Debaran pasti dirasakan tiga pelumba teratas Kategori CP130 yang mahu mencipta sejarah memahat nama selaku juara pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010 di Padang Kota Lama, hujung minggu ini.
Pelumba-pelumba tersebut adalah Norizman Ismail (SCK Honda Racing) yang menerajui carta keseluruhan dengan 146 mata. Ini diikuti Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) dengan 145 mata. Sementara itu rookie, Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) menduduki tangga ketiga dengan 144 mata.
Berbanding perlumbaan final 2009, saingan Pusingan 10 musim ini jauh lebih menarik, memandangkan ketiga-tiga pelumba dipisahkan hanya dengan dua mata. Tahun lalu, juara expert, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) mara ke pusingan final di litar yang sama dengan kelebihan 14 mata.
Dengan itu, Norizman, Fazli dan Hafizh perlu memenangi perlumbaan hujung minggu ini jika mahu dinobatkan Juara CP130.
Dengan misi berbeza, Norizman mahu menamatkan dominasi Yamaha dalam siri Kejuaraan Cub Prix ini dan muncul sebagai pelumba pertama memenangi mahkota kelas perdana di atas jentera Honda.
Sebelum ini, pelumba berusia 25 tahun itu sudahpun memahat nam dalam sejarah Cub Prix, apabila muncul pelumba termuda yang memenangi gelaran expert pada tahun 2005 ketika berusia 20 tahun.
Sementara itu, Fazli menyimpan hasrat untuk melebarkan kemenangan ketiganya, selepas muncul juara pada 2007 dan 2008.
Jika dia memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini, Fazli semakin menghampiri rekod pelumba legenda, M.Meganathan, yang memenangi kejuaraan sebanyak empat kali iaitu pada 1994, 1995, 1999 dan 2000.
Hafizh, 16, pula berharap mampu memecah rekod Norizman, selaku juara termuda dan muncul pelumba novis pertama memenangi kelas perdana ini.
Mohd. Zamri Baba (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) yang menduduki tempat keempat di dalam carta keseluruhan CP130 juga berpeluang untuk bergelar juara di Pulau Pinang nanti




No comments:
Post a Comment