kejohanan Piala AFF Suzuki bulan lalu, menaikkan namanya Asia Tenggara.

Rakan-rakan sepasukan seperti ketua pasukan Syafiq Rahim dan Norsharul Idlan Talaha turut dikaitkan dengan beberapa kelab di Indonesia.

Chong Wei cipta hatrik Kejohanan Badminton Super Siri Taiwan


Krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang belum berpenghujung, langsung tidak menganggu fokus Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya dia memulakan tahun baru 2011 dengan langkah kanan, selepas merangkul gelaran hatrik Kejohanan Badminton Super Siri Masters Akhir di Taiwan, semalam.

Biarpun sedar ada isu besar bakal menanti sekembalinya dia ke tanah air nanti, Chong Wei tidak menterjemahkan kekusutan ke dalam gelanggang, malah mengekalkan rekod bersih tanpa melepaskan sebarang mata ketika membenam jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade 21-9, 21-14.

Pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 40 minit untuk menundukkan Gade, sekali gus memenangi kesemua lima perlawanannya di Taiwan menerusi keputusan straight-set untuk membuka tirai 2011 dengan kecemerlangan.

Kemenangan ini juga menjadikan Chong Wei sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali ketujuh pada 18-23 Januari ini, meskipun bakal bersua kembali dengan musuh ketat, Lin Dan.

Malah, kemenangan di Taiwan semalam turut membolehkan jaguh dunia itu membawa pulang hadiah lumayan AS$$40,000 (RM128,000). Super Siri Masters Akhir, yang memasuki edisi ketiga menawarkan hadiah keseluruhan AS$$500,000 (RM1.6 juta).

Sementara itu, saingan beregu lelaki menampilkan juara baru dengan pasangan No. 1 dunia, Carsten Morgensen-Mathias Boe dari Denmark menundukkan penyandang juara, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan 21-17, 21-15.

Kecuali perseorangan dan beregu lelaki, gergasi badminton dunia, China mendominasi tiga saingan lain - perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.

Pemain No. 2 dunia, Wang Shixian hanya memerlukan 40 minit untuk mengetepikan pencabar dari Korea Selatan, Bae Youn Joo 21-13, 21-15.

Kombinasi baru Wang Xiaoli-Yu Yang pula mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan kedua, CHeng Su-Zhao Yunlei 21-7, 21-17, manakala juara All England, Zhang Nan-Zhao Yunlei mempertahankan gelaran beregu campuran dengan mengalahkan Sudket Parapakamol-Saralee Thoungthongkam dari Thailand 21-17, 21-12.

Pemain tidak mudah lupa diri


Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yakin anak-anak buahnya tidak akan lupa diri, meskipun menerima pelbagai ganjaran selepas menjulang Piala AFF Suzuki, baru-baru ini.

Rajagobal memberi jaminan bahawa para pemainnya tidak akan hilang tumpuan dan akan terus memberikan komitmen seratus peratus.

"Tidak, tidak... saya tahu mereka tidak akan lupa diri. Ada imbuhan atau tidak, saya tahu mereka akan terus memberikan seratus peratus komitmen.

"Setiap pemain sedar apa yang saya kehendaki daripada mereka, langsung tiada ruang untuk malas, atau mereka akan diketepikan daripada skuad kebangsaan," jawab Rajagobal.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan terhadap pemain skuad Harimau Malaya, kerana dilimpahi pelbagai insentif.

Minggu lalu, beberapa pemain antaranya penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan, manakala enam anak jati Terengganu masing-masing menerima RM5,000 dan satu lot tanah setiap seorang.

Kerajaan Perak pula memberikan ganjaran wang tunai kepada tiga pemain kelahiran negeri itu termasuk penyerang Safee Sali, yang menerima RM10,000.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sekiranya ganjaran tersebut keterlaluan atau di sebaliknya.

Rajagobal yang ditanya mengenai kemungkinan dia dianugerahi gelaran Datuk di atas sumbangan menaikkan semula maruah bola sepak negara berkata, terpulanglah kepada mana-mana pihak yang merasakan dia layak untuk menerimanya.

"Kalau tak ada pun tidak apa, saya tetap meneruskan tugas saya seperti biasa.

"Saya pun tak pasti bila anak saya akan kahwin, kalau dia kahwin jadi datuklah saya nanti....." katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk MIC mencadangkan supaya Rajagobal diberikan gelaran Datuk bagi mengiktiraf jasa dan pencapaiannya.

Sunday, January 9, 2011

Chong Wei mara ke final


Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) berjaya mara ke perlawanan akhir selepas memperoleh kemenangan mudah 21-17, 21-18 ke atas pemain dari Thailand Boonsak Ponsana pada separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Masters di Taiwan, semalam.

Sungguhpun merasai pengalaman tewas kepada Boonsak pada Sukan Asia Guangzhou tahun lalu di peringkat kumpulan, peristiwa itu tidak menjadi penghalang kepada Chong Wei yang hanya memerlukan 43 minit untuk menjinakkan bintang Thailand itu.

Pada perlawanan semalam, Chong Wei lebih banyak menguasai gelanggang seawal set pertama bermula dengan meninggalkan Boonsak enam mata sebelum lawan menyamakan kedudukan.

Malah, kelemahan Boonsak untuk membalas pukulan kencang Chong Wei di samping banyak melakukan beberapa kesilapan kecil membuka ruang kemenangan set pertama memihak kepada pemain Malaysia itu.

Pada aksi set kedua juga Chong Wei meneruskan permainan rancak untuk memperoleh kutipan mata tanpa memberi ruang mudah kepada Boonsak untuk mendapatkan kemenangan.

Bakal menanti Chong Wei pada perlawanan akhir hari ini ialah pemain dari Denmark, Peter Hoeg Gade yang berjaya menundukkan pemain China, Long Chen di peringkat separuh akhir dengan keputusan 21-19, 21-18.

Gade terpaksa berhempas pulas ketika bertemu Long Chen semalam sebelum boleh mendapatkan kemenangan untuk mara ke peringkat akhir.

Pada perlawanan tersebut, Gade mengunakan kelebihan dalam corak permainan rali untuk mendapatkan mata kemenangan dalam dua set yang berlangsung.

Dalam pada itu, sebelum ini dalam saingan peringkat kumpulan, Gade tewas kepada Chong Wei dengan keputusan 21-14, 21-12 dalam masa 29 minit.

Saturday, January 8, 2011

Tiada jaminan ke kelayakan Olimpik


Biarpun berada di dalam skuad Harimau Muda A, ia bukan merupakan jaminan buat mana-mana pemain bahawa nama mereka akan dipilih dalam skuad Malaysia yang akan beraksi di kelayakan Sukan Olimpik 2012 nanti.

Jurulatihnya, Ong Kim Swee menegaskan, pintu untuk mewakili Malaysia di pentas kelayakan Olimpik masih terbuka buat mana-mana pemain berumur 22 tahun ke bawah yang tidak beraksi dengan skuad Harimau Muda.

''Kita mahu dapatkan senarai pemain terbaik sebelum memulakan cabaran pusingan kelayakan Sukan Olimpik, tidak semestinya kami akan menyerap seratus peratus pemain dari Harimau Muda A dan beberapa pemain kebangsaan yang lain.

''Sebaliknya dalam masa sama, saya akan memantau perlawanan lain yang berlangsung dalam liga. Jika ada mana-mana pemain berumur 22 tahun ke bawah saya dapati menyerlah, mungkin saya akan memasukkan nama mereka di dalam skuad.

''Oleh itu, saya mahu berpesan kepada para pemain saya, jangan berasa cepat berpuas hati, manakala kepada pemain yang tidak beraksi bersama Harimau Muda mempunyai keinginan mewakili negara di pentas Olimpik, ini adalah masanya untuk anda menonjolkan diri.

''Buat masa ini, beberapa nama dari luar skuad Harimau Muda sedang pertimbangkan, seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Faizal Abu Bakar, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali, '' katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Johor di padang Wisma FAM, semalam.

Malaysia akan memulakan cabaran pusingan pertama timbal balik menentang Pakistan pada 23 Februari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertandang ke tempat lawan pada 9 Mac.

Menyentuh mengenai sasaran kelayakan Olimpik, Kim Swee nyata mahu berpijak kepada realiti, kerana sedar adalah satu tugas yang amat sukar bagi mendapatkan salah satu slot benua Asia ke London 2012.

''Jika ditanya pada saya, terus terang saya mahukan bermain di Sukan Olimpik tetapi saya akur ia satu tugas yang sukar walaupun tidak mustahil.

''Saya lihat jika kita mampu mara ke pusingan ketiga atau peringkat kumpulan yang menempatkan 12 pasukan terakhir, saya anggap itu sudah satu pencapaian yang begitu baik, '' ujarnya.

Menjelang perlawanan dengan Pakistan, dia yakin peminat tempatan akan turun memberikan sokongan padu kepada pemainnya di Stadium Nasional nanti.

''Momentum skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF mungkin akan memberikan banyak kesan kepada penonton negara untuk turun ke stadium, itu akan memberikan kesan positif kepada para pemain untuk menampilkan persembahan lebih bersemangat, '' katanya.

Ganjaran keterlaluan?

Pemerhati sukan bola sepak tanah air memberikan pelbagai reaksi berhubung limpahan ganjaran buat pemain skuad negara yang menjulang Piala Suzuki AFF, baru-baru ini, dengan ada yang menyifatkan mereka berhak menerimanya. Tidak kurang yang menganggap ada bentuk imbuhan agak keterlaluan.

Mereka berpendapat, memang masa yang tepat untuk memberikan habuan ribuan ringgit kepada anak buah K. Rajagobal, tetapi tidak perlu sehingga melibatkan pemberian berupa tanah atau rumah, mahupun pingat kebesaran.

Ia dikhuatiri ada pemainnya yang masih berusia awal 20-an, terlalu mudah berpuas hati atau terus hanyut dibuai kejayaan di peringkat Asia Tenggara itu.

Pemerhati bola sepak ini turut mengingatkan skuad K. Rajagobal bahawa masih ada empat tahap lebih tinggi yang perlu diburu selepas ini, Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Bagi mereka, Piala Suzuki AFF hanyalah sebuah trofi yang akhirnya tidaklah sebesar mana, selagi satu persatu daripada keempat-empat tahap berkenaan tidak dicapai, sekali gus tidak mampu menandingi tanda aras tertinggi generasi sebelum mereka yang pernah mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Kata pengulas sukan Astro Arena, Azlan Johar: "Ganjaran ini memang perlu, biarlah pemain bola sepak negara kaya-raya hasil kejayaan di peringkat antarabangsa, walaupun bukan Piala Dunia. Apa salahnya penat lelah mereka dibalas setelah berjaya membuatkan rakyat kita bergembira sehingga seluruh negara diberi cuti?

"Dengan ganjaran besar, maka bermulanya minat ibu bapa dalam menyemaikan anak-anak mereka dengan bola sepak dan terus meyakinkan golongan ini bahawa sukan mampu menjamin masa depan,''kata bekas pemain negara dan Selangor pada era 80-an hingga 90-an ini.

Bagi legenda bahagian tengah negara yang mara ke Olimpik 1980, Shukor Salleh, "ganjaran buat mereka memang wajar kerana sudah lama kita tidak dapat kejayaan yang sebesar itu. Walaupun sekadar di peringkat Asia Tenggara, ada bagusnya kejayaan mereka dihargai dengan pelbagai bentuk termasuk tanah. Mungkin jika semata-mata diberi wang, mudah dan cepat pula habis begitu sahaja tetapi dengan tanah atau rumah, ada juga kenangan pada masa depan mereka.

"Zaman sudah berubah walaupun ketika saya bermain dan layak ke Olimpik, kami cuma dihadiahkan jam. Saya mengerti ketika itu penaja tidak seperti sekarang, malah sokongan dan penghargaan kerajaan negeri tidak begitu kuat dan menggalakkan. Bagi kami ketika itu, penghargaan dan ganjaran sebenarnya ialah apabila diberi peluang menyarung jersi negara pun sudah memadai.

"Kami tidak berkira sangat namun saya tidak mempertikaikan apa yang pemain sekarang dapat. Apabila kami bermain untuk Malaysia di luar negara terasa macam menjadi diplomat atau duta kerana membawa nama negara dan bermain demi semangat kenegaraan," katanya.

Kata blogger sukan terkenal yang juga bekas wartawan sukan sebuah tabloid berbahasa Inggeris, Rizal Hashim, "sekadar menghargai kejayaan pasukan dengan wang sudah memadai tetapi bukan sehingga mereka diberikan tanah atau rumah mahupun bintang yang mungkin membawa sesuatu gelaran kebesaran. Kejayaan ini tidak boleh dibandingkan dengan Piala Thomas (badminton) 1992 apabila ada pemain yang dapat tanah kerana ia sudah bertaraf dunia.

"Bagi bola sepak, kita menagih kejayaan yang lebih besar, di Asia, Olimpik dan Piala Dunia dan sekiranya pasukan kita berjaya ke tahap itu, barulah ganjaran yang selain wang itu boleh dipertimbangkan," katanya.

Bagi pengulas sukan RTM yang terkenal dengan slogan, "Terima Kasih, Terima Kasih, Terima Kasih" - Hafizal Hamad, "tidak kira apa juga bentuknya - wang, tanah atau rumah, skuad juara Piala Suzuki AFF ini berhak menerimanya kerana sudah memberikan segala-galanya untuk memastikan kejayaan yang sekian lama ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

"Namun jangan sesekali hanyut dengan kejayaan di peringkat Asia Tenggara. Ia masih bukan penanda aras yang besar tetapi boleh dianggap macam batu loncatan untuk kita mara sejauh Piala Asia, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Ayuh kita mencontohi kejayaan konsisten Thailand sebelum ini dan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), pantaulah selalu skuad ini," katanya.

34 atlet pelapis naik pangkat ke program elit


Sebanyak 34 atlet pelapis kebangsaan mengesahkan tempat dalam status elit dan bakal memberikan saingan sengit pada Sukan SEA Jakarta, 11 hingga 25 November ini.

Kesemua atlet tersebut dipilih daripada 11 jenis sukan dan mereka telah pun mengesahkan kemasukan ke program elit bermula pada Januari sehingga Disember tahun lepas.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pemilihan 34 atlet tersebut dinilai melalui pencapaian terbaik mereka di sepanjang tahun 2006 sehingga 2010.

''Ada antara mereka telah pun memulakan aksi pertama sebagai atlet elit pada tahun lepas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, malah mereka menunjukkan prestasi yang amat baik walaupun baru bergelar atlet elit.

''Kita dapat lihat atlet menembak seperti Nur Ayuni Farhana, yang cukup cemerlang pada Sukan Komanwel dan Siti Zubaidah Adabi dari sukan olahraga, mampu memberikan saingan hebat di Sukan Asia Guangzhou.

''Mereka ini baru sahaja dinaikkan taraf ke peringkat elit pada Januari tahun lalu dan kejayaan mereka ini adalah hasil daripada program-program yang diikuti ketika semasa di peringkat pelapis,'' kata Jefri ketika ditemui Utusan Malaysia di MSN Bukit Jalil semalam.

Dalam pada itu, Jefri berkata, terdapat beberapa atlet seperti Khairulnizam Mohd Afendy, Mohamad Hafizzudin Mazelan dan Khairunnisa Mohd Afendy dari sukan pelayaran serta atlet angkat berat, Arisha Farra Erwin berupaya menyumbang pingat di temasya sukan selepas ini.

''Ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan kerana mereka ini bakal menyerlah di arena sukan antarabangsa.

''Apa yang paling utama kini kesemua atlet tersebut harus cuba untuk meningkatkan prestasi mereka ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh negara,'' jelas Jefri.

Katanya, setakat ini pihaknya mempunyai seramai 242 atlet pelapis kebangsaan yang akan didedahkan dengan beberapa kejohanan sepanjang tahun ini.

Friday, January 7, 2011

Misbun terus kunci mulut


"Buat masa sekarang saya tidak mahu bercakap kerana ia hanya akan mengikut perasaan,'' ujar Datuk Misbun Sidek ketika menjelaskan mengapa beliau dilihat seperti mahu mengelak daripada masalah yang sedang berlaku.

Sehingga hari ini, jurulatih perseorangan negara itu masih enggan bersemuka dengan pegawai kanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah terus 'mengunci mulut' walaupun diasak bertali arus oleh media yang mahu mendapat penjelasan di sebalik tindakannya meletakkan jawatan.

Beliau hanya bersetuju untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin, yang disifatkan sebagai perjumpaan tidak rasmi dan sekadar sesi bual kosong untuk meluah perasaan.

Bagi Misbun, beliau tidak pernah bermaksud hendak melarikan diri daripada masalah, tetapi hanya memerlukan masa untuk menenangkan fikiran dan keadaan, sebelum bersedia tampil membincangkan masalah dengan pihak yang berkenaan.

"Kami (bersama Menteri) hanya berbual kosong semalam. Saya menjelaskan kepada beliau sebab mengapa saya mahu meletakkan jawatan, itu saja.

"Saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa apa yang dibincangkan atau berlaku dalam bilik mesyuarat, sepatutnya kekal di situ dan tidak perlu dibawa keluar. Begitupun saya mengakui, rasa kecewa terhadap persatuan adalah sebab saya mahu berundur.

"Apa pun, ketika ini saya tidak mahu fikir dan berkata apa-apa, kerana saya hanya mahu berehat seketika. Saya harap semua pihak menghormati dan memahaminya,'' ujar Misbun.

Sejak menyerahkan surat perletakan jawatan daripada skuad kebangsaan pada 31 Disember lalu, Misbun hanya memberitahu bahawa beliau kecewa dan tidak gembira di BAM, tetapi tidak pernah mendedahkan secara terperinci apakah yang mengganggu beliau selama ini.

Adiknya, yang juga ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek mengakui, bahawa abangnya itu sering menganggap dirinya tidak dihargai dan dihormati oleh individu dalam BAM, selain tertekan kerana keupayaannya kerap dipertikaikan apabila Datuk Lee Chong Wei gagal meraih kejuaraan utama seperti Sukan Olimpik, dunia atau Sukan Asia.

Rashid tidak menolak, keengganan BAM bertolak ansur membenarkan Misbun melatih anaknya, Misbun Ramdan Misbun antara punca yang mengeruhkan lagi keadaan, namun menegaskan, isu tersebut bukan perkara pokok dalam masalah ini cuma sebahagian daripadanya.

Sementara itu, BAM semalam mengesahkan isu peletakan jawatan Misbun akan dibangkitkan dalam mesyuarat exco badan badminton negara itu pada 12 Januari depan, yang dijangka dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.

Mesyuarat tersebut mungkin menjadi platform terbaik untuk menyelesaikan isu Misbun, di mana Nadzmi sebelum ini memberi bayangan menerima perletakan jawatan jurulatih senior mereka itu akan menjadi pilihan utama BAM, seandainya ia dipersetujui oleh majoriti exco.

"Sudah tentu kami akan membincangkan isu Misbun dalam mesyuarat exco minggu depan, namun sehingga hari itu, tiada sebarang kenyataan yang boleh kami keluarkan ketika ini,'' kata setiausaha BAM, Ng Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara, semalam.

Kien Keat-Boon Heong terus malang

Sudahlah gagal mengharungi musim 2010 dengan keputusan cemerlang, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meneruskan episod malang apabila membuka tirai 2011 dengan tersungkur awal pada kejohanan badminton Siri Super Masters Akhir di Taiwan, semalam.

Bekas beregu No. 1 dunia itu, yang hanya memenangi dua kejuaraan antarabangsa sepanjang tahun lalu - Terbuka Malaysia dan Sukan Komanwel, tersingkir dari kejohanan lumayan bernilai AS$500,000 (RM1.6 juta) itu apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Semalam, mereka tunduk kepada beregu kedua China, Chai Biao-Zhang Nan 21-14, 15-21, 17-21. Kekalahan tersebut menyusul sehari selepas bekas juara All England itu tumpas buat kali keempat kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seung kelmarin.

Hari ini, Kien Keat-Boon Heong akan berdepan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China dalam perlawanan terakhir Kumpulan A. Bagaimanapun sebarang keputusan tidak akan memberi sebarang makna kerana mereka sudahpun terkeluar. Haifeng-Cai Yun sudahpun melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan pilihan pertama, Sung Hyun-Yeon Seung 21-14, 21-15.

Begitupun berbeza dengan Kien Keat-Boon Heong, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sebaliknya meneruskan langkah cemerlang dengan mengesahkan tiket separuh akhir selepas menumpaskan pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 21-13.

Chong Wei, yang memburu kejuaraan hatrik kini akan berdepan jaguh utama Denmark, Peter Hoeg Gade dalam perlawanan terakhir untuk menentukan juara Kumpulan A. Gade juga sudah melangkah ke separuh akhir selepas mengutip kemenangan kedua dengan menumpaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam, 21-16, 21-18.

Dalam saingan Kumpulan B, juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia pulang lebih awal selepas tumpas kepada pemain muda China, Chen Long. Taufik, yang tewas kepada Boonsak Ponsana dalam saingan pertama kelmarin sedang ketinggalan 15-21, 11-14 sebelum menarik diri.

Kemenangan terbaru ini menyaksikan Chen Long berjaya melangkah ke separuh akhir bersama Boonsak, yang turut mara selepas mengetepikan seorang lagi pemain muda China, Du Pengyu 13-21, 21-11, 21-19.

Saingan Kumpulan B beregu lelaki pula menyaksikan penyingkiran mengejut juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan daripada kejohanan selepas menarik diri ketika bertemu penyandang juara, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan. Ini adalah kekalahan kedua pasangan Indonesia itu dalam kejohanan ini.

Thursday, January 6, 2011

Misbun enggan jumpa Nadzmi


Sehingga semalam, usaha untuk menjernihkan kemelut yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, masih menemui jalan buntu.

Pada ketika Misbun enggan ditemui pegawai BAM, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat, Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh pula menolak untuk berdepan pihak media dengan alasan bimbang keadaan akan menjadi bertambah kusut.

Akhirnya, hanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil untuk cuba menjernihkan kekusutan, namun ia tetap tidak memadai bagi meleraikan keadaan, kerana Ahmad Shabery bukan orang yang terlibat secara langsung dalam kemelut yang berlaku.

Sejak kembali dari London kelmarin, Nadzmi berusaha untuk mengatur pertemuan dengan Misbun, bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai tindakan mengejut jurulatih itu meletakkan jawatan, yang berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Malangnya, Misbun memberitahu beliau tidak dapat bertemu dalam masa terdekat dan mungkin memerlukan beberapa hari lagi sebelum bersedia bersemuka dengan BAM. Namun, pada masa yang sama, beliau sudi menerima pelawaan makan malam bersama Ahmad Shabery yang diadakan secara tertutup, malam tadi.

Malah, Nadzmi dan pegawai-pegawai kanan BAM yang lain turut memilih untuk memenuhi undangan makan tengah hari bersama Ahmad Shabery semalam, selepas usaha untuk duduk berunding dengan Misbun menemui kegagalan.

Bagaimanapun, harapan media untuk mendapatkan penjelasan daripada Nadzmi mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku hampa, apabila Presiden BAM itu tidak mahu memasuki sidang akhbar dan meninggalkan Ahmad Shabery bersendirian cuba menjelaskan keadaan.

"Datuk Nadzmi tidak mahu memburukkan keadaan kerana bimbang jika beliau mengeluarkan sebarang kenyataan ia akan disalah tafsir. Hari ini, beliau kecewa apabila membaca laporan sebuah akhbar yang mengeluarkan beberapa perkataan yang sebenarnya tidak pernah disebut, ini tidak membantu, tetapi hanya mengeruhkan lagi situasi.

"Mengenai kedudukan saya sebagai orang tengah, saya tidak pernah berniat mencampuri urusan BAM. Saya memanggil mereka (BAM dan Misbun) hanya kerana ingin mendapat penjelasan sebenar, sebagai wakil kerajaan yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada sukan badminton, saya rasa kami berhak untuk tahu apa yang berlaku. Sama ada saya akan bantu, ia bergantung sama ada mereka mahu saya membantu.

"Saya juga ingin menegaskan, saya bertindak sebagai orang tengah bukan kerana BAM dan Misbun tidak boleh bersemuka. Saya panggil mereka kerana prihatin terhadap masalah yang melanda. Jika ada keperluan, kita akan buat Misbun dan BAM berjumpa, pada saya yang penting keikhlasan,'' kata Ahmad Shabery pada sidang akhbar di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Ahmad Shabery bagaimanapun enggan memberitahu butiran terperinci mengenai hasil pertemuan dengan Nadzmi serta pegawai BAM yang lain, malah merahsiakan lokasi pertemuan dengan Misbun sambil menegaskan ia adalah tertutup.

Sementara itu Pengurus Besar BAM, Kenny Goh ketika dihubungi berkata, badan badminton kebangsaan itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah penyelesaian ditemui, sambil menegaskan bahawa pertemuan dengan Misbun akan berlaku cuma bukan dalam masa terdekat.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi kerana bimbang keadaan akan menjadi bertambah buruk. Sebarang kenyataan hanya akan diberikan oleh Presiden BAM dan saya percaya beliau akan berbuat demikian apa tiba masanya.

"Mengenai usaha untuk bertemu dengan Datuk Misbun, sudah tentu kami akan bersemuka cuma bukan dalam masa terdekat. Saya harap tolong jangan buat sebarang spekulasi yang tidak betul kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,'' katanya.

Selain Nadzmi dan Kenny, turut hadir dalam pertemuan hampir sejam bersama Menteri Belia dan Sukan semalam adalah Setiausaha BAM, Ng Chin Chai dan Pengarah Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj.

Safee terima imbuhan RM10,000

Kerajaan negeri mengumumkan pemberian imbuhan RM10,000 kepada penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali ekoran aksi cemerlangnya sehingga membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF dan dinobat Penjaring Terbanyak kejohanan tersebut, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dua lagi anak Perak iaitu Mohd. Sabree Mat Abu dan Mohamad Fadhli Mohd. Shas pula akan menerima ganjaran RM5,000 seorang.

"Pemberian imbuhan akan dibuat secepat mungkin sebagai menghargai sumbangan mereka. Sememangnya rakyat negeri Perak berbangga dengan kejayaan tersebut.

"Saya berhasrat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga pemain tersebut di negeri ini dan kita mungkin akan membuat satu majlis menyambut kepulangan mereka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan rekod Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), keluarga Mohd. Safee berasal dari Behrang dan kini menetap di Tapah.

Menurut beliau, sebelum Mohd. Safee berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), dia dikatakan pernah bersekolah di SMK Gunung Rapat, di sini.

Mohd. Sabree pula merupakan anak kelahiran Parit Buntar dan bapanya merupakan tukang kebun di SMK Seri Perak di sana.

Beliau berkata, Mohamad Fadhli pula merupakan anak kepada seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilahirkan di Lumut.

Chong Wei lepasi ujian awal


Kemelut yang sedang melanda jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek nyata tidak langsung menganggu fokus jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, apabila membuka kempen mempertahankan kejuaraan hatrik Siri Super Masters Final dengan menewaskan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh di Taiwan semalam.

Malangnya, langkah kanan Chong Wei gagal dituruti oleh pasangan utama negara yang juga juara 2008, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong apabila tunduk 15-21, 20-22 kepada Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong. Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut Kien Keat-Boon Heong di tangan beregu Korea itu daripada empat pertemuan mereka.

Kekalahan ini pastinya menyukarkan harapan anak buah Rexy Mainaky itu untuk mencari dua tiket ke separuh akhir, kerana menanti mereka dalam dua perlawanan berikutnya adalah pasangan handalan China, Fu Haifeng-Cai Yun dan CHai Biao-Zhang Nan.

Bagi Chong Wei, 28, dia hanya memerlukan 34 minit untuk mengetepikan jaguh No. 1 Vietnam, Tien Minh 21-12, 21-17, sekali gus mengetuai Kumpulan A, yang turut dibarisi oleh dua jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade dan Jan O Jorgensen.

Juara 2008 dan 2009 itu akan mengesahkan tiket separuh akhir jika mengalahkan Jorgensen, hari ini. Semalam, Jorgensen gagal meraih kemenangan pertama apabila tumpas 11-21, 21-18, 16-21 kepada Gade yang akan menentang Tien Minh.

Sementara itu, saingan Kumpulan B menyaksikan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat mengalami kekalahan mengejut 18-21, 21-18, 7-21 kepada pemain Thailand, Boonsak Ponsana. Satu lagi perlawanan menyaksikan pemain muda China, Chen Long menundukkan rakan senegaranya, Du Pengyu 21-15, 13-21, 21-11.

Dalam saingan beregu lelaki Kumpulan B, juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia tunduk 12-21, 21-23 kepada pasangan No. 1 dunia, Carsten Mogensen-Mathias Boe dari Denmark.

Tuesday, January 4, 2011

Chong Wei mahu ikut Misbun

Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang bertindak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin.

Chong Wei berkata, tindakannya berbuat demikian kerana dia mahu kekal dilatih oleh Misbun, selain tiada persefahaman antara dirinya dan juga BAM.

"Saya akan ikut jurulatih, kalau dia kekal bersama BAM, maka saya akan ke kekal di BAM, tetapi jika dia keluar saya pun akan ikut jejak langkahnya," katanya yang dibentuk Misbun sejak usianya masih remaja.

Laporan sebuah akhbar kelmarin memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember 2010 yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM. Goh bagaimanapun, tidak menyatakan sebab peletakan jawatan tersebut.

Pemain berusia 28 tahun itu, turut mendedahkan masalah dengan pengurusan BAM sebagai punca kemelut tersebut berlaku.

Katanya, BAM hanya tahu mencari silap pemain, jika mereka tewas pada mana-mana pertandingan yang disertai, tetapi sekiranya kejayaan yang diraih mereka tidak pula menghargainya.

"Semua masalah ini melibatkan pengurusan BAM, mereka hanya tahu minta laporan kalau kita kalah dan jika kita menang, mereka tak minta laporan pun. Tidak pula mereka tanya bagaimana saya boleh menang," ujarnya.

Menurut Chong Wei, dia ada menghubungi jurulatihnya itu bagi meminta penjelasan mengenai peletakan jawatan tersebut.

"Saya ada hubungi jurulatih saya, dia minta semua orang hormati keputusan dia. Keputusan dia memang sudah muktamad. Saya pula akan ikut ke mana sahaja dia pergi.

"Saya sedih dengan keadaan ini, Misbun adalah jurulatih saya. Dia telah naikkan nama saya, daripada tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Tak mungkin saya tinggalkan dia bersendirian," tegasnya.

Chong Wei berkata, hari ini dia akan berangkat ke Taiwan tanpa ditemani Misbun bagi menghadapi Terbuka Taiwan dan hanya akan dibantu oleh seorang penolong jurulatih.

Walau apa juga keputusan selepas ini, jelas Chong Wei, dia akan menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang kini berada di luar negara untuk berbincang mengenai kemelut tersebut.

"Saya harap persiapan bagi menghadapi Terbuka Malaysia tidak terjejas dan masalah ini dapat diselesaikan segera, bukan mudah tukar jurulatih, saya telah bersama dengan Misbun terlalu lama," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada presiden yang kini berada di luar negara untuk memutuskan mengenai isu tersebut.

"Memang kita ada terima surat peletakan jawatan oleh Misbun dan kita juga telah edarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa sebagai makluman," katanya.

Chin Chai yang enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan itu, memberitahu, Nadzmi hanya akan kembali ke tanah air, esok.

Liga M dapat tajaan lumayan RM220 juta

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat suntikan penajaan baru empat tahun yang lumayan bagi Liga Malaysia mulai musim ini yang berjumlah RM220 juta, apabila melantik Astro Media sebagai rakan media sekali gus ejen pemasarannya.

Penajaan itu meliputi hak penyiaran yang bernilai RM30 juta setiap tahun, manakala RM100 juta lagi bakal dilaburkan syarikat TV satelit berbayar itu bagi kegiatan promosi bola sepak dan luar gelanggang, tanpa menghalang kerjasama dengan rangkaian TV lain yang ditonton secara percuma.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata: "Astro merupakan salah satu daripada bakal penaja yang membida dan kami putuskan untuk memilih mereka sebagai rakan kongsi dan rakan media dengan memberikan hak tertentu perlawanan Liga M termasuk hak penyiaran."

Namun katanya, "tidak bermakna Astro Media akan menjadi penaja kejohanan tetapi mana-mana syarikat yang mahu membuat urusan penajaan, boleh berunding dengannya yang turut menjalankan pemasaran Liga M dengan Malaysia Super League (MSL).

"Kedudukan RTM (sebelum ini penyiar rasmi liga) tidak akan terjejas malah semua saluran TV lain termasuk yang percuma malah media baru seperti TV internet boleh bekerjasama dengan Astro dan RTM bebas untuk berunding mengenainya melalui Astro Media.

"Selain itu kami akan tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang memantau kerjasama ini kerana keuntungan lebih RM30 juta bakal dikongsi bersama FAM dan Astro Media," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa MSL selepas mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Telekom Malaysia (TM) sebelum ini menjadi penaja Liga M dengan sumbangan kira-kira RM9 juta setahun kepada FAM sepanjang dua penggal penajaan dari 2002 hingga 2010 yang dijadualkan berakhir pada 26 Januari ini.

Annuar juga menjelaskan bahawa Astro Media mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam membantu FAM dari segi mengukuhkan kedudukan kewangannya selain membantunya melaksanakan usaha pembaharuan terhadap Liga M dalam tempoh empat tahun.

"Penajaan ini cuma berkaitan Liga M iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden tetapi Astro Media cuma diberikan hak rakan media bagi kegiatan pasukan kebangsaan, pembangunan belia dan wanita mahupun kejohanan lain yang dicipta FAM," katanya.

Katanya, hak penyiaran Astro juga bukan bererti hanya stesen TV satelit itu yang boleh menyiarkan perlawanan Liga M, kerana FAM tetap akan cuba menggunakan pendekatan di Eropah, yang turut membenarkan stesen TV lain menayangkan perlawanan lain yang berlangsung serentak.

"Jika ada enam atau tujuh perlawanan yang dimainkan serentak, mengapa hanya satu perlawanan yang ditayangkan? Penajaan ini juga sebenarnya tidak mengenakan sekatan sebegitu atau seperti Astro sahaja yang mendapat hak eksklusif penyiaran Liga M.

Tegasnya, FAM menjangkakan kesan penajaan ini terhadap Liga M, bakal dirasai secara berkala walaupun mungkin agak terhad tahun ini, lebih menyerlah pada 2012 sebelum berjaya ditransformasikan sebagai salah satu liga terbaik di rantau ini pada 2014.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...