Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu melupakan kekalahan kepada musuh tradisi Lin Dan pada Terbuka Korea yang berakhir, kelmarin dengan menghala tumpuan kepada All England pula yang bermula 8 hingga 13 Mac ini.
Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tumpas kepada bintang sensasi China yang juga juara Olimpik dalam perlawanan menarik yang diheret sehingga ke set penentuan 19-21, 21-14, 16-21 dalam masa 1 jam 15 minit.
Chong Wei yang kelihatan agak sugul ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika ditemui pemberita berkata, beliau telah memberikan tentangan yang terbaik pada pertemuan tersebut, namun nasib tidak menyebelahinya.
"Saya telah berusaha memberikan tentangan kepada Lin Dan tetapi, nampaknya nasib lebih berpihak kepada dia. Tuah tidak menyebelahi saya," katanya di sini, semalam.
Chong Wei turut mengakui, kesilapan yang dilakukan pada hujung perlawanan antara punca kepada kekalahannya kepada Lin Dan.
Jelasnya, lawan sehebat Lin Dan memerlukan pemain kekal fokus kepada permainan dan dengan hanya kesilapan kecil ia akan mengundang padah.
"Kesilapan yang saya lakukan telah dimanfaat sepenuhnya oleh Lin Dan untuk mendapatkan mata demi mata bagi mengatasi saya," ujarnya.
Untuk mengatasi kelemahannya itu, Chong Wei berkata, dia akan berbincang dengan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek bagi memperbaiki permainannya sebagai persiapan menghadapi All England.
Beliau buat masa ini mahu mendapatkan rehat secukupnya sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina, sebelum kembali ke gelanggang latihan.
Ketika ditanya berhubung pertemuan antara jurulatihnya, Misbun dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh, Rabu lalu, Chong Wei berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perjumpaan tersebut.
"Tetapi saya amat berharap, perjumpaan itu akan berakhir dengan keputusan positif kerana saya memerlukan Misbun bagi membimbing saya untuk persiapan 2012 (Sukan Olimpik)," katanya.
Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj mengesahkan bahawa Misbun ada menghubungi Pengurus Besar BAM, Kenny Goh melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dia akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pegawai kanan BAM itu dalam masa terdekat ini.
"Misbun ada SMS Kenny yang dia akan bertemu dengan kami berdua untuk membincangkan mengenai program Road To London 2012 dan juga berhubung kedudukannya sebagai jurulatih," katanya.




No comments:
Post a Comment