Walau apa pun penamat kepada krisis di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek, ia akan berakhir minggu depan.
Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berkata, krisis tersebut akan diselesaikan segera kerana badan badminton kebangsaan itu bakal mengharungi jadual yang padat bermula dari pertengahan Februari ini hingga bulan depan.
Pada 18-21 Februari ini, BAM sibuk dengan penganjuran Grand Prix Kebangsaan Akhir di Kuala Terengganu, sebelum tumpuan kemudian beralih kepada Terbuka Jerman (1-6 Mac), All England (8-13 Mac) dan Terbuka Switzerland dari 15-20 Mac.
"Pertemuan Presiden BAM (Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh) dan Misbun minggu lalu sebenarnya telah mencapai satu keputusan, namun Presiden mahu Misbun bertemu saya dan Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) bagi membincangkan butiran terperinci apa yang dimahukan.
"Ia sepatutnya boleh selesai lebih awal tetapi memandangkan Kenny sedang sibuk dengan perayaan Tahun Baru Cina, jadi saya jangkakan rundingan dapat dijalankan sebaik Kenny kembali berkerja Isnin depan.
"Saya tidak fikir penyelesaian akan lewat dicapai kerana pada dasarnya kedua-dua pihak tahu apa yang dimahukan, ia cuma hendak diperhalusi dan kemudian dimuktamadkan. Bagaimanapun saya percaya krisis ini akan berakhir dengan positif,'' ujar James.
Program persiapan Sukan Olimpik London 2012 yang sudahpun dimulakan oleh Misbun dan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei dilihat sebagai sebab utama yang akan mengikat jurulatih itu untuk kekal di BAM.
Dengan Chong Wei, 29, merupakan prospek terbaik negara untuk memenangi pingat emas pada temasya berkenaan, Misbun pasti tidak mahu mensia-siakan segala persiapan yang sudah berjalan, sebaliknya hanya membuat keputusan yang berteraskan kepentingan negara.
Biarpun tidak gembira dengan beberapa individu dalam badan badminton kebangsaan itu, namun jurulatih berkenaan sudah memberi jaminan kepada Nadzmi bahawa beliau tidak akan menyentuh struktur kejurulatihan atau Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) mereka.
"Saya yakin kami akan mencapai satu penyelesaian terbaik jika program Road to London menjadi agenda utama perbincangan itu nanti, lagipun Misbun sudah memberitahu Presiden bahawa beliau tidak akan kacau CTC, jadi tiada sebab mengapa perkara ini tidak boleh berakhir dengan baik.
"Saya percaya, semua orang mahu penamat yang positif, baik Misbun, BAM mahupun Chong Wei. Perkara ini tidak harus berlarutan lebih lama dan berakhir dengan sesuatu yang mengecewakan,'' ujar James lagi.
Misbun, 51, menggemparkan peminat sukan tanah air apabila menghantar surat perletakan jawatan pada 31 Disember lalu selepas tidak gembira dengan sikap segelintir individu dalam BAM yang dianggap tidak menghormatinya, selain memperlekehkannya.
Perubahan dalam struktur kejurulatihan kebangsaan juga tidak menggembirakan jurulatih itu apabila anaknya, Misbun Ramdan Misbun tidak lagi dibenarkan berlatih di bawah bimbingannya, sebaliknya terpaksa menyertai kelompok pemain pelapis kendalian Hendrawan.



No comments:
Post a Comment